Tuesday, January 11, 2011

PADA DETIK ITU... : BAB 1

Puntung rokok itu dipijak-pijaknya supaya padam. Serentak dengan itu seorang gadis berbaju uniform hijau dan biru yang sudah kusam warnanya menyapu puntung rokoknya itu ke dalam penyodok. Kaget seketika Idlan. Entah kenapa mukanya panas membahang. Matanya bertemu dengan mata redup gadis itu. Tiada senyuman sekadar anggukan kecil dari gadis bertudung hitam yang agak senget-menget.
“Bi… you tercegat kat situ kenapa? Masuklah!”
Sergahan Mell sedikit mengejutkan Idlan. Lantas sahaja langkah di atur memasuki butik pakaian itu. Ikutkan hati dia malas mahu mengikut teman wanitanya itu membeli-belah. Mana tidaknya, penghabisannya duitnya juga menjadi taruhan. Itu ini yang dibeli gadis itu setiap kali mereka keluar bersama. Nasib baiklah mereka jarang bertemu kerana tugasnya sebagai pramugara membataskan pertemuan mereka. Dia sanggup terbang bertugas daripada melayani karenah Mell tetapi selepas ini dia tidak dapat lari daripada gadis itu. Dia telah meletakkan jawatan disebabkan desakan ayahnya yang mahu dia terbabit dalam urusan perniagaan syarikat. Masa lima tahun yang diperuntukkan oleh ayahnya untuk dia merasa menjadi seorang pramugara akan tamat dalam masa dua bulan lagi.
“Baju ni cantik kan Bi? I nak boleh?”
“Ambillah yang mana you suka.”
Acuh tak acuh sahaja Idlan menjawab sedangkan matanya masih tidak lepas dari memandang gadis penyapu sampah di luar. Rasa simpatinya mencurah-curah untuk gadis itu. Pelik dengan perasaannya sendiri kerana selama ini dia tidak pernah merasakan perasaan itu bila melihat tukang-tukang sapu baik di gedung membeli-belah atau deretan kedai.
Mell yang sungguh gembira mendengar kata-kata Idlan terus memilih lagi beberapa helai pakaian. Dia tidak peduli dengan gelagat Idlan yang asyik memandang keluar.
“Kau pandang siapa?”
Pembantu butik yang sudah lama mengenali pasangan kekasih itu bertanya setelah melihat Idlan yang memandang gadis berpakaian seragam lusuh itu.
“Tak ada siapalah.”
“Kau pandang budak yang menyapu tu ke?”
Senyum lebar lelaki yang berperwatakan lembut itu bila telahannya mengena. Masing memandang Mell yang sudah tenggelam dalam dunianya. Gadis itu kalau seratus kali dibawa ke butik pun tahap keterujaannya tetap sama. Tetap empat lima pasang pakaian di belinya. Pantang sahaja ada koleksi baru habis disambarnya.
“Budak perempuan tu baru jer kerja. Bangunan-bangunan kat area sini dia yang bersihkan. Sapu-sapu jer dengan mop sikit-sikit. Kalau dia ada masa, butik ni pun dia tolong bersihkan. Madam Yong bagilah dia lima belas ringgit sekali bersih. Rajin budak tu.”
Tanpa di suruh lelaki bernama Imran itu bercerita.
“Budak mana?”
“Budak Orang Asli, duduk dekat Desa Temuan, belakang ni jer.”
“Ada kampung Orang Asli ke kat belakang ni?”
Dahi Idlan sudah berkerut. Semacam tidak percaya dengan kata-kata Imran. Sudah dua tahun dia duduk di kawasan ini tetapi tidak pula diketahui adanya kampung Orang Asli di kawasan ini. Pandangannya sudah meliar mencari kelibat gadis itu sudah menghilang dari pandangan.
“Ada lah. Kau ingat apa?! Sekarang ni Orang Asli bukan macam Orang Asli dulu tau! Budak tu tak bernasib baik sikit jer. Dia tu tamat tingkatan lima. Pandai budak tu tapi nasib tak menyebelahi dia. Dia ni asal dari Pahang. Mak bapak dah meninggal. Pak cik dia pulak ambil kesempatan nak jual dia kat  barua mana entah. Nasib baik dia ada kenal kawan-kawan kat sini, lari dari kampung terus datang sini. Datang sini terus dapat kerja sapu sampah. Aku ada suruh dia minta kerja kat office atas ni, jadi kerani. English budak tu bagus jugak.”
Bersungguh-sungguh Imran bercerita dan bersungguh-sungguh Idlan mendengar. Rasa simpati menyelinap ke seluruh ruang diri.
“Gaji dia jadi tukang sapu tu berapa?”
“Awat? Kau nak bagi kerja cabin crew kat dia ke?”
Imran ketawa kecil. Manakala Idlan pula menyambut ketawa lelaki itu dengan senyuman panjang.
“Jadi maid aku. Dari aku bagi duit aku kat orang luar, balik aku bagi orang Malaysia sendiri kan? Tapi kau jangan beritahu Mell… perempuan tu bukan boleh sangat. Dengan budak tukang sapu pun dia nak cemburu lebih-lebih. Tak kuasa aku nak pujuk-pujuk dia. Kalau pujuk guna air liur tak apa, ini pakai duit aku!”
