Monday, January 24, 2011

PADA DETIK ITU : BAB 5

Natrah tersenyum puas apabila kediaman Idlan itu sudah dikemas sebaiknya. Sapu sampah, mop lantai, mengelap barang-barang sehinggalah membasuh pakaian lelaki itu. Semuanya telah disiapkan tidak sampai dua jam. Bukan besar sangat rumah ni! Getus hati Natrah.
Selepas betul-betul berpuas hati dengan kerjanya barulah Natrah bergerak pulang. Kerjanya di rumah Idlan hanya seminggu sekali. Oleh itu, Natrah telah memohon kerja sementara sebagai tukang cuci pinggan di sebuah restoran yang berdekatan. Jadinya, setiap kali dia bercuti di restoran tersebut dia akan datang ke kondo Idlan untuk membersihkan rumah.
“Nat…”
Panggilan itu menyebabkan Natrah yang baru berjalan melintasi kedai mamak yang terletak di bawah kondo itu berpaling. Mukanya berkerut memerhati jejaka berbaju kemeja biru cair dan bertali leher kontra yang sedang tersenyum kepadanya.
“Loy?”
Lelaki itu angguk lantas mendapatkan Natrah yang masih kaku berdiri di tempatnya.
“Lama tak jumpa. Sihat?”
Lelaki yang dipanggil Loy atau nama sebenarnya adalah Shamsul a/l Tan Chee Meng @ Tan Yoon Thi. Lelaki berketurunan campuran Semelai dan Cina senyum mesra bertanyakan khabar Natrah.
“Sihat. Buat apa di sini?”
Loy senyum menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.
Lunch  dengan kawan office  tadi. Aku kerja area sini. Eh jomlah duduk. Tak seronok bersembang macam ni.”
Natrah ikut sahaja. Mereka mengambil tempat di luar restoran itu tetapi berbumbung. Loy memanggil pekerja restoran dan memesan minuman untuk dia dan Natrah.
“Kau kerja sini? Kerja apa?”
“Cuci rumah. Kau? Masih kerja jurutera?” Jawab Natrah jujur.
Walaupun usia Loy lebih tua lima tahun daripadanya Natrah sudah terbiasa berbahasa sekadar kau dan aku dengan lelaki itu.
“Aah. Masih kerja yang sama. Kau tak sambung study?”
Natrah geleng kepala. Dia tidak sebertuah Loy. Lelaki itu adalah antara pelajar terbaik negeri Pahang. Keputusannya cukup membanggakan seluruh penduduk kampung. Sebagai ganjarannya, Shamsul mendapat tajaan biasiswa daripada Ahli Parlimen kawasan mereka yang begitu gembira dengan pencapaiannya. Malah penduduk kampung turut menghulur bantuan kewangan ketika Shamsul mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat.
“Aku dengar STPM kau bagus. Kenapa tak sambung belajar?”
“Aku tak dapat tawaran.”
“Cubalah lagi. Bulan enam ini kan ada tawaran kemasukan baru?! Cuba kau apply.”
Natrah tersenyum sahaja. Minumannya yang baru sampai dihirupnya perlahan. Minat untuk belajar masih menebal tetapi banyak perkara yang menjadi halangan.
“Kau duduk dekat mana? Datang kerja sini naik apa?” Soal Shamsul apabila melihat Natrah diam sahaja. Tahulah dia Natrah tidak selesa dia bercakap soal itu.
“Aku duduk dengan kawan. Dekat je dari sini. Kau ada balik kampung?”
“Ada. Minggu lepas. Jumpa Wekaku. Lepas tu aku tengok-tengok kebun tu.”
Natrah senyum lagi. Berbual dengan Shamsul kena menggunakan Bahasa Melayu. Lelaki itu memang berdarah Semelai tetapi dia hanya tahu bahasa itu sekerat dua sahaja bahasa Semelai. Lidahnya lebih fasih berbahasa kantonis dan Melayu. Sejak kecil lelaki itu tinggal di kawasan kampung ayahnya yang berbangsa Cina. Sesekali sahaja dia datang menjenguk keluarga ibunya  Cuma apabila ayahnya meninggal dunia barulah ibunya membawa dia dan adik-adik kembali ke Kampung Bukit Rok. Ketika itu usia Shamsul sudah menjengah enam belas tahun.
“Kau tak dengar apa-apa cerita pasal aku?” tanya Natrah setelah seketika membisu.
“Wek aku kata kau lari dari rumah sebab pak cik kau. Aku malas nak tanya lebih-lebih. Kau tahulah kan, aku ni mana faham kalau Wek aku cakap lebih-lebih.”
“Hah, sebab tu Rizan panggil kau Semelai murtad.”
Loy tergelak kecil. Panggilan itu langsung tidak menjadi selumbar di hatinya. Dia tidak kisah digelar begitu dan tidak pernah segan untuk mempelajari bahasa itu dari semasa ke semasa. Malah dia lebih rasa selesa memperkenalkan dirinya sebagai seorang lelaki berbangsa Semelai berbanding Cina. Menjadi kaum pribumi adalah lebih membanggakan. Bukan ingin menolak darah seorang Cina yang mengalir di dalam dirinya tetapi Semelai itu lebih unik.
“Kau jangan beritahu sesiapa yang kau jumpa aku kat sini. Aku tak mahu pak cik aku dapat cari aku. Teruk aku nanti!”
“Kau jangan risau. Pak cik kau kan dari dulu tak sukakan aku. Lagi pulak buat apa aku nak tolong dia kan?! Kerja kau macam mana sekarang? Tak berminat cari kerja lain? Kalau kau mahu, aku boleh carikan kerja untuk kau kat tempat aku kerja. Dengan STPM kau tu, aku boleh carikan kau kerja admin.”
Cepat sahaja Natrah menggeleng. Dia tidak mahu mencari kerja lain kerana kerja yang ada sekarang sudah cukup baginya dan kesanggupan Idlan mengambilnya berkerja dengan gaji yang tinggi harus dibalas jasanya. Lagi pula kerjanya kini tidak terikat sangat dengan keadaan formal. Bekerja di pejabat tentu sahaja dia perlu membeli pakaian baru lagi.
“Terima kasih Loy, aku bukan tak berminat tapi aku baru kerja di sini. Bos aku baik dan aku tak sampai hati pulak nak berhenti kerja sekarang. Tengoklah nanti….”
Loy anggukkan kepala tanda memahami. Dia tidak mahu memaksa. Namun, kalau boleh dia mahu Natrah tidak mensia-siakan sijil STPMnya. Keputusan STPM Natrah walaupun bukan dikalangan terbaik gadis itu tetap mempunyai masa depan yang cerah berbekalkan sijilnya itu. Dia mahu melihat lebih ramai anak-anak dari kalangan Orang Asli Semelai berjaya. Cukup-cukuplah mereka dipandang bagaikan tidak wujud selama ini.
“Eh aku lupa nak beritahu kau, aku duduk dengan Waji. Dia kerja KFC dekat Puchong.”
Serta merta ruang matanya tergambar Waji. Waji anak kepada Pak Cik Samsi. Walaupun lelaki itu lebih tua daripada Natrah, mereka berada di tingkatan yang sama. Waji merupakan atlit sekolah dan Negeri. Pernah mewakili Pahang semasa Sukma dalam acara lari seratus meter dan tiga kali seratus meter. Waji juga wakil sekolah dalam bola sepak. Lelaki itu memang lincah. Sebut sahaja nama Waji satu sekolah mengenalinya. Tapi sayangnya, Waji tidak berapa pandai belajar. Selepas dua kali gagal lulus SPM, lelaki itu menyerah kalah.
“Sejak bila dia kerja kat sini?”
“Dah lama dah. Siang dia kerja, malam dia belajar. Dia beritahu aku tahun depan dia nak ambil semula SPM.”
“Baguslah macam tu. Dah lama tak nampak dia kat kampung.”
“Bulan lepas dia ada balik sekali dengan aku. Kau tu kan jarang keluar rumah.”
Natrah tersengih, mengakui kata-kata Loy. Dia memang jarang keluar rumah kalau tidak ada apa-apa. Selalunya teman-teman sahaja yang datang bertandang ke rumah. Mereka akan berborak-borak di beranda rumah.
“Okeylah, aku kena balik site ni.  Jom aku hantarkan kau balik,” ujar Loy sambil menghirup minumannya yang tinggal separuh sehingga habis.
“Tak apalah, dekat jer. Belakang tu jer rumah aku.”
Bibir Natrah menjuih ke arah bangunan kedai yang terdapat di seberang jalan. Di belakang kawasan perniagaan itulah terdapat sebuah perkampungan di panggil Desa Temuan.
“Jomlah aku hantar. Bukan jauh pun kan? Tak luak pun minyak kereta aku tu.”
“Yalah. Boleh jugak aku merasa naik kereta mahal kau kan?!”
Loy ketawa. ‘Kereta mahal’ yang dikatakan Natrah tidaklah semahal mana. Setakat Proton Perdana sahaja.
Mereka berjalan beriringin menuju ke arah kereta Loy yang diparkirkan hanya berhadapan dengan restoran tersebut.


Mari Belajar.
 Wek: nenek
kau: jie (panggilan untuk orang yang sudah lama kenal/mesra), ko (kalau tidak         rapat)
aku: yea (panggilan untuk orang yang sudah lama kenal/mesra), ent (kalau tidak    rapat)

Fakta
*Senator Muhammad Olian Bin Abdullah merupakan Anggota Dewan Negara yang dilantik dikalangan Suku Semelai. ( Tahun 2009- 2012)
*Tradisi berkhatan mereka adalah wajib bagi setiap kanak-kanak. Manakala adat perkahwinan mereka sama seperti orang Melayu. Ada merisik, bertunang, bernikah dan lain-lain.

1 comment:

MaY_LiN said...

makin menarik kesah nat ni..
xsabar nak tgg n3 baru