Tuesday, September 21, 2010

SAMRA, KAU MILIKKU - BAHAGIAN 12 : 2 - AKHIR

Lima tahun Sebelumnya.
24 Ramadhan 1426H.
Pagi-pagi lagi mereka semua sudah bersiap untuk ke Hospital. Keluarga Idham yang tiba petang semalam sebelum waktu berbuka dipelawa tidur di rumah oleh Encik Abdul Ghani dan isterinya. Mulanya Encik Mustafa menolak dengan alasan takut menganggu tetapi setelah di desak oleh ayahnya Samra, mengalah juga keluarga itu.
Buat pertama kalinya Samra bertemu muka dengan Encik Mustafa dan Puan Salbiyah. Lelaki berkumis nipis seusia lingkungan ayahnya itu nampak mesra. Berlainan pula dengan Puan Salbiyah. Entah kenapa Samra merasakan wanita yang bergelar ibu kepada Idham itu tidak sukakannya. Namun, cepat sahaja dia memujuk hati. Apa perlu dia memikirkan perasaan ibu Idham terhadapnya sedangkan dia dan Idham tidak punyai apa-apa hubungan.
Ibu dan ayah Idham tidak datang berdua sebaliknya berempat. Yang seorang itu Samra kenal benar. Yasmin. Cuma yang seorang lagi bernama Suziana itu tidak dikenalinya. Yasmin memperkenalkan Suziana sebagai teman baiknya tetapi apa yang Samra nampak gadis itu rapat dan mesra dengan Puan Salbiyah. Terbit entah rasa apa di dalam dirinya Samra tidak pasti. Cemburu?!! Ah….
Sepanjang perjalanan ke hospital Samra yang berada di tempat sebelah pemandu mencuri dengar perbualan Puan Salbiyah dan Suziana. Terbayang raut wajah Idham di ruang mata. Kemudian disatukan dengan Suziana. Jelas, mereka sungguh sepadan bagai pinang di belah dua!
Tanpa sedar dia mengeluh. Yasmin yang sedang memandu menyedarinya. Malah begitu juga Suziana dan Puan Salbiyah. Encik Mustafa pula menaiki kereta yang berlainan, dipandu oleh Encik Abdul Ghani.
“Akak.. Kenapa ni tetiba mengeluh? Apa yang akak fikirkan?!”
Matanya masih melihat ke hadapan. Jalan yang sedikit berliku itu menjadikan dia begitu berhati-hati. Al-maklumlah sudah sekian lama tidak memandu ditambah pula keadaan jalan yang begitu.
Samra masih lagi diam. Pertanyaan Yasmin langsung tidak menyinggah telinganya. Jari-jemarinya memintal hujung beg tangannya. Emosinya kini sukar dimengertikan.
“Kak…”
Sentuhan perlahan di bahunya membuatkan Samra sedikit terkejut. Terus sahaja dia memandang ke belakang.
“Akak okey tak ni?” Soal Suziana.
Pandangan Samra beralih kepada Puan Salbiyah yang turut memandangnya. Sesaat Cuma. Cepat-cepat dia melarikan pandangan. Memandang kembali Suziana. Seraya senyuman paling ikhlas diukirkan untuk gadis itu.
“Tak ada apalah. Akak okey!”
Dia kembali memandang ke hadapan. Senyumannya terukir lagi. Bertuah kalau Suziana bersama Idham. Gadis itu cantik dan manis. Muda dan sepadan dengan Idham. Lagaknya juga seperti gadis baik-baik. Pandai mengambil hati ibunya. Dari perbualan mereka semalam, nyata Suziana menyimpan satu perasan terhadap Idham dan Samra sudah membuat keputusan yang baginya terbaik untuk Idham!

***
“Mak dengan ayah masuklah. Nur duduk luar je.”
“Eh kenapa tak nak masuk?”
Encik Abdul Ghani sudah kerut dahi. Manakala yang lain sudah berpandangan.
“Er… er… Nur takut tengok darah!”
Alasan tidak masuk akal itu yang diberikan. Tersengih Samra di hujung bicara. Berharap mereka semua memahami walaupun alasan itu memang alasan paling bodoh yang diberi. Lelaki yang terlantar itu sudah pastinya sudah berbalut segala luka. Sudah tidak nampak darah lagi.
“Eh kamu ni kan… mana nak nampak darah si Am tu… dah jom masuk, jangan nak mengada-ngada.” Tegur Puan Aisyah.
“Nur nak pergi tandas kejap ya!”
“Min temankan akak!”
“Eh tak payahlah. Depan tu jer, masuklah dulu!”
Terus Samra memusingkan badan, menyusun langkah ke arah tandas yang terletak dihujung bangunan. Lama dia berdiri di hadapan cermin besar. Melihat dirinya sepuas-puas. Menilai dan membandingkan dirinya dengan Suziana. Meletakkan dirinya bersebelahan dengan Idham. Dia tersengih. Bagai pipit dengan enggang. Bagai langit dengan bumi.
Samra…. Samra… matikan rasa itu. Kau tidak layak untuk dia. Jangan nanti kau menyesal kerana mengikut rasa hati!
Ada suara yang berbisik halus ditelinganya. Samra mengeluh lagi. Dia merenung wajahnya di cermin. Wajah Idham, Suziana dan Puan Salbiyah bersilih ganti. Sebentar kemudian dia memejamkan mata. Menghembus kasar nafasnya sendiri. Rasa sebak yang hadir dibuang jauh. Lelaki itu bukan untuknya! Bukan setakat restu Puan Salbiyah yang mungkin menjadi penghalang tetapi Ida juga. Tegakah wanita itu melihat dia menjadi isteri kepada abangnya yang dahulunya adalah madunya? Izwan?! Lelaki itu ada pada Iman. Raut wajah mereka saling tidak tumpah! Sanggupkah dia melihat lelaki yang menghancurkan hidupnya di wajah anak kecil itu?! Sanggupkah?!!
Bunyi telefon bimbitnya mematikan segala pertanyaan. Nombor yang tertera itu tidak dikenalinya. Ikutkan hati dia malas menjawab tetapi jarinya tetap menekan butang yang terdapat di telefon bimbitnya.
“Hello…” Intonasi suaranya cuba diperbetulkan.
“Kak… Min ni. Akak kat mana? Cepatlah masuk. Abang ni dok marah-marah.” Bisik Yasmin perlahan.
“Lah kenapa pulak? Sakit-sakit tu pun ada hati nak marah-marah?! Tak malu langsung lah dia tu!”
“Alah macam lah akak tak tahu abang Am ni. Cepatlah kak! Kang Min takut perang dunia ke tiga pulak!”
“Yerlah. Kejap akak masuk!”
Panggilan dimatikan. Terus sahaja Samra bergegas ke wad yang menempatkan Idham. Lelaki itu memang tidak boleh dijangka. Mahu mengamuk di hadapan keluarga? Gila apa? Tak malu ke berperangai macam budak-budak di hadapan emak dan ayah sendiri!
“You pergi mana?” baru sahaja dia muncul di pintu wad suara Idham sudah kedengaran.
Toilet.”
Sepatah sahaja jawapan Samra. Sebaik sahaja dia melangkah masuk, yang lain-lainnya melangkah keluar. Terpinga-pinga Samra dengan tindakan mereka itu.
“Min… Mak…Pak..”
Senyuman sahaja yang mereka berikan sebelum mereka menghilang disebalik pintu dan meninggalkan Samra berdua bersama Idham.
“Kenapa tak nak masuk tadi?”
“Saya nak ke tandas tadi.”
“Ye ke? Ke takut nak tengok I? Yalah, I dah tak handsome macam dulu!”
Samra telan air liur. Kepala Idham yang berbalut diperhati. Turun ke muka lelaki itu yang turut bertampal.
“Mana ada…” perlahan dia menjawab.
“Habis tu kenapa you berdiri jauh sangat? I ni dah macam raksasa ke?”
Samra geleng. Kepalanya tunduk memandang lantai. Matanya sudah mula berair. Dia mahu menamatkan semua ini secepat mungkin. Dia mahu pergi dari sini secepat mungkin.
“Samra…”
Panggil Idham perlahan. Mukanya terasa sakit bila dia cuba membuka mulut tetapi dia mahu Samra tidak pergi lagi darinya. Sungguh dia amat berharap wanita itu menerima dirinya.
“You nak I bangun ke situ atau you  nak ke sini?”
Samra panggung kepala. Lantas matanya yang sudah digenangi air mata dan memerah itu bertemu dengan mata Idham.
“Sayang… kenapa you menangis ni? Samra…”
Idham mengensot sedikit ke kiri. Bagaikan mahu mencapai wanita itu. Mahu dipeluk erat. Mahu dibisikkan kata-kata pujukan.
“Am, kita tak boleh.”
“Apa yang tak boleh? I tak faham… dan apa yang you tak faham dengan apa yang I cakapkan?!”
“Kita tak boleh bersama. Kita tak sesuai.”
“Siapa yang tak sesuai dengan siapa?”
“Saya tak sesuai dengan Am!”
“Bagi I sebab kenapa you tak sesuai dengan I?”
“Kita jauh berbeza. Berbeza dari semua segi. Umur. Kedudukan. Taraf. Emak Am tak sukakan saya. Pilihlah Suziana. Dia memang sesuai untuk Am.”
Tersentak Samra apabila dia menghabiskan kata-katanya bunyi cawan pecah. Serentak itu pandangannya beradu dengan pandangan penuh amarah Idham.
“Kalau I nak Suziana.. dah lama I kahwinlah! I kenal dia bukan setahun dua. Sepuluh tahun! I anggap dia macam adik I. I tak pernah terfikir nak kahwin dengan dia dan jadikan dia isteri I. Sekali pun tak pernah! Kenapa you sesuka hati nak suruh I pilih dia?”
Suara Idham perlahan tetapi kedengaran tegas. Dia cuba menahan kesakitan yang tetiba datang menyerang.
“Dahlah Am. Saya tak mahu Am menyesal. Saya memang tak layak berada di sisi Am.”
“Okey. Itu yang you nak sangat kan?! Dahlah pergilah balik. Tak payah nak datang susah-susah tengok I. Lagipun you memang tak sudi nak tengok I kan?! You nak I kahwin dengan Suziana kan? You happy tengok I kahwin dengan dia. Betul tak? Okey, I akan tunaikan permintaan you tu! Puas hati?”
“Am…” Suara Samra sudah bergetar.
“Dah.. Dah. Pergi balik. Tak payah susah-susah nak datang sini lagi. You dengan I dah tak ada apa-apa. Memang tak pernah ada apa-apa kan? Beritahu mak dengan abah you, I ucap terima kasih sebab tumpangkan I. Nanti I bank-in kan duit I tumpang tidur dan makan tu!”
“Am!”
“I tak nak berhutang apa-apa dengan you atau dengan family you! Sekarang you boleh balik dengan gembiranya dan tunggulah kad jemputan kahwin I dengan Suziana seperti yang you inginkan!”
Rasa sakit yang dialaminya bagaikan hilang dek rasa marah yang teramat sangat terhadap Samra. Kali ini pasu bunga yang terdapat di meja tepinya pula menjadi mangsa. Berderai pasu seramik itu ke lantai.
“Am…”
“I tak mahu dengar apa-apa lagi. You boleh berambus sekarang!”
Samra terus melangkah pergi. Air matanya mengalir laju, teresak-esak dia menahan tangis. Mereka yang menunggu di luar, sedikit jauh dari wad yang menempatkan Idham terpinga-pinga.
“Nur.. Nur… kenapa ni?”
“Kita balik mak.. kita balik sekarang!”
Encik Mustafa sudah melangkah ke wad Idham. Melihat Samra yang teresak-esak sampai begitu dia pasti ada sesuatu yang tidak kena.
“Kak….”
“Mak… Abah.. kita balik jom! Maaf mak cik… Min… Suzie…”
Samra menyalami ke tiga-tiga mereka sebelum terus sahaja dia melangkah pergi. Terpaksalah Puan Aisyah dan Encik Abdul Ghani mengikut Samra. Ketiga-tiga wanita itu pula masih terpinga-pinga.

