Friday, February 25, 2011

PADA DETIK ITU... : BAB 14

Ketika Natrah berada di dalam bilik konsultasi bersama Doktor Fakri dan Puan Rohaya, Idlan menunggu di luar. Telefon bimbit Natrah yang ada bersamanya berbunyi minta dijawab. Tertera nama Loy. Terus sahaja Idlan menekan butang jawab panggilan. Senyuman sudah tersungging di bibirnya.
“Hello Nat!”
“Ni apa hello-hello… tak reti beri salam?” Suaranya sengaja ditekankan.
“Awak ni siapa? Kenapa handphone Natrah ada pada awak?”
“Aku tunang  dia! Apa yang kau nak telefon dia ni?”
“Sejak bila pulak Natrah bertunang? Dia tak ada beritahu saya pun!” Shamsul masih ber’saya’ dengan Idlan.
“Buat apa nak beritahu kau?! Cepatlah cakap apa yang kau nak? Nanti aku beritahu dia.”
“Nanti saya telefon balik. By the way, saya bukan seorang Muslim yang wajib memberi salam. Then, I do not know exactly who you are but I am very sure you are not Natrah’s  fiancĂ©e. Natrah seorang gadis yang cukup lembut mana mungkin dia ada tunangan seperti awak ni! Last sekali sampaikan pesan saya ni, beritahu dia duit yang dia pesan suruh saya berikan kepada emaknya sudah saya berikan semalam. Jangan tak sampaikan pulak! Okeylah, saya pun banyak kerja ni. Saya ada pesanan untuk awak ni… kalau awak sukakan Natrah jangalah cemburu tak tentu pasal. Boleh?”
Terus panggilan dimatikan oleh Shamsul. Sengaja dia berbuat begitu supaya lelaki itu tidak mempunyai ruang untuk membalas kata-katanya. Hatinya tidak berbekas dengan kata-kata Idlan Cuma sengaja dia mahu mengenakan lelaki itu. Tersenyum dia bila memikirkan kata-katanya tadi.
Idlan pula termanggu sendirian. Kata-kata terakhir lelaki bernama Loy itu terngiang-ngiang di telinga. Sukakah dia kepada Natrah?! Ish tak mungkinlah!
“Along! Cepatlah… apa yang dimenungkan lagi tu? Berangan tak habis-habis!” gerutu Rafiq. Berkali-kali nama abang sulungnya itu dipanggil oleh ibu mereka tetapi tetap tidak menyahut. Jadi, rasakan sahaja penangan kata-katanya.
“Dah siap ke? Mana ibu dengan Natrah?” soal Idlan.
“Ibu dengan Natrah dah tunggu dalam kereta.”
Idlan bangun dari bangku panjang yang diletakkan berhadapan dengan kaunter ubat dan pembayaran. Dia menghampiri kaunter tersebut dan mengeluarkan dompetnya.
“Angah dah bayar pun. Tunggu Along lambat sangat.” Beritahu Rafiq sambil langkahnya di atur keluar dari klinik. Gadis yang beruniform biru muda itu hanya tersenyum sahaja sedangkan Idlan sudah tayang muka tidak puas hati.
***
“Kita balik rumah ibulah. Kat sana ada Kak Midah. Boleh tolong tengok-tengok kan Natrah ni.” Usul Puan Rohaya.
Natrah telan air liur. Idlan pula sudah memandang ke belakang, ke arah Puan Rohaya. Ada riak kurang bersetuju dengan cadangan ibunya itu.
“Ish tak payahlah bu… biar Natrah berehat kat kondo Along jer. Kalau ibu nak balik rumah, balik lah… Along boleh jaga Natrah.”
“Kamu berdua-duaan kat kondo tu?”
“Alah bu.. bukan Along nak buat apa pun… Natrah sakit..”
“Jangan nak mengada-ngada. Ibu tak suka. Lagipun nak harapkan kamu jaga Natrah bertambah sakitlah budak ni. Buat bubur pun tak reti.”
“Apa pulak?! Okey apa?”
“Yalah sangat! Ibu tengok pun tak berselera. Nasi tak hancur. Buat bubur macam masak nasi lepas nasi dah masak letak air.”
Natrah ukir senyum. Apa yang diperkatakan Puan Rohaya memang seperti yang dia fikirkan. Bubur nasi yang disuapkan Idlan pagi tadi terpaksa ditelan juga walaupun tekaknya bagaikan tidak dapat menerima makanan itu.
“Natrah tak cakap apa pun.” Perlahan sahaja kedengaran suara Idlan membalas kata-kata ibunya.
“Mana lah dia nak cakap, kamu tu kan pantang sikit. Orang sakit pun kamu nak membebel. Kalah mak nenek.”
Rafiq yang diam membisu memandu kereta abangnya ketawa lepas. Idlan apa lagi. Muka sudah merah menahan marah.
“Angah ni memang sengaja nak cari nahas ya?”
“Along… Angah… sudah-sudahlah tu. Keputusan ibu muktamad, Jangan nak bantah-bantah.”
Wajah Puan Rohaya serius sahaja. Mana mungkin dia membenarkan anaknya itu berdua-duaan. Walaupun hatinya sudah tenang dari memikirkan telahannya bahawa anaknya tinggal serumah dengan Natrah tidak benar tetapi jauh di hatinya masih tidak tenang memikirkan hubungan antara anaknya itu dengan Natrah. Panggilan encik daripada Natrah itu tidak mampu menghilangkan sedikit pun perasaan syak wasangkanya.
Idlan pula hendak tak hendak terpaksa bersetuju sahaja. Yang memandu sekarang adalah Rafiq dan sudah tentu sahaja adiknya itu akan mengikut kata-kata ibu mereka.
Sampai sahaja di banglo dua tingkat itu, terus Puan Rohaya menyuruh Kak Midah membawa Natrah berehat ke tingkat atas. Rafiq pula terus sahaja keluar. Katanya mahu ke galeri.
“Ibu nak tanya kamu ni…”
“Tanya apa bu?” soal Idlan sambil tangannya mencapai pisang goreng yang berada di atas meja makan. Perutnya tetiba terasa amat lapar. Dari pagi tadi dia langsung tidak menyentuh apa-apa makanan.
“Natrah tu betul ke orang gaji kamu je?”
Berkerut dahi Idlan dengan pertanyaan ibunya itu. Ingatkan ibunya sudah puas hati dengan jawapannya semalam. Rupanya tidak.
“Betullah bu… buat apa Along nak tipu. Kenapa bu?”
“Entah. Ibu macam tak percaya pulak!”
Idlan ketawa perlahan sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Ibunya memang susah mahu percaya akan kata-katanya berbanding Rafiq. Mana tidaknya perwatakannya dan adiknya itu jauh berbeza. Rafiq selalu berada di rumah sekiranya tidak ke galeri. Selalu juga menemankan ibu mereka membeli barang-barang dapur. Mereka ibarat jauh panggang dari api!
“Setakat ni dia orang gaji Along tapi kan bu... tak salahkan kalau Along kahwin dengan Natrah?”
Mencerlung mata Puan Rohaya memandang anaknya yang sudah tertawa kecil itu. Walaupun kedengaran seperti bergurau jauh di sudut hatinya dapat merasakan Idlan cuba memancing reaksinya. Bukan pertama kali Idlan mengusiknya begitu.
“Kamu jangan nak mengada-ngada.”
“Mana ada mengada-ngada. Betullah Along tanya tu. Ke ibu tak suka Natrah jadi menantu ibu?”
“Tak ada orang lain dah yang kamu nak pilih jadi isteri?”
“Apa kurangnya Natrah tu bu? Memasak pandai… kemas rumah pun pandai…”
Idlan masih lagi ketawa-ketawa dengan kata-katanya. Sesekali menyakat ibunya seronok juga.
“Dia tu Orang Asli…”
“Ish ibu ni… apa pulak masalahnya kalau dia tu Orang Asli? Manusia juga kan?”
Ketawa Idlan sudah mati. Kunyahannya juga ikut terhenti. Tidak suka bila ibunya menjadikan soal itu sebagai penyebab tidak menyukai Natrah. Dia ingatkan ibunya bukan orang sebegitu yang meletakkan soal kaum itu sebagai salah satu kriteria untuk menjadi menantunya.
“Bukan masalah pada dia.. pada kamu tu! Bekas kekasih-kekasih kamu sebelum ni bukan main hebat lagi. Ibu tengok pun takut. Kamu boleh terima Natrah tu? Yang jauh berbeza dari bekas kekasih-kekasih kamu dulu tu? Boleh kamu faham cara hidup dia?”
Itu yang Puan Rohaya takutkan sebenarnya. Bukan soal Natrah itu asalnya Orang Asli tetapi anak sulungnya itu yang menjadi persoalan utama. Hidup Idlan jauh berbeza dengan Natrah. Idlan tidak pernah merasa susah. Tidak pernah tinggal di kampung.  Lingkungan teman-temannya juga jauh berbeza dengan Natrah.  Selama dua puluh tujuh tahun anaknya itu hidup, setiap apa yang anaknya itu inginkan pasti akan dapat. Tidak pernah tidak. Bekas kekasih-kekasihnya juga bukan calang-calang. Beberapa orang yang dibawa bertemunya jauh berbeza dengan Natrah. Mungkin hati seorang ibu akan tenang andai Idlan memilih isteri seperti Natrah tetapi bolehkah anaknya itu menerima pilihannya sendiri dengan seadanya?
“Along cakap je bu! Bukan Along nak kahwin dengan Natrah pun. Saja nak tengok reaksi ibu! Ibu jangan risaulah, Along tak akan pilih Natrah!”
“Kamu ni mana satu yang betul? Sekejap macam ni sekejap macam tu! Cuba cakap betul-betul!”
“Along bergurau jer tadi. Along tak ada perasaan pun dekat Natrah tu. Dah lah bu, Along mengantuk lah. Malam tadi tak dapat tidur.”
Terus Idlan menapak meninggalkan ibunya sendirian di dapur. Ada senyuman tersungging di bibir Idlan memikirkan semula kata-kata ibunya tadi. Nyata ibunya bukan risaukan siapa Natrah tetapi risaukan dirinya yang takut tersalah membuat pilihan.
Ibu…ibu…


2 comments:

budakechik said...

hehe..idlan suka laa tu. :)

MaY_LiN said...

along..
tamau ngaku ya