Thursday, January 20, 2011

PADA DETIK ITU... : BAB 4

Natrah terpegun melihat kondo Idlan yang cukup kemas dan menarik. Susun atur dan penataan cahayanya begitu memukau. Seperti dia menonton rancangan di televisyen sahaja. Lelaki itu memang mempunyai citarasa yang tinggi. Duduk pula seorang diri di kondo mewah begitu.
Imran pula sudah awal-awal lagi menghala ke arah sofa berwarna magenta di ruang tengah. Terus dibaringkan dirinya di atas sofa itu. Idlan hanya menggeleng sahaja melihat karenah Imran.
“Kau tunjuk-tunjuk lah apa yang patut. Aku nak lelap kejap. Nanti kejut aku.”
Idlan tidak memberikan reaksi. Hujung lengan baju t-shirt lengan panjang Natrah ditariknya ke dapur. Natrah ikut sahaja tanpa banyak soal.
“Ini dapur. Sementara ni barang-barang basah memang saya tak beli. Dapur ni jarang berasap. Nanti bila saya dah kerja dengan ayah saya baru saya beli barang-barang dapur tapi awak kena lap sampai bersih dapur ni. Saya tak mahu berhabuk.. Mari saya tunjukkan bilik. Rumah ni ada dua bilik. Satu bilik tidur dan satu lagi bilik barang-barang. Bilik barang-barang tu awak tak payah usik. Bilik saya jer.”
Sambil bercakap Idlan melangkah ke biliknya. Imran sudah lena. Dengkuran halus kedengaran. Letih sangat agaknya!
“Jangan alih barang-barang dalam bilik ni. Saya percayakan awak jadi jangan hilangkan kepercayaan saya tu dengan buat benda yang bukan-bukan kat rumah ni. Kunci rumah saya ni hanya awak dengan saya jer ada. Saya dah tukar kunci grill.”
Natrah angguk. Dia tahu ‘amaran’ Idlan itu sekadar sebuah ingatan dan dia berjanji dengan dirinya sendiri tiada apa-apa yang dapat mengubah kejujuran dirinya. Kepercayaan Idlan akan dijaga sebaik mungkin.
“Ada nak tanya apa-apa?”
Natrah geleng.
“Ada nombor telefon? Senang nanti ada apa-apa hal.”
“Ada.”
“Berapa nombor?”
Perlahan-lahan Natrah menyebut nombor telefonnya. Sebenarnya dia masih belum hafal sepenuhnya nombor telefon yang baru dibelinya sewaktu tiba di sini. Sebaik nombor telefon Natrah di simpannya di dalam telefon bimbit, Idlan bergerak ke arah Imran. Dicuit kaki lelaki itu tetapi tidak langsung lelaki itu bergerak. Natrah hanya memerhati, masih segan mahu bertindak lebih dari itu di hadapan Idlan.
“Weh bangunlah! Sedapnya kau tidur atas sofa aku kan?!”
Suara Idlan sedikit kuat bila mana melihat Imran yang begitu lena walaupun sudah berkali-kali tubuh lelaki itu digugahnya. Memang tidur mati agaknya. Susah sangat mengejutkan Imran, Idlan memulas telinga lelaki itu. Serentak dengan itu kedengaran suara Imran mengaduh kuat.
“Apa ni?!! Sakitlah!”
“Dari tadi aku kejutkan kau, tidur macam apa lagi. Cepatlah bangun, aku banyak benda nak settle kan ni.”
“Yalah… tak boleh nak bagi can aku merasa sofa mahal sikit!”
“Banyaklah kau punya sofa mahal. Dah jom!”
Natrah yang memerhati dari tadi cepat sahaja mengatur langkah mengikut Idlan. Dibiarkan Imran yang masih terkulat-kulat di atas sofa. Bila Natrah dan Idlan sudah keluar barulah dia terkocoh-kocoh bangun dan terus keluar.
“Kita pergi makan dulu.”
Tiada sebarang bantahan daripada Imran mahupun Natrah. Mengikut sahaja. Sebaik turun ke bawah, Idlan menyuruh ke dua-duanya menunggu sementara dia mengambil kereta. Kemudian, kereta itu bergerak terus ke restoran yang berdekatan.
“Makan itu sahaja?” Soal Idlan sebaik melihat pinggan Natrah hanya berisi nasi putih dan telur dadar serta sayur kangkung sahaja. Natrah angguk dalam senyuman. Tadi dia mengira-ngira duit yang berada di dalam beg tangannya tidak sampai lima ringgit. Restoran di kawasan ini memang agak mahal sedikit. Terpaksalah dia mengambil yang paling murah.
“Cukup ke?” Soal Idlan lagi. Imran hanya memerhati. Ada senyuman tersungging di bibirnya melihat raut wajah Idlan yang sebegitu.
Melihat pada anggukan Natrah yang tidak menyakinkannya, Idlan bangun dan terus menuju ke arah tempat terletaknya lauk pauk. Natrah dan Imran hanya memerhati. Lelaki itu kembali dengan ikan keli goreng sambal dan seketul ayam goreng.
“Makan ni. Tak apa saya belanja.”
Natrah terpaku. Dia melihat pinggan yang berisi ikan keli goreng sambal dan ayam goreng yang berada di hadapannya. Serasa banyak pula! Masakan dia mampu menghabiskannya.
“Dah makanlah. Apa yang awak tengok-tengok lagi?”
“Kau ni Lan macam nak suruh anak makan. Garang yang amat. Amat pun tak garang macam kau.” Sempat Imran berseloroh.
“Banyaklah kau.”
Imran gelak sahaja. Kekadang Idlan ini boleh tahan baran juga. Orang bergurau pun mukanya serius semacam. Nasiblah mukanya tak macam bonzer kelab malam.  Raut wajah lelaki itu sedikit ala-ala boyish face. Iras pelakon Desperate Housewives bernama Beau Mirchoff. Cuma Idlan bercermin mata dan kulitnya sawo matang berbanding mat salleh itu.
Sebaik sahaja makanan masuk ke mulut masing-masing diam seribu bahasa. Menghadap makanan bagaikan dah berhari-hari tak dapat makanan sedangkan sebelum keluar tadi Imran sudah makan nasi lemak yang di bawanya. Natrah pula sekadar menjamah sedikit sahaja sebagai syarat untuk menjaga hati Imran yang asyik mempelawanya makan.
“Tak habis?” Soal Idlan sebaik sahaja melihat Natrah yang sudah meletakkan sudunya dan menolak sedikit pinggannya ke depan. Seperti tadi juga, Natrah angguk sahaja. Perutnya sudah tidak dapat menerima makanan lagi. Ikan keli itu sekadar di usik separuh. Manakala ayam goreng langsung tidak diusiknya.
“Kau nak tak Im ayam goreng tu?”
“Tak mahulah. Yang aku ni pun belum habis lagi. Itulah siapa suruh kau ambil banyak sangat. Tong budak ni bukan macam tong kau tu.” Sempat Imran mengenakan Idlan. Idlan sekadar menjeling tajam ke arah Imran. Ada jugak aku sepak mamat sotong ni kang!
Akhirnya terpaksalah Idlan yang menghabiskan baki lauk itu. Mahu dibiarkan terasa membazir pula. Imran tersenyum sahaja. Jauh di sudut hatinya melihat sesuatu yang jauh ke hadapan. Walaupun mustahil bila memikirkan siapa sebenarnya Idlan tetapi lelaki itu berharap ada keajaiban. Senyumannya meleret bila melihat cara Idlan bercakap dengan Natrah ketika mereka berada di kaunter bayaran.
“Terima kasih belanja aku hari ini. Esok lusa belanjalah lagi..”
“Kau ni kan pantang. Awak Natrah, nak balik ke? Kalau nak balik rumah saya boleh hantarkan.”
“Er…Er… tak apalah Encik Idlan. Depan tu jer… bukan jauh pun.” Natrah memuncungkan mulutnya ke arah jalan masuk ke Desa Temuan. Kalau berjalan kaki tidak sampai lima minit sudah sampai.
“Dah orang nak hantarkan pergilah. Bila masa kau nak merasa naik kereta mewah macam ni kan?! Lagipun panas terik ni.”
Imran sudah menolak tubuh Natrah supaya memasuki kereta. Idlan yang sudah berdiri di sebelah tempat duduk pemandu hanya menggeleng. Faham benar dengan niat Imran disebalik senyumannya itu.
“Hantar sampai rumah ya Lan!” Imran sengaja mengusik sambil dia membukakan pintu kereta untuk Natrah.
“Rumah siapa? Rumah aku?” Idlan ketawa lepas dan terus memasuki keretanya tanpa sempat Imran bersuara. Seketika kemudian keretanya terus melucur meninggalkan Imran yang kegeraman.

-sudut ilmu ^_^-
moi / remol/ terunak - panggilan untuk anak lelaki.
doi/ kedoi -  panggilan untuk anak perempuan
Bong -  Pak Long

*Fakta*
-Penempatan Suku Semelai banyak tertumpu di Pahang dan Negeri Sembilan seperti contoh kawasan Tasik Bera, Sungai Bera, Triang ( Bukit Rok, Kg Post Iskandar, Kg Bukit Gemuruh) - Pahang dan di Negeri Sembilan penempatan Suku Semelai boleh di dapati di Sungai Lui dan Sungai Sampo.
[Sumber : Pahangcommunity] 

1 comment:

MaY_LiN said...

wawawa..
sungguh berani imran kenakan lan..