Sunday, February 28, 2010

KERANA SAYANG 20


Hujung minggu itu aku membawa emak dan abah ke rumah kak Marina. Kedatangan kami yang tidak dirancang itu mengejutkan kak Marina. Nasib baiklah tengah hari itu dia tidak keluar ke mana-mana.
“Tulah akak dok rasa macam ada tetamu ajer tengah hari ni. Kenapa tak call dulu beritahu akak? Boleh akak masak yang special sikit!”
Riuh mulut kak Marina bersuara. Berkali-kali juga dia memeluk emak. Lama tidak bertemu terbit rasa rindu yang amat sangat. Kak Marina lebih suka membahasakan diri emak sebagai akak kerana menurutnya umur mereka tidak jauh bezanya.
“Aku bukannya apa, kak. Rindu sangat kat akak. Dah lama tak rasa masakan akak. Kalau balik Ipoh tu lalu depan rumah mengalir air mata ni. Akak tinggalkan rumah tu tak beritahu pun!” ada getaran pada bicara kak Marina walaupun dia cuba untuk mengawal perasaan sebaknya.
“Kamu ni Rina, abah tengok makin tembam. Dah macam apam balik dah!” usik ayah. Mungkin cuba menghindar rasa sebak dihatinya. Abah sememangnya membahasakan dirinya abah dengan kak Marina. Kak Marina pun tidak kekok membahasakan abah dengan panggilan itu. Beza usia emak dan abah hampir sahaja sepuluh tahun mungkin kerana itu kak Marina lebih suka membahasakan emak dengan panggilan akak dan abah dengan panggilan abah.
Mengingatkan jarak usia abah dan emak, aku mengira sendiri jarak usiaku dan Ikhwan. Hanya sembilan tahun!
“Ni Hana, dapat pulak Hana cari rumah akak?”
Aku sedikit tersentak mendengar pertanyaan kak Marina yang tiba-tiba. Aku memandang lama wajah kak Marina.
“Ada alamat, senanglah cari. Akak sorang ker kat rumah ni? Dhira mana?” tanyaku, menutup gugup yang bertandang di dalam diri dan selebihnya ingin mengetahui ke mana Ikhwan pergi hujung minggu begini.
“Hujung minggu macam ni mana nak lekatnya budak tu kat rumah ni. Tak ke Mid Valley mesti ke Sunway. Tinggallah akak sorang-sorang kat rumah ni.”
Aku hanya mengangguk mendengar penjelasan kak Marina. Wanita itu menuangkan air limau ke dalam gelas dihadapannya. Kehadiran kami tengah hari itu bagaikan langkah kanan kerana kak Marina baru sahaja selesai masak.
“Banyak akak masak! Kata seorang jer kat rumah?!” tanyaku, berharap nama Ikhwan akan muncul dari mulut kak Marina.
“Akak memang macam ni Hana. Makan tengah hari ni boleh jadi makan malam sekali. Si Dhira tu namanya keluar tapi balik makan kat rumah jugak.”
Aku mengeluh hampa. Nama Ikhwan langsung tidak keluar dari mulut kak Marina. Aku terus menceduk sayur kangkung ke dalam pinggan Adam.
“Ikhwan mana? Keluar ker?” tanya abah, akhirnya.
“Ikhwan tak duduk sini. Dia duduk sendiri kat Petaling Jaya. Kadang-kadang jer datang sini.”
Aku tersedak mendengar penjelasan kak Marina mengenai Ikhwan. Bukankah Ikhwan pernah memberitahuku bahawa dia tinggal bersama kak Marina?  Jadi Ikhwan tinggal di rumah yang pernah menjadi impiannya untuk hidup bersamaku dulu?
“Rumah tu dah lama dia beli, Rina tak tahu pun. Bila pindah KL ingatkan dia nak duduk sini rupa-rupanya beli rumah sendiri.”
“Dia duduk apartment ke kondo?” tanyaku ingin tahu.
“Taklah. Ikhwan tu bukan suka sangat duduk tempat tinggi macam tu. Dia beli rumah teres dua tingkat. Duduk sorang diri tapi rumah besar. Bila akak ajak tinggal dengan akak tak nak pulak dia. Duduk sendiri hidup pun tak teratur. Makan tak tentu hala. Sakit pening tak ada siapa nak tengokkan. Dulu pernah sekali dia kena belasah teruk tapi siapa pun tak tahu. Dia sendirilah pergi hospital, ambil ubat.” Cerita kak Marina tanpa di pinta.
“Kamu tu macam tak faham ajer dengan perangai Ikhwan! Dulu dekat sepuluh tahun merantau. Seronok tengok tempat orang sampai lupa tempat sendiri!”
Kak Marina ketawa kecil. Abah pernah bercerita kepadaku tentang hal itu. Selepas sahaja Ikhwan tamat sekolah menengah dia mendapat tawaran untuk sambung belajar di Australia. Sejak waktu itu Ikhwan tidak pernah kembali ke Malaysia. Ikhwan memberi alasan untuk bekerja di Australia bila pengajiannya tamat. Dua tahun di Australia Ikhwan menerima tawaran syarikatnya untuk ditukarkan ke Mahanthan. Dalam tempoh itu hanya sekali Ikhwan kembali ke Malaysia itupun atas urusan perniagaan.
“Kenapa tak carikan ajer isteri? Senang sikit.”
“Puas dah kak. Dah malas dah nak carikan jodoh dia! Ada yang tak kena. Itulah yang tak kena, inilah. Bila didesaknya, kita yang kena marah.”
Aku hanya mendengar perbualan antara emak dan kak Marina. Malas untuk bersuara tentang hal itu. Aku tahu Ikhwan menolak setiap wanita yang hadir di dalam hidupnya kerana aku. Akulah penyebab dia terus menganggap Kehadiran wanita-wanota di dalam hidupnya sekadar angin lalu. Ya, aku amat pasti tentang hal itu. Dari renungan matanya aku tahu masih tersimpan rasa cintanya untukku. Cuma Ikhwan bukanlah jenis lelaki yang terlalu mengharap aku menjadi miliknya.
“Ma, Adam nak ayam tu!”
Lamunanku terhenti saat Adam mencuit lenganku minta dicedukkan ayam masak kicap untuknya. Tanpa suara aku mengikut kehendak Adam. Entah kenapa aku rasa sedih tiba-tiba. Rasa sayu yang datang entah dari mana.
Seketika kemudian, telefon rumah kak Marina berdering. Mencicit kak Marina berlari mendapatkan telefon yang terletak di dapur. Sejurus kemudian dia kembali.
“Ikhwan. Dia nak datang.”
“Ha, baguslah tu. Dia kat mana sekarang?” tanya abah, riang.
“Kat Mid Valleylah, beli barang rumah katanya. Sekejap lagi sampailah tu.”

