Thursday, March 12, 2015

Mocha Latte


Stesen berikutnya, Bangsar.
Next station, Bangsar.

Zuraida segera memalingkan tubuhnya menghadap pintu keluar tren sebaik sahaja kedengaran pengunguman dari corong pembesar suara. Sempat dia bertemu mata dengan seorang lelaki berbaju t-shirt merah berkolar hitam selang satu gerabak daripadanya.
Jelingan tajam lelaki itu membuatkan Zuraida rasa mahu sahaja menumbuk muka dingin itu. Kalaulah tangannya panjang dan boleh mencapai muka lelaki itu seperti cerita kartun tu kanbagus! Dia ingat dia tu handsome sangat ke tayang muka lagu tu! Huh! Getus Zuraida sekadar di dalam hati. Mukanya ikut tayang raut masam mencuka.
Tren berhenti dan seketika kemudian, pintu tren terbuka. Zuraida melangkah keluar dan terus menuju ke arah anak tangga. Dia sedar akan lelaki itu yang ikut sama keluar, malah mendahuluinya. Zuraida mencebik!
Hatinya masih lagi panas dengan jelingan lelaki itu.  Masih tidak berpuas hati dengan lelaki itu. Lelaki itu tidak pernah mahu tayang muka manis dengannya. Buruk sangatkah dia?
Di bawah stesen LRT itu hampir sahaja pandangan mereka bersatu lagi tetapi cepat-cepat sahaja Zuraida mengalihkan pandangan ke arah seberang jalan. Tak mahu menjadi mangsa jelingan maut lelaki dingin itu.
Entah atas sebab apa lelaki itu acap kali tunjuk muka dingin dan jelingan tajam itupun dia tak tahu. Pernah sekali, ketika dia sedang berjalan bersama dengan Rozila, rakan sekerjanya yang dipanggil Kak Ila mereka berpapasan dengan lelaki itu. Wajah manis dan senyuman ditunjukkan kepada Kak Ila tapi sebaik sahaja terpandangkannya, lelaki itu terus tayang jelingan tajamnya itu. Apa kesalahan yang pernah dia lakukan terhadap lelaki itu Zuraida langsung tidak tahu. Mana tidaknya, dia cuma mengetahui lelaki itu bekerja sebagai promoter di bahagian IT. Yalah, mereka bekerja di Jaya Jusco, boleh dikatakan hampir hari-hari nampak sama ada di tempatnya bekerja atau berpapasan ketika melalui pintu masuk bagi pekerja-pekerja pasaraya itu. Cuma bezanya, Zuraida di bahagian hypermarket. Nama lelaki itupun dia tidak tahu, apatah lagi sapa menyapa.
Sebuah bas berona biru tua dan kuning mampir, segera menghilangkan rasa tidak puas hati Zuraida. Sebaik bas percuma atau dipanggil shuttler bus berhenti, orang ramai mula mengerumuni. Kebanyakannya adalah pekerja di pusat membeli-belah berhampiran, Mid Valley Megamall termasuk Zuraida dan lelaki itu.


***
Pukul limapetang.
Giliran Zuraida untuk keluar rehat. Dia bergilir-gilir dengan Kak Ila dan Kak Ida. Seperti selalu Zuraida akan berehat seorang diri. Dulu, ada juga dia berteman. Si Syahrul, budak juruwang di kaunter bayaran letak kereta itu dulu penemannya tetapi sejak lelaki itu ditukarkan ke tempat lain dia keseorangan sahaja.
Petang itu, Zuraida sekadar memilih untuk membeli minuman tin kegemarannya dan sushi sahaja. Dia tidak bernafsu untuk makan makanan berat. Sudah jemu sebenarnya menghadap menu yang sama.
Lama dia berdiri di hadapan deretan tin minuman pelbagai perisa dan jenama yang tersusun di situ. Walaupun dia sudah memikirkan apa yang mahu diminumnya tetapi berdiri di situ membuatkan dia berbolak balik. Sampaikan budak yang tukang susun minuman menegurnya. Sebagai balasan, Zuraida tersengih sahaja.
Akhirnya dia memilih juga minuman kegemarannya, Nescafe Latte. Sebaik sahaja tangannya memegang tin minuman 240ml itu serentak itu juga tin minuman disebelahnya dicapai seseorang. Mocha! Zuraida memalingkan muka ke arah gerangan yang baru sahaja mencapai Nescafe Mocha itu dan belum sempat dia memalingkan semula mukanya satu jelingan tajam diberikan sebagai hadiah. Terus tubuh Zuraida rasa mahu meletup saat itu! Kenapakah?!
***

