Tuesday, March 23, 2010

KERANA SAYANG 31

“Ehem!”
Segera aku berpaling. Aku menelan air liur melihat Umi yang tersenyum memandangku. Senyuman yang penuh erti.
“Tak nak beritahu Umi ker?”
Panas terasa menyerbu mukaku saat mendengar kata-kata Umi. Mungkin Umi sudah mendengar perbualanku dengan Ikhwan. Dari raut wajah Umi, aku tahu Umi sudah dapat menangkap hubungan aku dengan Ikhwan.
“Entahlah, Umi. Hana rasa semacam pulak. Semalam Hana terima dia hari ni Hana rasa Hana masih rindukan Syahril. Hana mimpikan arwah, Mi. Hana rasa serba salah sekarang.” Aku mengeluh. Umi menarik aku dekat padanya. Diusap rambutku lembut.
“Umi gembira bila dengar perbualan Hana dengan Ikhwan tadi. Alhamdulillah doa Umi selama ini dah dimakbulkan. Setiap hari sejak Umi jumpa Ikhwan Umi sentiasa berdoa moga ALLAH tetapkan jodoh Hana dengan Ikhwan. Umi sukakan Ikhwan sebab Umi rasa hanya Ikhwan yang dapat bahagiakan Hana selepas arwah.”
“Umi?” ada getar pada nada suaraku, menahan sebak yang semakin bermukim. Umi terlalu baik, mendoakan kebahagiaanku. Sesungguhnya aku cukup bertuah di kelilingi oleh insan-insan yang menyayangiku.
“Hana kena lepaskan seseorang untuk mencintai yang lain. Umi harap Hana lepaskan Syahril untuk Ikhwan. Anggaplah Syahril adalah kenangan lama Hana. Dia dah pergi. Hana kena cari kebahagiaan lain.”
“Tapi Umi…”
“Hana, Umi bukan nak minta Hana lupakan arwah. Dia suami Hana. Pernah berkongsi hidup dengan Hana. Dia juga anak Umi. Satu-satunya anak lelaki yang Umi ada. Cuma Umi harap Hana berikanlah sepenuh rasa cinta Hana tu untuk Ikhwan. Hana sendiri tahu Ikhwan tu macam manakan?” air mataku menitis jua tatkala mendengar suara Umi yang sebak.
“Umi tahu tentu ini juga yang arwah mahukan. Lupakan dia dan terima lelaki lain. Umi sedar Ikhwan cuba untuk mengelak bertemu dengan Hana. Dia datang rumah ni bila dia pasti Hana tak ada. Umi tahu Ikhwan takut dia kembali mengharap seperti dahulu. Jadi sekarang Hana kena yakinkan Ikhwan tentang perasaan Hana terhadap dia.”
“Entahlah, Umi. Hana tak tahu macam mana nak yakinkan Ikhwan. Tadi dia call semata-mata nakkan kepastian Hana apa yang Hana luahkan semalam. Dia masih tak yakin dengan Hana, Mi! Umi tahu tak apa yang dia cakap kat Hana tadi?” tanyaku sambil mendongak memandang Umi. Umi menggeleng.
“Dia cakap kalau Hana tak boleh go on dengan dia cakap dengan dia. Jangan pendam-pendam dan jangan risau tentang dia.” Aku cuba mengawal tangisanku walaupun air mataku semakin laju mengalir.
“Sebab dulu dia terlalu mengharap Hana jadi isteri dia. Dia terlalu mengharap Hana mencintai dia seperti mana dia mencintai Hana tapi bila dia dapat tahu yang Hana tak terima dia, dia mula cuba membuang perasaan dia terhadap Hana. Dia merasakan diri dia tak layak bersama Hana. Sekarang, bila dia dah dapat Hana dia nak pastikan Hana selesa dengan dia. Dia takut Hana bersamanya sebab paksaan atau permintaan emak dan abah Hana. Dia tak nak perkara dulu tu berulang lagi. Dia tak sanggup setiap kali dia pandang wajah Hana dia nampak Hana terseksa dengan dia!”
“Dia yang cakap kat Umi ke?” tanyaku. Umi mengeluh. Bahuku diusapnya pelahan.
“Dua minggu lepas masa dia datang bawakan hadiah masa dia bercuti ke Langkawi Umi ada tanya dia. Umi sedar Ikhwan cuba mengelak dari Hana. Umi tanya padanya sampai bila dia nak berkorban untuk Hana?! Takkan dia sanggup tengok Hana hilang daripadanya buat kali ke dua.”
“Ikhwan jawab apa, Mi?” tanyaku tidak sabar. Umi melepaskan tubuhku. Dia bangun melangkah ke arah kerusi yang terletak dihalaman. Aku membuntutinya.
“Dia cuba menafikan apa yang Umi cakap tapi dia tak tahu Umi ni psikik. Boleh tahu apa yang dia fikirkan!”
Aku ketawa mendengar gurauan Umi. Rupanya Umi juga sedar akan sikap Ikhwan yang semakin hari semakin mengelak dari bertemuku.
“Umi paksa dia cakap juga. Kalau tak Umi cakap ambil balik barang-barang yang dia bagi tu. Masa tu Adam dah pakai dah baju tu, Umi suruh Adam tanggalkan. Masamlah muka si Adam tu. Akhirnya, Ikhwan mengalah. Pandai tak Umi?” ujar Umi dalam senyuman panjang. Aku mencebik memandang Umi.
“Umi dah anggap Ikhwan tu macam anak Umi sendiri. Macam Syahril juga. Sikap mereka tak banyak bezanya. Kedua-duanya sayangkan Hana tapi Umi dapat rasakan Ikhwan terlalu cintakan Hana sampai dia takut untuk lukakan hati Hana. Satu ajer perangai dia dengan Syahril berbeza. Syahril tak mudah mengalah. Dia akan cuba dapatkan apa yang dia nak. Ikhwan pulak sebaliknya. Dia lebih suka mengalah. Dia lebihkan perasaan orang lain daripada perasaan dia sendiri.”
“Umi, Umi rasa abah terima tak kalau Hana kahwin dengan Ikhwan? Kak Mar dengan Abang Rashid tak kisah ker?”
“Ini kebahagiaan Hana. Umi rasa abah takkan halang. Abah sendiri suka sangat dengan Ikhwan. Pasal kak Mar dan Abang Rashid, Hana janganlah risau. Umi tahu mereka akan faham. Sekarang ni, Hana kena fikirkan tentang Ikhwan. Jangan buatkan Ikhwan terus menyangka yang bukan-bukan.”
“Itu yang susahnya, Umi! Ikhwan tu cepat sensitif. Mengalahkan Hana pulak!”
“Biasalah macam tu, Hana. Ikhwan tu dah macam fobia. Hana kena sabar. Kena lebih peka dengan Ikhwan tu. Hana kena banyak tahu tentang dia. Tunjukkan pada Ikhwan Hana benar-benar ikhlas dengan dia. Kalau dengan Syahril dulu bolehlah Hana asyik merajuk. Anak Umi tu memang kaki pujuk. Dengan Ikhwan ni Hana tak boleh selalu merajuk sebab nanti Ikhwan akan terus fikir yang bukan-bukan. Faham tak ni?”
“Faham, Umi! Erm, malam nanti Ikhwan nak datang. Dengan kakak dia sekali. Boleh tak?”
“Erm, datanglah Hana.”
“Tapi Umi jangan beritahu emak dan abah Hana ya? Hana nak buat kejutan.”
Umi mengangguk dalam senyuman. Kami berbual kosong kemudiannya. Bayangan wajah Syahril yang tadinya setia mengisi ruang mata mulai beransur pergi dengan senyuman. Terima kasih, abang! Ucapku sekadar di dalam hati. Aku pasti Syahril tentu sekali mengerti.