Ikhwan tiba ketika kami baru selesai makan. Dia hanya memakai t-shirt berwarna hitam dan berseluar sukan. Riak wajahnya agak terkejut melihat Kehadiran kami sekeluarga di rumah kak Marina. Mungkin dia tidak menyedari akan keretaku yang terletak di seberang jalan.
“Wan dah makan?”tanya emak.
“Belum lagi sebab tu singgah rumah kak Rina. Bila sampai?” Ikhwan menyalami mak dan abah sebelum menghadiahkan senyuman untukku. Adam pula seperti biasa terus menerpa memeluk lelaki itu sebaik sahaja keluar dari bilik air.
“Hana temankan Wan makan ya?” pinta kak Marina.
Berkerut dahiku mendengar permintaan kak Marina itu. Kenapa aku pula yang kena temankan Ikhwan makan? Bukankah ini rumah kakaknya sendiri, takkan nak makan pun nak berteman?
“Akak nak bawa mak dan abah tengok-tengok rumah akak ni!”
Apa punya alasanlah! Ikhwan yang sedang bercakap sesuatu dengan abah hanya memerhati aku dan kak Marina. Mungkin dia ingin tahu butir perbualan kami. Kak Marina meninggalkan aku sendirian. Dia menghampiri abah, bercakap sesuatu sebelum abah mengangguk begitu juga dengan emak.
“Apa yang kak Rina cakap dengan awak?” tanya Ikhwan sebaik sahaja emak dan abah mengekori kak Marina ke halaman belakang rumah.
“Dia suruh saya temankan awak makan.” Jawabku berterus terang.
Ikhwan ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. Tanpa menungguku dia terus melangkah ke dapur. Aku mengekorinya dari belakang. Lelaki itu mencedok nasi ke dalam pinggan yang tersedia di atas meja.
“Its okey, Hana. Tak perlulah awak temankan saya. Saya dah biasa makan sorang. Kak Marina tu memang macam tu!”ujar Ikhwan.
“Kalau Hana nak temankan juga, boleh?”
“Saya tak kisah tapi jangan paksa diri awak sudah.”
Aku tidak ambil peduli dengan kata-katanya sebaliknya aku mengambil tempat dihadapannya. Menceduk sedikit sup cendawan ke dalam mangkuk.
“Wan tak boleh makan sotongkan?” tanyaku, sebaik sahaja teringatkan makan malam di rumah kami tempoh hari.
“Kenapa tanya?” balas Ikhwan tanpa memandangku.
“Yerla, masa makan kat rumah Hana hari tu Wan makan sotong tapi Hana dengar masa Wan tempah makanan dekat Alia Wan tak nak sotong.”
Ikhwan tidak menjawab. Ikan goreng dihadapannya dicubit sedikit. Dicicahnya dengan sambal belacan sebelum dimasukkan kedalam mulutnya. Tiba-tiba sahaja dia tersedak. Lantas aku suakan segelas air sirap kepadanya.
“Kak Rina ni nak bunuh orang ke buat sambal belacan!” getusnya.
“Tak pedas sangatlah biasalah tu. Lagipun sambal belacan lagi pedas lagi sedap.” Balasku dalam tawa. Ikhwan mencebik. Air sirap ais itu diminum sehingga tinggal suku.
“Ni tak jawab lagi soalan Hana tadi!”
“Erm, saya tak berapa boleh makan sotong. Makanan laut lain saya boleh makan lagi kalau sotong memang tak berapa makan. Sakit kepala.”
“Habis tu hari tu Wan makan jer?!”
“Dah abah Hana cedukkan masuk dalam pinggan saya, makanlah.”
“Kalau tak boleh makan cakaplah tak boleh!”
Ikhwan tidak menghiraukan kata-kataku. Sambal belacan itu diceduk sedikit kedalam pinggannya sebelum digaul bersama dengan nasi. Sambil makan dia bercerita perihal Alia yang telah menghantar surat perletakkan jawatan kepadanya semalam. Dia merungut kerana Alia tidak berbincang dengan dia terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Sekarang ni susah nak cari setiausaha yang boleh buat kerja katanya! Kebanyakannya ada diploma atau ijazah kesetiausahaan tetapi apa pun tak tahu. Aku ketawa kecil mendengar cecehan Ikhwan. Tidak pernah aku lihat dia berkeadaan begitu.
 “Erm, Umi dan abah mertua Hana tak ikut sekali ker?” tanya Ikhwan sebaik sahaja ceritanya tentang Alia habis. Mungkin baru menyedari ketiadaan kedua-dua mertuaku.
“Dah tak ada tu tak ikutlah.”
“Amboi, loyar buruk pulak dia!”
“Yerlah, soalan tak betul. Kalau Wan tanya Umi dan abah ada kat rumah ker tak boleh juga Hana jawab. Ini tidak jawapan dah ada depan mata nak tanya lagi!”
“Okeylah. Umi dan abah Hana kenapa tak ikut sekali?” sengaja Ikhwan menekan pertanyaannya.
“Ini jawapannya, encik Ikhwan! Umi dan abah Hana balik Johor malam semalam. Rindu kat kampung katanya. Rindu kat cucu kat sanalah tu!”
Perbualan kami terhenti di situ apabila kedengaran suara kak Marina bercerita. Ikhwan yang sudah selesai makan membawa pinggannya ke dapur. Aku pula mengemas meja kemudian menyertai mereka di ruang tamu. Aku sekadar menjadi pendengar perbualan mereka kerana tidak tahu hujung pangkal cerita. Adam pula nampak leka dengan permainan yang di bawanya. Ikhwan mengambil tempat di sebelahku. Dia turut membisu.
“Macam pinang dibelah dua!”
Kata-kata kak Marina membuatkan aku dan Ikhwan terkejut. Aku tahu kata-kata itu untuk Ikhwan dan aku. Pandangan nakal kak Marina menyatakannya. Aku kehilangan kata-kata begitu juga dengan Ikhwan.
“Kalau Ikhwan dan Hana dapat bersama senang hati abah, Rina!”
Aku dan Ikhwan saling berpandangan. Aku tidak menyangka abah akan mengeluarkan kata-kata seperti itu. Aku tidak senang perkara itu dibangkitkan. Hubungan aku dan Ikhwan baru hendak baik, abah tiba-tiba bercakap begitu.
“Ish, abahnya pun! Bercakap tak ingat! Tengok Wan dah tak senang duduk tu! Nak bercakap tu lapik-lapiklah dulu!” tegur emak menyelamatkan keadaan.
Tidak selesa berada dalam keadaan begitu aku bangun menghampiri Adam yang asyik bermain. Sebentar kemudian aku merasakan ada seseorang sedang berdiri dibelakangku. Sebaik aku menoleh, Ikhwan tersenyum padaku. Senyuman yang aku rasakan sengaja diukirkan.
“Hana janganlah ambil hati pula dengan kata-kata abah Hana tu.”
“Tak adalah. Sepatutnya Hana yang kena cakap macam tu! Ni terbalik pulak!”
“Saya bukannya apa cuma tak nak awak fikir yang saya ni….
“Saya ni apa? Wan, yang cakap tadi tu abah Hana bukan Wan. Lainlah kalau Wan yang cakap. Forget it and just ignore, okey?”
Ikhwan mengeluh. Aku bangun menghampirinya.
“Lupakan okey? Anggap ajer abah Hana bergurau tadi. Okey?”
Ikhwan mengangguk. Wajah itu nampak gusar sekali dengan kata-kata abah. Aku tahu abah bukan bergurau. Sejak dulu lagi abah berharap aku dan Ikhwan akan bersatu. Peristiwa itu yang membuatkan niat abah hanya terpendam di dalam hati. Sekarang, mungkin abah melihat sirna dalam hubungan aku dan Ikhwan. Impian abah kini kembali meninggi.