Suara Idlan semakin perlahan. Takut Mell terdengar perbualan mereka. Nanti haru biru jadinya. Imran sudah ketawa tetapi cepat-cepat sahaja tapak tangannya menekup mulutnya sendiri. Idlan sudah menjeling tajam.
“Kau nak bagi dia berapa? Rumah kau tu luas mana? Berapa banyak kerja yang kau nak bagi dia? Kau kan asyik selalu berkampung dalam flight jer?” terus-menerus Imran menebak.
“Dua bulan lagi aku duduk atas tanah jer. Bapak aku dah warning awal-awal pasal janji aku uruskan company dia tapi Mell tak tahu lagi ni, kau jangan beritahu dia pulak. Kau cakap kat budak tu kerja dia senang jer. Sabtu dan Ahad cuti. Hari-hari biasa dia kerja. Kerja dia kemas rumah, basuh baju dan memasak. Aku bagi dia seribu sebulan. Cuti umum tak dikira. Dia nak mula kerja pukul berapa, nak balik pukul berapa.. aku tak kisah asalkan kerja siap. Kalau kerja okey, aku up gaji.”
“Kau biar betul, Lan!? Mell tak tahu kau nak berhenti ni?! Dah tu banyak gila gaji kau nak bagi kat budak tu. Kau jangan ada udang di sebalik mi sudahlah!”
“Gila kau?! Aku Cuma kesian tengok budak tu. Penat semacam jer. Kau beritahu dia tentang offer aku tu. Boleh start bila-bila. Esok aku datang lagi. Ingat jangan beritahu Mell.” Keras tetapi perlahan amaran Idlan. Imran angguk-angguk sahaja. Mengenali Mell sejak lima tahun dahulu masak benar dia dengan perangai gadis itu. Model pentas peragaan yang tidak kurang terkenalnya. Dari gadis model yang biasa-biasa sahaja sehinggalah menjadi tip top dalam segala hal. Kalau dulu tidak kisah membeli pakaian di kedai-kedai pakaian biasa tetapi sekarang ini, pandang pun tidak. Dalam banyak-banyak lelaki yang dikenalinya, Idlanlah paling lama bertahan dengan sikap Mell atau nama sebenarnya Melati itu. Itupun Imran tengok tak lama lagi lelaki itu pun angkat kaki. Mana tidaknya, mahu bergaya duit lelaki itu yang habis. Kalau guna duit hasil titik peluh sendiri tidak mengapalah jugak!
“You all berborak pasal apa ni? I tengok seronok sakan?”
“Kita orang cerita pasal model baru menang Dewi Remaja ni hah! Hot betullah!”
“You jangan mengada-ngada ya, Bi! I dapat tahu you cuba nak mengorat budak tu siap you!”
Mata Mell sudah membulat mengundang ketawa kedua-dua lelaki itu. Takut sangat gadis itu Idlan mengorat perempuan lain, sedangkan dia sendiri bila ketiadaan Idlan berdamping entah dengan lelaki mana. Sengaja Imran diam membisu berkenaan hal itu. Bukan sekali dua dia ternampak gadis itu berpegang tangan dengan lelaki lain. Cuma gadis itu tidak berani membawa lelaki-lelaki itu ke butik. Takut tembelang pecah kononnya!
“I dah ada you, buat apa nak cari perempuan lain. Nanti yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat!”
“Terbaliklah!” Sampuk Imran.
“Samalah tu. Tujuan tetap sama kan?! Ni you dah settle belum? I dah lapar dah ni.”
“Dah. Dua helai ya Bi?”
Muka masam mencuka itu terus berbunga-bunga gembira. Idlan sudah mendengus. Dia meraba-raba poket seluarnya. Dahinya berkerut.
“Kenapa? Kau tak bawak wallet ke?” Imran tunjuk muka serius, sedangkan di dalam hati dia mahu hamburkan sahaja ketawa. Muka Mell sudah kembali cemberut.
“Alah, I tertinggal kat rumah. Atas meja makan tadilah ni! Siapa suruh you nak I cepat-cepat!”
“Salahkan I pulak. You janji dengan I pukul sebelas, pukul dua belas tak sampai-sampai lagi! Habis tu baju ni macam mana?!”
“Esok-esok lah beli.”
“Baju ni laku beb! Lambat orang lain sapu.” Sampuk Imran.
“Alah…. Ni I kena bayar sendiri lah ni?!”
Kedua-dua lelaki itu angguk. Laju sahaja. Memasing seronok dapat mengenakan gadis itu. Bagi Idlan pula dia memang sengaja meninggalkan dompetnya di rumah. Hanya di bawa kad pengenalan serta lesen kereta sahaja. Itupun di masukkan ke dalam papan pemuka.
Mell mencebik lagi. Dikeluarkan kad kreditnya dan terus disua kepada Imran. Dengan muka menahan gelak, Imran mencapai kad tersebut dan terus meleretkan kad tersebut. Selepas selesai transaksi, diserahkan semula kad tersebut kepada Mell. Senyum simpul dia melihat rona wajah Mell dan Idlan yang kontra.

4 comments:

dandelion kiss said...

Lawak ah si Idlan.
sengaja tinggalkan dompet
kat umah..hahha

Ema Emaharuka said...

Wah bestnya ada cite baru dari kak Nerra.!
Langsung layan citenye~ahaks:-)
best

MaY_LiN said...

wawawa..
dari mata turun ke hati ya

Adra Adiella said...

salam nera...

singgah bace di sini..