Enam tahun berlalu.
“Jom jelah Zue. Aku bukan suruh kau terus kahwin dengan dia. Kenal dulu!”
Itu kata teman rapatnya, Suliza. Beria-ria benar wanita itu mahu Zuraida bertemu dengan kawan kepada suaminya. Menurut Suliza, kawan suaminya itu bernama Ahmad Azzam sedang mencari calon isteri. Lelaki itu seorang pensyarah dan sudah tidak tahan bersoal-jawab dengan semua orang tentang status dirinya yang masih bujang pada usia hampir sahaja memasuki angka tiga puluh lima. Mendengar cerita itu Zuraida mengeluh. Sama sahaja situasinya dengan Ahmad Azzam itu.
Mahu atau tidak, akhirnya Zuraida terpaksa ikut.  Malas sebenarnya mahu mendengar bebelan Suliza mengalahkan emaknya itu! Rimas dan kadang-kadang boleh mendatangkan amarah dengan bebelan mak nenek wanita itu.
Pertemuan di atur. Macam sudah tidak ada tempat lain mahu bertemu, restoran makanan segera juga tempatnya. Suliza dengan suaminya, Ridhwan memang ‘hantu’ makanan segera. Mana badan tidak macam tu! Zuraida merungut di dalam hati ketika mereka duduk menunggu Ahmad Azzam.
“Hah itupun dia!”
Ridhwan melambai-lambai ke arah seseorang. Seseorang yang membuatkan hati Zuraida berdebar-debar dengan kadar luar biasa. Yang dia ingat kali terakhir dia rasa debar begini adalah beberapa tahun lalu ketika Syed Hairi melamarnya. Ah, kali pertama sebenarnya.
“Maaf lambat, dah lama tak jejalan ke sini. Sesat.”
Lelaki itu sudah berdiri di sebelah meja mereka. Zuraida langsung tidak memanggung kepalanya. Debaran semakin kencang.  
“Zue, perkenalkan Azzam. Azzam inilah Zue yang kami ceritakan dulu.”
Barulah dia panggung kepala dengan senyuman yang tidak berapa nak menjadi dan senyuman yang tidak menjadi itu terus tidak menjadi. Walaupun sudah enam tahun, mana mungkin dia dapat melupakan wajah itu. Wajah yang dingin dan suka sangat menghadiahkannya jelingan tajam. Lelaki bernama Ahmad Azzam itu juga hilang senyumannya. Mati! Suliza dan Ridhwan jadi kehairanan dengan reaksi dua orang itu.
Korang kenal ke?” soal Ridhwan.
“Taklah.” Serentak mereka berdua menjawab. Kening Suzila bertaut mendengar jawapan serentak itu. Begitu juga Ridhwan. Mana mungkin tidak kenal kalau tengok daripada reaksi muka mereka berdua tadi. Malah sekarang pun masih lagi menunjukkan riak wajah yang sama.