9 comments:

epy elina said...

hohohoo...
ala klu hana ngn ikhwan kawen pun x slh...
napa nak mnafi prsaan yg ada...
at least br ada prkmbngn cnta antra dorng...
ni ikhwan dingin mcm batu je...

cinta terindah said...

wah...1st comment!!! hehe
Laaa...napa la hati Hanis 2 keras sgt...
cuba la pham hati Ikhwan 2....dia syg sgt kat Hanis tau...cehhhh sy lg paham!! hahaha

Hana_aniz said...

ikhwan ni lembab la!!
perempuan x kan ckp syg dulu..
awak tu laki, kne la start dulu..
alahai..

MissNera said...

e.elina: ikhwan dingin sbb dia xmau benda yg lepas jadi lagi

c.terindah: hati hana x keras cuma ikhwan tu yg segan!!

h.aniz: huhuhu.. dia mmg lmbt! :D

cinta terindah said...

ala miss nera...klu mcm 2 bwat la hati Ikhwan 2 tak segan...hahaha...
nak sgt mrk bcinta...mcm mula2 dlu...
Ikhwan mmg romantikkkkkkkkkk sgt2!!

akak said...

dua-dua dah 'ada hati' ni kot..missnera kena jdk org tengah hahaha!

MaY_LiN said...

xpe..
nnti lelama ok la tuh..

Alya Ardini said...

chayok hana!! .... ikhwan tu cam takut2 je nak terus terang ... apa kata awka mula dulu ... heeeee

farra ramli said...

hoho..rasanya skrg ikhwan tu tgh bagi chance kat hana utk knal n rapat ag ngn dia..akn bersama jugk diorg nanti..btol x miss nera??