Friday, December 10, 2010

DIA.. FAKHRUL RAZI : BAB 11

Teksi itu di pandu terus ke stesen bas. Keadaan di dalam teksi sunyi sepi. Radio baru sahaja dimatikan oleh pemandu teksi tersebut dek kerana siaran yang kerap kali terjejas. Eryna Sufia diam melayan fikiran. Figura lelaki bernama Fakhrul Razi itu bermain di matanya. Susah benar menjauh.
Entah kenapa jauh di sudut hatinya merasakan lelaki itu punya rasa yang sama dengannya. Rasa cinta! Itu dia pasti. Cuma dia tidak tahu kenapa susah sangat lelaki itu untuk mengakuinya. Kerana kekurangannya yang itu kah?
Ah malas aku nak fikir! Dia memang tak sukakan aku! Kalau dia suka tak adalah dia nak tengking aku macam tadi!
Akhirnya itu yang Eryna Sufia putuskan. Dia tidak mahu lagi memikirkan tentang perasan Fakhrul Razi terhadapnya. Nanti dirinya juga yang merana. Cukup-cukuplah dia merasa derita kerana cinta.


Dua hari kemudian.
Surat perletakan jawatan yang sudah disiapkan Cuma tinggal untuk diserahkan kepada Suzanne masih berada di dalam laci mejanya.
Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Tapah dua hari sebelumnya, dia memikir-mikir untuk tidak mengendahkan Fakhrul Razi. Dia sudah serasi dengan kerja dan persekitaran kerjanya. Sayang kalau ditinggalkan hanya kerana lelaki itu.
“Kau buat derk ajer dengan dia. Kita bukan satu department pun. Aku pasti lambat laun nanti perasaan kau kat dia tu dah tak ada.”
Atikah tidak mahu temannya itu mengambil keputusan melulu. Mencari kerja sekarang bukan senang. Kalau ada pun takut nanti menjadi masalah pula untuk menyesuaikan diri. Lagi pula, serasa macam ada yang tidak kena bila mengetahui Fakhrul Razi menipu Eryna Sufia berkenaan hal pertunangan itu. Walaupun dia tidak rapat dengan Fakhrul Razi tetapi dia pasti lelaki itu tidak akan menipu tanpa sebab.
Dua hari ini, Fakhrul Razi mengambil cuti kecemasan. Entah betul atau tidak Atikah tidak tahu. Dia yang bertanya kepada rakan sekerja lelaki itu diberitahu lelaki itu punyai hal kecemasan yang perlu diuruskan. Nombor telefon lelaki itu tiada pula dalam simpanannya. Mahu meminta dari Eryna Sufia pasti dirinya akan dimarah gadis itu. Mahu meminta kepada rakan sekerja lelaki itu serasa segan pula. Akhirnya dia menunggu lelaki itu kembali bekerja.
Dua hari ini juga Fitri kembali menghubungi Eryna Sufia tetapi kali ini lelaki itu lebih tenang. Pelik juga Atikah dengan sikap lelaki itu. Akal jahatnya mula menelah yang bukan-bukan.
“Weh, kau fikirkan apa? Dari tadi dok berkerut muka tu. Ni kita orang nak pergi makan pizza. Nak ikut tak?”
Bila Eryna Sufia menyebut ‘kita orang’ itu, sudah pastinya tiga orang lagi rakan sekerja mereka turut serta. Sesekali mereka akan keluar makan tengah hari bersama.
“Mestilah aku nak ikut. Kalau aku tak ikut, aku nak makan dengan siapa!”
“Dah tu cepatlah. Dorang pergi dulu. Mei Chin nak ke bank.”
Cepat-cepat Atikah mencapai beg tangannya dan terus menyaingi Eryna Sufia yang sudah bergerak ke pintu lif.
Lif berhenti di tingkat dua. Eryna Sufia lepas nafas kasar. Atikah faham benar kenapa. Tentu sahaja temannya itu tidak mahu bertembung dengan Fakhrul Razi.
Sebaik pintu lif terbuka, susuk tubuh yang sedang menunggu lif itu mudah sahaja dikenali. Atikah telan air liur. Tidak tahu mahu pamerkan wajah apa bila bertentang mata dengan Fakhrul Razi. Eryna Sufia yang berada di sisinya sudah pamer muka masam mencuka.
Lambat-lambat sahaja Fakhrul Razi melangkah masuk. Mengambil tempat di hujung sebelah kiri di bahagian depan. Atikah sudah garu kepala. Keadaan itu janggal benar rasanya.
Lif ni pun sama! Asal macam lambat semacam jer turunnya! Getus Atikah di dalam hati. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Eryna Sufia bergegas keluar. Laju sahaja langkahnya dengan muka masam mencuka. Atikah yang terkedek-kedek mengikutnya sempat menoleh ke belakang, ke arah Fakhrul Razi. Lelaki itu masih di dalam lif, merenung langkah Eryna Sufia yang makin menjauh. Sehinggalah pintu lif tertutup.
“Ryn! Ryn! Tunggulah aku… yang kau cepat sangat jalan ni kenapa?”
Atikah sudah menarik tangan temannya. Lelah jadinya dia mengikut langkah pantas Eryna Sufia. Kalau masuk lumba jalan kaki Olimpik ni kalah atlit Kenya macam ni! Gerutu Atikah di dalam hati.
“Kenapa kena bertembung dengan dia?! Menyampahnya!!”
“Lah kau ni, kita ni satu bangunan. Memanglah kebarangkalian nak jumpa tu tinggi. Tak baik tau kau buat muka macam tu dengan Fakhrul.”
“Dia tengking aku baiklah macam tu?”
Sebaik memasuki keretanya, pintu kereta di tutup kasar. Mengucap panjang Atikah. Angin putting beliung Eryna Sufia sudah melepasi had terkawal gamaknya. Sampaikan benda yang tak bersalah menjadi mangsa.
“Dia tak sengajalah tu.” Jawab Atikah perlahan.
“Kalau dia tak suka aku tak payah nak tengking-tengking macam tu. Cakap jer lah!”
Enjin kereta sudah dihidupkan.
“Okey… okey.. kita lupakan pasal Fakhrul. Biar aku drive. Aku takut nanti kalau kau yang bawa kereta, mau kita berdua masuk hospital.”
Eryna Sufia tidak membantah. Ke dua-duanya keluar semua dari kereta dan bertukar tempat. Sepanjang perjalanan itu Eryna Sufia diam membisu. Begitu juga Atikah. Sesekali Atikah menoleh kea rah temannya. Menggeleng perlahan dia melihat Eryna Sufia yang sudah memerah matanya.
Kembali sahaja ke pejabat selepas makan tengah hari, Atikah terus mencari Fakhrul Razi. Dia mahu penjelasan daripada lelaki itu tentang hal yang melibatkan temannya.
“Kenyang ke makan roti tu?” sapanya yang menyebabkan Fakhrul Razi sedikit tersentak. Senyuman tersungging di hujung bibir Atikah melihat reaksi lelaki itu.
“Awak nak jumpa siapa?” soal lelaki itu walaupun dia dapat mengagak.
“Awaklah. Kenapa awak tipu Eryna? Awak tipu saya juga tau!”
Fakhrul Razi bangun dari tempatnya. Memandang sekeliling. Takut-takut ada rakan sekerjanya  yang mendengar.
“Jangan risaulah. Ada sepuluh minit lagi. Jadi, jawablah soalan saya.”
“Dia okey ke?”
“Awak tengok okey ke tak?”
Lelaki itu diam.
“Dia marahkan awak sebab tengking dia. Betul ke awak tak cintakan dia?”
Fakhrul Razi mendengus. Soal ini ingatnya sudah berakhir. Rupanya tidak. Kali ini pertanyaan itu datangnya daripada Atikah pula.
“Ya, saya tidak cintakan dia.”
“Kenapa?”
Dahi Fakhrul Razi sudah berkerut. Pertanyaan Atikah itu baginya tidak masuk dek akal.
“Perlu ke saya beri sebab?”
“Mestilah sebab saya fikir awak cintakan dia. Saya dapat rasakan masa awak renung dia tadi. Muka awak nampak sedih sangat.”
Benar itu yang Atikah nampak ketika peristiwa di lif tadi. Renungan lelaki itu dan raut wajahnya bagai dapat ditelah. Ada rasa cinta di hatinya untuk Eryna Sufia tetapi rasa itu tersembunyi. Mungkin kerana terlalu merendah diri atau pun ada sesuatu yang menghalangnya untuk berterus-terang.
“Mengarutlah. Saya anggap dia kawan. Tak pernah lebih daripada itu dan saya sedar siapa diri saya untuk jatuh cinta dengan wanita seperti Eryna. Fitri lebih layak.”
“Oh macam tu ye?! Baguslah kalau macam tu. Lagi pun memang Eryna dah terima Fitri. Eryna pun dah mula terima dia. Memang dari dulu saya suka Eryna dengan Firti. Memang sepadan. Sama cantik sama padan. Dua-dua muka ala-ala pan-Asia. Saya datang nak tanya jer. Bukan nak suruh awak pujuk Eryna pun. Okeylah, saya naik dululah. Erm… harap awak jangan hubungi Eryna walaupun sebagai kawan selepas ni.”
Rona wajah Fakhrul Razi sudah berubah. Atikah suka melihatnya tetapi dia terpaksa berpura-pura, riak wajah tegas dipamer. Sebaik menoleh meninggalkan Fakhrul Razi, Atikah sudah ukir senyuman.
Ada cinta di hati Fakhrul Razi untuk Eryna!


 ---------------------------------------------
Dikesempatan ni MN nak ucapkan terima kasih kepada Kak Sofi yang tolong mempromosikan blog MN. Terima kasih ye kak... Daku pun silent reader blog akak juga! ^_^. [ klik pada nama Kak Sofi untuk membaca karya-karya beliau]

4 comments:

hana_aniz said...

weuuu~. fakhrul tak nak rebut cinta eryna ke?

aqilah said...

mesti fakhrul pernah lalui sebelum ni......dimaki oleh pihak perempuan.......his past!!!! apapun, best!!!!!!!!!!!

MaY_LiN said...

nape tamau ngaku..
eeii..geram nye ngan FR ni tau

dandelion kiss said...

yang,
perenggan ke tiga last,

'...walapun sebagai selepas...'
sedikit tergantung tu.
btw, daku tetap suka!
boleh tak kalau ckp tak nak FR sebab dia marah Eryna...takde hero lain ke?
=)