“Erm… duduklah. Aku dengan Sue pergi order kejap. Korang nak apa?”
Diam.
“Zam? Zue?”
“Erm Spicy Chicken McDeluxe and milo ice.”
Akhirnya Ahmad Azzam bersuara. 
“Zue?”
Chicken McNuggets set, coke.”
Pasangan suami isteri itu berlalu ke kaunter pesanan. Ahmad Azzam mengambil tempat duduk bertentangan dengan Zuraida. Diam. Muka masam mencuka lelaki itu membuatkan Zuraida mahu sahaja angkat kaki. Pertemuan ini tidak akan menjadi apa-apa seperti mahunya Suzila mahupun Ridhwan. Rasa mahu menangis pun ada juga. Teruk sangatkah dia? Hodoh sangat ke sampai begitu sekali reaksi lelaki itu.
“Kami nak tengok movie. Korang makanlah. Kenal-kenallah ye!
Zuraida angkat muka. Dia benar-benar mengharap pengertian suami isteri itu tetapi senyuman Suzila itu sudah dimengertinya. Tanpa memperdulikan muka masam mencuka Ahmad Azzam, mereka terus berlalu meninggalkan mereka berdua.
Memasing sekadar memerhati hidangan di atas meja. Zuraida sudah berkira-kira untuk bangun dan meninggalkan tempat itu. Hatinya benar-benar terluka. Beg tangan sudah digenggam erat. Matanya sudah berkaca.
“Nak ke mana?”  suara itu kedengaran. Sedikit kasar intonasinya. Zuraida yang sudah bangun daripada duduknya terhenti segala pergerakan.
“Duduklah. Siapa nak makan makanan awak ni?”
Zuraida tidak menjawab. Dia nekad untuk berlalu. Keadaan ini benar-benar menderanya. Kalau Ahmad Azzam itu bukan pemilik jelingan maut itu mungkin keadaan sekarang berbeza. Mungkin kalaupun pasangan suami isteri itu tiada mereka masih boleh duduk berbual.
“Saya tak ada selera,” jawabnya cuba kedengaran tenang sedangkan hatinya sudah berbaur rasa sebak.
“Duduklah.” Suara itu tetiba perlahan, seperti mengharap wanita itu tidak pergi. Terkesima seketika Zuraida mendengarnya. Benarkah itu suara lelaki itu?
“Janganlah macam ni. Kita makan dulu. Lepas tu kalau awak nak balik, baliklah.”
Zuraida pandang wajah itu. Lelaki itu juga turut memandangnya. Sudah tiada muka masam mencuka seperti tadi. Bukankah elok dari dulu tayang muka begitu?
Beberapa ketika Zuraida berdiri sehinggakan menjadi perhatian beberapa orang pelanggan barulah dia duduk. Itupun setelah hatinya sedikit terkesan melihat raut wajah lelaki itu.

****

Tujuh hari kemudian.
Nescafe Latte. Sekartondihantar ke meja Zuraida.
“Apa ni?” Soalnya sedikit binggung.
Ada lelaki suruh hantar kepada Cik Ida dan dia suruh bagi suratni sekali.”
Surat bersampul surat berona coklat itu bertukar tangan. Sebaik sahaja Nafis berlalu, terus sahaja Zuraida mengoyak hujung sampul surat itu. Surat bertulisan tangan. Dadanya berombak kencang saat nama yang tertera di hujung surat itu adalah Ahmad Azzam. Dia merasakan air liurnya tersekat di kerongkong. Sebentar kemudian, dia menarik nafas dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Suratitu mula dibacanya.

Assalamualaikum Zuraida,
Maaf kalau surat ini menganggu awak.
Zue, saya mohon maaf atas apa yang pernah berlaku dulu. Ila sudah beritahu saya tentang hal itu. Saya mohon maaf sebab telah membuatkan awak terasa hati. Ila turut beritahu saya yang awak menangis kerana hal itu. Maafkan saya sekali lagi.
Saya tak tahu macam mana mahu terangkan kepada Zue. Tujuh tahun lepas saya kehilangan seseorang dan pertama kali saya terpandang awak, saya teringatkan dia. Perasaan benci tu beralih kepada awak sebab awak dan dia banyak persamaan. Dia suka latte. Begitu juga awak. Awak seorang promoter, begitu juga dia. Tinggi dia dan awak lebih kurang sama. Saya tahu tak adil untuk saya mengadili awak kerana dia tetapi ketika itu semuanya berlaku tanpa sedar saya.
Sewaktu pertemuan hari itu, saya langsung tidak berniat untuk bermasam muka. Bila melihat awak, saya jadi marah. Marah pada diri sendiri. Sedangkan saya sepatutnya rasa gembira bertemu awak. Saya tak tahu Zue bila perasaan ni muncul. Perasaan yang sama seperti mana perasaan saya pada dia dulu. Bukan benci. Itu saya pasti.
Enam tahun, lepas awak pergi. saya benar-benar rasa kehilangan. Saya malu nak bertanyakan hal awak kepada kakak satu tempat kerja awak tu. Saya sedar tentang perasaan saya tu bila saya kehilangan awak. Kelakar bukan, nama awak pun saya tak tahu tetapi hati saya ada pada awak.
Saya kehilangan jiran saya. Jiran latte saya. Sehinggakan budak tukang susun air tu pun perasan. Saya pilih mocha dan awak memilih latte. Dari budak itu saya tahu awak sudah berhenti. Dia memberitahu tanpa saya bertanya. Rasanya mulai hari itu saya akan membeli dua tin minuman, satu mocha dan satu latte.
Saya kehilangan teman berjalan bila balik malam. Walaupun kita tak berjalan bersama tapi seingat saya selalunya saya akan berada di belakang awak. Kekadang saya terpaksa berjalan cepat sebab awak memang cepat berjalan. Saya pernah cuba tegur awak semasa kita duduk di kerusi yang sama ketika menunggu tren tapi suara tak terkeluar.
Kali terakhir saya nampak awak, ketika saya balik dari kerja dan awak entah datang dari mana. Waktu tu kita terserempak di atas jejantas belakang flat tu. Rasanya waktu tu awak dah lama berhenti. Awak berbaju kurung ketika itu. Pertama kalinya saya perasan awak menjeling ke arah saya. Dan saya menyesal kerana tidak berani menegur awak dan kerana itu juga saya akhirnya meninggalkan Mid Valley dan menyambung pelajaran.
Zue, saya tak mahu kehilangan awak lagi. Bukan sebab saya benar-benar perlukan calon isteri untuk menutup segala cakap-cakap orang tapi sebab perasaan saya ni. Saya mahukan kembali jiran latte saya. Enam tahun ini saya rasa saya lebih banyak minum latte daripada mocha.
Saya tak akan memaksa awak tapi sebolehnya saya mahu jawapan yang menggembirakan saya dan sebagai hadiah permulaan terimalah sekarton Nescafe latte dari saya. Sebagai tanda minta maaf juga.

Ahmad Azzam,si mocha

Air mata Zuraida bergenang tetapi bibirnya menguntum senyuman. Dia melipat kembali suratitu. Dimasukkan ke dalam sampul. Senyumannya melebar bila melihat dua tin minuman Nescafe Mocha yang berada di atas mejanya.
Nescafe Mocha yang sudah lama memenangi hatinya. Rasanya, seperti lelaki itu sejak enam tahun lalu juga Nescafe Mocha itu lebih banyak diminumnya berbanding Nescafe latte. Selama ini dia tidak sedar akan kegemarannya yang berubah itu. Baru hari ini dia tersedar. Nescafe Mocha bukan lagi mendatangkan rasa mual dek kerana susunya yang melebihi kopi! Dan barulah Zuraida sedar, selama enam tahun ini lelaki yang punya jelingan tajam itu tidak pernah hilang dari memori.
Senyuman semakin melebar bila telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Azzam di skrin telefon bimbitnya- nombor yang telah disimpan oleh Suzila beberapa hari lalu. Zuraida tahu jawapan apa yang perlu diberi.
Latte memerlukan Mocha!


****
walaupun cerpen ini seperti tak ada cerita tapi CN nak upload jugak walaupun 7 m/s je.

* 95 peratus adalah rekaan, 5% adalah benar.. hahaha

No comments: