Friday, November 5, 2010

DIA... FAKHRUL RAZI : BAB 2

Eryna Sufia ke hulu ke hilir bagaikan mengukur luas ruang bilik sederhana besarnya itu. Mukanya masam mencuka. Fikri yang berlagak ala-ala mat romeo sanggup terpacak di hadapan rumah  dengan sejambak besar ros merah selagi Eryna Sufia tidak keluar dari rumah.
I akan tunggu sampai you keluar jumpa I!
Eryna Sufia tidak peduli akan mesej daripada lelaki itu. Telefon bimbitnya sudah dicampak entah ke mana. Atikah pula malas masuk campur. Dibiarkan Eryna Sufia bersendirian di dalam bilik. Manakala dia menonton televisyen di ruang tamu bawah. Bukan tidak mahu mengambil berat atau prihatin dengan temannya itu tetapi dia tidak tahu mahu mengusulkan apa. Entah kena rasuk apa sanggup si Fikri itu terpacak hampir satu jam di hadapan rumah. Yang dia pasti Eryna Sufia tak akan mungkin melayan lelaki itu. Tunggulah sampai pagi esok pun, belum tentu Eryna Sufia akan keluar. Bawalah seratus jambak bunga pun, hatinya tidak akan berkutik sedikit pun.
“Mamat kat depan tu cari siapa? Dok terjenguk-jenguk.”
“Orang gila! Dok tunggu Kak Rin.”
Beritahu Atikah kepada Wardah yang baru keluar daripada biliknya. Wardah tidak bertanya lagi. Faham benar dengan perangai Eryna Sufia.
Selang beberapa minit kemudian, kedengaran langkah Eryna Sufia menuruni anak tangga. Di tangannya terdapat segugus kunci.
“Kau nak keluar jumpa dia ke?” soal Atikah.
“Ish.. tak kuasa aku. Aku nak keluar senyap-senyap. Ikut pintu belakang. Korang nak ikut tak?”
“Pergi mana?”
“Mana-manalah. Makan ke?! Dari dok rusuhkan hati memikirkan mamat psiko tu ada baik kenyangkan perut!”
“Kereta kau park kat mana? Aku takutkan nanti dia perasan je!”
“Taknya. Aku parking kat tepi sana. Tadi parking depan ni penuh. Cepatlah, kalau nak ikut!”
“Adah nak ikut boleh?”
“Ish budak ni… kalau nak ikut cepatlah. Akak dah rasa nak termuntah dengan mamat bengong tu!”
Bergegas Atikah dan Wardah masuk ke bilik masing-masing. Tidak sampai tiga minit masing-masing sudah berada di bawah.
“Tak payah tutup lampu.”
“Kau ni betul-betul nak buat kejam dengan Fikri ke?”
“Alah, kau tengoklah nanti. Kita balik batang hidung pun dah tak nampak!”
Atikah anggukkan kepalanya beberapa kali. Bersetuju dengan kata-kata kawannya itu. Lelaki seperti Fikri memang suka berlagak romantik. Suka menunjuk konon-kononnya ikhlas.
“Kau tak nak bagi dia peluang ke? Kot-kotlah dia boleh berubah jadi lelaki Melayu sejati!”
Eryna Sufia sudah membeliakkan matanya memandang Atikah. Dia sanggup tidak berpacaran dari memilih Fikri yang otak sebelah itu. Mukanya sahaja persis Christian Meier, pelakon latin kesukaan Eryna Sufia tetapi perangai tak semengah. Fakhrul Razi juga yang menambat hati. Eryna tersenyum lebar bila figura lelaki itu bertamu di ruang mata. Ah, aku seorang sahaja yang tergila-gilakan dia! Dia?!
Weh, yang kau tetiba tersengih semacam ni kenapa? Gila kah?”
“Entah macam bercintalah nak buka gate! Cepatlah, Adah dah lapar ni!”
“Yalah! Yalah! Kejaplah. Macamlah korang tak tahu gate ni dah berkarat. Susah sikit nak buka!” Eryna Sufia memberikan alasan. Kedua-dua teman serumahnya hanya mencebik. Eryna Sufia. Berangan. Kelam kabut. Itulah dia!
Selang beberapa minit, kereta kelisa milik Eryna Sufia sudah meninggalkan kawasan perumahan yang mereka duduki. Bergelak sakan mereka bila ternampak batang tubuh Fikri yang mundar mandir di hadapan rumah.
“Aku belanja korang makan satay Haji Samuri!”
Yes!!”
Sejurus mereka tiba di restoran tersebut terus sahaja mereka ke tingkat atas tetapi baru sahaja di hadapan pintu masuk di tingkat atas itu masing-masing patah balik. Ruang makan di tingkat itu sudah penuh. Terpaksalah mereka turun ke ruang makan tingkat bawah.
“Eh itu bukan Fakhrul Razi ke?”
Atikah sudah mencuit lengan Eryna Sufia sambil berbisik perlahan. Secepat kilat pandangan Eryna Sufia mengikut arah mata Atikah. Ya, benar lelaki yang duduk selang empat buah meja dari pintu masuk restoran itu. Fakhrul Razi yang leka melayan anak kecil di sebelahnya bagaikan menyedari dirinya diperhati. Serentak itu pandangan mereka bertemu. Senyuman terukir di bibir lelaki itu Teragak-agak Eryna Sufia membalas senyuman itu. Terasa kekok dan ‘kaku’ senyumannya itu. Kehadiran lelaki berbaju oren menunjukkan tempat kepada mereka menyelamatkan Eryna Sufia daripada situasi canggung itu.
“Dia dengan siapa tu?”
“Entah. Keluarga dia kot.”
“Anak dia ke?”
Eryna Sufia menelan air liur. Mana mungkin anaknya! Setahu dia lelaki itu masih belum berkahwin. Ah, aku tak tahu apa pun pasal dia! Entah-entah betul tu anak dia!
Weh akak berdua! Abang ni dah terpacak kat sini menunggu order!”
Wardah sudah menegur. Lelaki berbaju oren itu hanya tersenyum sahaja. Perkara seperti itu bukanlah kali pertama berlaku kepadanya dan rakan sekerjanya yang lain.
Mereka memesan makanan dan sebaik sahaja pekerja lelaki itu berlalu telefon bimbit Eryna Sufia berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Tertera nama Fakhrul Razi di skrin. Serentak dengan itu Eryna Sufia terus berpaling ke belakang. Berbalas senyuman dengan lelaki itu sebelum dia membaca pesanan ringkas daripada lelaki tersebut.
Eryna, awak kelihatan lebih cantik bila bertudung seperti hari itu.
Panas menyerbu ke muka. Malu bukan kepalang. Senyuman yang tadinya terukir menghilang. Namun, mesej itu tetap dibalasnya.
Terima kasih.
Seringkas itu balasannya.

No comments: