Thursday, May 3, 2012

BERIKAN AKU SATU PELUANG : BAB 24

Aizura melepaskan gelak. Bukan dia tidak simpati dengan apa yang berlaku tetapi dirinya bagaikan dijentik perasaan geli hati dengan apa yang terjadi antara Maisara dan Faiz. Nasib baiklah Maisara ditempatkan di bilik perseorangan. Tidaklah menjadi bahan jelingan pesakit lain.
“Aku rasa korang ni memang berjodohlah, Sara.”
Ketawanya masih bersisa walaupun Maisara sudah tunjuk muka tidak puas hati. Masakan tidak, boleh pula Aizura ketawa di waktu dia kesakitan begini. Doktor kata kakinya hanya terseliuh tetapi tangan kirinya patah. Walaupun sekadar seliuh bengkak yang besar itu tidak surut-surut. Dari Aizura dia diberitahu bahawa Faiz mengalami patah kaki. Simpati juga dia untuk lelaki itu. Yalah, dia yang terseliuh inipun rasa sakit sampai mencengkam sehingga ke tulang inikan pula Faiz yang patah kakinya.
“Syed Ammar ada jumpa kau?”
Maisara sengaja membuka cerita tentang Syed Ammar. Kalau dibiarkan Aizura mengusiknya sampai dia boleh keluar hospital pun belum tentu habis. Mendengar nama Syed Ammar terus hilang ketawa Aizura. Mulutnya muncung sedepa.
“Buat apa dia nak jumpa aku?”
Soalan berbalas soalan. Memang benar apa perlunya Syed Ammar bertemunya? Kerja mereka tidak bersangkut paut secara langsung. Lebih dari itu Aizura langsung tidak mahu tahu apa-apa tentang Syed Ammar. Hatinya masih berbekas walaupun salahnya bukan pada lelaki itu.
“Kau tahu nama anak dia?”
Suka pula Maisara mahu mengenakan Aizura. Sekali-sekala apa salahnya. Aizura dilihat cukup kuat selama ini. Kuat kerana tohmahan yang terpaksa ditelan!
“Buat apa nak tahu!? Dah lah Sara, aku malas nak ambil tahu pasal dia. Hati dan perasaan aku ni dah tak ada untuk dia.”
“Eleh. Kau pasti?”
“Pastilah! Yang kau ni sejak bila pandai nak tukar-tukar cerita ni?! Aku cakap pasal kau dan Faiz.”
Maisara ketawa kecil. Tahupun marah!
Ketukan di muka pintu mematikan perbualan dua orang teman. Sebaik sahaja Aizura menyuruh orang diluar itu masuk, riak wajah Maisara berubah seratus peratus. Pucat lesi sedangkan orang yang berjumlah lima orang itu menghulurkan senyuman.
“Assalamualaikum.”
Yang berbaju kuning cair itu memberi salam dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Sedangkan Maisara bagaikan terkunci mulutnya untuk menjawab salam. Akhirnya, salam itu dijawab oleh Aizura. Aizura sudah bertemu kelima-lima tetamu itu tadi.
“Sara, kenal aku lagi tak?”
Lama baru Maisara anggukkan kepala. Masakan dia lupa akan wajah sahabatnya itu. Malah yang lagi empat orang itu masih diingatnya. Tidak langsung berubah! Dan paling jelas tiga orang daripada mereka nampak seiras dengan Faiz.
Tangan dihulur. Diri Maisara masih lagi terkejut walaupun dia tahu kemungkinan untuk keluarga Faiz datang melawat adalah tinggi. Huluran tangan dari tiga orang wanita yang amat dikenalinya itu di sambut lambat.
“Lama sungguh ibu tak jumpa Sara. Dah jumpa macam ni pulak jadinya.” Puan Hasmah bersuara. Dia tahu Maisara tidak selesa dengan keadaan ini. Begitu juga dia. Salah anaknya sampai sekarang masih berkesan di hati wanitanya. Maisara sudah dianggap seperti anak sendiri. Kasih sayangnya untuk wanita itu sama seperti kasih sayangnya terhadap anak-anaknya yang empat orang itu.
Maisara senyum sedikit sebagai reaksi kepada kata-kata Puan Hasmah. Mulutnya masih tidak mampu dibuka untuk bersuara.
“Keluarga Sara tak datang ke?”
“Erm… baru pagi tadi telefon, mak cik. Mungkin kejap lagi sampailah tu.”
Aizura tolong jawabkan untuk Maisara. Seketika pandangan semua orang kearah Aizura sebelum kembali kepada Maisara.
Soalan demi soalan ditanyakan. Perkara demi perkara mereka borakkan. Nasib baiklah ada Aizura yang menjadi tukang penghidup suasana. Mahu harapkan Maisara seorang bak kata Faizlah, bagaikan bercakap dengan tiang semata. Dia lebih banyak mendengar dari bersuara. Bila di tanya dua tiga patah perkataan sahaja yang keluar daripada mulutnya.

***
Lewat petang itu, ketika semua orang sudah balik ke rumah masing-masing. Keluarga Faiz sudah pulang ke hotel penginapan mereka yang terletak di Hotel Ixora yang terletak berhampiran dengan Pusat Beli-Belah Megamall. Manakala keluarga Maisara menumpang di rumah bapa saudara Maisara yang duduk di Kulim. Aizura pula awal-awal lagi Maisara sudah paksa balik. Dia bukan sakit teruk sampai perlukan jagaan dua puluh empat jam pun.
“Assalamualaikum…”
Perlahan suara itu memberi salam. Maisara yang sedang kusyuk membaca buku yang di bawa oleh Aizura memanggungkan kepala.
“Apa yang awak buat kat sini?” Terus soalan itu di tanya.
“Tengok awak. Awak okey?”
Kedinginan sikap Maisara ditolak tepi oleh Faiz. Walaupun tadi keluarga memberitahu bahawa Maisara elok-elok sahaja dia masih tidak berpuas hati kalau tidak melihat dengan matanya sendiri. Biarlah rancangannya dengan Aizura punah sekalipun, dia tidak peduli.
“Saya okey. Awak tu yang tak okey. Kenapa nak bergerak jugak?!”
Faiz tersengih. Tadi punyalah dia paksa jururawat lelaki berdua itu menolongnya duduk di atas kerusi roda. Puas juga dia kena marah sebab berdegil sedangkan kakinya tidak boleh terlalu digerakkan.
“Bukan teruk sangat pun. Dah kena simen. Sakit sikit-sikit je. Bila awak boleh keluar?”
“Esok petang.”
“Erm… emak saya datang jumpa awak tadi?”
“Erm…”
“Janganlah marahkan keluarga saya sebab salah saya. Saya tahu walaupun dah tujuh tahun tapi awak masih tak maafkan saya tapi tolonglah jangan buat keluarga saya serba salah.”
“Mana ada!” tukasnya. Faiz ketawa. Kerusi rodanya ditolak mendekati katil Maisara. Walaupun sakit terpaksa ditanggungnya tetapi Faiz sedikit bersyukur kerana peristiwa itu bagaikan memberi dia dan Maisara ruang. Seperti sekarang!
“Ibu cerita awak banyak diam. Tak macam dulu. Saya pun rindukan Maisara yang dulu, yang saya kenal dulu.”
“Awak jangan nak mengada-ngada, Faiz! Jangan cuba nak buat saya marah dengan awak lagi. Nanti saya tak fikir dah awak patah kaki ke apa ke…”
“Maisara yang saya kenal sekarang banyak sangat marahnya.”
Faiz masih ketawa-ketawa. Masih tidak ‘terusik’ dengan amaran Maisara. Melihat Faiz yang bagaikan tak makan saman itu, Maisara sudah angkat tinggi buku tebal yang dipegangnya.
“Okey… Okey… saya minta maaf. Sakit awak baling saya dengan puncher hari tu pun masih belum hilang lagi… nak tambah pulak dengan buku tebal bagak tu?!”
“Siapa suruh awak mengada-ngada sangat?! Dahlah, pergilah masuk bilik awak. Makin sakit saya dibuatnya kalau ada awak kat sini dan tolong jangan cuba nak buat-buat rapat dengan saya.”
Kedengaran kasar kata-kata Maisara tetapi Faiz cuba sabarkan hati. Bukan tidak terguris hatinya tetapi hakikat yang harus ditelannya adalah punca segalanya adalah daripada dirinya dan dia tidak akan mengalah selagi Maisara tidak menjadi milik sesiapa!
“Yalah, saya keluarlah ni. Orang baru nak manja-manja sikit dia dah halau.”
“Banyaklah awak manja-manja!”
“Assalamualaikum…”
Bunyi ketukan di muka pintu dan salam yang diberikan mematikan bicara kedua-duanya. Masing-masing memandang ke arah pintu. Faiz dengan fikiran yang tertanya-tanya siapakah yang datang melawat Maisara lewat petang begini. Maisara pula, sedang cuba mengumpul kekuatan bila suara itu adalah milik seseorang yang semakin jauh daripadanya.
Saat susuk tubuh orang diluar itu melangkah masuk, raut wajah Faiz berubah sama sekali. Dia kenal lelaki itu! Terlalu kenal. Bahang cemburu bagaikan bermaharaja di dalam dirinya. Apa perlunya lelaki itu datang melawat Maisara? Untuk apa? Mengapa dia perlu muncul?

No comments: