Tuesday, July 26, 2011

BERILAH AKU SATU PELUANG : BAB 19

Haikal yang sedang berdoa selepas solat Maghrib tersentak apabila mendengar dentuman pintu rumah yang kuat. Dia bersegera menghabiskan doanya dan keluar daripada biliknya. Dia melihat Faiz yang sedang kusut raut wajahnya tersandar di atas sofa.
“Kau kenapa Iz? Marah semacam je ni?”
“Tak ada apa-apalah.”
Suara Faiz kedengaran kasar. Telefon bimbitnya yang dicampak ke atas meja mendarat di atas lantai dan pecah.
“Mana boleh tak ada apa-apa sampai macam ni kau marah. Kau dah solat maghrib ke belum?”
Angguk. Tadi dia hampir terbabas dari menunaikan solat Asar. Tinggal lima belas minit barulah dia tersedar, cepat-cepat dia mencari masjid yang berdekatan. Alang-alang sudah berada di dalam masjid dia terus menunggu untuk solat maghrib.
Cuba beritahu aku kenapa kau macam ni? Telefon kau tu tak bersalah apa pun!”
Faiz mengeluh berat. Sikap Maisara siang tadi benar-benar membingungkannya. Entah kenapa tiba-tiba wanita itu bagaikan begitu benci dengannya sedangkan sebelum ini kebencian wanita itu terhadap dirinya tidaklah membuatkan Maisara mengamuk begitu. Sudahlah dia risau akan wanita itu, Masran pula memarahinya di hadapan rakan sekerja yang lain. Tidak habis di situ Aizura pula datang kepadanya dan bertanya bermacam-macam soalan. Akhirnya, dek emosi yang tidak mampu dikawal wanita yang merupakan teman baik Maisara itu ditengkingnya.
“Sara.”
Sepatah sahaja Faiz bersuara. Perlahan dan lemah tetapi dapat ditangkap oleh Haikal. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Entah apa pulak kali ini!
“Kenapa dengan Kak Sara?”
“Entah. Tetiba hari ni dia mengamuk sakan dengan aku. Semalam okey je.”
“Dia mengamuk? Lepas tu kau pulak mengamuk macam ni?”
“Aku bukan mengamuk tapi tak sedap hati je! Baru semalam aku rasakan yang aku ada peluang untuk memiliki dia tapi hari ni aku rasa aku dah gagal!”
“Kau ni cepat mengalah! Tujuh tahun kau cari dia.. entah berapa belas tahun kau simpan perasaan kat dia.. baru dia mengamuk sikit kau dah nak mengalah macam ni? Itulah aku cakap…. Kau ni tak cukup matang, tak sesuai dengan Kak Sara!”
Faiz panggungkan kepalanya. Matanya tajam merenung Haikal. Sudahlah hatinya tengah sakit dan tidak tenteram Haikal pula bagaikan sengaja mahu menambahkannya.  Ada juga nanti penumbuknya singgah di muka lelaki itu!
“Kau ni sengaja nak tambahkan sakit hati aku ke?”
“Tak adalah. Dah kau cepat sangat nak mengalah macam ni. Itu namanya fikiran orang tak matang. Perempuan ni Iz, tambah-tambah macam Kak Sara tu dia perlukan lelaki yang matang. Dia perlukan lelaki yang boleh dia sandarkan diri dia. Kalau kau betul-betul cintakan dia kau sepatutnya cuba berfikir seperti lelaki yang matang. Aku dah cakap awal-awal dulu jangan gelojoh sangat nak luahkan perasaan kau pada dia.”
“Habis tu kau nak aku buat macam mana sekarang? Aku call dia tak angkat, SMS tak reply. Sekarang ni aku betul-betul tak tahu sebab apa dia mengamuk sampai macam tu. Aku tunggu dia depan rumah dia tapi dia tak balik-balik! Aku dah tahu nak cari dia kat mana!”
“Kau tak payah cari dia, Iz! Jangan desak dia. Bagi dia masa yang secukupnya. Biar dia bertenang dulu. Lagi kau ganggu dia dalam keadaan macam ni, aku takut nanti dari kau ada peluang terus peluang tu hilang macam tu je!”
“Aku takut kehilangan dia, Kal! Aku betul-betul sayangkan dia!”
Mendengar suara Faiz yang sudah berbaur sebak itu Haikal menelan air liur. Bab ini yang tidak digemarinya. Kekasih hatinya yang menangis pun dia tak pandai memujuk inikan pula Faiz! Dia bab nasihat-menasihati ni memang macam pakar kaunseling tapi kalau bab memujuk rasanya dia kalah dengan budak kecil!
“Aku tahu tu! Tapi kau tak boleh desak dia terima kau. Makin kau desak dia, makin dia menjauh daripada hidup kau. Dahlah, aku nak turun beli makanan ni. Nak pesan apa-apa tak?”
“Erm.. belikan aku Marlboro Light.”
“Buat apa?” Soal Haikal.
“Nak main bunga api dengan benda alah tu. Soalan kau memang soalan bodoh! Dah tahu benda tu apa, tanya lagi!”
“Bukan ke kau dah lama berhenti merokok ke?”
“Siapa cakap? Kau belikan je lah! Guna duit kau dulu, esok aku bayar!”
“Bagus punya kawan! Ni Zulaikha dah balik KL tengah hari tadi.”
“Itu sorang lagi! Baguslah dia faham bahasa…”
“Siapa kata dia faham bahasa kau tu? Dia siap tinggalkan pesan untuk kau lagi, selagi kau tak kahwin selagi tu dia akan cuba dapatkan kau!”
“Gila! Mental perempuan tu. Tak kuasa aku nak melayan. Kau tu nampak macam ada hati je dengan dia tu, apa kata kau pikat dia!”
“Kau lagi gila! Dah tu aku nak campak mana kekasih hati aku tu?!”
“Kuota empatlah!”
“Kalau aku suruh kau duakan Kak Sara, kau mahu?”
“Asal pulak!?”
Suara Faiz meninggi. Mencerlung matanya tetiba memandang Haikal.
“Tahu pun kau!”

****

Malam itu, selepas selesai solat Isyak Faiz memberanikan diri menghubungi Aizura. Dia tahu Aizura tentu sahaja masih marah dengannya tetapi kerisauannya terhadap Maisara adalah lebih penting. Tidak kisah sama ada Aizura memarahinya asalkan dia dapat mengetahui ke mana Maisara pergi itu sudah cukup.
“Dia baru balik tadi.” Suara Aizura bagaikan hendak tidak hendak sahaja menjawab. Faiz menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya tiada apa-apa yang berlaku ke atas wanita itu.
Cuba beritahu saya sebab apa Sara mengamuk sangat dengan awak, Faiz? Saya tahu ada sesuatu antara awak dengan dia dulu! Dari cara awak dan Sara saya tahu! Sara sembunyikan sesuatu daripada saya.”
“Maaf Cik Zura…”
“Tolonglah Faiz! Saya tak mahu dengan maaf awak tu sebab awak tak buat salah dengan saya! Apa yang saya nak tahu apa sebenarnya hubungan awak dengan Sara sebelum ni? Apa yang terjadi?”
“Saya akan ceritakan kepada Cik Zura nanti. Saya minta maaf sebab perkara ni tak boleh diceritakan melalui telefon. Tak apalah kalau Cik Sara dah balik. Lega hati saya. Assalamualaikum.”
Belumpun Aizura sempat bersuara Faiz mematikan panggilan. Telefon bimbitnya yang sudah pecah skrinya dilempar ke atas katil. Sebatang rokok yang baru dibeli Haikal tadi dikeluarkan daripada kotaknya. Diselitkan di celah bibirnya. Kemudian dia mencapai pemetik api. Dia mengeluh sambil memandang api daripada pemetik api. Akhirnya rokok yang terselit di bibirnya dicampakkan ke dalam bekas sampah. Kunci rumah dan keretanya dicapai.
“Kau nak ke mana pulak ni?” Soal Haikal yang sedang menonton televisyen.
“Pusing pulau.”
Haikal tidak bertanya lagi. Dia melihat sahaja langkah Faiz yang menghampiri pintu. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sebaik tubuh itu menghilang. Dia pun tidak seteruk itu kena penangan cinta. Mengalahkan orang perempuan pulak si Faiz ni! Haikal memikir-mikir apa yang istimewanya Maisara sehinggakan Faiz begitu setia?! Kalau mahu dibandingkan dengan Zulaikha, Zulaikha jauh lebih cantik. Gadis itu lebih menarik. Sekali pandang pun sudah terpikat.  Tetapi akhirnya Haikal tersenyum sendiri. Dia harus akui cinta tidak memerlukan itu semua. Dia terbayangkan senyuman Maisara. Senyuman yang jauh lebih ikhlas daripada senyuman Zulaikha yang kekadang nampak begitu palsu. Dia terbayangkan susuk Maisara yang sentiasa menjaga pemakaiannya berbanding Zulaikha. Zulaikha sekadar menjaga penampilannya bukan pemakaiannya. Ya, dari segi itu Maisara menang dan wanita itu lebih cantik!




No comments: