Monday, March 1, 2010

RAHSIA RINDU 41


Umaira memandang keluar kedai. Sejak dua hari lalu, bumi Pulau Mutiara ditimpa hujan lebat pada pagi dan malam hari. Waktu-waktu beginilah dia teringat kampong halaman. Teringat cekodok ikan bilis yang di buat emaknya. Hampir setahun dia tidak menjengah.
“Hang baliklah. Puasa pun dah nak dekat ni.”
Semalam emaknya meminta dia pulang lagi. Sudah-sudahlah membawa diri! Tak ada sesiapa pun menyalahkan hang! Kata-kata itu masih terngiang-ngiang ditelinganya.
Bunyi loceng dari pintu masuk menyedarkannya. Kaku dia ditempatnya melihat yang melangkah masuk adalah Faris. Menyusul di belakangnya Mukhris.
“Assalamualaikum.”
“Wa... Wa.. alaikumsalam.” Tergagap-gagap Umaira menjawab salam Faris. Matanya tidak memandang lelaki itu sebaliknya dia memandang Mukhris. Meminta penjelasan daripada lelaki itu bagaimana Faris boleh berada dihadapannya!
“Ris yang minta Mukhris beritahu kat mana Maira.”
Menyedari makna sorotan mata Umaira. Kelmarin, dia menghubungi Mukhris memberitahu lelaki itu akan keadaan Alina. Tanpa sedar, Mukhris membuka cerita tentang Umaira.
“Apa lagi yang Ris nak?” soal Umaira. Dia sebenarnya tidak tahu mahu bertanya apa.
“Ris perlukan pertolongan Maira.”
“Pertolongan apa?” mendatar suara Umaira.
“Alina sakit. Dia nak sangat jumpa Maira.”
Pandangan mereka bersatu. Jelas ada kekusutan yang bersarang di dalam diri Faris. Mukhris sudah sedikit menjauh. Memberi ruang kepada kedua-duanya berbicara.
“Kenapa pula dia nak jumpa ?” Umaira biarkan pertanyaannya tergantung dek kerana dia kekok mahu membahasakan dirinya dengan nama ‘Maira’ lagi dengan Faris.
“Dia rasa bersalah dengan Maira. Sejak dia sedar dan tahu Maira hilangkan diri, Alina asyik menyalahkan dirinya. Puas dah Ris pujuk dia. Kekadang dia meracau-racau yang bukan-bukan. Pernah dia terjaga dari mimpi, dia kata Maira nak bunuh dia!”
Sedikit tersentak Umaira mendengarnya. Tidak pernah pun dia menyimpan dendam dengan Alina. Sikit pun tidak pernah. Menyalahkan wanita itu pun tidak. Masakan dia boleh menyimpan dendam dan menyalahkan wanita itu sedangkan dia yang menjadi orang ke dua walaupun hakikatnya Faris terlebih dahalu mencintainya.
“Dia tak salah pun.”
“Tapi dia rasa macam tu. Semakin hari keadaan dia makin teruk. Harap Maira sudi jenguk Alina. Untuk kali ni je. Lepas ni Ris janji tak akan ganggu hidup Maira lagi. Sumpah!”
Faris sudah mengangkat tangan. Dia hampir sahaja putus asa dengan sikap Alina. Semakin hari wanita yang bergelar isterinya itu semakin kuat memberontak. Kekadang dia terpaksa berkeras dengan wanita itu.

***
Umaira mengurut dada. Menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya pelahan-lahan. Tombol pintu bilik yang menempatkan Alina di pulas pelahan. Pertama kali dia harus bersua muka dengan Alina segala macam perasaan berbaur.
“Assalamualaikum.” Pelahan dia memberi salam sebaik sahaja pintu bilik dikuak. Sekujur tubuh lesu Alina dipandangnya.
“Waalaikumsalam. Umairakan?” soal Alina. Senyuman dan air matanya bersatu. Wanita itu sudah bangun dari perbaringannya. Baju sejuk tebal membungkus dirinya. Wajah itu pucat benar.
“Terima kasih kerana sudi datang.” Ungkapnya dalam senyuman. Air matanya di kesat dengan hujung selimut.
“Kenapa awak menyeksa diri sampai macam ni? Saya tak pernah salahkan awak pun!” Umaira berterus-terang. Wajah itu direnungnya dalam. Dia tidak mahu lama-lama di sini. Dia mahu terus kepada tujuan yang di mahukan Faris. Memujuk Alina!
“Saya rasa bersalah. Kalau tak kerana saya, tentu awak dan Faris dah lama bersama.”
Pelahan dan mendatar suara Alina. Cuba menahan sebak. Umaira mengeluh. Beginikah menjadi wanita? Sanggup menyeksa diri kerana lelaki?
“Awak ingat dengan cara awak menyeksa diri awak sampai macam ni rasa bersalah awak tu hilang?”
Ada gelengan di situ. Tertunduk. Umaira menggeleng.
“Habis tu kenapa seksa diri? Awak rasa bersalah ni bukan sebab saya tapi sebab awak terlalu merendahkan diri awak. Awak menganggap Faris tidak akan mencintai awak seperti mana cintanya untuk saya! Awak tidak pernah belajar mempertahankan hak awak sebagai isteri, Alina! Kalaupun perkahwinan antara awak dan Faris atas dasar keterpaksaan, awak tetap ada hak sebagai isteri dia. Bila awak tahu dia bersama saya, awak ada hak untuk membantah dan mempertahankan hak awak sebagai isteri.”
Suara Umaira kedengaran tegas tetapi pelahan. Tangisan Alina semakin menjadi-jadi. Tubuhnya sudah terhenjut-henjut.  Umaira jadi simpati.
“Saya minta maaf tetapi saya tak akan kembali kepada Faris walau apa pun berlaku. Perasaan saya pada dia sudah lama tiada. Terus-terang dan secara jujurnya, saya cintakan orang lain bukan Faris.”
Alina memanggungkan kepala, memandang Umaira.
“Perasaan saya pada Faris mungkin wujud kerana Faris cintakan saya. Saya semai perasaan itu sedangkan pada masa yang sama saya menaruh perasaan pada orang lain. Saya haraf awak jangan beritahu Faris akan hal ni. Ini rahsia kita. Cuma saya harap awak jangan menyeksa diri awak dan bangun untuk mempertahankan hak awak. Raih kasih sayang dan cinta Faris. Tidak pernah ada kesalahan kalau orang perempuan yang mulakan dulu.”
“Tapi...”
“Belajar menghargai diri sendiri, Alina. Ada masa kita perlu biarkan. Ada masa kita kena belajar untuk ambil peluang. Tambahan lagi kalau itu memang milik kita dan kita lebih berhak ke atasnya!”
Ada senyuman terukir di bibir Umaira. Saat itu, entah kenapa raut wajah Mukhris bermain di mata. Sejak peristiwa lelaki itu membawa Faris bertemu dengannya, segala panggilan mahupun pesanan ringkas lelaki itu langsung tidak di layan. Entah kenapa hati dan perasaannya jadi sebal dengan lelaki itu.
“Boleh saya tahu, siapa lelaki yang membuatkan Umaira jatuh cinta?” tangisan Alina sudah terhenti. Ada semangat baru meresap ke dalam dirinya. Seluruh dirinya mengiyakan segala kata-kata Umaira. Masakan dia tidak mampu untuk memperoleh cinta seorang Faris!
“Seseorang yang dekat dengan saya selama ini Cuma saya tidak pernah nampak hubungan kami pergi jauh tapi sekarang insyaALLAH saya akan memberi ruang untuk dirinya kerana saya juga mengharap antara kami bukan berakhir sekadar kawan.”
“Saya doakan yang terbaik untuk wanita semulia Umaira.”
“Jangan meletakkan saya ditempat yang tidak selayaknya, Alina. Saya masih mencari diri saya dan kebanyakannya saya temui daripada semua orang disekeliling saya.”
Senyuman bertukar. Wajah Alina mula mencarik rona-rona gembira. Akhirnya mereka berpelukan.
“Mulai hari ini, Alina kena kuat. Jangan sesekali menyerah kalah.”
Sekali lagi mereka berpelukan. Umaira meminta diri untuk pulang dengan alasan dia perlu balik ke Pulau Pinang malam ini juga dan kepada Alina dia berjanji akan ada lagi pertemuan antara mereka selepas ini.

***
“Yang you ni dari tadi senyap sepi ni kenapa? Dah bisu ke?” soal Umaira dengan nada tidak puas hati. Sejak keluar dari rumah Faris tadi sepatah pun Mukhris tidak bersuara. Muka lelaki itu keruh. Celoteh Dj radio sahaja kedengaran. Sesekali kedengaran hon kereta entah dari siapa.
Mukhris senyap sahaja mendengar pertanyaan Umaira yang bersifat memerlinya itu. Pandangannya hanya di jalan raya. Kereta mula bersesak-sesak memenuhi jalan yang licin akbat hujan tengah hari tadi.
“Eh, You ni kenapa? Sakit tau!” Mukhris sudah meninggikan suara bila beg tangan Umaira dihayunkan ke lengannya. Hampir sahaja mengena mukanya. Matanya membulat memandang wajah Umaira yang marah. Pelahan-lahan tangannya yang sebelah lagi mengusap-ngusap tempat yang sakit.
“Dah I tanya you diam! Siapa suruh?! Ingatkan dah mati!” celupar sahaja mulut Umaira.
“Kalau I dah mati tak adalah you hidup! You tak nampak ke I tengah drive ni?!” masing-masing tidak mahu mengalah. Umaira mendengus.
“I belum buta tapi you tu dah pekak! Yang pegang stereng kereta tu tangan you bukan mulut. Susah sangat ke nak buka mulut tu?”
“Macam ni?!” Mukhris sudah mengangakan mulutnya luas-luas. Apa lagi, satu tumbukan padu hinggap ke lengan Mukhris. Serentak dengan itu, kereta yang dipandu Mukhris terhuyung-hayang. Nasib baiklah Mukhris cepat mengawalnya. Kereta KIA yang tadinya berada di belakang sudah memotong, pemandunya sempat memandang ke dalam kereta Mukhris sambil menggeleng-gelengkan kepala dengan riak tidak berpuas hati.
“You suka sangatlah mati cepat ya? Dah banyak sangat buat baik?”
“Siapa suruh you buat lawak bodoh tak ingat tu?! Orang tengah serius dia boleh main-main!”
Mukhris sudah tergelak.
“Tengok tu, boleh pulak dia gelak! You memang sengaja cari pasal dengan I kan? Berhentikan I kat depan tu, I nak turun!”
“You nak pergi mana!? Jangan nak mengada-ngada!” Mukhris kembali berwajah serius. Umaira mencebik sahaja.
“I kata berhentikan I kat depan tu, you nak I terjun dari kereta ni ke?” soal Umaira.
“Terjunlah. Sebelum tu cuba buka pintu tu dulu kalau boleh!”
Umaira mencebik. Tubuhnya sudah dihempas ke penyandar. Mulutnya terkumat-kamit mengutuk Mukhris.
“You ni kenapa sayang?”
Hujung lengan baju t-shirt lengan panjangnya sudah ditarik Mukhris. Serentak itu juga, air mata Umaira mengalir.
“Lah, menangis pulak dia ni! Kan dah berapa kali I cakap, jangan menangis depan I!” Mukhris sudah memberhentikan keretanya di bahu jalan.
“Masa bila you cakap macam tu?” Umaira masih bertanya walaupun sudah lain rentak suaranya.
“I tak pernah cakap eh? Erm, I cakap dengan siapa ya?!” Mukhris mendekatkan mukanya di hadapan Umaira. Ada sengihan tersungging di bibirnya!
“Mukhris!!!!!” Umaira sudah menjerit dalam tangisan dan air mata yang laju membasahi pipinya. Mukhris tergelak lagi.
“Dahlah, jangan menangis. I bergurau je nak tengok you cemburu ke tak?! Tak sangka Umaira I ni cemburu juga!”
“Boleh tak you jangan perasan?! Sejak bila I jadi Umaira you?”
Tisu yang dihulur Mukhris dicapainya dan dikesat tubir matanya. Dia malu sendiri kerana menangis dihadapan Mukhris. Ah, bukan ini kali pertama! Bisik hatinya.
“Sejak... sejak azali dan tercatat di loh mahfuz lagi you milik I! I sayangkan you dan I cintakan you. Paling penting, I tahu you juga rasa apa yang I rasa!”
Umaira terdiam. Pandangannya beralih ke wajah Mukhris. Ada senyuman di wajah itu. Ada harapan yang sudah lama didambakan dari sepasang mata itu.
“I akan bahagiakan you semampu I. I tidak sempurna dan I perlukan you untuk sempurnakan I! Nur Umaira binti Ahmad, dengan izin ALLAH, I, Mukhris Bin Jaafar mahukan you menjadi pelengkap hidup. Will you marry me,sayang?”
Umaira angguk. Anggukan itu disambut dengan lafaz syukur dari bibir Mukhris. Dia menjerit di situ juga. Ikutkan hati mahu sahaja dipeluk wanita itu tetapi akal warasnya masih mampu berfungsi.
“Terima kasih, Umaira! Terima kasih!”

5 comments:

Alya Ardini said...

yeayyyyy ..... kawen juge akhirnya .. setelah lama mukhris menanti ....

epy elina said...

hohoho...
bestnya part ni....
mukris ajk maira kawen...
x sbr nak tnggu dorng kawen...
faris dah ada alina...
x sbr nak next n3...

cinta terindah said...

huhuuuuu...best'y...
lma siot tgu rahsia rindu nie...
nak lg...nak lg...hehe

MaY_LiN said...

alahai~
ni yang tambah sayang kat mukhris ni

luv' said...

bile nk smabing ceta ni eh...xkan da abes????....