Friday, March 26, 2010

KERANA SAYANG 37

Kembali dari berbulan madu di New Zealand, aku dan Ikhwan masing-masing sibuk menguruskan kerja-kerja yang menimbun. Ikhwan pula baru tiga hari di Malaysia terpaksa terbang ke Taiwan kerana projek di sana tiba-tiba punyai masalah. Puas aku memujuk Ikhwan supaya meninggalkan kerja itu kepada pekerjanya tetapi Ikhwan memberi alasan projek di Taiwan itu perlukan pengawasan daripadanya kalau terjadi apa-apa masalah. Akhirnya terpaksalah aku merelakan pemergiannya.
“Erm, Wan rasa gembira sangat impian abang nak honeymoon dengan Hana dekat sini akhirnya jadi kenyataan.”
Bersendirian di rumah membuatkan aku sering teringatkan kenangan manis di New Zealand. Betapa aku terasa cukup selamat dan dilindungi berada di dalam dakapan Ikhwan. Seperti perasaan yang pernah aku rasakan ketika berada di dalam dakapan Syahril. Indah dan bahagia. Namun, aku tidak pernah punyai niat untuk membandingkan mereka berdua kerana bagiku merekalah lelaki yang paling aku cintai dan sayangi.
“Hana tanya Wan sikit boleh? Wan jangan marah ya?”
“Apa, sayang? Tanyalah. Wan janji Wan tak akan marah.”
Aku tersenyum. Keindahan New Zealand yang dapat dilihat melalui balkoni bilik kami cukup mendamaikan. Kedinginan tubuhku bagai hilang di dalam dakapan Ikhwan.
“Hana cuma nak tahu perasaan Wan bila Alia datang serang Wan lima tahun lepas?” tanyaku sepatah demi sepatah. Takut Ikhwan tersinggung dengan pertanyaanku. Aku ingin tahu dari mulut Ikhwan sendiri.
“Wan tak percaya sebab Wan selalu perhati Hana. Wan fikir Hana tak ada sesiapa sebab setiap kali Hana balik Ipoh, Hana seolah-olah menyakinkan Wan yang Hana tak punyai sesiapa. Tapi Wan silap. Wan terlalu yakin dengan diri Wan.”
Aku meneguk air liur. Tidak pasti sama ada harus mengungkit kisah lama itu atau sekadar membiarkan sahaja. Tetapi gelojak perasaanku ingin tahu apa yang Ikhwan lakukan selama tiga tahun tanpa aku. Kemana dia menghilang sejak hari itu?!
“Kenapa Wan pilih jalan tu? Buatkan keluarga Hana dan Hana bencikan Wan? Kenapa tak berterus terang dengan Hana, Wan dah tahu?” tanyaku.
Ah, kalau Ikhwan berterus terang sekali pun apa gunanya?! Tentu sekali hati wanitaku ini simpati dengannya!
“Wan tak nak Hana simpati dengan Wan. Lagipun Wan rasa bersalah pada Hana. Wan yakin sangat dengan diri Wan sampai Wan masuk meminang pun tanpa pengetahuan Hana. Wan cuma minta ayah Hana tanya kat Hana. Bila ayah Hana cakap Hana terima, Wan paling gembira. Tak sangka Wan gembira di atas penderitaan Hana.”
Redup wajah Ikhwan. Aku sentuh pipinya. Aku tidak mahu Ikhwan rasa sedih. Tidak perlulah aku tahu tentang apa yang berlaku dahulu.
“Hana minta maaf sebab ingatkan Wan balik perkara sedih tu. Maaf ya?”
Ada senyuman hambar di wajah Ikhwan. Jari-jemariku di bawa ke bibirnya. Lama di situ. Seperti Ikhwan sedang melepaskan rasa kerinduannya padaku.
“Hari terakhir Wan jumpa Hana, Wan nak jadikan kenangan paling indah. Kenangan itulah yang akan menemani Wan sampai bila-bila pun. Alhamdulillah, kenangan tu yang membuatkan Wan bahagia,” luah Ikhwan. Ada getaran pada suaranya membuatkan aku senang sekali mengalirkan air mata.
“Apa yang Wan tengok pada Hana sampaikan Wan buat pengorbanan sampai macam ni!?” tanyaku dalam suara yang cuba kawal rasa sebaknya.
“Entah. Wan sendiri tak tahu. First time Wan tengok Hana lepas balik dari Manhattan, Wan dah rasa Wan sukakan Hana. Bila balik Australia, Wan semacam tak boleh lupakan Hana. Bila kak Rina desak Wan ambil alih syarikat papa, Wan terus setuju sebab Wan tahu Wan boleh rapat dengan Hana.”
Kali ini mataku dan Ikhwan beradu. Ada cahaya keikhlasan di mata itu. Pertama kali aku bertemu dengan Ikhwan ketika lelaki itu bertandang ke rumah. Pertama kali melihatnya hati gadisku sedikit tertarik. Tidak sangka anak kepada kawan abah yang selalu abah ceritakan boleh tahan kacaknya. Selama ini aku memikirkan yang bukan-bukan tentang Ikhwan. Berpuluh tahun menetap di luar negara, budaya timurnya sudah lenyap sama sekali. Canggung makan menggunakan tangan. Kekok sudah untuk menjamah durian. Hilang sudah Melayunya. Tetapi Ikhwan ternyata membuatkan tanggapanku silap sama sekali. Dia masih kaya dengan adab Melayu. Masih tebal dengan jiwa timurnya. Kehadirannya yang kerap ke rumah menimbulkan usik-usik nakal rakan-rakanku. Tambahan pula, Ikhwan ada segala-galanya yang gadis-gadis seusiaku inginkan. Tampan. Bergaya. Anak orang kaya. Sehinggakan aku terbuai dengan usikan itu.
Namun, sejak menginjak ke alam universiti, aku sedar perasaanku terhadap Ikhwan sekadar suka melihatnya. Lagi pula, Ikhwan tidak pernah menegurku. Sekadar senyumannya yang berbicara.
“Habis tu kenapa Wan tak tegur Hana pun. Seingat Hana Wan tak pernah tegur Hana. Yang Wan tahu senyum ajer.”
Ikhwan ketawa mendengar kata-kataku. Aku senang dengan ketawanya. Ikhwan mengeratkan dakapannya.
“Tulah masalah Wan. Wan ni pemalu. Kalau Wan suka kat perempuan tu memang susah Wan nak tegur. Erm, Wan nak minta maaf dengan Hana pasal sesuatu.”
Berkerut dahiku mendengar ucapan maaf daripadanya. Otakku ligat memikir kesalahan apakah yang Ikhwan lakukan sampai perlu memohon maaf dariku.
“Wan buat salah apa sampaikan nak minta maaf dari Hana ni?”
“Sebab, sepanjang Wan hantar Hana balik KL lima tahun lepas Wan sentuh Hana tanpa kerelaan Hana. Wan tahu Wan telah menyeksa Hana masa tu. Wan tak tahu malu peluk cium Hana. Sepanjang lima tahun ni Wan rasa bersalah sangat buat Hana mcam tu! Wan tahu arwah Syahril pun tak pernah sentuh Hana macam tu sepanjang Hana bercinta dengan dia kan?”
Terkesima aku mendengar luahan Ikhwan. Tidak sampai hati untuk aku mengiyakannya. Walaupun pada hakikat arwah Syahril tidak pernah menyentuh aku begitu. Untuk pegang tanganku ketika melintas jalan pun dia meminta kebenaran. Itulah yang membuatkan aku menyenangi dan menghormati Syahril sepanjang tempoh kami bercinta dahulu.
“Sudahlah, Wan. Hana dah lupakan tu! Bukan salah Wan sepenuhya. Salah Hana juga, Hana sendiri tak tegur Wan. Kita lupakan ya?” ujarku dalam senyuman paling ikhlas. Sememangnya, aku sendiri bersalah kerana membiarkan perlakuan Ikhwan dahulu. Aku tidak langsung membantah tindakannya.
“Malam ni Wan nak selesaikan semuanya. Wan tak sanggup nak pendam lagi.”
Ikhwan merenggangkan pelukan. Satu kucupan sekali lagi hinggap di dahi dan pipiku. Ada keluhan dilepaskannya. Ikhwan melepaskan tubuhku. Pandangannya di lepaskan jauh. Suasana sunyi seketika.
“Luahkanlah. Hana sudi mendengar.” Ucapku, sambil pinggangnya aku rangkul. Kepalaku kulentokkan dibahunya. Saat itu satu kucupan lagi Ikhwan hadiahkan di kepalaku.
“Masa Hana bersanding dengan arwah Syahril, Wan ada datang tapi tak siapa pun tahu kecuali Alia dan Rizal. Entahlah, masa tu Wan hampir sahaja hilang pertimbangan diri melihat bukan Wan di sebelah Hana. Nasib baiklah, Wan cepat sedar.”
Aku hanya mendengar. Tidak mahu mencelah. Patutlah sepanjang majlis persandingan aku dahulu, aku merasakan serba tidak kena. Semacam ada orang yang sedang merenungku dari jauh.
“Wan tinggalkan Malaysia semasa Hana ke Bali. Masa tu Wan takut sangat nak hadapi kenyataan yang Wan kehilangan Hana. Wan paksa diri Wan lupakan Hana sampaikan satu tahap Wan rasa Wan nak kahwin jer dengan mana-mana perempuan.”
Kali ini aku mendongak memandangnya. Ikhwan tersenyum tawar. Aku tidak tahu apa yang harus kusuarakan.
“Tapi syukur Wan boleh kawal diri Wan. Wan balik Malaysia. Perkara pertama masa sampai Malaysia, jumpa ajer kak Marina terus Wan kena marah. Kena maki hamun dengan kak Rina. Wan buat pekak jer tapi Dhira tahu apa sebenarnya. Dia paksa Wan terus terang dengan kak Rina tapi Wan tak nak. Biarlah kak Rina benci Wan. Tapi marah kak Rina tak lama. Sekejap ajer. Lepas tu, Wan minta tukar ke KL. Sejak tu Alia jadi pembantu Wan.”
“Untuk tahu segala-galanya tentang Hana?” setelah sekian lama hanya mendengar aku bersuara.
“Erm. Walaupun Wan tahu Syahril akan bahagiakan Hana, Wan tetap nak tahu keadaan Hana. Bagi Wan cukuplah Wan mengetahui cerita tentang Hana. Sejak tu jugak Wan dah tutup pintu hati Wan untuk mana-mana perempuan sekalipun. Alhamdulillah, ALLAH menolong Wan untuk tetapkan hati Wan hanya kat Hana.”
“Kenapa Wan seksa diri Wan kerana Hana?” ada rasa sebak yang menjalar ke segenap hatiku.
“Wan cintakan Hana. Mungkin Hana takkan percaya selama empat puluh tahun ni hanya Hana yang berjaya memikat hati Wan. Wan tak pernah jatuh cinta dan bercinta. Mungkin kesibukan Wan yang menjadi penyebab. Sebab tu bila Wan jatuh cinta dengan Hana, Wan ambil keputusan tanpa fikirkan hati dan perasaan Hana!”
Aku tersenyum sendiri. Pertama kali keluar dengan Ikhwan aku sudah dapat merasakan Ikhwan tidak pernah jatuh cinta. Sebab itulah dia terlalu menunjukkan rasa cintanya untukku.
“Erm, kita masuk tidurlah ya? Wan dah mengantuk ni!”
“Apalah Wan ni! Awal sangat mengantuknya.” Aku mencebik. Pura-pura merajuk.
“Jomlah sayang, kita tidur. Esok kita cerita lagi. Erm, tak baik tau isteri buat muka macam tu depan suami. Macam muncung apa lagi! Kita tidur ya?”
Aku tidak menggangguk mahupun menggeleng. Namun langkahku atur jua mengiringi Ikhwan ke katil.
“Selamat malam, sayang.”

6 comments:

aqilah said...

nsk tutup blog???? camne dgn akak yg tau baca aje...tapi takde blog????? apapun, all the best!!!!!!!!!!!

MissNera said...

aqilah: taklah kak.. tak tutup pun blog ni.. sentiasa buka jer =] jangan risau ya pasal tu...

cinta terindah said...

sweeeeeeeeeeeeeeeeeet...
love this story...
best aa miss nera...

MaY_LiN said...

hihihi..
pandai nye ikhwan simpan rahsia yea

bb said...

alah..nape sume nk private blog ni..miss nera..kte xde blog..xleh nk tampal..xleh jgk la nk join contest MN tu..huhu..

MissNera said...

cinta terindah: terima kasih atas sokongan!

may_lin: kerana sayang.. aku turutkan semuanya!

bb: jangan risau yang ini tidak akan di privatekan.. pasal contest tu... pun jgn risau.. hehehe.. nanti dah tentu tarikh mula contest sya bgtau semua