Saturday, May 14, 2011

Lafaz Qalbu : Bab Akhir

Irwana menghampiri Raif yang baru sahaja pulang ke rumah Puan Rozilah. Sesuatu harus dibincangkan dengan lelaki itu.
“Macam mana dengan keadaan Anissa?”
Soal Irwana sekadar berbasa-basi. Renungan Raif yang jelas keletihan itu dibalasnya lembut. Dia senyum sedikit.
“Macam itulah. Entahlah. Mummy mana?”
“Baru je tidur tadi. Sepanjang malam dia tak dapat nak lelapkan mata.”
“Maaflah, menyusahkan you pulak supaya temankan mummy I.”
“Taklah. Tak ada susah mana pun. You dah breakfast ke belum?”
“Dengan Soraya tadi.” Balas Raif sambil mengangguk.
“Ef, I nak bincangkan dengan you sesuatu boleh?”
“Apa dia?”
“I rasa antara kita kekal sebagai kawan aje lah. Annisa lebih memerlukan you.”
Mencerlung mata Raif memandang Irwana. Sudahlah badannya terasa sakit-sakit, Irwana pula menambahkan bebannya.
“I penatlah Wana. I tak tahu apa yang you fikir. Walau apa pun terjadi kepada Annisa, I tetap tak cintakan dia. Jadi, you tak perlulah berkorban macam ni!”
Raif sudah bangun dari sofa. Dia amat memerlukan tidur sekarang ini. Dia tidak mahu dibebani oleh simpati Irwana terhadap Annisa. Walaupun kebenaran telah terbentang, perasaannya terhadap Annisa tidak wujud sama sekali.
Mummy you dah ceritakan semuanya pada I apa yang terjadi kepada Annisa. You jangan risau I akan rahsia perkara ini seumur hidup I. Annisa perlukan you lebih daripada yang you fikirkan, Ef! Dia perlukan sokongan dan kasih sayang daripada you! Cukuplah dia menderita, cuba bagi dia sedikit kebahagiaan. I tahu you mampu, Ef!”
Langkah Raif yang menuju ke tingkat atas terhenti. Dia kembali berpaling ke arah Irwana yang juga sudah berdiri. Gadis itu langsung tidak bereaksi sedih mahupun kecewa.
“You tahu tak, sebenarnya kekadang kita ni tak sedar apa yang kita buat. Kita tak sedar akan perbuatan dan sikap kita sendiri.”
“Maksud you Annisa tak sedar apa yang dia buat selama ni menyusahkan I?”
Irwana menggeleng. Bibirnya menguntum senyuman. Dia menghampiri Raif yang sudah berdiri di atas anak tangga pertama. Ditarik hujung baju t-shirt yang dipakai lelaki itu supaya Raif mengikutnya kembali duduk di sofa.
“I tahu you letih. Sekejap lagi you boleh tidur. Ef, bukan Annisa yang tak sedar apa yang dia buat. Tapi you yang tak sedar apa yang you buat.”
“Kenapa pulak I?”
“You kata you benci sangat dengan Annisa. Setiap kali jumpa I, I rasa you akan luahkan perasaan benci you tu kat I. Tapi, sejak you terima mesej tu… dari Melbourne sehinggalah ke hospital you diam. Muka you jelas tunjukkan you risau! Kalau you bencikan Annisa, I rasa buat apa you perlu bergegas balik Malaysia? Kenapa you marah betul bila perempuan kat kaunter tu kata tiket ke Malaysia waktu tu dah tak ada? Itu pertama kali I tengok you mengamuk, Ef.”
Irwana diam seketika. Dia merenung wajah Raif yang berkerut-kerut dahinya. Mungkin sedang mencerna kata-kata daripadanya.
“Bila kami balik dari surau, I perasan you tertidur sambil pegang tangan Annisa.”
“Dah mummy I yang suruh.”
Perlahan sahaja Raif menjawab. Irwana sudah ketawa sambil menutup mulutnya takut tidur Puan Rozilah terganggu.
“I tak dengar pun mummy you yang suruh. Kalau pun mummy you yang suruh, you kan bencikan dia.. buat apa you nak pegang tangan dia?”
“You ni gelak macam tak sedih langsung kan? You tak pernah cintakan I kan?”
“Sedih tu memanglah sedih tapi I tahu I akan sentiasa diberkati sekiranya I membuat orang lain gembira dan bahagia. I pasti satu hari nanti you akan berterima kasih kepada I dengan apa yang I buat ni. Percayalah cakap I. Annisa layak dan berhak mendapat apa yang dia tak ada selama ini. Semuanya you mampu berikan, Ef. Hanya you! Allah pilih you untuk menjadi penyelamat dia dan kenapa you harus sia-siakan amanah daripada ALLAH? You seorang lelaki yang baik dan ALLAH temukan jodoh you dengan Annisa untuk you membimbing dia dan I percaya dia akan menyempurnakan hidup you. Lupakan apa yang terjadi terhadapnya, angkat dia menjadi isteri paling mulia. Seorang wanita yang telah hilang kehormatannya tanpa rela itu bukanlah jijik dan hina, Ef! Memang Annisa pernah menjadi pelayan kelab malam tetapi tidak layak ke dia untuk dibimbing menjadi seorang wanita Islam yang sempurna?”
Panjang lebar Irwana mengeluarkan setiap bait kata-katanya. Dia memang redha tiada jodohnya dengan Raif. Annisa lebih memerlukan lelaki itu dan dia pasti Raif sebenarnya mula menyayangi Annisa. Cuma lelaki itu tidak sedar kerana tertutup dengan perasaan benci yang menebal.
“Soraya beritahu mummy you, Annisa belum pun failkan penceraian sebab tak sempat. Annisa terlalu sayangkan you, Ef. Masa mummy you cerita kat I tadi pun I boleh menangis. Kami sama-sama menangis…” Suara Irwana sebak tetapi dia masih boleh ketawa. Cinta Annisa terhadap Raif lebih tinggi nilainya berbanding cintanya yang baru berputik. Penceraian yang di minta oleh wanita bernama Annisa itu mungkin akan ‘membunuh’ jiwanya.
“You tahu… dia tak pernah lepaskan baju t-shirt yang you pernah pakai tu kecuali dia mandi atau pun solat. Baju tu jadi penganti diri you, Ef! Dia tak cukup kuat untuk kehilangan you tapi dia memaksa diri dia sebab dia merasakan dia tak layak menjadi isteri you.”
Suara itu bergetar lagi. Empangan matanya mula pecah dengan air mata. Mungkin kalau sepuluh kali pun dia mendengar dan bercerita tentang itu dia akan mengalirkan air mata. Apatah lagi bila memikirkan empunya diri itu sedang bertarung nyawa. Walaupun keadaan Annisa stabil tetapi masih koma. Segala kemungkinan boleh berlaku. Ini bukan kali pertama Irwana hadapinya. Cuma dia berharap wanita itu diberi peluang merasa bahagia.
“Soraya tak cerita pun kat I…”
“Dia terlepas cerita dengan mummy you. Soraya minta mummy you jangan beritahu pada you tapi auntie tak sanggup simpan sorang. Itu yang dia cerita pada I.”
Raif terdiam. Segala kata-kata Irwana bertembung dengan kata-kata Soraya. Dia benar-benar keliru saat ini. Otaknya tidak dapat berfikir. Annisa yang terbaring kaku berlayar difikirannya. Benarkah dia mula menyayangi wanita itu? Sejak bila? Annisa…
“Okey, sekarang you boleh pergi tidur. I pun nak balik tidur ni… I rasa mata pun dah macam mata burung hantu dah…”
Irwana tertawa dengan kata-katanya sendiri. Hujung jari-jemarinya mengesat air mata yang mengalir di pipi.
“I hantar you balik…”
“Tak apa. Kereta I ada kat rumah you. I balik sendiri. You pergilah naik berehat dan tidur. Petang nanti kalau I tak terbabas tidur, I datang jenguk Annisa.”
Raif angguk sahaja dan dia memerhatikan langkah Irwana yang keluar dari rumahnya. Seketika kemudian dia terdengar kereta Irwana keluar dari kawasan rumah ibunya. Untuk kesekian kalinya Raif mengeluh.


***

Raif segera mengejutkan ibunya sebaik sahaja menerima panggilan daripada Soraya yang memberitahu Annisa sudah mulai sedar. Bergegas mereka berdua ke PPUM. Dalam keadaan yang dia tidak dapat tidur langsung itu, entah kenapa dia menjadi segar bugar.
Sebaik sahaja sampai mereka masing-masing terus ke bilik yang menempatkan Annisa. Soraya dan seorang lelaki yang tidak dikenali oleh Raif mahupun Puan Rozilah berada di sebelah katil Annisa.
Melihat sahaja wajah Raif dan Puan Rozilah, Annisa memalingkan mukanya. Matanya terpejam rapat dan tangan kirinya yang tidak cedera itu kejap mengenggam tangan Soraya. Kesemua mereka kehairanan.
“Wa… kenapa ni? Raif lah dengan mummy…”
Mereka saling berpandangan dengan reaksi Annisa. Wanita itu semacam takut sahaja dengan kehadiran Raif dan Puan Rozilah.
“Sayang… ini mummy ni…
Semakin kejap genggaman tangan Annisa. Matanya juga terpejam rapat.
“Wa….”
“Dia nak bunuh aku…”
“Tak ada siapa nak bunuh kau.. siapa nak bunuh kau ni?”
Tanpa memandang ke arah Raif dan masih dengan keadaannya seperti tadi, Annisa menunjuk ke arah Raif.
“Wa… ini Raiflah… suami kau…”
Soraya sudah menarik lengan Raif yang kaku berdiri tanpa berganjak sedikit pun mendengar ‘tuduhan’ daripada Annisa.
“Tak… dia bukan Raif…  bukan…”
Annisa sudah menangis. Keadaan itu benar-benar merunsingkan semua yang ada. Masakan Annisa tidak kenal wajah Raif?!
Raif memberi isyarat kepada Soraya supaya melepaskan genggaman tangan Annisa. Perlahan-lahan Soraya menarik tangannya dari genggaman Annisa dan bergerak sedikit memberi ruang kepada Raif.
“Sayang….” Suara itu bergetar. Untuk pertama kalinya Raif melafazkan panggilan itu. Dia merasa sebak tetiba. Annisa tidak mahu memandangnya. Genggaman tangannya juga dilepaskan.
“Awak bukan Raif… pergilah… saya tak nak mati lagi… tolonglah..”
Annisa sudah mengongoi.
“Sayang… ni Raif ni… pandang sini… Sayang… tak ada siapa nak bunuh sayang…”
Annisa masih tidak berganjak. Masih kejap memejam matanya. Entah apa yang dia takutkan Raif tidak dapat mengagak. Sedangkan semasa tidak sedarkan diri Annisa menyebut namanya dan memanggilnya.
“Tak… Sue… tolong lah… Dia bukan Raif…”
“Sayang…”
Puan Rozilah menepuk perlahan bahu anaknya. Keadaan Annisa yang baru sedar koma itu memungkin Annisa kebingungan. Mungkin ada sesuatu yang dialaminya sepanjang dia tidak sedarkan diri.
“Tak apalah… kalau Anis tak kenal… tak apa… Ef, jom kita jumpa Doktor Mariam. Bagi Anis masa dulu…”
“Tapi…”
“Sue.. kami pergi jumpa doktor sekejap.”
Soraya anggukkan kepala sahaja. Simpati menggunung dengan temannya. Begitu sekali kesannya terhadap dirinya sehinggakan dia tidak mengenali Raif.
Lambat sahaja langkah Raif mengikut ibunya.

***

“Sue… Raif … tak datang ke? Dia memang bencikan aku kan? Kau tak beritahu dia ke? Kalau kau beritahu dia pun, mesti dia tak mahu datang kan?”
Soraya yang sedang mencedukkan makanan yang dibawanya ke dalam pinggan terhenti serta merta pergerakannnya. Soalan demi soalan yang diajukan oleh Annisa seperti sukar untuk dijawab. Setiap hari Raif dan Puan Rozilah akan datang tetapi ketika itu Annisa sedang tidur.
“Bukan ke kau yang tak mahu jumpa dengan dia?”
“Itu sebelum aku accident. Sue… kau telefonlah Raif… aku nak jumpa sangat dia.. aku janji ini kali terakhir…”
Soraya sudah menelan air liur apabila mendengar suara Annisa yang sudah berubah rentak. Temannya itu lupakah beberapa hari lalu dia begitu takut dengan kehadiran Raif? Malah dia tidak kenal lelaki itu?!
“Okey.. okey.. aku telefon dia sekarang.”
Terus sahaja telefon bimbitnya dikeluarkan dan sepantas itu dia menghubungi Raif. Tidak sampai deringan ke dua lelaki itu sudah menjawab panggilannya.
“Dah jangan menangis… aku dah telefon Raif. Dia dengan mummy dia on the way.”
Terima kasih ya, Sue.”

***

Raif terus mendapatkan Annisa. Menerima panggilan daripada Soraya saat dia dan ibunya dalam perjalanan ke hospital mendatangkan bermacam perasaan. Dia mahu secepat mungkin tiba di hospital sehinggakan ibunya itu menegur supaya dia memperlahanakan pemanduannya.
“Sayang… kenapa ni?” Raif meluru ke arah Annisa tanpa memperdulikan Soraya mahupun Puan Rozilah. Jari-jemari wanita itu digenggamnya dan dahi wanita itu dikucup. Annisa jadi tergamam dengan perlakuan lelaki itu.
“Ab.. Abang…”
“Hei… kenapa menangis ni? Sue?”
Soraya angkat bahu. Melihat Annisa yang sudah teresak-esak, tubuh itu dipeluk erat oleh Raif. Buat pertama kalinya!
“Janganlah menangis… Abang ada dah ni..”
Kekok sahaja kedengaran Raif membahasakan dirinya begitu.
“Abang tak bencikan Anis kan? Abang tak akan tinggalkan Anis....”
“Tak sayang… abang janji…”
“Abang tak marahkan Anis kan? Anis sayangkan abang…”
“Abang tahu dan abang minta maaf sebab layan sayang macam tu. Soraya dah ceritakan semuanya pada abang.”
Serentak dengan itu tubuh Raif dilepaskan.
“Kenapa ni?”
“Jadi abang dah tahu Anis kena….”
“Syhhhhh.. jangan fikirkan semua tu. Lupakan okey…”
“Tapi…
Puan Rozilah yang sekadar menjadi pemerhati dari tadi datang menghampiri. Mengambil tempat di sebelah kiri Annisa. Disentuhnya muka menantunya itu. Dikesat air mata yang masih mengalir.
Mummy pun nak minta maaf. Mummy tak berniat nak sakitkan hati Anis. Mulai sekarang, mummy akan jaga Anis macam anak mummy sendiri. Lepas ni kalau Raif sakitkan hati Anis lagi, beritahu mummy biar mummy balun dia cukup-cukup tapi dengan syarat Anis kena lupakan semua yang terjadi dalam hidup Anis. Mulakan hidup baru. Boleh?”
“Dan jangan nak paksa diri buat sesuatu yang Anis tak mahu. Raif milik Anis dan tak perlu Anis nak serahkan dia kepada perempuan lain kalau Anis tak mampu.”
“Wana…”
Nama itu menitir di bibir Annisa. Ya, dia mula dapat mengingat wajah gadis itu. Wajah yang menghiasi telefon bimbit Raif sehingga dia membuat keputusan untuk terus meninggalkan lelaki itu.
“Wana cuma kawan… dia bukan sesiapa. Abang minta maaf sebab melukan hati sayang.”
“Betul ni? Abang tak tipu?”
“Tak sayang…”
“Kalau Raif tipu.. mummy kan ada?!”
“Anis minta maaf kat mummy sebab pernah berlaku kurang ajar dengan mummy sebelum ni.”
Mummy  dah lupakan pun. Anis pun tak perlu ingat ya?”
Soraya yang sekadar memerhati sedari tadi mengesat air matanya yang mengalir. Rupanya kemalangan yang menimpa Annisa temannya itu ada hikmahnya. Dia tumpang gembira untuk temannya itu dan dia juga berharap pengakhiran hidupnya juga sebahagia Annisa.

No comments: