Friday, February 26, 2010

KERANA SAYANG 19

Malam itu, Ikhwan tiba agak awal dari jangkaanku. Dia nampak kemas walaupun sekadar memakai t-shirt dan berseluar jean. Abah tidak dapat menahan kesedihannya apabila melihat Ikhwan. Aku tahu tentang rindu abah terhadap Ikhwan. Lelaki yang sudah dianggap anaknya sendiri. Ikhwan menyalami Umi dan abah mertuaku sebelum mendapatkan emak yang sibuk di dapur. Adam pula yang baru turun dari tingkat atas terus sahaja menerpa Ikhwan yang sedang berbual-bual dengan abah.

“Ish, apa ni! Adam, mama cakap apa tadi?”

“Its okay, Hana.”

Aku mengerling ke arah Adam yang nampaknya seronok dipertahankan oleh Ikhwan. Aku berlalu ke dapur membantu Umi dan emak yang masih sibuk di dapur.

“Handsome Ikhwan tu Hana. Orangnya pun nampak baik. Umi suka tengok.”

“Yerlah, Umi tu semua handsome. Siapa pun lelaki yang Hana bawa kat rumah ni Umi kata handsome lepas tu baiklah, Umi sukalah. Dengan Ajmal dulu pun macam tu.” Sengaja aku berkata begitu berharap Umi berhenti berbicara soal itu. Aku tahu Umi sengaja berkata begitu sebagai tanda dia bersetuju andai aku sudah ada penganti arwah Syahril.

“Tengok tu, kak! Saya cakap betul-betul dia perli saya pulak.”

Emak hanya ketawa mendengar Umi mengadu kepadanya. Aku mencebik memandang Umi.

“Elok sangatlah tu buat muka macam tu dekat Umi.”

Aku menghampiri Umi sebelum menghadiahkan ciuman di pipinya. Selepas itu, aku segera berlalu menatang air minuman ke ruang tamu. Hanya ada abah mertuaku dan Ikhwan.

“Abah mana?”

“Naik solat isya’ sekejap.”

Aku mengangguk tanda faham mendengar jawapan abah mertuaku. Cawan berisi teh yang masih panas aku letakkan di hadapan abah mertuaku dan Ikhwan. Sempat aku mengerling dengan ekor mataku melihat Adam yang nampak begitu manja di ribaan Ikhwan. Entah apa yang ditunjukkan kepada lelaki itu aku tidak tahu tapi dari bicara riangnya dapatku agak mungkin Adam bercerita tentang gambar percutian kami ke Pulau Redang beberapa bulan lepas.

“Adam, dahlah cerita tu. Nanti cerita lagi biar, uncle Wan minum dulu,” ujar abah mertuaku.

Sekali sahaja mendengar arahan datuknya, Adam bangun kemudian duduk disebelah Ikhwan. Aku hanya mengelengkan kepala melihatnya. Adam memang cepat mesra dengan sesiapa sahaja. Dulu, semasa Ajmal kerap datang berkunjung Adam begitu rapat dengan lelaki itu. Sehingga kini Ajmal kerap menghubungi rumahku untuk bercakap dengan Adam.

“Lambat lagi ker makannya, Hana? Abah dah lapar ni!”

“Sekejap lagilah, abah. Dah nak siap dah.”

“Hari ni makan special! Sebab tulah lambat sikit. Abah Hana cakap Wan suka makan masak lemak nangka. Tulah petang tadi pergi mencari nangka muda. Nasib baik jumpa. Seronok sangat abah Hana tu dengar Hana cakap Wan nak datang. Sanggup ajak pak cik pergi memancing ikan keli petang tadi juga. Dalam-dalam panas terik tu tapi akhirnya beli jugak kat pasar raya.”

Abah mertuaku ketawa kecil dengan kata-katanya sendiri. Aku dan Ikhwan turut ketawa. Memang abah yang paling kalut. Kalau boleh semua makanan kegemaran Ikhwan dia nak disediakan. Bagai menyambut anak yang sudah lama tak bertemu lagaknya.

Aku meninggalkan ruang tamu apabila kedengaran suara Umi memanggilku. Aku tersenyum memandang abah ketika terserempak dengannya di tangga. Wajah abah nampak ceria.

“Jemputlah makan semua.” Panggil Umi setelah makanan tersedia di atas meja. Adam yang terlebih dahulu memilih tempat duduk, membuatkan aku sedikit kurang senang dengan sikapnya.

“Masak lemak nangka ni Hana yang masak,” beritahu Umi ketika Ikhwan sedang menyeduk masak lemak nangka ke dalam pinggannya.

“Umi!” aku memandang Umi yang hanya tersenyum memandangku. Senyuman mengusikku.

Suasana sunyi seketika apabila masing-masing asyik dengan santapan dihadapan. Abah begitu berselera sekali. Dicedukkan sambal sotong ke dalam pinggan Ikhwan. Aku yang memerhati ingin bersuara kerana setahu aku Ikhwan tidak makan sotong tetapi apabila melihat Ikhwan yang menjamah sotong itu aku membiarkan sahaja.

“Hana beritahu pak cik Ikhwan ada business contractor. Dah lama ker?” tanya abah mertuaku setelah kami semua berada di ruang tamu selepas makan.

“Business tu yang arwah abang ipar saya. Saya cuma ambil alih lebih kurang enam tahun lepas bila dia meninggal,” ujar Ikhwan. Aku sekadar memerhati gelagat Adam yang tidak lekang dari Ikhwan.

“Bila pindah KL? Yang dekat Ipoh tu siapa jaga?” tanya ayah.

“Baru jer dua tahun. Office dekat Ipoh tu sekarang ada pengurus lain. Wan cuma pergi kalau ada masalah atau meeting company ajer.”

Aku suka mendengar Ikhwan membahasakan dirinya dengan abah begitu. Memang dari dahulu lagi lelaki itu membahasakan dirinya seperti itu dengan abah dan emak.

“Rumah yang kami duduk dulu, macam mana sekarang? Wan dah sewakan kat orang lain ker?”

Pertanyaan emak mengubah riak wajah Ikhwan. Kelat. Aku sendiri tidak menyangka emak akan bertanyakan tentang rumah yang pernah kami diami dahulu. Lama Ikhwan terdiam, memandang lantai.

“Siapa nak buah tembikai? Hana tolong ambilkan?”

Ikhwan mendongak memandangku yang duduk berhadapan dengannya. Aku hanya tersenyum. Aku tahu Ikhwan tidak ingin menjawab soalan yang di utarakan emak tadi. Mungkin ada sesuatu yang tidak ingin diberitahu kepada kami.

“Umi dah hampir lupa pulak kita ada desert. Wan suka makan kek coklat tak? Umi ada buat kek coklat petang tadi.”

Ikhwan tidak menjawab cuma tersenyum. Umi bangun sambil mencuit aku yang duduk disebelahnya. Aku turut bangun mengiringi Umi ke dapur. Di dalam kepala aku sebenarnya ingin juga tahu kenapa Ikhwan tidak ingin menjawab pertanyaan emak tadi. Ada sesuatukah yang cuba dirahsiakan daripada kami?

“Umi ni sajer jer nak bagi Hana gemuk. Malam-malam macam ni makan kek!” usikku sebaik sahaja Umi mengeluarkan sebiji kek coklat dari dalam peti ais.

“Okeylah gemuk sikit. Itu tandanya cukup makan dan makanan yang Umi masak selama ni sedap.”

“Yerlah tu, berat Hana dah naik tiga kg tau dalam masa lima bulan ni. Umi punya pasallah. Masak semuanya yang berlemak, berminyak,” getusku, sekadar berniat mengusik.

“Eleh, yang Hana pergi makan juga tu kenapa? Time makan tak ingat pulak gemuk ke kurus. Sampai dua pinggan sekali makan!” Umi memulangkan paku buah keras.

“Apalah Umi ni cakap kuat-kuat. Malu Hana!”

“Malu? Malu kat Ikhwan?”

Aku mencebik, malas menjawab pertanyaan Umi yang lebih kepada sindiran itu aku mencapai pinggan lalu meletakkan kek yang sudah dihiris kepada beberapa bahagian di atasnya. Kemudian, aku mencari pinggan kertas di dalam kabinet sebelum berlalu ke ruang tamu bersama Umi.

Ikhwan sudah mula ketawa. Ada sesuatu yang diceritakan oleh abah kepadanya yang menyebabkan Ikhwan ketawa lepas. Aku sedar tangan Ikhwan tidak lekang dari memeluk Adam yang duduk disebelahnya. Sesekali dia melayan karenah Adam sambil mendengar cerita abah. Aku hanya diam memerhati.

Ikhwan meminta diri untuk pulang setelah hampir tiga jam duduk berbual dengan kami. Aku sendiri tidak menyedari waktu yang semakin menginjak ke tengah malam.

“Dah kurus Wan tu. Tak macam dulu. Dulu kalau mak Hanis masak bertambah kali ni sepinggan pun tak habis dia makan.” Dalam keluh abah yang pelahan seperti berkata kepada dirinya sendiri itu aku masih mampu mendengar butir bicaranya.

“On diet, bah. Wan tu jaga badan. Abah tengoklah kalau orang lain dah buncit perut tu tapi anak kesayangan abah tu macam orang muda ajer!” gurauku, untuk menceritakan hati abah.

“Jaga badan apanya kalau muka tu pucat macam tak cukup zat!” jawab abah pelahan. Membuatkan aku mati kata-kata. Aku cuba mencari wajah pucat Ikhwan seperti yang abah katakan tadi. Ya, wajah Ikhwan kelihatan pucat tapi aku rasa mungkin kerana kesibukannya bekerja sampai tiada masa untuk diri sendiri.

Perbualan kami anak beranak terhenti di situ. Umi dan emak kembali ke dapur. Abah mertuaku pulak sudah masuk ke bilik. Aku terpaksa mendukung Adam yang sudah terlena di ribaan Ikhwan sebentar tadi. Lena benar dia.

9 comments:

epy elina said...

hohoho...
jgnlah ikhwan ada pnykit teruk...
nak hana ngn ikhwan brbhgia...
kluarga dua phak pun suke je ngn ikhwan 2....
tnggu je ikhwan pinang hana...

MaY_LiN said...

amboi...
adam nak dapat papa baru yea..
seronok kemain lagi

sofi said...

salam
entri yg menarik, missnera.
rapatkanlah lg ke dua-duanya, ya.
cepat sambung! hehe

Alya Ardini said...

pucat?? ... ikhwan sakit ke? ... huhuhu .... jgn la ... baru nak suh ikhwan kapel balik dgn hana ... heeeee

cinta terindah said...

ermmmm nak lg laaaaaaaaa..hehe

Anonymous said...

sambungan die xde ker?
da excited da nih...

MissNera said...

kepada anon :- manuskrip ni sedang dinilai.. huhuhu jadinya terpaksa tarik separuh dulu. kalau tak lepas nanti saya letak balik ya. =]

suraiya sofia said...

best cter nih...nk bace lagi...=(

MissNera said...

S.Sofia : huhuhu.. insyaALLAH kalau tak lepas penilaian nanti saya letakkan balik ye :D