Kehadiran Ikhwan malam itu sedikit memeranjatkan emak dan abahku. Manakala Umi dengan abah mertuaku hanya tersenyum. Adam yang sememangnya cukup teruja apabila diberitahu tentang kehadiran Ikhwan terus sahaja memeluk lelaki itu tatkala Ikhwan baru sahaja melangkah keluar daripada keretanya.
“Adam, behave yourself!” tegurku.
Adam mencebik. Tubuh Ikhwan masih di dalam pelukannya. Pipi lelaki itu dikucupnya bertalu-talu. Emak yang memerhati tingkah Adam hanya ketawa kecil.
“Kenapa datang tak nak beritahu. Kalau tak boleh masak sedap-sedap.” Ujar emak setelah kak Marina dan Ikhwan melangkah masuk ke dalam rumah.
“Alah, akak ni. Apa yang ada pun dah cukup. Aku ni datang bawa hajat.”
Emak dan abah nampak kehairanan. Masing-masing saling berpandangan. Tidak mengerti dengan maksud kak Marina.
“Apa maksud Rina ni?” tanya abah.
“Eh, kita makan dululah ya? Nak berbincang lepas makanlah.” Usul Umi. Aku tersenyum memandang Umi yang turut tersenyum kepadaku.
Tiada sebarang bantahan daripada abahku mahupun emak. Masing-masing mengambil tempat di meja makan. Sepanjang makan itu hatiku berdebar kencang. Sering juga aku mengerling ke arah Ikhwan yang duduk disebelahku.
“Apa hajat yang kamu cakapkan tadi?” tanya abah setelah selesai makan. Ketika itu kami semua telah bergerak ke ruang tamu.
Sebaik sahaja kak Marina membuka mulut memberitahu abah dan emak tujuan sebenar kedatangannya aku lihat emak dan abah terkejut. Lama mereka memandangku sebelum beralih kepada Ikhwan. Ikhwan tertunduk.
“Hana? Wan? Kenapa tak cakap dengan kami pasal hubungan kamu?” tanya abah. Aku mengangkat muka memandang abah. Tidak dapat kukesan sebarang reaksi di wajah itu. Aku tiada jawapan untuk pertanyaan abah. Perhubungan kami baru bermula semalam.
“Abah tak setuju ker?” tanya kak Marina tiba-tiba. Sekali lagi aku mengangkat muka memandang abah.
Abah tidak menjawab sebaliknya dia merenung aku dan Ikhwan. Lama. Berdegup pantas jantungku saat itu. Panas menyerbu keseluruh tubuh.
“Erm, abah nak cakap apa lagi kalau dah diaorang suka sama suka. Syukur, alhamdulillah. Macam mana abang Mail?”
Lega aku mendengar jawapan abah. Kali ini pandanganku beralih pula kepada bapa mertuaku.
“Ish kamu ni tanya aku pulak! Kalau kamu tak setuju pun aku tetap setuju. Dah lama aku berhajat tengok Ikhwan dengan Hana ni!”
Sekali lagi aku menarik nafas lega. Lega yang teramat sangat. Pandangan aku dan Ikhwan bersatu, ada cahaya kegembiraan di matanya.

4 comments:

Alya Ardini said...

oh cik MN ... at last! ...

bahagia menyusul jua ..

i like! .. hehehe ..

cepat2 adam dah lama nk ada papa!

epy elina said...

hohohoho...
hmmmm....
kuarga dah mrestui hbngan hana ngn wan....
skrg ni hana lak jlankan teknik memikat wan...
mst dia rsa trharu n x ragu2 kat hana....
hrp2 xada hlngn dlm hbngan dorng ni....

cinta terindah said...

auth!!! sungguh terharu...
wahhhhhhh g2 la...
lamanya tgu drg nie b'satu...
mmg padannnnnn sgt2!!!

MaY_LiN said...

alahai..
terkejut mak..