Thursday, March 25, 2010

KERANA SAYANG 35

Aku tiba di Kuala Lumpur lebih kurang pukul satu tengah hari. Melalui Pasar Seni, aku seperti merindui sesuatu. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk memangkirkan kereta di kawasan tempat letak kereta berbayar berhampiran stesen LRT Pasar Seni. Aku menyusuri deretan kedai yang pernah aku lalui bersama Ikhwan lima tahun lepas. Banyak kedai yang sudah tiada. Ada juga yang sudah berubah dekorasinya. Langkahku terhenti di hadapan sebuah butik pakaian pengantin. Terpaku aku di situ, apabila menyedari gambar perkahwinan yang diletakkan dihadapan kedai itu adalah gambar aku dan Ikhwan.
“Erm, kenduri pihak abang nanti kita guna pakej butik nilah ya? Abang sukalah tengok contoh-contoh baju pengantin ni!”
Aku meneguk air liur. Kenangan lima tahun lepas terlayar di ruang mataku. Betapa bersungguh-sungguhnya Ikhwan ketika itu. Sehingga aku terpaksa mengikut kehendaknya untuk bergambar di dalam persalinan baju pengantin.
Tanpa sedarku, aku melangkah masuk ke dalam butik yang sudah banyak berubah. Seorang gadis mungkin dalam usia awal 20an menghampiriku.
“Ada apa boleh saya tolong, Cik?”
“Er.. er.. nak tanya gambar kat luar tu....”
“Eh, ciklah perempuan dalam gambar tukan?” sambung gadis itu tanpa terlebih dahulu menunggu aku menghabiskan kata-kataku. Aku sekadar menggangguk.
“Boleh akak tahu, siapa yang ambil gambar tu?”
“Sekejap ya kak. Saya tanya bos dulu.”
Sekali lagi aku menggangguk. Gadis itu menghilang ke belakang. Entah kenapa aku terasa sebak. Terasa sayu. Aku cuba untuk tidak menangis.
“Yes, cik....”
“Hana,” ujarku setelah seorang wanita lewat tiga puluhan menghampiriku. Manis senyumannya.
“Youlah perempuan dalam gambar tu ya?”
Aku menggangguk lagi. Wanita itu mengeluarkan sebuah album. Diletakkan dihadapanku.
“Maafkan saya kalau apa yang saya cakap ni menyinggung perasaan cik. Lelaki dalam gambar ni pernah beritahu saya yang perkahwinan dia dengan cik tak jadi. Sebab tu dia tak ambil gambar-gambar ni. Dia cuma ambil sekeping aja. Cik dengan dia...?”
Wanita itu tidak menghabiskan kata-katanya. Mungkin takut aku tersinggung dengan pertanyaannya. Air mata yang cuba aku pertahankan tadi mengalir juga.
“Maafkan saya.”
Aku menggeleng. Bukan salah wanita itu sehinggakan dia harus meminta maaf. Panggilan telefon yang tiba-tiba kedengaran membuatkan tangisan pelahanku terhenti. Tertera nama Ikhwan di skrin. Bertambah pilu hatiku.
“Hana, kenapa ni? Sayang kat mana? Kenapa Wan dengar macam Hana menangis ni? Hana?”
“Hana okay, Wan. Sorry. Hana cuma rindu kat Wan!” bohongku.
“Lah, Wan ingat apa tadi. Wan dengan Adam ada dekat Time Square. Adam nak main roller coster. Hana tengah drive ker?”
“Tak, Hana dah sampai KL. Erm, Wan tunggu Hana kat sanalah. Hana jumpa Wan kat sana ya?”
“Okay, sayang. Wan tunggu Hana. Erm, anak awak tu dah panggil. Assalamualaikum.”
Salam Ikhwan kujawab pelahan. Aku benar-benar terasa cukup terhutang dengan Ikhwan. Sampai bila-bila pun hutang itu tidak dapat aku langsaikan selagi aku tidak dapat membahagiakan Ikhwan.
“Saya beli album ni boleh?” tanyaku setelah tangisanku berhenti.
“Tak apa. You ambillah. Lagipun, lelaki ini dah jelaskan segala bayaran. Serba-salah saya kalau mengambil wang dari you. Erm, you masih berhubung dengan dia ni? Saya tak ada contact number dia.”
“Dia bakal suami saya. Kami akan berkahwin tak lama lagi.” Ujarku dalam senyuman dalam sisa air mata yang masih bertamu di tubir mataku.
“Tahniah, cik. Semoga bahagia.” Ucap wanita itu ringkas.
“Nanti saya kahwin, saya akan pilih pakej butik ni. Bolehkan?”
“Ish, cik ni. Orang nak bagi duit kat kita, takkan menolaknya. Untuk cik dan bakal suami saya janji saya akan bagi potongan lima puluh peratus.”
Aku berlalu meninggalkan butik itu. Di dalam kereta aku lepaskan tangisanku supaya bila ketemu Ikhwan nanti aku tidak emosi sehingga menganggu lelaki itu.
Terima kasih, Wan! Hana janji Hana akan pastikan Wan gembira dan impian Wan lima tahun lepas akan jadi kenyataan!
Sepanjang memandu menuju ke Berjaya Times Square, aku cuba mengingat kenangan manis antara aku dan Ikhwan. Aku ingin Ikhwan melihat aku ceria ketika bertemunya nanti. Aku ingin Ikhwan rasa bahagia.
Setelah memangkirkan kereta di ruang letak kereta di dalam bangunan Times Square, aku terus menghubungi Ikhwan. Aku tersenyum sendiri mendengar suara ceria Ikhwan.
“Hana kat mana dah ni?” entah kenapa aku terbuai dengan suara Ikhwan. Suaranya serak sedikit.
“Hana kat parking ni. Wan kat mana?”
“Kat atas. Adam dah lapar sangat. Wan tunggu kat food court ya? Hana…”
“Erm, ya Wan!? Hana jumpa Wan kat food court.”
“Wan rindu sangat kat Hana!” ucapan Ikhwan kedengaran pelahan tetapi cukup untuk aku menangkap butir bicaranya. Mungkin Ikhwan malu untuk mengungkapkannya dihadapan Adam. Aku ketawa kecil. Terasa di awangan mendengar ungkapan itu. Pelahan dan syahdu menyapa pendengaranku.
“Terima kasih, Wan. Hana pun rindukan Wan. Sekejap ya Hana naik….”
Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku kedengaran suara Adam memanggil Ikhwan. Terkedu aku mendengar Adam membahasakan diri Ikhwan, ‘Papa Wan’.
“Okaylah Hana. Anak Hana tu tak sabar nak makan. Call Wan balik bila Hana dah sampai food court ya?”
“Okay Boss.”
Panggilan tamat di situ. Aku tersenyum sendiri lagi. Aku membayangkan kehidupan aku setelah bergelar isteri kepada Ikhwan. Alangkah indahnya dan aku cukup pasti Ikhwan akan menerima Adam seperti anaknya sendiri.
Sebaik sahaja kakiku melangkah ke dalam medan selera sudah ku nampak kelibat Ikhwan dan Adam. Mesra benar kedua-duanya.
“Ehem, amboi anak mama ni!” sapaku membuatkan Ikhwan dan Adam sama-sama berpaling ke belakang. Adam terus sahaja memelukku bila melihat aku dibelakangnya.
“Kan Wan suruh call tadi.”
“Tak sempat nak call dah nampak Wan. Pesan apa untuk Hana? Hana dah lapar sangat ni!”
“Belum pesan lagi. Wan lupa nak tanya Hana nak makan apa tadi. Sorry. Erm, Hana bawa Adam cari tempat dulu, biar Wan tunggu kat sini. Hana nak makan apa?”
“Sama macam Wan la.”
“Wan makan mi bandung. Hana nak yang tu juga ke?”
“Yes. Dah jom Adam kita cari tempat duduk. Biar uncle Wan tunggu sini.”
“Okay.”
Aku mencari tempat yang sedikit tersorok. Ruang makan agak lenggang di bahagian penjuru kerana kebanyakannya tertumpu di bahagian hadapan.
“Siap! Tuan permaisuri dan tuan putera nak minum apa? Patik belikan.” Selang lima minit Ikhwan tiba dengan dua mangkuk mi bandung dan laksa. Tersenyum aku mendengar gurauan Ikhwan.
“Hana nak mineral water jer. Anak mama nak air apa?”
“Ais krim,” jawab Adam riang. Dia gembira melihat makanannya sudah sampai. Ikhwan menghilang semula dan kembali dengan minuman.
“Erm, macam mana dengan kerja yang Hana buat tu? Dah siap belum?”
Aku sedikit terkejut dengan pertanyaan Ikhwan. Namun seboleh mungkin aku menutup rasa terkejut itu.
“Erm, tak siap lagi. Hana Cuma tolong drafkan apa yang diaorang nak. Selebihnya diaorang uruskan sendiri.”
Ikhwan sekadar menggangguk mendengar penjelasanku. Seketika kemudian tumpuan Ikhwan beralih kepada Adam. Aku sedikit lega. Namun, rasa bersalah yang bersarang di dalam hatiku tidak langsung berkurang. Lama aku merenung Ikhwan sebelum pandangan aku beralih kepada Adam yang asyik menyuap hidangannya ke dalam mulut. Aku tersenyum dengan gelagat dua lelaki di hadapanku ini.

5 comments:

iffahnazifa said...

Hana..hana,
susah nya nk teka apa dlm hati dia:p
mcm dlm dilemma saja..kejap syahril..kejap ikhwan..huhu

neway, smga dorg hepi

cinta terindah said...

trus trang la Hana...jgn ada selisih fhm plak nnt...tak mau la gduh2 g...

epy elina said...

hoohooh....
mmg ikhwan trlalu baik kat hana....
trlalu bnyk pngrbanan yg dia lkukan untk mbhgiakan hana....
pas ni nak hana pula yg mbhgiakan wan....
hrp2 wan x syak apa2....
nak dorng bhgia...

farra ramli said...

xpe2,kalo hana xnk ikhwan..fara ada,fara nk ikhwan..haha~~
best2..good job,miss nera..thumbs up!!

MaY_LiN said...

xpe..nnti boleh mintak maap..
hehehehe