***
Dua bulan berlalu. Kelibat Idham sudah tidak kelihatan di pejabat. Cuti sakitnya yang pada mulanya hanya seminggu dipanjangkan kepada dua minggu. Kemudiannya lelaki itu meminta tambahan cuti lagi.
Tengah hari itu, kecoh satu pejabat apabila salah seorang staf Pemasaran dan Promosi mengedarkan kad kahwin berwarna emas. Paling mengejutkan Soleha dan Wirda, nama pengantin lelakinya tertera nama Idham tetapi pengantin perempuannya bukan Samra. Nora hanya tersengih. Telahannya benar, masakan Idham akan memilih Samra. Langsung tidak sesuai pada pengamatannya.
Bila kad itu sampai ke tangan Samra, wanita itu memandang tanpa sebarang reaksi. Cuma lama matanya tertancap memandang nama pengantin perempuan. Suziana. Seketika kemudian kad itu dimasukkan ke dalam laci. Baik Soleha mahupun Wirda tidak sampai hati mahu bertanya walaupun mereka benar-benar ingin tahu cerita sebenar. Sejak kembali dari bercuti, Samra banyak membisu. Sepatah yang di tanya, sepatah yang dijawab. Wajah itu mendung sahaja.
Samra membuka laci mejanya bila kedengaran telefon bimbitnya berbunyi. Tanda ada SMS yang baru masuk. Berdegup pantas jantungnya saat nama Idham tertera di skrin. Perlahan-lahan dia menekan butang di telefon bimbitnya.
Puas hati u kan? U adalah tetamu istimewa I nanti. U wajib datang. Kalau tak, u tau apa yang I nak buat! U akan malu. Keluarga u pun akan malu. Ingat tu! TQ sebab tolong I carikan isteri. U tentu gembira kan?!
Samra menarik nafas panjang. SMS itu dipadamkan dari peti masuk telefon bimbitnya dan disimpan kembali telefon itu ke dalam laci. Bagaikan tiada apa-apa berlaku dia terus menyambung kerjanya tetapi tidak lama. Seketika kemudian dia bangun dan terus ke tandas. Melepaskan segala tangisan di situ.

***
“Ikut abahlah. Nur  tak kisah. Kalau baik pilihan abah, Nur ikut jer!”
Itu jawapan Samra bila Encik Abdul Ghani memberitahu tentang lamaran anak kawannya. Pihak lelaki mahu majlis itu diadakan dua bulan dari sekarang. Pada mereka sempat untuk pihak Samra membuat persediaan. Majlis pertunangan hanya akan diadakan pada petang sebelum malam akad nikah.
“Hang buatlah apa yang patut. Surat-surat yang nak kena ada tu… lepaih tu hang bagi kat abah. Pasai hantaran semua tu, hang toksah risau. Semua tu abah dengan mak yang selesaikan. Cuma pihak pengantin minta cincin untuk lelaki tu, hang pilih kan. Depa pilih cincin apa Ita?! Susah lah abah nak sebut…”
“Platinum, bah!”
“Mana lah Nur nak tau saiz dia. Nanti terbesar lah, terkecillah!”
Samra sudah tawakal. Biarlah kali ini dia menurut pilihan keluarga. Mungkin ada sinar kebahagiaan di situ. Nama Idham sudah dibuang jauh. Lelaki itu juga akan menjadi milik gadis lain. Diganti dengan nama Mahdi. Walaupun orangnya tidak pernah dilihat tetapi setiap kali lelaki itu menghubunginya dia terasa gembira.
“Itu akak jangan risau. Bisa diatur! Ita dah ukurkan untuk akak!”
“Laju jer!”
Masita tersengih. Masakan tidak, dia telah dipertanggungjawabkan atas segalanya. Serasa bangga bercampur gembira dapat membantu kakaknya sendiri.

***
30 Rabiul Awwal 1427H
Jumaat. Pagi. Majlis Pertunangan.
Samra berdebar-debar. Rombongan pihak lelaki telah tiba. Bila dia mahu mencuri melihat, Masita dan Maihan, sepupunya menghalang. Cuba juga dicuri dengar perbualan di ruang tamu tetapi yang kedengaran suara yang tidak diketahui butir bicaranya.
“Nur, cepat keluar. Nak sarungkan cincin!”
“Lah, Nur kena keluar ke Mak Long!”
“Yalah! Macam ni pertama kali je!”
Samra tersengih. Dengupan jantungnya berdegup kencang. Dia menarik nafas panjang dan kemudiannya dilepaskan perlahan-lahan. Masita bertindak sebagai pengapitnya. Samra datang dari belakang ibu pengantin lelaki dan sebaik sahaja dia duduk dihadapan wanita bertudung hitam itu air mukanya berubah. Pandangannya berubah ke arah Masita. Adiknya itu tersenyum.
“Lah hulur tangan tu…” Ada suara kedengaran. Entah suara siapa. Terketar-ketar Samra menghulur tangannya.  Saat dua bentuk cincin disarung ke jari manisnya, air mata Samra mengalir.
“Kak.. cium tangan…”
Samra ikut sahaja. Serentak dengan itu tubuhnya dirangkul erat wanita itu. Satu kucupan penuh kasih hinggap di kedua-dua pipinya.
“Jangan menangis. Nanti orang kata apa pulak. Dah salam dengan semua orang.”
Samra ikut sahaja. Sebaik melihat kelibat Idham dan Suziana, dia bertambah keliru. Ah! Nama tunangan aku aku Mahdi! Dan Idham datang dengan calon isterinya tapi bukankah hari ini juga hari pernikahan mereka?
“Tahniah Samra…” ucap Idham sebaik sahaja dia menghampiri wanita itu.
“Sama-sama.” Cepat sahaja Samra menjawab. Mahu sahaja dia terus berlalu dari situ. Takut nanti air mata tidak dapat ditahan. Takut nanti dia tidak kuat dengan segala macam kata-kata Idham yang pasti menduganya.
“Cepatlah bergambar. Lepas tu boleh makan dah.”
Suara Puan Rasidah, emak saudara Samra kedengaran. Serentak dengan itu tangan Samra dipaut Idham. Terus di bawa gadis itu yang terpinga-pinga ke tempat di mana barang hantaran diletakkan.
“Saya sayangkan awak dan saya tidak pernah mahu melepaskan awak. Hari ini awak milik saya dan akan menjadi milik saya selamanya kecuali ALLAH yang mahukan sebaliknya.” Bisik Idham perlahan dekat dengan telinga Samra ketika orang sekeliling sibuk menyusun hantaran dan bersembang itu ini. Sudah tidak ber ‘I’ dan ber ‘you’ panggilan Idham.
“Am jangan nak mengarut boleh tak!? Malam ni saya bernikah dengan tunangan saya.” Samra berbisik juga. Kata-katanya itu mengundang ketawa kecil daripada Idham.
“Tunangan awak adalah saya. Mahdi dan Idham orang yang sama. Tak percaya tanya ibu. Kenapalah bakal isteri saya ni blur semacam ni?! Tak perasan ke semua ahli keluarga saya ada kat sini?”
“Am!” suara Samra sudah bergetar.
“Dah… dah… jangan nak menangis. Nanti rosak mekap tu. Kita bergambar dulu. Nanti saya ceritakan semuanya. Ya?”
Samra tidak menggeleng mahupun mengangguk. Selepas beberapa gambar di ambil, majlis diteruskan dengan makan-makan. Samra menghilang ke dalam bilik. Melepaskan tangisnya.
“Sayang…”
Air mata yang sudah mengalir terus dikesat dengan hujung lengan baju kurung modennya berwarna krim itu. Dia menoleh memandang Idham yang berdiri di hadapan pintu biliknya.
“Apa Am buat kat sini? Nanti orang nampak…”
“Kalau macam tu jomlah keluar. Kita cakap kat depan.”
Samra bangun dari duduknya, mengekori langkah Idham ke beranda rumah. Ada beberapa orang budak kecil sedang bermain di situ. Sebaik ternampak Samra dan Idham memasing berlari turun ke halaman rumah.
“Ini je cara saya untuk memiliki awak. Saya betul-betul dah tak tahu macam mana lagi nak memujuk awak. Saya pasti awak sayangkan saya tapi aku takut nak akuinya. Kan?”
“Suzie? Macam mana dengan Suzie? Bukan ke Am akan berkahwin dengan dia?” pertanyaan Idham di balas pertanyaan juga oleh Samra.
“Dia tidak kisah dimadukan…”
“Hah! Jangan nak mengada-ngada. Saya tak nak. Saya nak cakap dengan mak, saya nak putuskan pertunangan ni. Saya tak suka dimadukan! Saya tak nak lalui lagi semua tu!”
Samra sudah mahu berlalu tetapi laju sahaja Idham mencapai tangan wanita itu. Gilakah mahu membatalkan semua yang telah diatur!
“Lepaslah Am! Am nak saya menjerit ke?!”
“Sayang… saya bergurau je tadi. Saya dengan Suziana tak ada apa-apa perancangan berkahwin pun. Demi ALLAH, hati saya untuk seorang wanita bernama Samra Khadijah sahaja. Saya tak mahu hati saya dikongsi oleh wanita lain.”
“Habis tu? Yang kad kahwin tu semua apa?”
“Kad kahwin yang itu hanya untuk office kita. Sengaja nak tengok awak macam mana. Awak jangan tak tahu saya ada spy kat sana. Kenapa nak seksa diri awak dengan menipu diri sendiri tentang apa yang awak rasa tentang saya? Kenapa jadikan alasan tak sama taraf…umur… pandangan orang untuk kebahagian awak? Saya bukan dari golongan berada. Keluarga saya pernah susah. Apa yang saya dan adik-beradik ada sekarang datangnya dari kesusahan dulu. Taraf yang macam mana awak maksudkan Samra? Taraf kerana saya bergaji dan berjawatan lebih besar dari awak? Itu yang menganggu awak selama ni? Saya tidak pernah melihat perbezaan umur antara kita sebagai satu halangan. Saya dari mula dah tahu berapa umur awak. Saya dah tahu siapa awak. Tapi perasaan saya tetap pada awak. Susah sangat ke awak nak faham? Awak kata ibu tak suka kan awak? Atas sebab apa awak kata macam tu? Memang.. ibu memang tak yakin dengan apa yang saya buat. Bukan sebab dia tak sukakan awak tapi sebab ibu takut saya mengecewakan awak. Ibu takut saya ulangi apa yang Izwan buat pada awak. Tak lebih dari itu. Awak tahu tak ibu marahkan saya berhari-hari dengan apa yang berlaku kat hospital masa hari terakhir kita berjumpa tu?! Ibu cakap saya tak boleh berkasar dengan awak. Kena cakap baik-baik. Kena pujuk baik-baik.”
Idham berhenti di situ. Memandang Samra yang menunduk dan beberapa kali mengesat matanya. Idham menggeleng dengan reaksi Samra itu.
“Awak sayangkan saya kan? Sebab tu awak menangis sampai cuti keesokan harinya lepas dapat kad tu. Awak terima keputusan ayah awak sebab kecewakan? Setiap kali saya hubungi awak sebagai Mahdi dan berborak dengan awak, saya dapat rasakan awak tak gembira. Waktu tu nak je saya beritahu awak semuanya tetapi saya sabar sebab saya tak mahu awak buat lagi kerja bodoh awak tu!”
“Kenapa tipu saya?!” Akhirnya Samra bersuara juga. Suara yang berbaur rasa sebak.
“Itu je jalan yang saya ada. Ibu dan ayah mulanya tak bersetuju, takut nanti awak lebih marahkan saya tetapi akhirnya dorang terpaksa bersetuju. Saya berpakat dengan Suziana. Nasib baik dia bersetuju nak tolong. Kad kahwin yang sebenarnya tertera nama awak. Yang awak dapat kat office tu Min yang buat.”
“Kalau saya tetap tak mahu kahwin dengan ‘Mahdi’ tu macam mana? Am tahukan keputusan untuk berkahwin tetap atas saya. Keluarga saya tidak boleh memaksa sikit pun!”
“Saya tawakal je. Bila ayah awak telefon beritahu awak setuju, saya lega sangat. Awak tak jawab lagi soalan saya tadi. Awak sayang saya tak?”
“Am…”
“Kenapa? Susah nak cakap ‘Saya sayangkan awak’?”
“Erm.. Am dah makan belum? Kita masuk makan dululah.”
“Sayang…. Cuba jangan nak mengelak macam ni. Saya nak dengar awak cakap awak sayangkan saya.”
“Saya tak sayangkan Am… tapi saya cintakan Am!”
Laju sahaja langkah Samra meninggalkan Idham yang mulanya membeliakkan matanya tetapi senyuman lebar kemudiannya.
“Samra… Samra…”

