Tuesday, November 16, 2010

DIA... FAKHRUL RAZI : BAB 5

Eryna Sufia diam membisu bila balik dari keluar bersama Fakhrul Razi. Keadaannya itu membuatkan Atikah yang leka mengadap komputer ribanya di ruang tamu sambil menonton rancangan Guess Guess Guess. Tanpa sebarang kata-kata gadis itu terus berlalu ke tingkat atas. Lain benar dengan perangainya sebelum ini. Segera dia meninggalkan ruang tamu dan terus ke bilik. Dilihat Eryna Sufia sedang duduk termenung dihujung birai katil. Di tangannya ada sebungkus platik berwarna hijau yang memang diketahui oleh Atikah dari gedung mana.
“Ryn?! Kau okey tak ni?”
Eryna Sufia memanggungkan kepala. Matanya memerah dan air mata merembes keluar dari kelopak matanya. Kalut jadinya Atikah melihat Eryna Sufia begitu.
“Kenapa ni Ryn? Bagi tahu aku… pasal Fakhrul ke?”
Gadis itu tidak menjawab sebaliknya dihulurkan bungkusan di tangannya kepada Atikah. Cepat sahaja Atikah menyambut dan mengeluarkan isi di dalamnya. Tudung?!!
“Fakhrul belikan aku. Dia kata dia mahu aku bertudung.”
“Alhamdulillah. Dah tu kenapa kau menangis?”
Lega hati Atikah mendengarnya. Sekurang-kurangnya perkara yang membawa kepada rakannya itu menangis bukanlah sesuatu yang ditakutinya.
“Tak pernah ada orang memperbetulkan aku dengan cara begini. Ayah aku sendiri pun tak pernah menegur aku supaya bertudung. Malah tidak pernah membelikan aku walau sehelai tudung pun!”
Atikah mengambil tempat di sebelah Eryna Sufia. Bahu gadis itu disentuhnya perlahan. Entah kenapa hatinya juga menjadi sebak. Sebak kerana memikirkan selama ini juga dia tidak pernah menegur Eryna Sufia. Tidak pernah memberi dorongan untuk gadis itu menutup aurat. Melihat Eryna Sufia yang tidak pernah culas menunaikan solat tanpa sebarang sebab, dia bagaikan terkunci mulut mahu menegur dan memperbetulkan rakannya itu. Sungguh dia lupa, sempurnanya diri seorang muslimah adalah bila dia menunaikan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-NYA.
“Syukur Ryn, Fakhrul menegur kau untuk menjadikan kau seorang yang sempurna.  Sempurna di mata ALLAH.”
“Tapi aku tak mahu menipu diri aku. Aku tak bersedia dengan semua ini dan aku tak mahu bertudung kerana Fakhrul.”
“Jujur, aku bukan alim tentang ilmu agama. Aku jahil juga tapi bagi aku, aku menganggap apa yang terjadi ini atas izin ALLAH. Anggaplah ALLAH menggerakkan hati Fakhrul Razi menegur kau supaya kau menjadi seorang muslimah yang benar-benar muslimah. ALLAH juga menggerakkan hati dia untuk membelikan kau tudung-tudung ni.”
“Nanti budak-budak office kata apa pulak?!”
Atikah mengeluh. Tubuh rakannya itu ditarik supaya menghadapnya.
“Biarlah dorang nak kata apa. Kau mahu menunaikan kewajipan kau sebagai seorang perempuan Muslim bukan kau mahu menjadi pelacur.”
Eryna Sufia mengesat air matanya yang masih mengalir. Di dalam kereta tadi, dia lebih banyak membisu. Dibiarkan Fakhrul Razi memandu sambil mendengar lagu yang berkumandang. Itu adalah kali pertama dia menaiki kereta Honda Civic milik lelaki itu yang telah diubahsuai untuk kemudahannya.
“Saya tidak berniat buat awak macam ni. Maafkan saya ya?”
Perlahan sahaja kata-kata yang dituturkan oleh Fakhrul Razi sebaik sahaja keretanya berhenti di hadapan rumah Eryna Sufia. Sungguh menyentuh perasaan gadis itu. Suara itu bagaikan memujuknya.
“Nanti aku tolong ajarkan kau cara pakai selendang ni tapi kau mesti janji dengan aku satu perkara. Walau kau tak selesa macam mana sekalipun bertudung, sekali kau dah bertudung jangan kau tanggal-tanggal. Jangan kau permainkan tudung ni walau atas apa sebab sekalipun!”
Eryna Sufia tersengih. Dia tahu itu. Memakai tudung itu bukan sekadar menutup kepalanya. Ada maruah yang harus dijulang tinggi dan Eryna Sufia nekad untuk menjaganya. Dia mahu bertudung kerana ALLAH dan dia mahu mempraktikkan apa itu aurat yang wajib ditutup dengan sebenar-benarnya.
“InsyaALLAH.”
Atikah tersenyum. Dia pasti Eryna Sufia akan berjaya mengharungi setiap apa yang bakal berlaku selepas ini dengan imejnya itu. Selama ini, Eryna Sufia yang dikenalinya adalah seorang gadis yang baik. Dia tidak suka berpakaian menjolok mata, tidak suka memakai pakaian ketat-ketat. Malah, Atikah yakin tiada satu pun pakaian gadis itu yang tidak sesuai dengan imej bertudung.
“Aku akan berdoa untuk kesejahteraan kau, Ryn. Sungguh, aku sangat gembira dengan kehadiran Fakhrul Razi dan aku suka kalau kau dan dia bersama.”
“Dia macam tak hati dengan aku pun. Entah-entah aku yang terhegeh-hegeh nak kan dia.”
Eryna Sufia sudah mulai ketawa kecil. Sejak mereka mulai rapat, tidak pernah sekali pun dia merasakan lelaki bernama Fakhrul Razi itu menyimpan perasaan kepadanya.
“Aku tak percaya. Mahu aku tolong kau?” tanya Atikah dalam senyuman yang mengandungi seribu satu rencana.
“Kau jangan buat gila tau, Atie! Malu aku nanti.”
“Tak lah. Kau jangan risau, Rabu nantikan kita ada annual dinner. Kau pura-pura sibuk…”
“Tak payah pura-pura, aku memang hari tu sibuk!” sampuk Eryna Sufia.
“Dengarlah dulu. Aku tak mahu kau bercakap langsung dengan Fakhrul. Biar aku yang bercakap dengan dia.”
“Kau jangan malukan aku pulak.”
“Serahkan pada aku! Aku tahulah…”
Senyuman yang terukir di bibir Atikah sedikit ‘menakutkan’ Eryna Sufia. Malu besar dia kalau lelaki itu langsung tidak punya hati dengannya!
***
Hari itu adalah hari pertama Eryna Sufia bertudung ke pejabat. Dia sudah nekad. Ada benar kata-kata Fakhrul Razi. Lama-lama nanti dia sudah terbiasa dengan bertudung. Benar juga kata-kata Atikah, dia bersolat selama ini tetapi tidak menjalankan tanggungawab sebagai seorang muslimah yang sebenarnya.
Stella, Robert serta Mei Chin yang melihat perubahan terbarunya mengucapkan tahniah. Begitu juga dengan ketuanya, Miss Suzanne. Perubahan yang diterima baik oleh ketuanya serta rakan sekerja yang lain sungguh menggembirakannya.
Dua hari sebelum membuat keputusan untuk bertudung, Eryna Sufia berfikir semasak-masaknya. Dia berdoa akan keberkatan dari ALLAH S.W.T. Dia telah sampaikan berita itu kepada ibunya. Walaupun tidak bersua muka, dari suara ibunya dia pasti ibunya benar-benar gembira. Bila di tanya, macam mana dia boleh terbuka hati untuk memakai tudung Eryna Sufia hanya diam dan akhirnya dia sekadar memberitahu ibunya, pintu hatinya terbuka dengan sendirinya. Mahu menyebut nama Fakhrul Razi serasa tidak keluar pula dari mulutnya. Lagi pula, nanti panjang pula soal jawab ibunya. Ibunya itu pantang mendengar dia berkawan dengan lelaki. Dia ingatkan semuanya calon menantu.
Sedang dia leka mengingat perbualan telefon bersama ibunya, telefon bimbitnya berbunyi. Bila lagu itu berkumandang, dia sudah tahu siapa pemanggilnya.
“Assalamualaikum, bu.”
“Waalaikumsalam. Along kerja ke?”
“Aah, tengah kerjalah ni. Kenapa bu call Along ni?”
“Ibu nak tanya siapa Fakhrul Razi?!”
“Hah?”
Terkejut besar Eryna Sufia bila mendengar ibunya menyebut nama lelaki itu. Dari mana ibunya tahu berkenaan lelaki tidaklah diketahuinya.
“Ibu tanya siapa Fakhrul Razi. Ada orang beritahu ibu Along bercinta dengan dia! Betul ke?”
“Siapa beritahu ibu?”
“Siapa beritahu ibu itu tak penting?! Betul atau tidak itu yang ibu nak tahu.”
Tegas bunyi suara ibunya. Eryna Sufia sudah bangun dari tempatnya. Memberi isyarat kepada Robert bahawa dia mahu keluar sekejap. Lelaki itu mengangguk bila melihat telefon bimbit gadis itu di telinga.
“Ibu… Along dengan dia Cuma berkawan setakat ni tapi tak tahulah esok lusa.”
Perlahan Eryna Sufia mengatur bicara. Dia pasti ibunya telah diberitahu tentang kekurangan Fakhrul Razi yang itu.
“Ibu tak suka Along bercinta dengan lelaki macam dia tu. Dah tak ada lelaki lain yang cukup sifat nak dibuat suami?”
“Ibu… Along tak mahu bertengkar pasal hal ni dengan ibu. Fakhrul Razi tak seteruk yang ibu sangka.”
“Ibu tak mahu anak ibu berkahwin dengan lelaki cacat. Tak kiralah siapa dia pun. Dengar tu!?”
“Erm… ibu, Along sibuk. Nanti Along call ibu lagi. Assalamualaikum.”
Sebaik mendengar jawapan salam daripada ibunya, terus Eryna Sufia mematikan panggilan. Air matanya bergenang tiba-tiba. Belum apa-apa lagi, Fakhrul Razi sudah ditolak ke tepi!
Salahkah dia jatuh cinta dengan lelaki cacat itu? Apa salahnya Fakhrul Razi dilahirkan begitu?



4 comments:

dandelion kiss said...

dah baca dan kita suka.
yang ada ayat tergantung...tapi minor je errornya..

suka watak FR.
btw, keep it up!

epy elina said...

napa la ibu eryna 2....
bkn fakhrul mnta dia jd cacat...
2 smua takdr dr Allah....
klu cnta eryna iklas....
brusahala untk mrbut cnta fakhrul....

MaY_LiN said...

cedihnye..
nak FR gak..
hihihi

NICK IRFAN said...

la... cerpen ke? sy ingatkan cte pasal awak td... heheh menarik jgk cerpen ni...