Thursday, February 18, 2010

MURNI KASIHMU

Raihanna memandang ke luar tingkap pejabatnya yang terletak di aras Sembilan belas Menara WK. Hujan turun dengan lebatnya sedari pagi tadi. Hujan itu bagaikan mengimbau kenangan lama. Mengembalikan dirinya kembali ke memori lapan tahun lalu. Ikutkan hati yang masih bersisa luka, Raihanna mahu sahaja menolak kenaikan pangkat serta pertukaran ke Kuala Lumpur. Serasa dia belum betah untuk kembali ke bandar yang memahat seribu luka dan sengsaranya. Hampir sedekad berlalu tetapi dirasakan bagai semalam kisah itu terjadi. Saat kakinya melangkah turun dari kapal terbang, menggigil dia dibuatnya. Pelahan-lahan dia menyebut nama ILLAHI. Mohon di beri kekuatan yang hebat untuk dia menempuh segalanya.

Wajah Firdi bertaburan di mana-mana. Dia jadi sesak. Mahu sahaja kalau tidak punya kekuatan dia pulang semula ke Sabah dan menyerahkan surat perletakan jawatan. Tapi demi amanah dan tanggungjawab dia gagahkan diri juga.

Lapan tahun telah berlalu tetapi wajah dan bayangan Firdi tidak pernah mahu menghilang. Sebaliknya terus mengekorinya sepanjang waktu. Lapan tahun lalu dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan meninggalkan Kuala Lumpur. Semua dilakukan demi kebahagiaan lelaki yang dicintai sepenuh hati. Apa perlu membina bahagia atas kebencian ibu dan ayah Firdi. Dia tidak mahu Firdi menjadi anak derhaka.

Akhirnya dia membawa diri sehingga ke Sabah. Memulakan hidup baru di Borneo demi melenyapkan terus Firdi dari hidupnya. Tiada satu jejak pun ditinggalkan supaya Firdi dapat menjejakinya.

Telefon bimbitnya yang berbunyi sedikit mengejutkannya. Lantas dia mencari-cari di dalam tas tangannya. Dia tersenyum bila nama Kamelia tertera. Salam bersambut bila panggilan berjawab. Masing-masing girang. Mengenali Kamelia lewat dia berjinak-jinak dengan dunia penulisan blog, semacam ada ikatan yang cukup kuat antara mereka.

“Assalamualaikum Kak.”

“Waalaikumsalam. Rai dah makan?”

“Erm, belum lagi kak. Masih di pejabat ni. Hujan lebat pulak!”

“Akak datang sanalah ye?! Kita makan kat area office Rai. Akak lapar ni.”

Raihanna ketawa kecil. Sejak dia menjejakkan kaki dan mula bekerja di sini masih belum kesempatan untuk bertemu dengan wanita itu. Asyik ada sahaja perkara yang menghalang. Kali ini dia tidak mampu menolak lagi.

Entah kenapa dadanya berdebar-debar untuk bertemua wanita bernama Kamelia itu. Semacam ada sesuatu akan terjadi. Namun, dia cuba menyedapkan hati. Mungkin kerana selama ini mereka sekadar berhubung di dunia maya dan telefon sahaja.

Sepuluh minit kemudian, Kamelia menghubunginya semula dan memberitahu dia sudah berada di bawah. Terus sahaja Raihanna turun ke bawah.

“Rai kan?” seorang wanita menegurnya ketika dia sedang tercari-cari wanita bernama Kamelia. Dia mengangguk dan serentak dengan itu tubuhnya di peluk kemas. Perasaan terharu bermukim di hati.

“Tak sangka akhirnya dapat jumpa Rai.”

“Rai pun. Akak datang naik apa ni?”

“Kereta. Hubby akak parking kat depan sana. Kita makan kat sana. Boleh?” soal Kamelia sambil menunjuk ke arah sebuah restoran mamak berhampiran.

Mereka sama-sama mengatur langkah menuju ke restoran tersebut. Semakin dekat semakin itulah perasaan Raihanna tidak senang. Beberapa kali dia cuba menenangkan diri.

“Macam mana kerja baru?” soalan Kamelia sedikit mengejutkan Raihanna yang hilang di dalam dunianya.

“Okeylah kak! Cuma agak susah sikit bila nak bagi arahan pada yang lebih senior dari kita. Takut terasa hati pulak!”

“Biasalah tu, Rai. Lama-lama okeylah!”

