Tuesday, October 26, 2010

DIA... FAKHRUL RAZI : BAB 1

“Kau gila eh? Dah tak ada orang lain dah ke?”
Wajah berkerut Atikah pamirkan tatkala mendengar pengakuan Eryna Sufia. Seraya wajah lelaki bernama Fakhrul Razi itu bermain di matanya. Eryna Sufia tersenyum sahaja. Jari-jemarinya leka melakar-lakar di atas kertas putih. Sebentar tadi mereka bermesyuarat bersama pasukan kreatif yang lain berkenaan dengan keluaran terbaru syarikat.
“Salah ke? Dia juga manusia kan? Bukan alien pun!”
Atikah menggeleng. Eryna Sufia dipandangnya dengan pandangan yang pelik. Masakan tidak, gadis itu berhak untuk mendapat lelaki yang lebih baik daripada Fakhrul Razi. Bukan seorang dua lelaki kacak, bergaya dan berkerjaya mahu mendekatinya. Sepanjang dua tahun gadis itu berkerja di sini, rasanya ada sahaja ajakan demi ajakan untuk keluar daripada lelaki yang diterimanya.
“Memang lah tak salah. Tapi Reen, kau tahu kan dia tu macam mana dan kau macam mana. Dia tak layak untuk kau.”
“Sebab dia macam tu kau kata dia tak layak kan? Eh dah la, buat malu aku jer cerita hal ni. Dia bukan sukakan aku pun. Jom, lunch! Aku dah lapar tahap serigala nak makan kancil dah ni.”
Perumpamaan melampau Eryna Sufia menyebabkan Atikah ketawa lepas. Perempuan ni kalau merosakkan bahasa serah kat dia! Ada ke lapar tahap serigala makan kancil!
Tanpa memperdulikan Atikah yang sibuk mengemas kembali kertas-kertasnya, Eryna Sufia terus menapak meninggalkan gadis itu. Sejak akhir-akhir ini entah kenapa ingatannya terhadap lelaki bernama Fakhrul Razi itu semakin menjadi-jadi. Sedangkan dia mahupun lelaki itu sudah sekian lama berkerja di Yume Design. Sudah mencecah dua tahun pun. Bertukar senyuman lewat tengah hari itu, membuatkan dirinya tidak tentu arah. Sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi. Gilah ah!
Wooi… cepatlah! Yang kau terjegat depan ni buat apa? Kalau dah angau tu angau gak. Depan pintu toilet ni jugak kau nak berangan!”
Terkejut besar Eryna Sufia dengan tepukan kuat di bahunya serta suara Atikah yang nyaring dekat dengan telinganya. Suara gadis itu kadang kadang boleh kalah suara Ning Baizura. Kalau suara Ning Baizura itu bolehlah diterima halwa telinga, sedap di dengar mengalunkan lagu demi lagu. Ini suara nyaring Atikah yang menyakitkan rongga telinga.
“Kau ni kan.. kalau tak menjerit tak sah! Tak tahulah macam mana Arman boleh tahan dengan kau!”
“Arman lain. Aku dengan dia cakap elok-elok. Dengan orang lain pun aku cakap elok-elok kecuali kau lah. Kau ni kalau dah mengelamun, gempa bumi pun tak sedar. Kena orang terpekik terlolong kat kau dulu. Cepatlah, nanti pukul dua ada meeting pasal annual dinner lagi. Kau tu kalau makan mahu bertahun.”
Atikah terus menerus mengenakan Eryna Sufia. Gadis bermata bulat dan berwajah ala-ala gadis arab itu memang selalu menjadi mangsa Atikah.
“Yalah. Kejap aku nak ambik purse jap.”
Seketika kemudian mereka berdua sudah menunggu lif. Rasa malas untuk menuruni anak tangga menyebabkan mereka sanggup menunggu lif walaupun bangunan itu sekadar punya empat tingkat dan mereka berada di tingkat tiga. Lif yang baru mereka naiki itu berhenti di tingkat dua.
Senyuman ke dua-dua gadis itu bertukar dengan senyuman seorang lelaki bertongkat memakai kemeja ungu muda. Tali lehernya sudah disisipkan ke dalam saku bajunya. Atikah sudah mencuit lengan Eryna Sufia. Namun, gadis itu buat-buat tidak tahu tetapi matanya tidak lepas dari memandang lelaki yang sudah membelakangkan mereka. Ah, sudah gaya perempuan gedik aku ini!
Lif berhenti ditingkat paling bawah. Lelaki bertongkat itu terus keluar dan terus ke restoran yang terletak berdepan dengan bangunan pejabat. Eryna Sufia dan Atikah melangkah sama ke restoran yang dituju. Memang di situ satu-satunya restoran masakan kampong yang terdapat di kawasan itu. Selebihnya kedai mamak dan kopitiam.
Lelaki itu menghampiri sebuah meja yang sudah didiami oleh dua orang lelaki dan seorang perempuan. Baik Eryna Sufia mahupun Atikah, masing-masing mengenali ke semua mereka itu tetapi kenal atas nama rakan sekerja semata. Tidak selebihnya. Kedua-dua gadis itu terus sahaja ke bahagian lauk pauk yang diletakkan di dalam bekas berbentuk sampan.
Handsome jugak kan dia tu?!”
Bisik Atikah dekat dengan Eryna Sufia.
“Tau tak apa!”
“Sebab tu ke kau suka dia?”
“Entah.” Sepatah sahaja Eryna Sufia menjawab. Pinggan berisi nasi separuh dihulur kepada Atikah. Gadis itu memang tidak banyak makan. Nasi separuh sudah cukup. Berlainan pula dengannya. Seleranya makin bertambah bila ternampak sambal tempoyak goreng yang diletakkan di bahagian ulam-ulaman. Makan sambal tempoyak goreng dengan ikan kembung goreng pun boleh. Walaupun lahirnya di kota, membesarnya di kota, kampung halamannya juga di kota masakan kampung menjadi makanan kegemaran utamanya.
Gerakannya menceduk nasi ke dalam pinggan terhenti bila menyedari ada seseorang yang sedang berdiri dekat dengannya. Aroma minyak wangi itu membuatkan degupan jantungnya yang tadi sekata berdegup pantas. Dia… Fakhrul Razi!
“Kak, saya nak kopi panas ya!”
Pertama kali dia mendengar suara lelaki itu dekat dengannya. Atikah yang menyedari gelagat sahabatnya itu terus sahaja mencuit sedikit kuat lengan temannya. Nasib baiklah tidak melatah gadis itu dibuatnya.
“Kau ni memang sah dah sakit! Belum lagi dia tu cakap ngan kau!”
Eryna Sufia hanya tersengih menyedari kesilapannya yang mungkin boleh memalukan diri sendiri. Atikah menggeleng sahaja. Baru sahaja mereka mahu menuju ke sebuah meja yang kosong nama kedua-duanya di panggil. Sebaik berpaling ke arah suara itu, Fikri melambai-lambai. Lelaki itu duduk bersama kumpulan lelaki bertongkat itu.
“Jom lah makan sekali. Tak kan tak sudi nak makan dengan kita orang ni!”
Ceh ayat tak boleh blah! Getus Atikah sekadar di dalam hati. Ayat yang sudah acap kali di dengar dari lelaki itu. Lelaki yang tidak pernah serik untuk mendekati Eryna Sufia. Sekali sahaja Eryna Sufia menerima pelawaan lelaki itu untuk keluar. Selepas itu ada sahaja alasan yang diberikan Eryna Sufia. Gaya lelaki itu berlagak benar. Melihat Fakhrul Razi turut berada di situ, Atikah terus menarik tangan Eryna Sufia supaya menghampiri Fikri. Entah kenapa dia pula yang beria-ria mahu ‘berkenalan’ dengan lelaki itu.
Team korang lah kan kena arrange annual dinner tahun ni?” soal seorang lelaki bercermin mata dan berambut tercacak sebaik sahaja kedua-dua gadis itu mengambil tempat. Sebagai jawapan Atikah hanya mengangguk.
Eryna Sufia yang duduk berhadapan dengan Fakhrul Razi cuba sedaya upaya berlagak tenang. Yalah, lelaki dihadapannya itu pun tenang sahaja.
“Jangan korang buat macam budak-budak admin sudahlah. Kelam kabut!”  Lelaki itu menambah. Bagaikan meluahkan kekesalan yang sudah memakan masa setahun itu. Sebenarnya semua orang sedia maklum akan hal itu. Buat malu orang atasan sahaja. Mana tidaknya, majlis makan malam yang dihadiri tidak sampai lima puluh orang, masalah yang timbul bagaikan majlis dihadiri lebih seratus orang.
“InsyaALLAH tak. Semuanya ditanggung beres! Kali ini makan cukup secukupnya!”
Dari hal majlis makan malam mereka berbual cerita lain pula. Atikah memang ramah orangnya.
“Sedap ke makan nasi dengan ikan goreng tu je?” suara yang kedengaran disebalik riuh-rendah rakan semeja bercerita itu dan ini itu membuatkan Eryna Sufia berhenti mengunyah. Entah kenapa dia merasakan pertanyaan itu ditujukan kepadanya dan pertanyaan itu datangnya dari lelaki di hadapannya. Dia menelan air liur. Di dalam pinggannya hanya ada nasi dan ikan goreng.
“Aah Reen. Asal kau ambil ikan goreng je?!” Atikah yang terdengar pertanyaan Fakhrul Razi pula bersuara. Sengaja disuarakan pertanyaan itu sedangkan dia tahu kawannya itu mengelamun tadi.
Eryna Sufia panggungkan kepalanya. Memandang Atikah dan Fakhrul Razi. Hanya sengihan sahaja sebagai jawapan. Atikah pula pura-pura buat muka berkerut.
“Dia ni banyak mengelamun. Itu yang jadi macam ni tu!”
“Ya ke? Nak kongsi tom yam ni dengan saya? Banyak ni…”
“Eh tak apalah. Saya…”
“Orang dah offer tu…makan je lah!”
Eryna Sufia tunjuk wajah tidak puas hati. Manakala Fakhrul Razi sudah tergelak kecil dengan gelagat dua orang kawan itu. Manakala, Fikri tidak senang duduk dengan apa yang dilihatnya!
Tak kan si kaki satu ni nak kacau line aku kot!

6 comments:

greeny gurlz said...

ooo....
da paham da....
best2...

epy elina said...

wah...
prmulaan yg bk...
best2x....

Strawberi Comei said...

interesting...xsabar tgu next n3,..gmbran wajah fakhrul razi saya dh leh byangkan..hehe..

p/s~guck luck kak nera..chayok2..:)

n.haliban said...

oh...FR cacat eh~

izulman said...

Another writer like Zara.. :)

cinta terindah said...

lama tak bc story miss nera...best3!!