***
Malam itu. Selepas Isya’, dengan sekali lafaz Samra bergelar isteri kepada Idham Mustafa. Pelukan erat dari Puan Salbiyah sebaik sahaja lafaz qabul daripada meniti di bibir anaknya.
“Seperti Am menerima Samra, seperti itu juga ibu terima Samra sebagai menantu ibu.”
“Dengar tu Nur! Hang jangan nak fikir bukan-bukan dah.” Sampuk emaknya, Puan Aisyah.
Seketika kemudian upacara menyarung cincin dilakukan dan saat kucupan daripada Idham mendarat di dahinya air matanya mengalir. Sehingga saat lafaz sah itu diucapkan Idham, Samra masih ragu-ragu. Kini, selepas lafaz itu sah dia berjanji pada diri ikatan itu tidak akan sesekali disia-siakan. Doa yang tidak putus terucap di hati, moga perkahwinan ini adalah yang terakhir dan momen bahagianya.
“Sayang ni suka nak rosakkan mekap ya? Cukuplah menangis tu.”
“Dia menangis gembira tu. Menangis gembira tak apa!” sampuk mak andam yang setia berdiri di sebelah pengantin.
“Am cintakan Sayang juga. Selama-lamanya.” Bisik Idham dekat dengan telinga Samra. Samra hanya membalas dengan senyuman. Saat ini dia merasakan dirinya paling bertuah dan janji ALLAH itu pasti.

"Allah swt tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"
Surah Al-Baqarah: ayat 286.

5 comments:

epy elina said...

hahhahaha.....
best2 la crta ni....
nsb mahdi 2 am...
klu mngis x brlagu la samra...

NY said...

wah bahagianya!!!!....10/10 akak bg tuk cite ni....
tahniah nera! terbaik :)

anor said...

salam...wah beginilah best ada lagi sambungan yg masih tergantung hari itu barulah tau cite sebenarnya. tk diatas happy endingnya. ada cite baru yg lain lg ke? sentiasa menyokong karya-karya nera seterusnya.

edsa said...

visiting :)

Anonymous said...

best r citer ni..kalau dpanjangkan then dbukukan rse2nye pasti dpt smbutan..ape2 pun good luck 4 next nvel@cerpen