Thursday, January 13, 2011

PADA DETIK ITU... : BAB 2

Natrah mendapatkan Imran yang asyik menyusun stok-stok pakaian yang baru tiba. Gadis itu kelihatan teruja bila mendapat panggilan daripada lelaki itu tadi. Sebaik dia menyiapkan tugasnya menyapu terus sahaja dia melangkah ke butik itu.
“Abang Im, macam mana kerja tu? Betul ke?”
“Eh kau ni tak reti bagi salam ka? Pakai main serbu. Nasib baik aku ni tak ada sakit jantung tau!”
Jari-jemari Imran sudah menekan dadanya. Natrah tergelak kecil sambil membetulkan tudungnya. Tudung hitamnya sekadar diikat ke belakang. Rambut yang keluar dari anak tudungnya itu ditolak-tolak masuk.
“Maaf ye bang… Nat tak sengaja.”
Imran mencebik. Pakaian-pakaian yang dipegangnya tadi diletakkan di atas kaunter. Waktu-waktu begini pelanggan memang tiada. Bosan juga dia kalau bersendirian di dalam kedai.
“Kalau kau nak kerja tu, esok aku bagitahu dia.”
“Erm… orangnya baik ke Abang Im? Nat takut nanti jadi macam bapak saudara Nat tu!”
“Kau jangan risaulah. Aku jamin dia ni baik tapi kalau dia cuba buat tak senonoh dengan kau, kasi tahu sama aku! Biar aku ajar dia cukup-cukup.”
“Bila Nat boleh mula kerja?”
“Dia kata bila-bila. Kalau kau nak berhenti dari kerja sekarang berapa lama kena bagi notis?”
“Hari tu kawan kata dua puluh empat jam sebab Nat baru kerja.”
“Baguslah tu. Aku siapkan surat berhenti kau. Sekejap lagi kau bagi kat ketua kau tu. Esok tak dah payah menyapu. Bos baru kau ni kerja pramugara tapi dua bulan lagi dia berhenti. Dia kerja dengan bapak dia pulak. Kerja kau dengan dia nanti senang je… kemas rumah, basuh baju dengan memasak. Esok dia datang… kau tanyalah apa yang patut. Jangan diam jer.”
Natrah angguk. Seronok dia dapat kerja baru dengan gaji yang lebih baik. Dia sudah berkira-kira separuh daripada gajinya nanti akan diserahkan kepada emaknya di kampung dan dapatlah dia memberikan lebih sedikit duit rumah kepada Salbiyah. Walaupun temannya itu tidak pernah meminta untuk dia membayar apa-apa pun.
“Terima kasih Abang Im. Terima kasih tolong Nat. Jasa Abang banyak sangat.” Suara itu sudah berbaur sebak.
“Dah… Dah… Kau jangan buat ayat ikut skrip drama tv kat sini. Bukan aku yang tolong kau. Idlan yang tolong. Kau patut ucap terima kasih pada dia dan ALLAH. Pada ALLAH sebab ALLAH gerakkan hati Idlan untuk tolong kau. Ingat tu!”
Natrah angguk lagi beberapa kali. Memang ini rezeki ALLAH yang memberinya peluang yang lebih baik. Mungkin sudah tersurat, dia tidak dapat melanjutkan pelajaran seperti Rizan dan Rohaya. Dua teman baiknya itu sekarang sedang menuntut di Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara. Manakala dua tiga orang lagi rakan sebayanya yang lain mendapat tempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Dia sahaja yang tidak bernasib baik. Mungkin bukan sudah rezekinya.
“Yang kau termenung ni kenapa? Aku nak kau kerja elok-elok. Idlan kata kalau kerja kau bagus, dia nak naikkan gaji kau. Aku tengok dia tu betul-betul nak tolong kau. Dia bagi kebebasan kat kau nak buat kerja macam mana asalkan dia balik kerja rumah kemas. Tapi jangan pulak kau nak mengorat dia.”
“Ya saya tahu siapa saya, Bang Im. Tak ada maknanya nak mengorat dia.”
“Aku bukan tak bagi kau mengorat dia sebab kau tu Orang Asli tapi Idlan tu yang aku tak percaya. Dia memang lah baik tapi… argh…. Susah aku nak terangkan…”
Natrah tersengih. Imran memang cakapnya lepas tetapi Natrah tidak pernah ambil hati kerana selalunya apa yang diperkatakannya ada benarnya. Dalam lembut-lembut Imran lelaki itu tetapi lelaki tulen. Cuma mungkin cara dan perwatakannya sahaja nampak lembut. Imran selalu menasihatinya tentang pegangan agamanya yang baru dianutinya dua tahun lalu.
“Tengok tu, aku cakap sikit kau termenung.. aku cakap kau termenung… Apa yang kau menungkan?”
“Tak ada apalah. Cuma terbayangkan bila Abang Im kahwin nanti mesti bahagia kan?!”
“Apa kes kau berangan pasal aku pulak?! Dahlah.. kau pergi sambung kerja balik. Kejap lagi aku tolong siapkan notis tu. Pastikan hantar hari ini. Esok datang pakai baju elok-elok sikit. Tudung tu pakai elok. Nak aku belikan kerongsang ke?”
“Ish.. tak payahlah Abang Im ni… Nat ada je kerongsang tu Cuma malas nak pakai. Ikat macam ni senang.”
“Yalah tu.. lepas tu rambut tu keluar sana sini. Kau tahu tak…”
“Tahu Bang Im.. Yalah, esok Nat pakai lawa-lawa. Mekap comel-comel.”
Natrah mengakhiri kata-katanya dengan ketawa. Belum sempat Imran mendaratkan tangannya di lengan Natrah laju sahaja gadis itu melulu keluar dari butik. Menyumpah Imran dengan gelagat Natrah yang mengenakannya tetapi dihujungnya dia tersenyum sendiri. Sudah lama dia tidak merasa begitu. Sejak kehilangan Haslinda!

****
“Mak Len ko panai-panai chek jagak kebek. Boy poi kerjak me be’en be’en.”
Masih di ingat lagi pesanan emaknya pada malam sebelum dia melarikan diri daripada kampung halaman dengan bantuan Pak Cik Kimas. Ibunya itu menasihatinya supaya jaga diri baik-baik dan jangan membuat kerja yang bukan-bukan. Mana mungkin dia akan lupa akan kata-kata itu sampai bila-bila. Wajah hening ibunya direnung penuh kasih. Serasa tidak sampai hati meninggalkan si ibu dengan adik-adik yang masih kecil. Takut nanti pak ciknya itu naik hantu, habis dikacau keluarganya tetapi atas keselamatan dirinya dan paksaan daripada ibunya dia pergi juga meninggalkan kampung. Mamak Kimas menghantarnya sehingga ke Kuala Lumpur dan di situ dia diambil oleh Jumin dan Sarida. Terus dia di bawa ke Desa Temuan. Perasaannya pada ketika itu berbaur dengan pelbagai rasa. Takut. Gelisah. Serba salah. Gembira. Semuanya bercampur menjadi satu.Takut dan gelisah kerana memikirkan pak ciknya akan menemuinya. Serba salah kerana perlu menyusahkan keluarga Sarida dan gembira kerana sekurang-kurangnya dia selamat daripada menjadi mangsa kerakusan pak ciknya.
“Kau tak tidur lagi? Termenung ingatkan apa?”
Sapaan Sarida mematikan lamunannya. Segera senyuman dilemparkan kepada temannya itu. Senyuman sekadar untuk menutup rasa hati yang berisi gundah.
“Kau pergi mana tadi? Mak kau kata kau keluar.”
“Oh… aku jumpa kawan kejap kat mamak depan tu. Nak ajak kau, tadi aku tengok kau tengah solat.”
“Kau pergi sendirian?”
Sarida angguk, seraya dia mengambil tempat di sebeah Natrah di atas katil. Natrah pula sudah berkerut dahi. Berani pula temannya itu keluarga malam-malam tanpa berteman. Bukannya kebanyakan lampu jalan tidak berfungsi. Mengharap pada lampu yang terdapat di kawasan rumah flat di tepi jalan sahaja.
“Berani kau ye keluar malam-malam macam ni.”
“Dah biasalah, Natrah. Lagipun waktu-waktu macam ni ramai lagi kat jalan tu. Balik tadi kawan aku hantar.”
“Kau jumpa boyfriend ke?”
Sarida gelak kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Telahan Natrah tidak benar sama sekali walaupun kawan yang ditemuinya itu adalah seorang lelaki. Lelaki Melayu bernama Shahrul Aswad itu tidak lebih daripada seorang teman kuliahnya sahaja. Kebetulan lelaki itu bertemu kawan-kawannya di studio rakaman yang terletak di bangunan depan jalan masuk ke Desa Temuan. Tidak salah rasanya mereka bertemu atas nama persahabatan.
“Gila kau! Dia kawan sahaja. Langsung tak sesuai dengan aku.”
“Kenapa pulak?”
