Thursday, March 31, 2016

Cintanya.. Bersambut Di Bumi Turki - Siri 3 (Akhir)

“… Hazim…”
Mata itu bertaut antara satu sama lain. Sungguh Farihah tidak menyangka tekaannya tadi benar belaka. Lelaki berselendang hitam biru dilehernya itu adalah Hazim! Lelaki capik dan berparut di wajah itu adalah Hazim! Bau haruman lelaki di masjid biru tadi adalah Hazim! Ya ALLAH…
“Eh, jom makan. Dah lapar ni.”
Lambat-lambat Farihah melangkah ke arah meja makan. Pertemuan selepas setahun lebih tidak bertemu itu diluar dugaannya. Tambahan pula dengan keadaan Hazim yang begitu.
Mereka memesan makan tradisi Turki. Nasi pilav. Kebab. Beserta teh turki yang pekat. Encik Hamdan dan Puan Rahmat begitu seronok bercerita.
“Erm, Indonesia tinggal di mana? Pak cik adalah dua tiga orang kenalan tinggal di sana.”
Perbualan terarah kepada Hazim. Seketika pandangan Hazim dan Farihah bertaut lagi. Huzir mulai sedar akan sesuatu antara keduanya.
“Di Jakarta.”
“Oh, kerja di sana?”
Hazim angguk. Pertanyaan-pertanyaan selepas itu dijawab dengan teragak-agak oleh Hazim. Farihah pula mula merasa tidak senang duduk. Fikirannya kembali kepada perkara dua tahun lepas. Dari mula lelaki itu memerangkapnya sehinggalah kejadian kemalangan tersebut.
Huzir memerhati Hazim yang acap kali mencuri pandang kearah Farihah. Dahinya berkerut-kerut cuba mengingat sesuatu. Dan…
“Sah!”
Huzir sudah menepuk meja. Sedikit kuat dan cukup membuat kesemua mereka terkejut. Malah mengundang pandangan pelanggan di dalam restoran tersebut.
“Kamu ni kenapa? Tiba-tiba sah di sini?! Dah tak sabar nak kahwin?”
Huzir tersengih. Tak pasal-pasal kena perli dengan ayahnya.
“Taklah. Zir teringatkan sesuatu je. Tak ada apalah. Maaf  ye!”

9
“Aik, patutnya orang balik dari bercuti muka happy. Ni abang tengok Ihah sejak balik muka sedih. Termenung sana, termenung sini.”
Shahrul menegur adiknya setelah dua hari dia melihat keadaan adiknya yang muram dan asyik mengelamun. Sejak penceraiannya, Farihah tinggal bersama dia dan isteri. Dia rasa bertanggungjawab ke atas satu-satunya adik perempuannya.
“Tak ada apalah bang.”
“Kalau tak ada apa kenapa macam ni?”
Farihah gelengkan kepala. Kali terakhir dia bertemu dengan Hazim adalah ketika mereka semua berada di lobi hotel untuk ke grand bazaar. Lelaki itu telah mendaftar keluar dari hotel dan memberitahu dia akan pulang ke Jakarta pada hari itu. Lama Farihah memerhati langkah payah lelaki itu sehingga tubuhnya hilang ditelan perut teksi.
“Dia ex-husband you kan? Cara both of you semalam nampak sangat.”
Dia memang terkejut bila Huzir bisikkan kata-kata itu ditelinganya. Berkerut dia memandang Huzir yang turut memerhati Hazim.
“Betulkan? Semalam ikutkan hati I, nak je bambu cukup-cukup dia tu tapi kesian pulak dengan keadaan dia macam tu. Mungkin dia dah mendapat balasannya. You patut maafkan dia,” ujar Huzir.
“Jangan risau. I takkan ceritakan hal ini kepada sesiapa. Janji!”
Farihah tidak ambil peduli dengan kata-kata janji Huzir. Dia lebih tertumpu kepada kata-kata lelaki itu sebelumnya. Mungkin dia dah mendapat balasannya!!?
“Ihah…”
Satu sentuhan pelahan hinggap di bahunya. Shahrul sudah risau melihat keadaan adiknya yang asyik bermuram sejak balik bercuti dari Turki. Makan pun tidak lalu. Malah lebih banyak membisu.
“Kenapa ni?” lembut sahaja dia bertanya.
“Bang, Ihah jumpa orang tu…”
“Orang tu? Siapa?”
“Ha.. Hazim…”
“Hazim? Ihah jumpa dia kat mana? Dia macam mana?”
Bertalu-talu pertanyaan yang keluar dari mulut Shahrul. Kedua-dua tangan adiknya sudah dicapai.
“Kat Istanbul. Dia cacat. Muka teruk. Huh, mungkin itu balasannya buat Ihah menderita dulu!”
Melucur laju kata-kata itu dari mulut Farihah tetapi tidak dari hatinya. Entah kenapa dia merasa simpati.
“Ihah tahu kat mana dia tinggal? Ihah tak tanya ke mana dia pergi?”
Farihah gelengkan kepala. Dia langsung tidak bersuara ketika pertemuan itu. Berpura-pura menikmati makanan turki yang disediakan. Sedangkan dirinya dalam persoalan dan kebingungan.
“Ihah tegur dia ke dia tegur Ihah dulu?”
“Huzir. Huzir dan dia berjumpa kat Masjid Biru.”
“Ihah masih berdendam dengan Hazim?”
“Erm kenapa abang tanya macam tu?”
“Abang ada sesuatu nak beritahu Ihah..”
“Beritahu apa bang?”
“Hazim ceraikan Ihah bukan disebabkan Ihah.”
“Ab.. Abang cakap apa ni? Ihah tak kan lupa bang apa yang dia tulis kat kertas tu. Ihah masih simpan kertas tu sampai sekarang. Dia kata Ihah tak sempurna. Ihah akan malukan dia!”
Laju air mata yang menuruni kolam matanya. Masakan dia akan lupa saat dia dilepaskan dengan cara terhina itu. Hanya melalui sekeping kertas!
“Dia buat macam tu supaya Ihah bencikan dia…”
“Ihah memang bencikan dia.. bencikan dia sangat-sangat! Dia buat Ihah ni macam pelacur kat rumah tu!”
“Sabar Ihah. Bawa bertenang. Jangan menangis macam ni. Nanti Kak Yati terjaga nanti, lagi banyak soalnya.”
Farihah menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan. Hayati baru sahaja dibenarkan pulang dari hospital selepas pembedahan. Keadaannya masih lemah tetapi cuba berpura-pura kuat.
“Abang tahu dulu salah abang. Abang yang buatkan Ihah menderita kahwin dengan Hazim tapi abang percaya Hazim akan berubah sebab dia cintakan Ihah!”
“Cinta bang? Kalau cinta dia tak akan buat Ihah macam pelacur. Bila dia nak benda tu, dia layan Ihah baik-baik. Kalau tak, tangan dia naik kat muka dan badan Ihah! Itu abang kata baik?”
“Ihah, Hazim tidak pernah ada keluarga. Dia membesar dengan keluarga angkat yang abaikan dia sejak kecik. Sebab itu dia tak pandai untuk tunjukkan rasa cinta atau bagaimana cara untuk buatkan orang lain cintakan dia. Yang dia tahu, dia harus dapatkan apa yang dia nak sebab selama ini dia tak pernah dapat apa-apa. Memang abang ada berhutang dengan dia. Hutang abang ngan dia sampai bila-bila pun tak akan langsai. Dia selamatkan nyawa abang dari kena bunuh! Dia bayar Cina tu tiga puluh ribu supaya tak kacau abang!”
“Sebab tu abang jual Ihah kan?!” terus Farihah memotong cakap abangnya. Shahrul mengeluh. Dia tidak pernah berniat mahu menjual adiknya. Demi ALLAH, dia masih waras lagi dalam merencana kehidupan!
“Bukan. Abang masih ada otak dan masih berakal, Ihah! Abang sayangkan Ihah dan abang tahu Hazim boleh menjaga Ihah. Abang kenal Hazim dah lama. Dia tak pernah begitu sukakan perempuan macam mana dia sukakan Ihah. Abang cuma membantu dia. Memang alasan abang berhutang itu sekadar alasan. Hazim tetapi bagi duit hantaran. Dia tetap hulur dekat abang duit untuk majlis di pihak kita.”
“Tapi dia…”
“Dengar Ihah, Hazim memang panas baran tetapi dengan Ihah dia cuba kawal semua tu. Abang tahu dia pernah pukul Ihah, dia sendiri beritahu abang. Tetapi dia kata dia tak sengaja. Dia tak tahu cara apa untuk membuatkan Ihah ikut cakap dia.”
“Dengan cara tu?”
“Ihah… Ihah tak pernah cuba fahami dia. Dia tak pernah meminta dari Ihah bukan? Ingat tak, abang pernah ke rumah Ihah? Ihah lambat turun dari bilik, dia sendiri ke dapur buatkan air. Bila abang tanya, Ihah masak apa hari tu Hazim senyum je. Abang tahu Ihah tak memasak. Dia selalu ajak Ihah keluar makan kat luar sebab dia tak mahu Ihah paksa diri sediakan makanan untuk dia. Dia perkenalkan Ihah dengan kawan-kawan dia supaya Ihah tak terasa terasing. Kita lupakan pasal tu. Sekarang kita cerita pasal kemalangan tu.”
Shahrul berhenti seketika. Masih segar dan jelas diingatannya akan permintaan Hazim. Permintaan yang dirasakan terlalu berat untuk ditunaikan.
“Bukan sebab Ihah tidak sempurna tetapi sebab dia sendiri yang tak sempurna. Dua hari selepas dia sedar, doktor beritahu kemungkinan besar Hazim akan lumpuh. Paling tidak pun dia tak boleh berjalan seperti normal. Sepanjang hayat dia akan bergantung kepada tongkat ataupun kerusi roda. Muka Hazim cedera teruk akibat tertusuk cermin. Separuh mukanya perlukan gantian kulit baru. Hazim tak mahu Ihah lihat dia dalam keadaan macam tu. Sehari selepas itu, Hazim minta abang jumpa dia. Dia serahkan surat itu kepada abang dan dihadapan abang, dia lafazkan cerai tu. Abang memang mengamuk masa tu tetapi dia jelaskan kepada abang kenapa dia berbuat begitu. Masa itu abang tak puas hati, abang tanya sama ada betul dia ceraikan Ihah sebab Ihah tak sempurna. Hazim jawab, Ihah terlalu sempurna. Dia cuma mahu tunaikan permintaan Ihah sebelum korang kemalangan dan dia kata, dia tak mampu bahagiakan Ihah lagi dengan keadaan dia macam tu.”
Shahrul pandang wajah kosong Farihah yang sudah kering dengan air mata. Selama setahun lebih dia menyimpan rahsia dan melihat kebencian adiknya terhadap Hazim. Beberapa bulan selepas penceraian mereka diluluskan mahkamah syariah, dia cuba menjejaki Hazim. Namun, lelaki itu langsung tidak meninggalkan jejak. Dia hilang begitu sahaja.
“Dia buat semua tu untuk Ihah. Kalau dia lelaki tak guna seperti yang Ihah cakapkan selama ini kenapa dia tidak pernah lupa memasukkan duit ke dalam akaun Ihah? Setiap bulan, tepat pada masanya dia akan masukkan duit kan?”
10.
Lima bulan kemudian.
Ingatan Farihah terhadap lelaki yang pernah bergelar suaminya itu semakin menjadi-jadi sehinggakan ke dalam mimpi. Shahrul yang risau akan keadaan adiknya cuba meminta tolong Huzir dan beberapa rakannya.
“Entahlah, bang. Masa memula kitaorang jumpa kat Masjid Biru tu, ada dia bagi kad tapi entah ke mana hilangnya. Tertinggal kat hotel kot.”
Huzir terkilan. Kalau dia tahu, kad nama itu disimpan baik-baik ke dalam begnya. Melihat keadaan Farihah yang kembali tidak ceria dan lebih banyak termenung itu, hatinya runsing. Dia tahu Farihah diselubungi rasa bersalah. Walaupun, dia tidak bersalah sepenuhnya dalam hal itu tetapi tentu sahaja melihat keadaan Hazim yang begitu  tentu Farihah akan menyalahkan diri. Kalau dia berada di tempat Farihah, rasa itu juga akan menganggunya.
“Macam nilah. Saya akan minta tolong kawan ayah saya yang berada di Indonesia. Saya rasa saya masih ingat lagi nama syarikat tempat Hazim bekerja tu. Kesian saya tengok Ihah.”
Shahrul tidak membalas. Setiap hari dia melihat keadaan adiknya begitu. Benarlah, rasa benci yang pernah ditanam di dalam diri adiknya kini bertukar simpati tetapi Shahrul tidak mahu Farihah berterusan begitu. Bila di tegur, sehari dua eloklah. Mampu tersenyum dan ketawa tetapi selepas itu dia kembali kepada keadaan murungnya.
Pernah, isterinya memberitahu Farihah tidur bersama dengan kertas yang merupakan surat penceraiannya dan gambar perkahwinan yang sudah renyuk. Pernahkah adiknya menyimpan perasaan terhadap Hazim sehinggakan dia masih menyimpan gambar perkahwinan mereka? Adakah kerana Hazim, Farihah tidak pernah mahu untuk mengenali lelaki lain?!

11.
Jakarta, Indonesia.
Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Selepas dua bulan mencari, akhirnya mereka bertemu dengan Hazim. Pertemuan di lapangan terbang itu tanpa diketahui sebab sebenarnya oleh Hazim. Dia hanya diberitahu, ada orang dari Malaysia yang berminat dengan lukisannya.
“Huzir!”
Hazim sudah menguntum senyum bila melihat Huzir yang semakin menghampirinya. Huzir ikut senyum, sebaik menghampiri lelaki itu tangan dihulur dan mereka berjabat salam.
“Tak sangka. Irfan beritahu saya, ada orang dari Kuala lumpur berminat dengan lukisan saya. Tidak sangka pula awak orangnya!”
“Erm, tujuan saya sebenarnya bukan kerana lukisan itu.”
Terus sahaja Huzir kepada niat asal. Perkara ini harus diselesaikan secepat mungkin. Roman wajah Hazim berubah. Senyuman yang terukir di bibirnya hilang serta merta.
“Ihah…”
“Ihah?! Er.. siapa?”
“Jangan pura-pura, Hazim. Awak tahu siapa yang saya maksudkan. Nur Farihah binti Sulaiman. Bekas isteri awak.”
“Awak tersilap orang ni…”
Sudah tidak betah keadaan Hazim. Huzir kesan riak itu.
“Saya tidak tersilap. Lagipun, masakan Farihah tidak kenal bekas suaminya sendiri walaupun keadaan awak begini, Hazim.”
“Kenapa dengan dia?”
“Dia sakit.”
Ringkas sahaja jawapan Huzir tetapi cukup membuatkan Hazim terkejut.
“Hari itu nampak sihat sahaja. Menurut ibu awak, dia bakal menjadi isteri awak bukan?!”
Huzir sudah ketawa lepas. Ibu… ibu.. masih tidak habis-habis lagi dengan angan-angannya mahu bermenantukan Farihah! Maaf isteriku, andai kau terpaksa berhempas pulas menarik hati ibuku nanti!
“Dia bukan kekasih saya dan tak mungkin menjadi isteri saya. Saya sudah berkahwin tanpa pengetahuan ibu saya. Saya mahu awak tahu, saya tidak pernah punyai perasaan terhadap dia. Saya anggap dia tidak lebih daripada seorang adik walaupun kami sebaya.”
“Dia sakit apa?”
“Sakit yang tiada ubatnya di hospital tapi…”
Huzir berjeda di situ. Matanya melirik memandang Hazim yang bagaikan tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya.
“Tapi apa?!”
“Tapi ubatnya ada pada awak.”
Bertambah kerutan di dahi Hazim. Dia benar-benar tidak faham. Dia bukanlah doktor. Bukanlah bomoh mahupun pawing!
“Kemaafan awak itulah ubatnya.”
“Dia tidak membuat salah dengan saya. Kenapa perlu meminta maaf? Seharusnya saya yang meminta maaf daripadanya.”
“Dia dah tau cerita sebenar. Shahrul dah beritahu semuanya. Saya tak sangka ada juga manusia bodoh seperti awak.”
Selamba sahaja Huzir mengutarakan bicara. Sengaja meletakkan provokasi di situ tetapi lelaki di hadapannya tertunduk.
“Beritahu dia, dia tidak pernah bersalah. Dari awal salah saya.”
“Dia mahu jumpa awak.”
“Erm.. tak perlulah…”
“Perlu.. sebab dia perlukan awak.. dia betul-betul sakit. Sejak balik dari Turki dan mengetahui kisah sebenar dari abangnya, keadaannya teruk. Dia termenung. Dia tak mampu membuat sebarang kerja. Dua minggu lepas dia di masukkan kehospital kerana pengsan di rumah. Dia sudah tidak pedulikan dirinya.”
“Saya tak boleh…”
“Awak boleh.. sebab… cinta untuk awak sudah bersambut.”
“Tapi… saya cacat… awak tengok sendiri keadaan saya. Saya tak mampu bahagiakan Farihah. Mungkin juga tidak mampu membuatkan dia lahirkan anak.”
“Itu ketentuan ALLAH. ALLAH sentiasa mendengar doa yang ikhlas dari hamba-NYA. Dunia semakin maju. Awak masih cintakan dia bukan?

11.
Tiga tahun kemudian.
 Balkoni hotel berhadapan Masjid Biru, Istanbul Turki.
“Tulip untuk awak.”
Satu kucupan singgah di pipi Hazim yang sedari tadi leka memandang Masjid Biru. Masjid Biru yang berwarna tanah diluarnya. Masjid yang mempunyai enam menara itu tersergam indah dan mengasyikkan.
“Ke mana tadi?” soal Hazim sambil membalas kucupan tadi. Tubuh itu dipeluknya erat dari belakang sambil tangannya memegang tulip putih dan merah. Kedua-dua mereka sedang menghadap Masjid Biru.
“Turun ke bawah. Tadi nak ajak awak sekali tapi awak masih tidur jadi saya turun seorang diri ke café.”
“Naik bawak tulip je?”
Farihah tersengih. Sudah dipesan kepada pekerja hotel supaya menghantar makanan ke bilik mereka. Sempat juga dia mendapatkan beberapa kuntum tulip dari seorang wanita yang kebetulan berada di lobi dengan sejambak tulip segar.
“Ihah tahu tak? Tulip ini bukan berasal dari Belanda?”
Farihah angguk. Tulip berasal dari Turki dan diambil dari perkataan Turki yang bermakna serban kerana bunga tulip itu sendiri bersifat tertutup. Belanda sebenarnya banyak terhutang budi dengan kekhalifahan Islam Uthamaniyah yang membawa bunga itu masuk ke Turki. Kerana tulip, Belanda terkenal sekarang.
“Sayang…”
“Erm…”
“Maafkan Zim ya? Sampai saat ini kita masih tidak punya anak.”
Farihah tersenyum. Memang dia kepingin anak tetapi kalau sudah bukan rezekinya dia redha. Mereka sudah berusaha sebaik mungkin Cuma mungkin ALLAH masih belum memberi mereka peluang menjadi seorang ibu dan ayah.
“Tak perlu minta maaf. Kita berusaha dan redha dengan ketentuan ALLAH. insyaALLAH, ada rezeki kita nanti.”
“Erm..”
“Ihah tak suka Zim macam ni. Kita datang sini untuk meraikan ulang tahun kita. InsyaALLAH mana tahu di sini, kita akan dapat rezeki dari ALLAH.”
Satu kucupan hinggap lagi di pipi Farihah. Di sini. Di bumi Istanbul, Turki ini cinta mereka bertaut dan cinta Hazim bersambut. Di sini impian bulan madu Hazim tercapai. Kalau tiga tahun lepas dia ke sini seorang diri sempena ulang tahun ke-dua perkahwinannya dengan Farihah, kali ini ulangtahun ke tiga atau paling tepat ke lima dia bersama isterinya yang tersayang.
“Terima kasih sayang… terima kasih…” perlahan Hazim ungkapkan kata-kata itu. Peluang ke dua yang diberikan sungguh amat dihargai dan janjinya tidak akan disakiti lagi wanita itu. Penerimaan Farihah akan dirinya yang banyak kekurangan walaupun pada mulanya sukar diterima dek kerana memikir Farihah mahu bersamanya kerana simpati kini bertukar degan rasa syukur pada Yang Esa. Didepan Kaabah, di bumi Mekah saat dia kembali dengan status seorang suami kepada seorang isteri bernama Farihah dia berdoa. Dia berdoa moga jodohnya yang itu adalah yang terakhir. Berdoa moga ada zuriat mewarnai rumah tangga mereka. Sesungguhnya dia pasti akan janji ALLAH.
“Ihah sayang dan cintakan Zim seadanya. Jangan dipersoalkan lagi.”
Ya, dia tidak akan mempersoalkan rasa kasih dan cinta wanita itu lagi! Terima kasih ya ALLAH! KurniaMU terlalu berharga!
Dan Masjid Biru… kau lambang cinta ini!

--------------------------------------------------------------


3 comments:

epy elina said...

hohohoho...
best r crta ni...
mmg dah agak llki 2 hazim..
btpa tulusnya cnta hazim kat ihah...
sungguh traru...
kdng2 org ssh nak mnjukan prsaan syg wlpun dia syg kat ssorg 2...
bect la cik nera...
suke2x....

MaY_LiN said...

yea...
hepi ending akhirnya

nabila said...

sgt2 best..like 1000++++