Sunday, August 15, 2010

SAMRA, KAU MILIKKU - BAHAGIAN 2

“You balik dengan I jer. I hantar.”
“Eh, akak datang naik kereta sendiri. Esok nak datang kerja macam mana?”
“I ambil.”
Pendek sahaja jawapan Idham. Samra sudah tunjuk muka. Yasmin pula berkerut-kerut mukanya mendengar Samra membahasakan abangnya dengan ‘akak’. Dia ingatkan tadi wanita yang dipanggil Kak Samra itu ada ‘sesuatu’ dengan abangnya.  Abangnya memang kuat membebel tetapi hanya dengan orang-orang yang amat rapat dengan dia sahaja. Lagi pelik, Idham tidak pula membahasakan Samra dengan panggilan ‘akak’.
“Tak apalah Am. Akak tak mahu menyusahkan Am. Sudahlah berbuka tadi, Am yang belanja.”
“Habis tu nak masuk sendirian ke kawasan parking tu?”
Samra angguk. Idham sudah mendengus sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Mahu membebel lagilah tu!
“Sekarang ni dah pukul lapan. Parking dalam tu sunyi. You tahu tak berbahaya?”
“Tak adalah bahaya mana pun. Kereta akak parking kat tepi tu jer, dekat dengan tempat keluar tu je.”
“I hantar you. Esok pagi, I datang ambil dan hantar you pergi kerja.”
“Am!!”
No excuses! Masuk kereta I sekarang. Nanti dok bertekak kat sini, maghrib entah ke mana.”
Yasmin sudah mencuit tangan Samra. Kalau dah itu kata abangnya, itulah. Jangan di bantah-bantah. Entah sampai bila perangai itu akan berubah.
Samra mendengus. Baru sekejap bersama lelaki itu sudah menggunung bebelannya. Baru sekejap bersama lelaki itu sudah dipaksa mengikut kehendaknya.
Dengan malas Samra masuk ke dalam kereta Idham di bahagian sebelah pemandu itupun setelah didesak Yasmin yang ingin duduk di belakang. Iman pun mahu duduk di hadapan bersama Samra. Terpaksalah Samra meribanya.
Keadaan jalan masih tidak kurang sesaknya. Hujan renyai-renyai menambahkan kesesakan. Mungkin sudah adat agaknya, hujan baru sahaja renyai-renyai sesaknya berkilometer. Sesekali kedengaran keluhan Samra. Rasa menyesal pula menerima pelawaan lelaki itu berbuka puasa bersama. Idham tidak ambil peduli. Tumpuannya hanya di jalan raya yang sesak. Yasmin di belakang asyik membalas khidmat pesanan ringkas atau SMS entah dari siapa. Iman pula seronok bermain patung Ben 10.
“Hari-hari you balik keadaan macam ni ke?” soal Idham setelah lama berdiam diri. Radio sudah dimatikan bila hanya kedengaran celoteh penyampai radio yang kosong sahaja.
“Aah.” Jawab Samra sepatah.
“You marahkan I ke pasal tadi tu?”
Idham sudah memandu keretanya ke kiri jalan. Sesak-sesak begini semua lorong sama sahaja. Lorong laju pun kadang kala langsung tidak bergerak. Hon yang entah datang dari kereta mana acap kali kedengaran. Ada yang sengaja membunyikan hon lalu bersambut-sambutan. Keadaan begini hon kuat dan lama mana pun tetap sama. Sabar sahajalah penawarnya.

“Tak adalah.”
Pandangan di buang jauh ke luar tingkap. Deretan kedai di kirinya menggamit pandangan Samra. Terdapat sebuah kedai mamak yang masih penuh dan padat dengan pelanggan. Disebelahnya terdapat sebuah kedai lampu yang bergermelapan dengan cahaya dari lampu-lampu pelbagai corak dan bentuk. Tempiasnya terkena kedai mamak disebelahnya juga bercahaya.
“Habis tu you diam macam ni. Cakap pun sepatah-sepatah.”
Yasmin sudah berhenti gerakan jari-jemarinya menekan butang-butang di telefon bimbit. Mencuri dengar perbualan dua orang dewasa itu.
“Tak ada apalah. Akak okey je ni.”
“Erm, kalau you marah dengan I, you cakap jer.”
“Am… akak tak marah pun. Dah tak ada benda nak cakap, diam jer la.”
“You jangan bahasakan diri you dengan I akak boleh tak?!”
Berkerut dahi Samra mendengar permintaan Idham yang tiba-tiba itu.  Serasa pelik dengan permintaan yang tidak munasabah bagi Samra. Salahkah dia membahasakan dirinya sebegitu kerana sememangnya dia lebih berusia daripada Idham?!
“Eh dah terlepas jalan ni. Am kena masuk simpang tadi tu, depan sana tu… traffic light depan tu..buat ­u-turn balik.”
Terus sahaja Idham memberi isyarat mahu ke lorong kanan sekali. Keadaan kembali sunyi. Samra masih berfikir-fikir. Idham pula kembali menumpukan perhatian ke arah jalan. Yasmin sudah tersenyum-senyum di belakang. Otaknya memikirkan sesuatu bila melihat cara abangnya itu. Dia percaya kepada rasa hatinya yang selama ini tidak pernah salah menelah. Kalau salah pun, sekurang-kurangnya dia cuba membantu Idham yang susah untuk ‘lekat’ pada sesuatu hubungan.
“Turunkan Akak kat tepi tu jer.”
“Ada surau atau masjid dekat sini tak? I rasa macam tak sempat dah ni nak solat maghrib kat rumah.”
“Ada. Am terus ikut jalan ni, lepas tu masuk simpang pertama  sebelah kiri. Depan sikit ada masjid.”
“Okey. Iman, auntie nak balik dah. Salam auntie cepat.”
Cepat sahaja Iman menyalami Samra kemudian tubuh wanita itu dipeluk erat. Perlakuan Iman membuatkan Samra terkedu dan entah kenapa dia rasa sebak semacam.
“Nanti Iman boleh jumpa auntie lagi ke?” Soal Iman sebalik tubuh wanita itu dilepaskan.
“Boleh. Nanti Iman suruh papa bawak!”
Bukan Samra mahupun Idham yang menjawab, sebaliknya Yasmin. Tersengih-sengih gadis itu bila Idham dan Samra serentak memandangnya. Yang Idham sudah berkerut dahi, Samra tanpa sebarang reaksi.
“Alah betullah kan?! Eh bang, bukan ke dah lambat nak solat maghrib? Nanti maghrib ke mana, pahala puasa pun ke mana!” terus Yasmin menukar topik. Nanti tak pasal-pasal abangnya itu membebel.
Kereta Idham hanya bergerak bila kelibat Samra menghilang di sebalik bangunan rumah flat dua puluh satu tingkat itu. Yasmin yang sudah mengambil tempat duduk disebelah Idham menyanyi-nyanyi kecil lirik yang di reka sendiri sambil ketawa-ketawa.
“Jatuh cinta lagi…. Aku jatuh cinta lagi…. Pada dia… oohhhhh…”

***
Cuti hujung minggu. Sudah pasti Ariana tidak akan berbuka di rumah. Lalu Samra mengambil keputusan untuk keluar berbuka di luar sambil itu bolehlah dia membeli barang keperluan dapur yang semakin berkurang.
Pukul enam petang Samra sudah keluar ke pusat membeli-belah. Agak pelik bila jalan tidak sesibuk selalu sedangkan hari itu adalah hari Sabtu tetapi sebaik sahaja memasuki kawasan tempat letak kereta berderet-deret kereta beratur mencari tempat letak kereta. Samra bernasib baik apabila senang sahaja mendapatkan parkir kereta sebaik sahaja sebuah kereta Satria keluar.
Auntie…”
Jeritan kanak-kanak yang berdiri dengan jarak lebih kurang seratus meter di hadapannya membuatkan Samra tersenyum lebar. Tidak sangka dia akan bertemu Iman di situ. Anak itu terus berlari mendapatkannya.
Auntie datang dengan sape?”
“Sorang. Iman?”
“Dengan umi.”
Seorang wanita bertudung litup tersenyum manis menghampiri mereka. Inikah isteri Idham? Cantik orangnya.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam. Maaflah, Iman ni excited dari tadi. Nampak dari jauh, dia dah cakap… kawan papa… kawan papa.”
“Eh tak apalah. Tak ada apa-apa pun.”
“Sorang je?”
“Aah. Ingat nak beli barang dapur tadi. Lepas tu tengok ramai sangat orang tak jadi pulak.”
“Umi.. Umi… auntie ni yang makan dengan papa ngan Acu.”
Kedua-dua wanita itu sudah ketawa kecil mendengar kata-kata Iman yang nampak begitu bersungguh-sungguh.
“Eh jomlah ke kedai. Boleh borak-borak panjang. Kalau tak keberatan berbuka sekali.”
“Tak apalah. Rasa segan pulak. Asyik menumpang orang berbuka je.”
“Ish, akak ni! Jangan cakap macam tu. Kebetulan jumpa ni kan… Iman ni pulak dua hari ni dok sebut pasal akak.”
“Apalah yang Iman cerita tu?!”
“Biasalah kak… Iman ni memang macam ni. Kalau dia dah suka dengan orang tu, dia dok ulang cerita yang sama. Jomlah kak, lagipun kat kedai tu Cuma kami berdua je. Pembantu kedai saya tu minta cuti dua hari ni, kesian pulak bulan-bulan puasa ni dia tak ada masa berbuka dengan keluarga.”
Akhirnya Samra mengangguk. Iman sudah melompat-lompat kesukaan. Jari-jemarinya tidak lepas dari memegang tangan Samra sehingga ke butik.
“Lupa pula nak tanya nama. Berborak dari tadi nama tak tahu pun.”
“Ya ALLAH kak, lupa saya. Panggil je saya Ida.”
“Ida, dah lama ke buka butik ni?”
Telefon bimbit Ida berbunyi dan mematikan perbualan mereka. Ida berbual seketika dengan pemanggil sebelum memberikan telefon bimbit itu kepada Iman.
“Papa nak cakap dengan Iman.”
Telefon itu bertukar tangan. Tahulah Samra dengan siapa Ida bercakap tadi. Patutlah wanita itu membahasakan pemanggil di sebelah sana sebagai abang. Patutlah juga namanya di sebut oleh Ida.
“Abang macam tahu je akak ada. Ni, sekejap lagi abang sampai. Katanya nak berbuka bersama. Akak tak kisah kan?”
Samra tidak angguk. Geleng pun tidak. Dia hanya tersenyum. Mahu beri jawapan apa lagi. Tak kan mahu kata tidak?!



 Bersambung ... 

5 comments:

epy elina said...

apa hgbgan ida ngn idham???
idham ni suka kat samra ka??
best2x...

Anonymous said...

eee..best citer ni..layan time puasa2 ni..hari2 la upload n3 xsabar nk bace..hehe..

Anonymous said...

murah rezeki samra...hihihi...tiap2 ari ada je orang belanja berbuka... :D bahagian 3 plis...

MissNera said...

e.elina: tunggu bahagian 3 :)

anon: terima kasih. akan di upload 2 @ 3 kali seminggu. e-cerpen ini sepanjang Ramadhan hingga jumpa syawal nanti

MissNera said...

anon: inya-ALLAH yang ke 3 menyusul selasa/rabu nanti