“Dia Melayu. Aku ni Orang Asli. Tak kan lah dia nak kan aku.”
“Apa masalahnya? Apa masalah dengan status Orang Asli tu? Cinta tak kenal batasan kaum okey?! Kau tahu tak menurut…”
“Dah… dah…. Aku dah tak mahu dengar kau punya ceramah. Aku tanya kau, kalau ada lelaki Melayu teringinkan kau.. kau terima? Sanggup kau kena maki?”
Natrah terdiam. Terimbau kenangan enam tahun lalu. Ketika itu dia baru berusia empat belas tahun. Masih bersekolah berasrama di salah sebuah sekolah yang terletak di antara Temerloh dan Triang, Pahang. Ketika dia pulang bercuti hujung minggu, pak ciknya yang ketika itu berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli telah dipukul sehingga terpaksa di masukkan ke hospital akibat kecederaan serius. Semuanya disebabkan dia bercinta dengan seorang gadis Melayu yang berasal dari kampung berhampiran. Seminggu pak ciknya itu berada di hospital. Selepas kejadian itu, hubungan pak ciknya dengan gadis Melayu itu hancur begitu sahaja dan pak ciknya itu mula berubah sikap. Berhenti kerja sebagai Pegawai tadbir dan mula bekerja dengan seorang Cina di Pekan Kerayong.
“Termenung pulak kau! Betul tak apa yang aku cakap? Berapa ramai orang Melayu boleh terima Orang Asli dalam keluarga mereka? Walaupun kita ni tak ada beza pun berbanding mereka tu tetapi tetap mereka fikir kita ni tidak layak untuk mereka.”
Natrah sengih sedikit. Dia akui kata-kata Saridah walaupun tidak semua masyarakat Melayu berfikiran begitu. Dia tidak tahu di mana salahnya menjadi Orang Asli. Sedangkan kalau diletakkan dikalangan orang Melayu, susah sekali membezakan mereka. Silap-silap akan ada yang kata Orang Asli itu adalah orang Melayu dan sebaliknya.
“Dahlah. Kita tidur. Esok kau kerja. Aku tak apa masih cuti.”
Natrah tidak berkata apa-apa sebaliknya menarik selimut dan terus membaringkan tubuhnya di atas katil temannya itu. Esok, dia akan mula bekerja di kondo Idlan. Doanya moga pekerjaan kali ini memberinya peluang untuk membantu ibunya dan kalau diberikan peluang dia mahu kembali menyambung pelajaran. insyaALLAH.

___
Terjemahan :
Tulisan kuning : Mak nak kamu jaga diri baik-baik. Jangan buat kerja yang bukan-bukan.

*** FAKTA***
- Suku Temuan dan Suku Semelai menggunakan bahasa yang berlainan dan kerana itu perbualan dua suku kaum yang berlainan adalah di dalam Bahasa Melayu.
- Mengikut sejarah Orang Semelai ini telah mendiami Tasik Bera, Pahang sekitar 600 tahun dahulu.

1 comment:

MaY_LiN said...

wah wah..
kite suke la bace cite ni..
thanks 4 info ya