Mereka bertukar senyuman. Sebaik berada di hadapan restoran itu, Kamelia mencari kelibat seseorang. Tentu suaminya! Fikir Raihanna.

“Itu pun dia…” pelahan suara Kamelia tetapi jelas di pendengaran Raihanna. Dia mengikut langkah Kamelia menuju ke arah satu sudut dan langkah Kamelia berhenti di meja yang diduduki oleh seorang lelaki.

“Bi, ini….”

Suara Kamelia sudah tidak kedengaran sebaik dua pasang mata itu bertentangan. Raihanna sudah memegang kerusi disebelahnya. Firdi! Ya ALLAH, kenapa harus ada pertemuan sebegini!

Firdi turut kelihatan terkejut tetapi dia cuba berlagak tenang. Ada Kamelia, isterinya saat itu. Dia sebolehnya tidak mahu Kamelia tahu tentang hal lapan tahun lalu. Hati itu perlu di jaga.

“Rai…”

“Er.. er.. maaf.”

“You berdua saling kenal ke?” soalan itu di utarakan Kamelia.

“Tak. Er… er… Kawan Rai sama muka macam suami akak. Itu yang terkejut tadi!”

Akhirnya itu yang keluar dari mulut Raihanna. Ada ketawa kecil di akhir bicaranya. Kamelia dan Firdi sama-sama tersenyum. Raihanna cuba mengembalikan ketenangan. Firdi kini milik wanita lain dan wanita itu adalah Kamelia. Seorang wanita yang cukup sempurna. Cantik, manis dan baik sekali. Tanpa sedar, di dalam hati memanjat syukur pada ILLAHI kerana dipertemukan jodoh Firdi dengan wanita sebaik Kamelia.

“Mau minum apa?”

Seorang lelaki menghampiri mereka dengan di tangannya terdapat kertas dan pen. Firdi dan Kamelia masing-masing memesan teh tarik dan rojak. Raihanna sekadar memesan milo ais dan roti kosong. Perutnya yang lapar sejak tadi kenyang tetiba.



****

Seminggu telah berlalu sejak makan tengah hari itu. Kenangan yang cuba di lupakan Raihanna menjengah lagi tanpa di pinta. Setiap kali itulah, air matanya sering tumpah. Walaupun dia cuba nekad untuk melupakan tetapi hakikatnya dia tidak mampu.

Na,

Tentu sahaja ada hikmah ALLAH ketemukan kamu dengan Firdi. Mungkin DIA mahu kamu membukakan hatimu untuk lelaki lain yang kamu tutup sekian lama.

Kamu katakan padaku, Firdi kini bahagia. Nah, apa perlu kamu terus mengingatnya dan menderita begini? Aku mengenal mu bukan sehari tetapi lapan tahun. Sejak kamu membawa diri ke Borneo. Setiap hari aku nampak kau menderita. Kamu tertawa dan senyum sekejap Cuma. Boleh di bilang! Lainnya kamu menderita. Kamu menderita kerana kamu membawa kenangan Firdi!

Cukuplah Na. kamu bisa peroleh bahagia andai kamu biarkan Firdi dan kenangannya pergi. Sanggupkah kamu menyimpan rasa pada suami temanmu sendiri, Na?! aku tidak pernah bertemu Kamelia tetapi aku sering kali mendengar kamu bercerita tentangnya. Sampai aku capek sih! Dia baik dan sempurna. Berdoalah untuk kebahagiaan mereka, teman! Lupakan Firdi. Buka pintu hatimu untuk lelaki lain. Kamu bisa! (Audrey masih menunggu mu… J)

Anisa

Semalam dia menerima balasa emel daripada Anisa. Teman yang dikenalinya sejak hari pertama menjejakkan kaki di bumi Borneo. Anisa, gadis berasal dari Jogjakarta itu lebih tua dari usianya. Mungkin kerana pengalaman hidup menjadikan dia lebih dewasa. Gadis itu awalnya sekadar seorang pencuci tetapi berkat kerja keras dan semangatnya untuk melihat kehidupan keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan dia kini menjawat jawatan sebagai pengurus di sebuah syarikat yang membekalkan pekerja cucian melibatkan syarikat-syarikat besar.

Sejak pertemuan dengan Kamelia dan Firdi tempoh hari, entah berpuluh kali Raihanna mengeluh. Pelawaan Kamelia untuk makan malam di rumahnya juga terpaksa ditolak dengan pelbagai alasan. Hatinya dan dirinya masih tidak betah untuk melihat Firdi.

