Monday, February 7, 2011

PADA DETIK ITU... : BAB 09

“Puan, puan nak saya masak apa?” tanya Natrah perlahan.
“Ikut awaklah. Auntie makan jer apa yang kamu nak masak.”
Kekok jadinya Natrah. Tidak tahu mahu memasak apa. Tidak tahu apa kegemaran mereka. Takut nanti tidak menepati citarasa keluarga majikannya itu. Sebaik sahaja Puan Rohaya bergerak ke ruang tamu, Natrah terus menghubungi Idlan.
“Assalamualaikum, encik.”
“Waalaikumsalam. Dah habis shopping?”
Dah. Er… er..”
“Ada apa Nat? kenapa awak tergagap-gagap ni?”
“Erm, saya tak tahu nak masak apa. Takut nanti tak kena selera keluarga encik.”
Ada ketawa di hujung talian sedangkan Natrah punya risau. Mulutnya sudah muncung. Terasa geram mendengar ketawa Idlan.
“Nat, awak masaklah apa-apa yang awak rasa senang. Family saya bukan cerewet. Awak masaklah yang selalu awak masak untuk saya tu. Erm… saya on the way balik ni.”
“Erm…”
“Natrah, awak jangan risau ya?!”
“Baiklah, encik. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Panggilan diputuskan oleh Natrah. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dilepaskan. Barang-barang yang berada di hadapannya dipandang lama. Sedang mencari-cari idea untuk memasak apa.
“Jauh termenung? Nak saya tolong apa-apa?”
Tersentak Natrah mendengar suara Rafiq yang begitu dekat dengannya. Kedengaran lelaki itu gelak perlahan.
“Itulah, termenung lagi. Awak nak masak apa? Saya tolong ya?”
“Er…er… tak apalah Encik Rafiq. Saya boleh buat sendiri.”
“Panggil Rafiq je. Awak bekerja dengan abang saya bukan saya. Awak tak jawab lagi pertanyaan saya tadi. Awak nak masak apa?”
“Saya ingat nak buat asam pedas ikan dengan sambal sotong. Kangkung tu nak goreng macam biasa je.”
“Saya tolong awak ya?”
“Tak payalah encik. Saya boleh buat sorang!”
“Amboi-amboi Angah! Ibu dekat depan tu rupanya cakap dengan angin, dia kat sini pulak!”
“Maaf bu, Angah tengok Natrah ni dok termenung dari tadi. Muka macam takut-takut jer. Angah cuma nak tolong.”
“Tolong ke nak mengorat? Dah.. dah.. pergi depan. Biar ibu yang tolong.”
“Eh tak apalah puan. Puan dengan encik duduk je kat depan. Saya boleh buat. Saya buatkan air dengan sediakan buah-buahan.”
“Tak payah susah-susah. Awak buat je kerja awak. Auntie tolong sediakan bahan. Angah, pergi duduk depan. Rimas ibulah kamu duduk sini.”
“Yalah. Ibu ni tak kasi can sungguh!”
Puan Rohaya menggeleng mendengar kata-kata anaknya itu. Perangainya yang pantang nampak perempuan itu kekadang merisaukannya. Rafiq terus ke depan meninggalkan ibunya dan Natrah berdua di dapur.
“Kamu nak masak apa?”
“Ikan masak asam pedas dengan sambal sotong. Lepas tu kangkung goreng.”
Favorite auntie tu. Pandai buat sambal belacan?”
Natrah geleng. Bukan dia tidak tahu membuat sambal belacan Cuma takut tidak menjadi.
“Tak apa. Nanti auntie buat awak tengok. Idlan suka makan sambal belacan. Kalau ada sambal belacan, makan nasi dengan ikan goreng je pun dua pinggan nasi dia makan.”
“Ye ke puan? Encik Idlan tak pernah bagi tahu pun.”
“Dia tu bukan suka nak beritahu orang. Apa yang tersedia atas meja tu itu yang dia makan. Dia tak suka suruh-suruh orang masakkan untuk dia.”
“Oh macam tu….”

***
Riuh rendah kondo Idlan sebaik sahaja lelaki itu tiba bersama ayahnya. Natrah pula pura-pura sibuk di dapur. Debaran di dadanya belum surut. Malah bertambah kuat. Gementar dan takut bercampur menjadi satu.
Selesai memasak dan menghidangkan makanan di atas meja, kemudia dia menjemput Idlan sekeluarga untuk makan.
“Duduklah makan sekali.” Pelawa Encik Ideris kepada Natrah. Natrah menggeleng. Meja itu hanya memuatkan empat buah kerusi. Mana cukup kalau dia makan sekali.
“Awak duduk sebelah ibu. Saya ambil kerusi kat bilik stor.”
“Tak apalah. Saya makan selepas ni. Tak muat meja ni.” Natrah memberi alasan.
“Natrah…”
Nada keras tapi perlahan daripada Idlan itu sudah cukup difahami Natrah tetapi dia tetap berdiri di tempatnya. Pada fikirannya, mana mungkin lelaki itu akan memaksa dia di hadapan keluarganya.
“Natrah… awak tak dengar ke!?”
Serentak dengan itu tiga pasang mata memandang Idlan dan Natrah. Sunyi sepi seketika keadaan di meja makan itu. Muka Idlan sudah merah padam, merenung tajam ke arah Natrah. Langsung tidak dihiraukan pandangan dari ahli keluarganya.
“Natrah, baik kamu duduk. Nanti gunung berapi tu meletus, susah pulak. Auntie yang kelaparan ni pun tak dapat nak makan nanti.” Puan Rohaya menarik tangan Natrah supaya duduk di sebelahnya. Faham benar dia jikalau anak sulungnya itu marah. Tak pandai nak simpan-simpan. Terpaksalah Natrah duduk juga.
“Susah sangat nak ikut cakap orang!” Idlan merungut sambil langkahnya menuju ke bilik yang dijadikan stor simpanan barang-barang. Natrah apa lagi tunduk sahaja merenung meja. Ingatkan Idlan tidak berani tunjukkan kemarahannya di hadapan keluarganya tetapi sebaliknya berlaku. Sempat merungut lagi lelaki itu!
“Selalu ke Along tu perangai macam tu dengan Natrah?” soal Rafiq perlahan. Dia juga agak terkejut tadi walaupun dia sememangnya tahu perangai abangnya itu bagaimana tetapi dia tetap rasa pelik. Pelik kerana memikirkan sikap abangnya terhadap Natrah, orang gajinya.
“Jarang.” Jawab Natrah perlahan.
“Lan tu memang macam tu. Entah perangai ikut siapa entah, naik angin tak tentu pasal. Orang tak ikut cakap dia sikit, mula lah datang angin kus-kus dia tu,” ujar Puan Rohaya. Sempat dia menjeling suaminya yang sudah mengangkat keningnya. Encik Ideris tahu isterinya sedang memerlinya.
“Sudahlah tu Puan Rohaya oi, jangan nak takutkan budak ni dengan cerita awak tu. Sekejap lagi anak awak yang angin dua ratus hari setahun tu dengar, teruk awak dengan bebelan mak nenek dia!”
“Syhhhhhhh… putting beliung sampai!”
Terus senyap sunyi meja makan. Idlan menggeleng sahaja. Kerusi yang baru di ambil di bilik stor di letakkan bersebelahan ayahnya dan juga Natrah.
“Angah baca doa!”
“Aik, Along lah… tuan rumah kena baca doa dulu. Baru berkat” ujar Rafiq. Entah dari mana fatwa diambilnya tidak diketahui, asalkan dia dapat mencari alasan.
“Along, cepatlah baca doa. Ibu dah lapar ni!”
“Yalah.”
Sepanjang makan tengah hari itu, Natrah lebih banyak berdiam diri. Bersuara bila di tanya. Selebihnya dia menjamah makanan di dalam pinggan. Kekok berada di kalangan keluarga Idlan yang baru pertama kali bertemu. Nasib baiklah mereka itu semuanya baik-baik belaka. Tidaklah seperti gambaran sesetengah orang tentang orang kaya yang berlagak dan tidak tahu menghormati orang lain.
Selepas makan, keluarga Idlan ke ruang tamu. Meninggalkan Natrah mengemas dapur. Lega Natrah dibuatnya. Sambil mengemas dapur telinganya sempat menangkap butir-butir perbualan anak-beranak itu. Sesekali dia tersenyum sendirian mendengarnya. Dia tetiba menjadi rindu kepada ibu dan adik-adiknya. Rindu yang membuatkan dia mahu pulang ke kampung tetapi wajah pak ciknya yang bengis itu menakutkannya dan Natrah amat tahu buat masa ini dia tidak boleh pulang ke kampung. Dia harus bersabar dan dia sendiri tidak pasti sampai bila dia harus bersabar.
“Kamu berdua jangan selalu duduk berdua. Nanti ada pulak yang ke tiga.”
Kata-kata Puan Rohaya tetiba menangkap pendengaran Natrah. Segala pergerakannya di dapur terhenti seketika.
“Ibu ni kan… ke situ pulak. Natrah tu pembantu rumah Along.”
“Iblis tu tak kira pembantu rumah ke tidak. Yang dia tahu perempuan dengan lelaki berdua-duaan. Mula lah dia cuit sana, cuit sini.”
“Ish ibu ni… tak mungkin lah Along terpikat dengan Natrah tu. Dia tu bukan orang Melayu kita.” Perlahan sahaja pertuturan Idlan tetapi cukup untuk didengar Natrah. Namun, kata-kata itu tidak membuatkan sikit pun hatinya terguris. Sekian lama sudah hakikat itu diterima. Masih ada orang Melayu memandang serong terhadap Orang Asli sepertinya.
“Habis tu dia orang mana? Indonesia?”
“Ish… tak lah. Orang Asli.”
“Iblis tu mana ada kira kamu tu orang apa Natrah tu orang apa. Kamu ni tak faham ya apa yang ibu kata?”
“Along kan bengap sikit bab-bab macam ni, bu! Ibu teranglah seratus kali pun tetap dia dengan kebengapan dia tu.” Rafiq sudah menyampuk dengan tawa di hujung bicaranya. Encik Ideris yang dari tadi sekadar memasang telinga hanya menggeleng. Dua orang anaknya itu kalau bertemu ada sahaja kata-kata yang mengundang kepada pergaduhan.
“Angah kalau bercakap tak menyakitkan hati Along tak boleh ke?” marah Idlan. Mukanya sudah kemerahan menahan marah.
“Lah, betullah tu. Along tu susah sangat nak tangkap maksud ibu. Tak kira lah Along tak jatuh cinta ke apa ke.. kalau dah berdua tu.. Iblis tetap kacau.. nafsu! Nafsu tau tak Along!?”
“Along ni masih waras lagilah! Angah ingat Along macam Angah!”
“Sudah-sudah! Kamu berdua ni pantang jumpa, asyik nak bertekak jer! Papa nak kena balik office ni. Along bukan ke petang ni ada meeting?” Giliran Encik Ideris menyampuk. Idlan sudah menepuk dahinya bila jam di tangannya diperhati. Kurang lima minit pukul dua.
“Kalau macam tu Angah, kita pun baliklah. Petang nanti Puan Hayati nak datang rumah.”
Anak beranak itu sudah bangun dari duduk memasing. Idlan pula mendapatkan Natrah yang masih berada di ruang dapur.
“Erm… awak dengar ke tadi?”
“Dengar apa?”
“Perbualan saya dengan ibu?”
Natrah angguk dalam senyuman. Jadi segan pula kerana mencuri dengar perbualan anak beranak itu.
“Maaf ya, bukan sengaja nak kata awak macam tu.. Cuma saya malas ibu meleter. Ibu kalau meleter nanti perkara dua tiga tahun lepas dia ungkit.”
“Tak ada apa-apalah encik. Saya tak terasa apa-apa pun. Apa yang encik cakap tu betullah.”
“Erm..”
“Saya okeylah encik! Tak terasa apa pun.” Dahi Natrah sudah berkerut. Sejak bila pula lelaki itu kisah akan perasaannya?
“Kalau macam tu, tak apalah. Lepas awak kemas ni awak boleh balik. Tak payah tunggu sampai saya balik.”
“Okey.”
Idlan melangkah ke ruang tamu. Begitu juga dengan Natrah. Dia menyalami Puan Rohaya.
“Kalau Idlan ni marah-marah kamu tak tentu pasal, beritahu auntie tau!”
Natrah senyum sahaja. Mana mungkin dia akan mengadu perihal majikannya kepada ibunya sendiri. Diam-diam sudah!



1 comment:

MaY_LiN said...

amboi..
angah nak masuk jarum lak..