Friday, March 11, 2011

PADA DETIK ITU... : BAB 15

Natrah membuka matanya apabila menyedari ada seseorang menghampirinya. Sebenarnya puas dia mahu melelapkan mata tetapi kepalanya yang sakit dan berdenyut-denyut itu menyebabkan dia tidak boleh tidur.
“Lena tidur?” Soal Idlan sebaik sahaja Natrah memandangnya. Natrah angguk lemah sambil matanya memandang dulang berisi bubur ikan yang disediakan oleh Kak Midah dan juga segelas air oren di tangan Idlan.
“Dah okey sikit ke makin teruk demam awak ni?”
“Okey sikit.” Bohong Natrah.
“Ini ada Kak Midah buatkan awak bubur. Lepas makan bubur ni awak makan ubat.”
Natrah angguk lagi sedangkan dia tidak berselera untuk menjamah makanan. Mendengar perkataan bubur itu lagi membuatkan seleranya kurang. Tiada makanan lainkah selain bubur itu?
“Nak saya suapkan ker?”
Laju sahaja Natrah menggeleng. Walaupun dia tidak sihat, tetapi kedua-dua tangannya masih mampu berfungsi dengan baik. Masih larat untuk mengangkat sudu dan menyuap makanan ke dalam mulut. Kalau tidak larat sekali pun dia akan memaksa dirinya untuk makan sendiri tanpa bantuan lelaki itu. Janggal sungguh rasanya!
Telefon Idlan berbunyi ketika lelaki itu meletakkan dulang berisi makanan dan minuman itu ke atas meja tepi di sebelah katil. Nama pemanggil di teliti di skrin telefon bimbitnya. Saat itu riak wajahnya masam mencuka.
“Apa lagi perempuan ni nak!” terpacul ayat itu dari mulutnya. Segera butang batal ditekan kasar.
“Awak cepatlah makan. Nanti sejuk tak sedap.”
Natrah bangun dari perbaringannya. Memikir-mikir bagaimana cara untuk dia makan dengan keadaannya yang berada di atas katil. Tiada tempat untuk meletakkan mangguk berisi bubur itu.
“Awak nak bawa ke mana pulak makanan tu?”
“Ke meja ni. Susah makan atas katil. Nak kena pegang lagi.”
“Biar saya bawa dulang ni. Awak pergi duduk. Nanti tak pasal-pasal karpet ni yang makan bubur ni nanti!”
Natrah diam sahaja. Tidak punya kuasa untuk menyanggah mahupun berlawan kata-kata dengan lelaki itu. Kepala yang sakit dan badan yang lemah makin menjadi lemah nanti.
“Tadi kawan awak nama Loy call. Dia beritahu duit yang awak pesan untuk emak awak tu dia dah sampaikan. Lepas tu Imran pulak call, tanya pasal awak. Saya beritahu awak tidur.”
Natrah angguk sahaja sebagai tanda memahami. Matanya meliar mencari telefon bimbitnya. Lupa di mana kali terakhir dia ternampak telefon bimbitnya itu. Di kondo Idlan kah?
“Awak cari apa?”
“Telefon saya.”
“Erm.. ada dengan saya. Sesiapa cari awak biar saya yang jawab. Awak tu sakit.”
“Alah, setakat jawab telefon jer! Bagilah balik telefon saya, saya nak telefon kawan saya tu.”
“Buat apa?” suara Idlan sedikit keras.
“Saya nak beritahu dia pasal pak cik saya dah tahu saya kat sini.”
“Dia boleh buat apa?”
“Tak ada apalah tapi…”
“Dah… awak makan cepat. Ubat ni jangan lupa makan.”
Laju sahaja Idlan bangun meninggalkan Natrah sebelum sempat gadis itu membuka mulut mahu meminta telefon bimbitnya. Masam mencuka wajah Natrah dengan sikap majikannya itu.


Petang itu setelah selesai solat zohor, Natrah turun ke bawah. Sakit kepalanya sudah berkurang tetapi keadaan dirinya masih lemah. Lepas mengambil wuduk tadi, serta merta hidungnya berair dan dia bersin tidak berhenti.
“Kenapa tak berehat jer Natrah? Kenapa turun ni?” tanya Puan Rohaya yang asyik berborak sesuatu dengan Kak Midah di dapur.
“Bosan lah puan, Mak saya kata kalau demam jangan layan sangat nanti bertambah teruk.”
“Nanti Along turun, membebel kalah mak nenek pulak tengok kamu kat bawah ni. Dia takut sangat kamu sakit lama-lama, tak ada orang nak jaga makan minum dia nanti.”
Natrah tergelak kecil mendengar kata-kata Puan Rohaya yang bagaikan memerli anak sulungnya itu. Tak tahulah apa reaksi Idlan bila lelaki itu mendengar sindiran ibu sendiri.
“Saya ingat petang nanti nak balik rumah. Pak cik saya dah tak ada kot. Puan…. Kalau…” Ayat Natrah tergantung di situ. Takut-takut dia mahu berbicara. Ini baru berhadapan dengan Puan Rohaya. Belum lagi dengan puting beliung, ribut taufan tu!
“Kenapa? Kalau apa?”
“Saya ingat nak berhenti kerja. Kalau saya terus berkerja dengan Encik Idlan saya nak duduk mana. Takut nanti pak cik saya datang balik cari dekat rumah kawan saya tu,” beritahu Natrah sambil mengesat hidungnya dengan tisu yang di bawanya dari bilik tadi.
“Buat report polis!” tersentak ketiga-tiga mereka bila suara Idlan kedengaran. Lelaki itu tetiba sahaja muncul. Mukanya masam mencuka. Mug diletakkan kasar di hadapan Natrah.
“Er…er… tak pa…”
“Habis tu sampai bila awak nak melarikan diri dari pak cik awak? Lambat laun dia akan jumpa awak juga dan awak tak bernasib baik macam hari semalam. Awak nak sangat ke kena jual… jadi pelacur?  Layan lelaki-lelaki yang nafsu binatang tu? Itu yang awak nak sangat?”
Suara Idlan sudah mula meninggi menyebabkan Puan Rohaya dan Kak Midah saling memandang. Pertama kali rasanya mereka melihat Idlan semarah itu. Nasib baiklah mug sudah diletakkan di atas meja kalau tidak tentu sahaja berkecai bekas minuman itu menyembah lantai.
“Along, apa ni? Ada ke cakap macam tu?! Natrah… kamu pergi naik bilik. Berehat elok-elok. Biar auntie berbincang dengan Idlan.”
Natrah ikut sahaja permintaan Puan Rohaya. Dia sebenarnya mahu menangis mendengar kata-kata Idlan sebentar tadi. Serasa tidak patut lelaki itu menuduhnya begitu! Tidak wujud walau sebesar zarah pun di dalam dirinya untuk bergelar pelacur. Perlahan sahaja langkahnya di atur naik ke tingkat atas.
“Yang kamu naik angin sangat ni kenapa? Cuba cakap elok-elok… ini tidak menengking jer tahu! Budak Natrah tu sakit… kamu tengking dia macam tu depan ibu dengan Kak Midah, sakit bertambah malu pun ada. Cuba ubah sikit perangai tu Long! Jangan nak ikut suka hati marah orang. Dia tu pembantu rumah kamu, bukan hamba!”
“Natrah tu degil, bu. Cakap elok-elok bukan dia nak dengar!”
Natrah dapat mendengar sampai di situ sahaja. Langkahnya di atur ke bilik. Kepalanya terasa sakit kembali. Rasanya kalau tengah sakit dengar suara Idlan yang kalah petir itu boleh koma!
“Cuba Along beritahu ibu kenapa pak cik Natrah tu nak jual dia sampai macam tu sekali?”
“Pak cik dia berhutang dengan orang tu. Dah tu, bila tak dapat bayar hutang Natrah jadi galang gantinya!”
“Berapa ribu hutang pak cik dia tu?”
Idlan jungkit bahu. Dia cuma tahu bapa saudara Natrah berhutang sahaja tetapi tidak pula diketahui jumlahnya berapa. Tidak pula dia bertanya kepada gadis itu.
“Ibu ada cadangan ni…”
“Cadangan apa?”
“Cadangan baik untuk pak cik dia dan baik juga untuk kamu.”
“Maksud ibu?”
“Nanti ibu cakap dengan daddy dulu.”
Puan Rohaya sudah senyum-senyum sendirian. Tetiba rancangan itu menerpa mindanya. Padanya tidak salah dengan rancangan itu tetapi perlukan persetujuan suaminya terlebih dahulu.
“Ibu…”
Mata Idlan sudah mengecil. Otaknya ligat memikirkan perancangan ibunya. Yang dia tidak faham apa maksud ibunya dengan baik untuk pak cik gadis itu dan baik untuk dirinya! Senyuman ibunya itu menambahkan rungsing.
“Okey, ibu dengan Kak Midah nak buat pudding jagung. Baik kamu pergi ke depan ke masuk bilik ke.. kalau kamu ada kat dapur ni nanti tak menjadi pulak pudding jagung… nanti jadi bertih jagung pulak!”
Puan Rohaya sudah ketawa di hujung kata-katanya. Manakala, Kak Midah yang faham akan sindiran Puan Rohaya turut ketawa. Idlan apa lagi, tunjuk muka masam mencukanya dan terus berlalu ke ruang tamu.

1 comment:

MaY_LiN said...

yea..yea..
ibu ade plan baik tuk along..