Kelmarin, kamelia menghubunginya bertanyakan kenapa dia sudah lama tidak meletakkan cerita di blog. Lalu, alasan apa lagi yang paling munasabah diberikan Raihanna melainkan dia sibuk dengan urusan kerja. Mana mungkin dia mahu bercerita tentang pertemuan dia dengan Firdi. Pasti sahaja Kamelia akan mengesyaki sesuatu.



***

                “Auntie mahu kamu tinggalkan Firdi. Kami dah jodohkan dia dengan orang yang lebih layak untuk dia. Jangan ganggu dia lagi kalau kamu nak dia bahagia!”

                Langsung tidak dia menyangka, pertemuan pertama dengan Puan Asyikin mengundang derita berpanjangan. Ingatkan wanita itu akan memberi restu tetapi sebaliknya. Dirinya di hina dan dipandang sinis.

                “Kau tak layak tau dengan abang aku. Look at you! Such as kampung girl! Firdi tu CEO and will become the owner of Jaya Ulung. You siapa?!”

                Wajah dan bicara adik perempuan Firdi bernama Hani Suziana itu benar-benar merobek hatinya. Seolah-olah dia terlalu hina dan tidak layak untuk berdamping dengan Firdi Aizat. Lalu, walau dia sedar Firdi akan sanggup meninggalkan segala kekayaan demi untuk bersamanya, Raihanna tega untuk melepaskan Firdi dan meninggalkan bumi semenanjung.



***

                Malam itu, usai solat isya’ dia menerima panggilan daripada Kamelia. Wanita itu mahu bertemu dengannya. Ada hal yang mahu di bincangkan tetapi Kamelia mahu dia datang ke Hospital Pakar Puteri. Dengan segala hal di fikirkan Raihanna dia memandu ke tempat yang dijanjikan.

                “Kenapa kat sini? Kak Lia okeykan?” soal Raihanna kepada Firdi yang menyambutnya. Lelaki itu tidak menjawab. Wajah itu keruh. Raihanna jadi takut.

                Saat kakinya melangkah memasuki sebuah bilik persendirian, dia jadi kaku. Serta merta air matanya mengalir. Tubuh Kamelia lemah di atas katil. Wajah itu pucat.

                “Kenapa menangis ni?! Ish, akak oklah. Ibu, ni Lia kenalkan Raihanna yang Lia ceritakan dulu.”

Baru Raihanna sedar ada orang lain yang turut berada di dalam bilik itu. Dia menyalami wanita lewat lima puluhan itu. Di ribaan wanita itu ada anak kecil yang tentu sahaja pada perkiraan Raihanna, anak kecil itu Firhad.

                “Ibu, Lia ada sesuatu nak cakap dengan Rai dan Fir. Ibu bawalah Firhad kat luar sekejap.”

Wanita yang di panggil Ibu oleh Kamelia hanya menurut. Kini hanya tinggal mereka bertiga.

                “Akak sakit apa ni? Kenapa Rai tak pernah tahu pun?!” Walau cuba di kawal, Raihanna sudah teresak-esak. Kamelia hanya tersenyum.

                “Janganlah menangis. Ini sudah takdir hidup akak. Sebelum akak pergi…”

                “Sayang, you jangan nak merepek boleh tak!” ada ketegasan dalam bicara Firdi. Dia tidak suka Kamelia membicarakan hal itu. Sudahlah dia baru sahaja di beritahu akan musibah yang melanda!

                “Bi, sayang bukan merepek okay!? Cuba bertenang. Duduk sini.”

                “Kak, kenapa akak tak pernah beritahu Rai? Akak sendiri pernah cakap antara kita tak ada rahsia kan?!”

                “Rai sendiri rahsiakan sesuatu dari akak kan?!”



***

                “Akak dah lama tahu tentang Rai. Tentang siapa Idrann. Bila baca blog Rai, akak tahu siapa lelaki yang Rai maksudkan. Memang Rai tidak pernah sekalipun menyebut nama Firdi tetapi jauh di sudut hati akak tahu siapa Idrann tu. Akak tidak pernah bertanya pada Rai sebab akak tahu siapa dia.”

                Langsung tidak Raihanna menyangka, keakraban mereka sedari pertemuan di alam siber itu kerana Firdi. Air matanya tumpah lagi. Sungguh mulia hati seorang wanita bernama Kamelia.

“Akak tahu Idraan adalah Firdi.”

“Sayang…”

“Ssyyyhhh, kan sayang mahu Bi mendengar.”

Kamelia menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak suka bicaranya disampuk Firdi. Raihanna yang sudah tertunduk itu dipandangnya. Andai inilah nasib dirinya, dia redha. Malah dia gembira, akan meninggalkan Firdi untuk seorang gadis sebaik Raihanna. Mengembalikan suami yang mula dicinta sedari hari pertama bergelar isteri kepada gadis yang tidak pernah hilang dari pandangan si suami. Firdi tidak pernah menyebut nama Raihanna, lelaki itu terlalu mulia bergelar suami. Namun, hati seorang isteri pasti merasai bila sang suami masih mengingati.

“Dengar sini Rai, sebelum akak pergi…”

“Akak…” Tangisan Raihanna makin menjadi-jadi. Dia tidak suka wanita yang sudah dianggap bagaikan kakak sendiri itu berbicara sedemikian rupa. Apakah dia harus kehilangan lagi? Adakah ini sudah tertakdir hidupnya, semua insan yang dekat dengannya pergi tak kembali? Luluh hatinya, mengingat kehilangan demi kehilangan.

“Rai kena dengar cakap akak kalau Rai sayangkan akak. Akak mahu Rai jaga Firdi dan Firhad.”

“Sayang!!”

“Kak!”

Suara Firdi dan Raihanna bersatu. Masing-masing faham benar maksud Kamelia. Kamelia yang mendengar sekadar tersenyum. Ada manik-manik halus di tubir matanya. Andai tidak kerana penyakit ini pun, dia dengan rela mahu menjadikan Raihanna isteri Firdi. Dia rela hidup bermadu dengan gadis itu. Rela menanggung derita andai kasih Firdi lebih untuk gadis itu kerana sememangnya gadis itu berhak!

“Akak, akak juga cakap akak tak ada apa-apa. Akak sendiri boleh jaga Firdi dan Firhad.”

Kamelia mengelengkan kepala. Penyakit ini di tahap kritikal. Pembedahan sekalipun tidak mampu menyelamatkan nyawanya. Dia sudah hilang semangat. Jari-jemari Raihanna digenggam erat. Kemudian, diraih pula lengan si suami. Firdi hanya mengikut. Dirinya bagaikan hilang. Bukan ini mahunya!

“Janji dengan sayang, Bi akan bahagiakan Raihanna dan jangan sesekali biarkan keluarga Bi memandang serong kepada Rai. Kalau dulu Bi gagal mempertahankan cinta Bi tapi kali ini jangan gagalkannya lagi.”

“Kamelia Dato’ Syukri, you jangan nak merepek bukan-bukan boleh!?”

Suara Firdi sudah meninggi. Kamelia mahupun Raihanna sedikit tersentak. Firdi menjarakkan diri. Diusap mukanya dengan kedua-dua tapak tangan. Sungguh demi ALLAH bukan ini mahunya! Memang, memang cintanya untuk Raihanna tidak pernah hilang tetapi semakin hari cintanya untuk Kamelia makin kuat bertapak.

“Kalau Rai dan Bi sayangkan Lia, penuhi impian Lia! Bi, sayang mahu Bi bernikah dengan Rai dalam minggu ni juga!”

Raihanna sudah tersandar di kerusi. Kamelia benar-benar maksudkannya. Firdi memalingkan tubuh menghadap Kamelia. Impian apakah ini?! Tega benarkah Kamelia melihat dia menikahi Raihanna?

“Impian apa ni? Bi tak mahu!”

Raihanna sedikit terguris dengan kata-kata Firdi tetapi cepat sahaja dia memujuk. Firdi milik Kamelia. Lima tahun mereka bersama pasti sahaja Firdi sudah melupakan cinta mereka.

“Kalau Bi nak tengok sayang pergi dengan tak tenteram tak payah ikut….”

Kamelia sudah menangis. Raihanna terpempan. Dia sudah tidak mampu berfikir apa-apa lagi. Firdi mendengus marah.

“Kak, Rai tak mahu nikah dengan Firdi. Lagipun Rai tak akan direstui keluarga dia. Rai tak nak tanggung penghinaan lagi kak! Cukuplah Rai dimalukan sampai orang jijik tengok Rai! Tolong kak, jangan buat Rai macam ni!”

“Kalau Rai pun sama nak tengok akak menderita….

“Kak….”



***

Seminggu telah berlalu. Atas keterpaksaan mengikut impian Kamelia mereka di satukan. Tanpa kehadiran ahli keluarga Firdi. Masing-masing tidak memberi restu walaupun puas Kamelia memujuk. Dengan dua kali lafaz, sahlah Firdi dan Raihanna menjadi suami isteri.

“Saya tidak kisah kalau awak nak menemani Kak Lia. Saya boleh tinggal sorang.”

Pelahan Raihanna bersuara bila melihat Firdi dari tadi tampak gelisah. Selepas Isya’ lelaki itu tidak senang duduk.

“Dia tak bagi saya datang tengok dia dua tiga hari ni. Awak pun sama.” Mendatar suara Firdi. Hampir sahaja dia hilang pertimbangan diri tadi bila Kamelia menghubunginya supaya dia dan Raihanna tidak datang menjenguknya.

“Kak Lia dah melampau.” Raihanna luahkan rasa hati. Bukan dia marah dengan wanita itu tetapi dirinya tidak dapat menerima segala rancangannya.

“Nak buat macam mana dah tu kehendak dia!”

Raihanna memandang Firdi yang turut memandangnya. Pandangan itu bersatu. Begitu juga ada rasa yang lama kembali menyatu tetapi tidak lama bila masing-masing mengalihkan pandangan.

“Awak nak tidur, tidurlah dulu.”

Firdi meninggalkan Raihanna keseorangan. Dia berlalu ke ruang tamu rumah. Membaringkan tubuhnya di atas sofa. Seperti hari-hari pertama dia bergelar suami kepada Kamelia!



***

Pukul sepuluh pagi. Ketika Firdi dan Raihanna bersiap-siap untuk menziarahi Kamelia, panggilan telefon daripada ibu Kamelia mengejutkan mereka. Kamelia tenat. Doctor sedang berusaha memberikan bantuan apa yang perlu. Sepanjang perjalanan itu juga Raihanna tidak berhenti mengalirkan air mata dan dia tidak lepas berdoa supaya nyawa Kamelia masih dipanjangkan.

“Lia nak jumpa kamu berdua!”

Sebaik melihat kelibat Firdi dan Raihanna terus sahaja ibu Kamelia mendapatkan mereka dan saat pintu bilik dikuak dari dalam langkah mereka kaku melihat wajah keruh doctor Suhana, sahabat baik Kamelia.

“Maaf, Di. Kamelia sudah tiada.”

Saat itu, dunia Raihanna kelam.

“Ana…”

“Ibu…”

Hanya itu yang kedengaran oleh Raihanna. Tubuhnya terasa ringan. Penglihatannya kabur dan semakin kelam.



***

“Kak…”

Firdi mendekati isteri yang baru di nikahinya tidak sampai seminggu itu. Sudah dua hari Raihanna terlantar di katil. Meracau-racau memanggil Kamelia yang sudah jasadnya kaku dikuburan. Hati lelakinya juga tidak kuat melihat keadaan Raihanna malah dia sendiri masih belum dapat menerima pemergian Kamelia.

“Itu balasannya kalau dah rampas hak orang! Kalau Lia tak jumpa dia, tak mungkin semua ni terjadi. Sebab dia, Lia tak nak buat pembedahan tu!” kata ibunya masih terngiang-ngiang di telinga. Perasaan benci wanita itu tidak pernah padam untuk Raihanna. Bukan mahu melahirkan kata simpati tetapi diherdik dan dihinanya Raihanna. Nasiblah waktu itu Raihanna sedang tidur.

“Ana…”

“Di, Kak Lia mana? Ana nak jumpa dia..”

“Ana, bawa mengucap! Kamelia dah tak ada. Bertenang, sayang.” Pelahan sahaja bicara Firdi. Tubuh Raihanna dipeluk erat. Tubuh itu panas membahang.

“Kenapa Kak Lia tinggalkan Ana? Tengok semua orang bencikan Ana! Mummy makin benci dengan Ana. Kalau Ana tahu Kak Lia isteri Di sampai mati pun Ana tak baik dengan dia!”

Raihanna merengek dalam esak tangis. Firdi jadi terkejut. Rupanya Raihanna mendengar kata-kata yang dilemparkan kepadanya. Tubuh itu dilepaskan. Kemudiannya, air mata yang mengalir laju menuruni pipi Raihanna diseka dengan hujung jarinya.

Datin Zaleha yang sedari tadi sekadar menjadi pemerhati turut menangis. Walaupun dia tidak bersetuju dengan rancangan Kamelia mahu menikahkan Raihanna dengan Firdi tetapi tidaklah sampai dia menjatuhkan hukuman ke atas Raihanna. Mendengar cerita arwah anaknya tentang Raihanna, akhirnya sepertimana arwah Kamelia redha dia juga redha. Malah dia telah berjanji dengan arwah anak tunggalnya itu, akan di jaga Raihanna dan disayangi gadis itu seperti anak sendiri. Tidak sanggup melihat Raihanna yang bagaikan hilang semangatnya terus sahaja dia menarik Firhad keluar dari bilik itu.



***

Assalamualaikum Raihanna,

Mungkin waktu ini, ketika Rai baca surat akak ni akak dah tak ada. Semalam akak bermimpi, akak akan tinggalkan Firdi dan Firhad.

Terima kasih dek kerana menunaikan hasrat akak untuk melihat Rai dengan Firdi bersatu. Demi ALLAH, akak tidak pernah berniat mahu menyeksa Rai atas perkahwinan ini. Cuma akak mahu menunaikan janji akak pada Rai. Mencarikan seorang suami yang terbaik untuk Rai dan orang itu adalah Firdi.

Demi ALLAH juga akak redha dan ikhlas dengan apa yang telah akak lakukan ini! Tiga tahun akak menunggu untuk menyatukan Rai dan akhirnya ALLAH telah tunaikan hasrat akak. Sesungguhnya, kalau sekali pun akak tidak menghidap penyakit ini dan sihat sekalipun akak tetap akan menyatukan Rai dengan Firdi. Akak sanggup hidup bermadu asalkan orang itu adalah Rai.

Selama ini akak tertanya apa istimewanya Rai sehingga Firdi sukar benar melupakan Rai walaupun Rai sudah menghilang cukup lama tetapi sejak mengenali Rai, akak jelas akan sebab itu. Rai sesungguhnya sempurna dan mulia!

Tentang keluarga firdi, jangan dirisaukan dik! Berdoalah dan akak pasti satu masa nanti, ALLAH akan bukakan pintu hati mereka untuk menerima Rai sebagai menantu dan melupakan darjat dan kedudukan dalam menilai manusia.

Dik, moga berbahagia dan dikembalikan segala nikmat dan bahagia yang hilang dalam diri Rai selama lapan tahun ini. Pinta akak, jagalah Firhad dan sayangilah dia seperti anak Rai sendiri. Firhad anak yang baik. Akak tinggalkan amanah ini untuk Rai.

Raihanna melipat kembali surat yang di tulis arwah Kamelia untuknya. Air mata yang menjadi temannya sejak hampir seminggu di kesatnya dengan hujung baju kurungnya. Satu keluhan di lepaskan. Pengorbanan Kamelia terlalu besar. Nasib baik ada Firdi dan keluarga arwah yang tidak pernah lupa memberi semangat.

“Rai, jom…” Datin Zaleha tersenyum memandang Raihanna. Selepas hampir seminggu barulah Raihanna menyuarakan mahu menziarahi kubur arwah Kamelia.

“Datin…”

“Ye Rai, kan ibu dah kata jangan panggil datin!”

Raihanna tersenyum lantas tubuh itu dipeluk erat. Air matanya gugur lagi. Setelah sekian lama, baru hari ini dia merasakan kasih sayang seorang ibu walaupun sekadar menumpang kasih.

“Dah jangan menangis lagi. Nanti Firdi marah lagi macam semalam. Jom, semua orang dah tunggu  Rai kat bawah!”

“Terima kasih bu!”

“Sama-sama, Rai. Dah jom.”



               


4 comments:

sofi said...

salam nera.
sedihnya cerita ni. tahniah, nera berjaya buat kak sofi nangis. teruskan berkarya, okey!

MissNera said...

thanks kak!! :D

insyaALLAH akan diusahakan utk buat karya2 yang lebih baik

cinta terindah said...

ermmm byk pengajaran dlm crita nie...
tp mmg slalu'y org nak hpy ending...
apa2 pun...keep it up!!!

epy elina said...

cerpen ni boleh jd novel...
kmbngkan lg ceta...
ngenai idup rai mnjd istri firdi...
n tntng kuarga firdi...