Sunday, July 24, 2011

BERILAH AKU SATU PELUANG : BAB 18

Berpeluh Maisara terjaga dari tidur. Mimpi itu datang lagi. Dia menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan-lahan. Dia beristighfar beberapa kali sambil mengurut dadanya.
Kenapa mimpi itu datang lagi? Maisara memejamkan matanya rapat-rapat. Tangannya masih di dada. Susuk tubuh Faiz terbayang di fikiranya. Cepat-cepat dia membuka matanya semula. Rasa bencinya tiba-tiba menyelinap ke seluruh ruang diri. Perlakuan Faiz bagaikan baru sahaja terjadi. Dia merasakan setiap sentuhan daripada Faiz. Maisara mula mengesat-ngesat mukanya bila dia merasakan bibir Faiz mendarat di seluruh wajahnya. Mencumbui wajahnya dengan rakus!
Ya ALLLAH! Maisara menjerit di dalam hati. Bergegas dia bangun dari katilnya. Tergesa-gesa dia ke bilik air dan sebaik sahaja pancuran air mengena tubuhnya Maisara tertuduk dan dia menangis teresak-esak. Melepaskan segala rasa yang menghuni segenap ruang diri. Lama dia berada di dalam bilik air itu sehinggakan dia benar-benar rasa tenang semula. Menggigil dia bila keluar daripada bilik air dalam keadaan berpakaian begitu. Nasib baiklah tuala yang baru dibasuhnya semalam tersidai di penyidai di ruang tamu.  Dicapainya juga kain batik.
Masuk sahaja ke bilik, Maisara perasan telefon bimbitnya berkelip-kelip. Nombor yang terpapar di skrin telefon tidak mampu mengingatkan kepada sesiapa. Lalu SMS itu dibacanya.

Jangan sesekali ‘menyerahkan’ saya kepada wanita lain sedangkan hati
saya hanya untuk awak.

Spontan telefon bimbitnya dicampak ke atas katil. Fikirannya sudah dapat mengingat akan tuan empunya nombor telefon. Nombor yang tidak pernah mahu disimpannya. Perasaannya yang hampir hilang dahulu kini muncul kembali. Perasaan benci dan jijik itu datang lagi!
Adakah dia masih tidak dapat memaafkan Faiz?!

***

“Sayang, kita lunch sama.”
Maisara mendengus bila suara Faiz kedengaran di hujung telefon. Kalau dia tahu Faiz yang menghubungi telefon pejabatnya panggilan itu tidak akan dijawab.
“Awak ni tak faham bahasa ke Faiz? Jangan nak panggil saya dengan panggilan tu dan tolong hormati saya. Saya tak mahu keluar lunch, dinner atau apa sahaja perkara dengan awak! Saya tak mahu ada hubungan peribadi sedikit pun dengan awak. Jadi, jangan hubungi saya lagi untuk hal-hal yang bukan berkaitan dengan kerja.”
“Kenapa ni Cik Sara? Kenapa tiba-tiba Cik Sara marah sangat ni?” Soal Faiz. Suaranya perlahan sahaja bertanya. Hilang segala keterujaannya mahu keluar makan tengah hari bersama wanita itu. Dia sanggup bergegas pulang dari tapak pembinaan di Kulim demi mengejar masa untuk makan tengah hari bersama. Kalau tidak berdua pun dia tidak kisah.
“Jangan ganggu saya lagi!”
Dan gagang telefon dihempas kasar. Dia benar-benar berasa amat marah. Marah sehingga dia menangis teresak-esak. Dia benci Faiz memanggilnya begitu bila teringatkan apa yang cuba lelaki itu lakukan tujuh tahun lepas. Sentuhan-sentuhan kasar yang menakutkan. Sentuhan-sentuhan yang membuatkan dia merasakan maruahnya dicarik-carik!
“Sayang…”
Suara cemas itu kedengaran. Maisara mendongakkan kepalanya. Figura Faiz berada di hadapannya.
“Keluar dari bilik saya sekarang!” Suara Maisara jelas kedengaran lantang. Air matanya yang mengalir dikesat kasar dengan hujung jari-jemarinya. Rupa cemas Faiz langsung tidak dipedulikannya dan dia juga tidak memperdulikan sekiranya pekerjanya mendengar itu semua.
“Awak, kenapa ni? Kenapa awak menangis?!”
“Awak ni memang tak faham bahasa ke? Saya kata keluar dari bilik saya.. keluarlah! Jangan sampai saya baling awak dengan benda ni!” Maisara sudah menunjuk penebuk lubang kepada Faiz yang masih cuba menghampirinya. Lelaki itu langsung tidak kelihatan takut. Malah dia cuba menghampiri Maisara. Belum pun sempat dia berbuat begitu penebuk lubang yang berada di tangan Maisara sudah mendarat tepat di dahinya.
“Ya ALLAH, kenapa ni? Faiz? Kenapa ni? Apa yang awak buat di bilik Cik Sara? Kenapa Cik Sara menangis macam ni?”
Masran yang mendengar kekecohan dari bilik Maisara segera ke bilik wanita itu. Tadi dia bertemu dengan Shuhada, kerani bahagian penggajian untuk menyerahkan borang untuk tuntutan kerja lebih masa. Tidak disangka pula Faiz turut berada di bilik itu dan melihat Maisara yang begitu marah dengan Faiz, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena antara mereka berdua.
“Suruh dia keluar dari bilik saya sekarang!” Bentak Maisara.
Masran menggaru kepalanya yang tidak gatal. Mana tidaknya dalam keadaan Maisara yang begitu dan menghalau Faiz keluar lelaki itu tetap mahu merapati Maisara. Tidak sakitkah dibaling dengan penebuk lubang yang tepat hinggap di dahinya tadi?
I said get out from my office right now!”
Langkah Faiz terhenti. Masran terus menarik tangan lelaki itu supaya mengikutnya keluar. Kalau terus dibiarkan alamatnya bilik Maisara ini nanti bertukar bagaikan dilanda tsunami pulak!
“Kau jangan nak degil Faiz! Ikut aku turun!” Bisik Masran perlahan tetapi cukup tegas. Mahu atau tidak Faiz terpaksa mengikut sahaja walaupun hatinya masih tidak tenang selagi tidak mengetahui atas sebab apa tetiba Maisara bersikap begitu.
Keluar sahaja daripada bilik Maisara, kakitangan yang lain saling memandangnya. Memasing kehairanan dan mahu tahu apa yang terjadi. Kenapa ketua mereka yang selama ini tidak pernah sekali pun meninggikan suara tetiba berubah sebegitu sekali. Dan apa pula hubungan jurutera baru itu dengan Maisara?

***

Sebaik sahaja Faiz dan Masran keluar daripada biliknya, Maisara mencapai beg tangannya dan terus keluar. Dia tidak betah untuk berlama-lama di dalam bilik dan bekerja lagi. Dia tahu semua orang sedang tertanya-tanya tentang apa yang terjadi.
“Sara!”
Panggilann daripada Aizura langsung tidak diperduli. Dia mahu bersendirian dan tidak mahukan sebarang gangguan. Mimpi malam tadi memang menganggunya!
“Kau okey tak ni? Apa Faiz buat pada kau?!”
Aizura menarik tangan Maisara. Dia mahu tahu apa yang terjadi. Pagi tadi, tanpa sebarang kata Maisara keluar ke pejabat tanpa menunggunya terlebih dahulu. Dia pula tidak sempat bertemu temannya itu apabila sampai ke pejabat kerana perlu menghadiri mesyuarat bulanan bahagiannya.
“Tak ada apa-apa Zura.” Balas Maisara. Langkahnya terhenti di anak tangga pertama.
“Habis tu ada orang beritahu aku yang kau mengamuk dengan Faiz. Faiz buat sesuatu ke?”
Maisara geleng. Dia tidak bersedia untuk bercerita. Dia takut untuk bercerita.
“Habis tu? Azwan?”
Maisara geleng lagi. Wajah Azwan yang tersenyum melayar di ruang mata. Tentu lelaki itu sedang sibuk dengan persiapan pernikahannya.
“Dah tu?”
Aizura masih tidak berpuas hati. Seorang wanita yang hatinya lembut seperti Maisara apabila bersikap kontra begitu tentu ada sesuatu yang terjadi. Sesuatu yang besar!
“Tolong Zura… aku tak mahu cerita apa-apa sekarang. Aku nak balik.”
Aizura mengeluh.
“Aku akan ceritakan bila aku benar-benar bersedia dan sekarang aku tak bersedia. Tolonglah faham!”
“Aku hantar kau balik.”
“Tak payah. Aku masih boleh memandu sendiri.”
Aizura mengalah. Dia sekadar mampu melihat langkah laju Maisara menuruni anak tangga. Kalau tidak dapat ketahui ceritanya daripada Maisara, dia masih punya Faiz! Dia akan memaksa lelaki itu bercerita!
Kereta yang dipandu Maisara mula meninggalkan kawasan Perai Jaya. Dia tidak mahu pulang ke rumah sebaliknya kereta dipandu ke arah jeti. Ketika keretanya berada di atas feri yang membawanya ke pulau, ada SMS yang masuk. Nombor yang tidak dikenali. Bukan nombor Faiz! SMS itu dibacanya.

Saya tak tahu kenapa Cik Sara mrh sgt tadi tapi saya mohon maaf klu
ia berkaitan dgn saya. L

Nombor siapa pulak yang lelaki ini guna? Macam tahu-tahu sahaja aku tak akan baca SMS dari nombor dia! Huh! Lantak kaulah!
Telefon bimbit itu dicampak entah ke mana. Biarlah! 



No comments: