Wednesday, March 25, 2015

Kau dan Aku

             Cerita versi merapu sepanjang 23 muka surat. Hahaha
Tajuk pun merapu jugak.
Selamat membaca. 


1.
Loceng kedengaran dari arah pintu. Badrul yang sedang menyusun buku-buku ke atas rak menoleh ke arah bunyi loceng tersebut. Sedikit terkejut melihat seorang gadis berambut hitam pekat yang baru melangkah masuk. Cepat-cepat sahaja dia mengalihkan pandangan.  Menyusun buku-buku berbahasa Inggeris itu secepat mungkin. Dadanya berombak kencang. Dia berharap gadis itu tidak akan menyedari akan dirinya. Dia mendengar Suhana mengucapkan selamat datang kepada gadis itu. Cepat-cepat sahaja dia menolak troli kembali masuk ke dalam stor.
“Eh, Badrul!”
Baru sahaja dia keluar dari kawasan rak buku itu, namanya dipanggil. Serentak dengan itu langkahnya mati. Dia memalingkan mukanya ke arah suara gadis itu. Senyuman canggung dipamerkan.
“Tak sangka jumpa kau. Kerja sini?”
Badrul angguk.
“Mak kau ada beritahu tadi yang kau kerja kat kedai buku tapi tak sangka pulak jumpa kau kat sini.”
Badrul garu kepala. Tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara. Tiga belas tahun lamanya mereka tidak langsung bertegur sapa. Malah, perbualan terakhir mereka dulu berakhir dengan sesuatu yang menyakitkan hati.
“Kau dah rehat ke?” Melihat Badrul yang dalam keadaan begitu tidak menyangka akan kehadirannya, Marissa bertanya.
“Belum lagi.” Akhirnya Badrul bersuara. Mahu dijawabnya sudah, jam di dinding baru sahaja melepasi angka sebelas setengah  pagi.
“Jom aku belanja makan. Bolehkan kau keluar sekarang?”
“Awal lagi ni. Aku selalu keluar makan lepas pukul satu.”
“Alah, kau ni… jomlah, dahlah aku balikpun kau langsung tak datang tanya khabar, ni aku terjumpa kau ajak makan pun kau nak berkira.”
Marissa tayang muka cemberut. Badrul serba salah. Lebih daripada itu dia agak tidak percaya dengan sikap Marissa  yang tiba-tiba lain macam. Dulu gadis itu yang memutuskan persahabatan mereka. Dengan alasan yang cukup klise, dia anak pembantu rumah manalah sesuai dengan gadis berstatus anak datuk seri.  Tapi kali ini selepas Tiga belas tahun, gadis itu datang bagaikan terlupa segala apa yang berlaku.
“Jomlah, kau tak janganlah fikir lama sangat.”
“Yalah. Kau tunggu kat luar sekejap. Aku nak hantar troli ni masuk stor.” Dengan separuh hati sahaja dia berkata tetapi sudah mengundang wajah ceria Marissa.
“Okey.”
***
“Asal kaki kau?” Soal Marissa ketika mereka beriringan ke restoran mamak yang terletak selang tiga buah kedai daripada kedai buku tempat Badrul bekerja.
“Kemalangan.”
“Bila kau kemalangan?”
“Dah dekat dua tahun dahpun!”
“Kenapa mummy dengan papa aku tak pernah nak ceritapun? Teruk sangat ke sampai kau kena bertongkat lama macam ni!”
Dahi Badrul berkerut lagi. Dia tidak nampak apa perlunya Datuk Seri Nordin mahupun Datin Seri Sarina bercerita kepada Marissa tentang kemalangan yang menimpanya. Bukankah gadis itu benci benar dengan dia?
“Buat apa mummy dengan papa kau nak cerita pasal aku kat kau? Lagipun tak teruk manapun,” ujar Badrul sambil menghulurkan pinggan kepada Marissa.
“Tak teruk kata kau? Bagi kau tak boleh bergerak tu, baru teruklah?”
Badrul ketawa kecil. Dia tidak menjawab terus persoalan yang diutarakan oleh Marissa sebaliknya menceduk nasi putih ke dalam pinggan. Disuakan mangguk kecil yang dijadikan penceduk nasi kepada Marissa.
“Tembikai ais.” Jawab Marissa apabila ditanya oleh pelayan Indonesia itu.
“Saya nak milo ais ye kak.”
Pelayan itu angguk sahaja dalam senyuman.
“Kau memang tak berubahkan dari dulu? Aku rasa kalau pinggan tu lagi besar dari yang ini lagi penuh lauk tu kau ceduk.” Tegur Badrul. Dulu, ketika mereka masih berbaik setiap kali ke kedai mamak lagak Marissa macam orang tak makan sepuluh hari. Dengan lauk dua tiga jenis, dengan air tembikai gelas besar! Tak padan dengan orangnya!
“Lebih sepuluh tahun tahu, aku tak dapat rasa masakan mamak Malaysia!”
“Alasan. Dulupun kau macam ni!”
“Alah, janji aku habiskan makanan aku!  Perut ni kan stretching.”
Badrul ketawa kecil mendengar ayat terakhir Marissa. Marissa memang kuat makan. Marissa tak cerewet. Marissa bukan anak orang kaya yang banyak pantang larangnya. Mungkin sebab itu dia mula sukakan Marissa tetapi perasaan itu dibuang jauh-jauh bila Marissa membuangnya sebagai sahabat. Mungkin saat mereka menginjak usia enam belas tahun itu, Marissa baru sedar betapa dia tidak layak berkawan dengannya. Mereka tidak setaraf!

***
“Hah, dah balikpun anak mummy. Jom makan sekali. Mak Cik Imah dengan mummy masak lauk kegemaran Rissa ni.”
Marissa mencebik. Mukanya sengaja ditunjukkan riak marah. Berkerut dahi ketiga-tiga mereka yang berada di meja makan melihat reaksi Marissa.
“Ni kenapa tayang muka empat belas ni? Rissa pergi mana?” Tanya Datuk Seri Nordin.
“Kenapa tak ada siapa beritahu Rissa yang Bad accident?”
Makin berkerut dahi ke tiga-tiga mereka bila mendengar soalan daripada Marissa.
“Kena beritahu ke?” soal Datuk Seri Nordin sekadar menduga.
“Yalah. Mak Cik pun tak ada cerita apa-apa. Nasib baiklah tadi Rissa terserempak dengan Bad kat kedai buku.”
Mummy tak tahu pulak yang kena beritahu Rissa pasal Bad. Bukan dulu Rissa punya benci dengan Bad?”
Datin Seri Sarina ingat lagi Marissa berkawan baik dengan Badrul kerana Badrul sering kali datang bertandang ke rumah mereka kerana ibunya iaitu Puan Rahimah bekerja di rumah mereka. Kemana sahaja pasti berdua. Tapi Marissa mula berubah sikap sebaik sahaja mereka meniti alam sekolah menengah. Sebagai ibu, dia jadi malu dengan sikap Marissa walaupun Puan Rahimah berkali-kali memberitahu dia mahupun Badrul tak ambil hati dengan sikap Marissa itu. Sejak peristiwa Marissa memaki hamun Badrul, lelaki itu tidak pernah lagi datang berkunjung ke rumah mereka sehinggalah Marissa melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat.
“Itu lain. Sampai Bad teruk macam tupun, tak ada siapa beritahupun.”
“Yalah. Salah kami tak beritahu Rissa. Dah, kita makan dulu. Papa dah lapar ni.”
“Rissa dah kenyang! Dah makan dengan Bad tadi. Petang-petang nantilah Rissa makan pulak.”
Terus Marissa berlalu naik ke biliknya.
“Aik, hairan saya dengan anak kesayangan awak tu! Dia boleh marah kita pulak pasal tu. Dia lupa agaknya, bila kita sebut nama Bad je dia terus marah.”
“Eh, tetiba jadi anak kesayangan saya pulak?! Perangai ikut awak. Sekejap macam ni, sekejap macam tu. Kak Mah, nanti risik-risik dengan Bad pasal Rissa terjumpa dia tu. Nak jugak saya tahu cerita dari Bad.”
Puan Rahimah anggukkan sahaja kepalanya. Dia sendiri hairan dengan sikap Marissa. Dia memang tidak sabar untuk menghubungi anaknya bertanyakan hal itu.

***
“Amboi, pagi Rissa hari ni? Nak keluar ke mana? Jumpa Tasha dengan Linda?”
Marissa menggelengkan kepala. Berselera dia melihat mi goreng yang terhidang di atas meja. Diceduknya mi goreng itu ke dalam pinggan.
“Rissa nak jumpa Bad. Erm… Mak Cik Imah tak datang lagi ke, mummy?”
“Belum. Dalam pukul Sembilan lebih nanti baru dia sampai. Ni, mummy peliklah… kenapa Rissa balik dari U.S je cari Bad? Rissa lupa ke apa yang Rissa cakap kat Bad dulu?”
Marissa sengih. Masakan dia lupa.
“Alah, itu dah Tiga belas tahun punya cerita. Mak Cik Imah selalu datang siapa hantar? Bad ke?”
“Aah. Kalau tak Bad hantar dia tumpang orang je.”
“Erm, Mak Cik Imah tu memang nak terus kerja dengan kita ke, mi? Dia tak nak berehat ke? Kan Bad dah kerja, buat apa Mak Cik Imah masih nak kerja lagi?!” Soal Marissa bertalu-talu sambil mengunyah mi goreng yang disediakan oleh Datin Seri Sarina.
“Mak Cik Imah kamu tu sama degil macam kamulah! Macam Bad! Mummy dengan papa dah berkali suruh Mak Cik Imah berhenti tapi tak nak. Alasannya, dia banyak berhutang dengan kita. Duit belajar Bad, papa yang tanggung. Masa Bad kemalanganpun papa yang jelaskan bil hospital. Kereta yang Bad pakai sekarangpun papa yang belikan. Itu yang buat Mak Cik Imah kamu nak terus kerja sedangkan papa ikhlas tolong sebab dulupun masa arwah Pak Cik Rahim kamu masih hidup arwah yang banyak tolong papa dan mummy.”
“Ish Mak Cik Imah ni kalaupun nak bayar duit Bad belajar, duit kereta dengan bil hospital tu suruhlah Bad yang bayar. Dia yang guna. Mak Cik Imah tu dah tua, patutnya duduk rumah je. Bad tu tak pujuk ke emak dia tu?”
“Budak tu pun dah tak larat nak pujuk agaknya.  Mak Cik Imah kamu tu degil. Boleh pulak dia kata, kalau dua orang yang bayar cepatlah sikit habis hutangnya.”
“Boleh pulak macam tu? Erm…”
“Assalamualaikum…”
Salam yang kedengaran dari luar mematikan perbualan dua beranak itu. Muncul Puan Rahimah dengan senyuman yang tidak lekang dibibirnya.
“Awal hari ni kak?”
“Bad hantar. Tahulah kalau dengan Bad. Semua dia nak cepat. Bukan dia nak pergi manapun hari ni. Hah, Rissa melawa pepagi ni nak ke mana?”
“Dia kata nak jumpa Bad.” Datin Seri Sarina yang tolong jawabkan. Marissa sekadar tersengih dengan mulutnya yang penuh dengan Mi Goreng.
“Jumpa Bad? Tak ada pulak dia beritahu mak cik tadi…”
“Bad tak tahupun. Eh, tadi mak cik kata Bad tak pergi mana-mana. Dia tak kerja ke?”
“Hari ni hari cuti dia.” Beritahu Puan Rahimah.
“Erm, Rissa pergi cari Bad kat rumah mak ciklah.”
Belum sempatpun kedua-dua wanita itu bersuara, Marissa sudah bangun dan menghilang ke ruang tamu.
“Bertuah punya budak! Makan pun tak habis!” Rungut Datin Seri Sarina.

***
“Kau dah ada girlfriend?” Soal Marissa tiba-tiba setelah mereka selesai bermain bowling. Sebaik sahaja pusat beli-belah itu dibuka, mereka antara orang pertama yang berkunjung ke pusat bowling tersebut.
“Apasal kau nak tahu?”
Marissa mencebik. Sikap dingin Badrul terhadapnya membuatkan dia terasa hati. Dia tahu, salahnya dulu kerana bersikap kebudak-budakan dulu. Ah, bukankah umur enam belas tahun itu masih boleh dianggap budak? Huh!
“Kau kalau tak cakap dengan aku suara macam tu tak boleh ke? Sengaja nak bagi mood aku hilang je!”
“Dah tu kau nak aku cakap cara mana lagi?”
“Erm… apa-apa jelah. Jawablah soalan aku tadi, kau dah ada awek belum?”
“Kalau aku cakap tak ada kenapa?”
Soalan Marissa berbalas soalan. Malas benar Badrul mahu menjawab pertanyaan Marissa itu. Pada umur yang masih mencari hala tuju hidup ini dia tidak pernah langsung memikirkan untuk bercinta. Hatinya masih belum terbuka untuk bercinta dengan mana-mana wanita sekalipun.
“Kalau kau belum, aku nak ajak kau kahwin dengan aku.”
Laju sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut Marissa. Namun begitu, jantungnya berdegup begitu pantas.
Mendengar kata-kata Marissa itu langkah Badrul terhenti. Dahinya berkerut.
“Kau kenapa Rissa? Kau pregnant eh?”
“Hah? Apa yang kau mengarut nih!?” Muka Marissa memerah. Badannya terasa seram sejuk mendengar ‘tuduhan’ Badrul.
“Yalah, kau balik sini tetiba. Mummy dan papa kaupun tak tahu. Tetiba kau balik, beritahu dah berhenti kerja kat U.S tu. Lepas tu, sekarang kau ajak aku kahwin? Kalau tak bersebab, takkan tetiba kau nak ajak aku kahwin kan? Kau nak aku jadi pak sanggup? Pelik jugak aku, dulu kau punya benci dengan aku… sekarang ni tetiba kau buat baik semacam je!”
Suara Badrul meninggi. Nasib baiklah mereka sekarang berada di hadapan lif. Kawasan itu kosong. Tiada orang lain melainkan mereka berdua.
“Kau memang kejam, Bad! Tak guna!”
Terus Marissa melibas beg tangannya ke tubuh Badrul dan berlalu. Badrul mendengus. Dia langsung tidak punya hati mahu mengejar Marissa. Lantaklah!
***
“Awal balik, kata keluar dengan Bad?” tegur Puan Seri Sarina sebaik sahaja Marissa melepasinya. Marissa tidak langsung menjawab sebaliknya terus naik ke biliknya. Bunyi dentuman kuat pintu mengejutkan Puan Seri Sarina dan Puan Rahimah yang berada di dapur.
“Kenapa tu Seri? Rissa ke balik?” soal Puan Rahimah. Laju sahaja langkahnya ke ruang tamu mendapatkan Puan Seri Sarina yang masih  berkerut dahinya.
“Entah kenapa pulak dengan budak tu. Tadi keluar bukan main gembira, balik je muka masam mencuka macam tu. Kita tegur pun buat tak tahu je!”
Kedua-dua wanita itu terus melangkah ke tingkat atas. Pelik dengan perubahan tetiba Marissa. Puan Rahimah jadi tidak sedap hati. Dia dapat merasakan ada sesuatu berlaku sehinggakan membuatkan Marissa berkeadaan begitu. Tentu ada sesuatu yang telah anaknya, Badrul lakukan.
“Rissa… Rissa… kenapa ni?”
Datin Seri Sarina memulas tombol pintu tetapi pintu dikunci. Risau pulak jadinya bila mendengar bunyi barang dilemparkan ke lantai. Marah benar lagaknya anaknya itu!
“Jangan ganggu Rissa!”
“Rissa… jangan macam ni… cuba beritahu mummy kenapa Rissa marah sampai macam ni?”
“Jangan ganggu Rissa!”
Datin Seri Sarina garu kepala. Anak tunggalnya itu memang jarang mengamuk tidak tentu pasal. Kali terakhir Marissa mengamuk teruk sampai berhari-hari waktu itu anaknya masih di bangku sekolah. Sampai sekarang dia tidak tahu kenapa anaknya itu mengamuk begitu.
Puan Rahimah menarik tangan Datin Seri Sarina, mengajak wanita itu turun. Dia harus menghubungi anaknya bertanyakan hal itu. Dia pasti Badrul tentu sahaja menjadi penyebab Marissa mengamuk begitu.
“Okeylah, mummy tak ganggu Rissa. Mummy turun dulu.”

***
“Rissa dah okey ke Ina?” tanya Puan Rahimah ketika dia datang pagi keesokan harinya.
“Tak lagi, kak. Dari semalam tu tak keluar-keluar bilik. Malam tadi, puas papanya pujuk dia tetap tak mahu keluar.”
“Si Bad tupun satu. Akak tanya dia boleh buat tak tahu je! Akak marah dia sikit, terus hilang keluar ke mana entah. Pagi tadi akak tanya lagi, dia suruh saya tanya Rissa sendiri. Bad ni memang melampau betul!”
“Entahlah, kak. Kita tak tahu salah siapa. Dua-dua buat perangai. Saya bukan apa kak, Rissa tu kalau macam tu sampai tak makan.”
“Erm… kejap lagi kalau Rissa tak keluar lagi dari bilik tu Seri telefon Bad, suruh dia datang pujuk. Kalau akak yang cakap dengan dia mesti dia tak nak ikut. Akak pasti ni mesti salah si Bad. Kalau dia tak salah, awal-awal lagi bila ditanya dia bagitahu sebab apa.”
Datin Seri Sarina sekadar mengeluh. Dia tidak boleh menyalahkan Badrul selagi dia tidak tahu cerita sebenar. Pada pemikirannya, tentu ada salah Marissa juga. Selama dia mengenali Badrul, lelaki itu tidak pernah cuba mendatangkan masalah. Selalunya anaknya itu yang menjadi penyebab.
Tengah hari itu, dalam hendak tak hendak terpaksalah Badrul datang ke rumah Marissa setelah dihubungi oleh Datin Seri Sarina. Kalau ikutkan hati, biar sahajalah Marissa tak mahu keluar bilik selama-lamanya pun! Dia tahu, dia agak keterlaluan sehingga menuduh Marissa begitu tetapi itu sahaja yang bermain difikirannya bila Marissa ‘melamarnya’ semalam. Salahkah?
“Rissa… aku ni… bukalah pintu ni…”
Senyap.
“Rissa, aku tahu aku keterlaluan semalam. Aku minta maaf. Ni aku ada belikan nasi lemak kukus kesukaan kau ni. Dengan ayam berempah lagi. Kuih kesukaan kaupun aku ada beli. Rissa…”
Dulu mahu memujuk Marissa senang sahaja, belikan apa sahaja makanan kegemarannya. Terus hilang rajuknya.
Datin Seri Sarina dan Puan Rahimah sudah turun ke bawah. Membiarkan Badrul keseorangan memujuk Marissa.
“Rissa… kau nak tak nasi ni? Kalau tak aku makan, akupun tengah lapar ni.”
Telefon bimbit Badrul berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Nombor yang tidak dikenali. Ditekan butang ‘silent’.
“Rissa… bukalah pintu ni. Aku betul-betul minta maaf. Aku tak ada niatpun semalam nak tuduh kau macam tu. Kau yang tetiba cakap macam tu, aku terkejut tahu tak?!”
Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Bila diamati nombor yang sama seperti tadi. Badrul terpaksa menjawab panggilan tersebut, takut ada hal penting.
“Kau memang kejam tahu tak?!”
“Rissa? Rissa.. aku minta maaf… bukalah pintu ni!”
“Kau tuduh aku macamlah aku ni perempuan murahan! Kau ingat, aku ni bodoh sangat ke nak buat benda tak senonoh macam tu?!”
“Okey… okey… aku minta maaf.. aku tarik balik kata-kata aku semalam… bukalah pintu ni, penat tau aku pergi Ampang cari nasi lemak kukus kau ni. Dengan hujannya…”
“Kau memang tak ikhlas nak pujuk aku kan? Bukan kau kena hujanpun!”
“Aku ikhlaslah… kalau tak aku beli je nasi lemak kat depan simpang rumah aku tu.. senang cerita!” Badrul ketawa.
“Tengok tu?! Kau memang sengaja nak bagi aku marah!”
“Okey… okey… kau ni… bukalah pintu ni dulu… lepas tu kalau kau nak marah aku lima hari lima malam pun ta….”
Tetiba panggilan diputuskan oleh Marissa. Seketika kemudian, Badrul melihat pintu bilik Marissa dibuka dari dalam.
“Macam tulah… tak baik tahu kau bagi mummy dan papa kau risau. Kesian dorang!”
Kaulah. Mulut puaka!”
“Yalah. Aku minta maaf! Ini nasi lemak kukus kegemaran kau. Kau maafkan aku kan?”
“Kalau kau suapkan aku, aku maafkan kaulah!”
“Kau ni… aduhai… macam budak-budaklah. Malulah nanti mak aku dengan mummy kau tengok. Nanti dorang fikir apa pulak!”
“Aku peduli apa!? Kau yang tak sayang mulut!”
Badrul mendengus. Ingatkan umur sudah melepasi dua puluh satu perangai dah cukup matang rupanya tidak!
“Yalah, salah aku! Dah tu jomlah…”
Badrul sudah mahu melangkah turun ke bawah.
“Siapa kata makan kat bawah?”
“Habis tu?”
“Sini.’
“Dalam bilik kau?! Gila apa?”
“Weh, otak kau kalau fikir baik-baik tak boleh ke? Aku ajak makan kat balkoni. Kau jugak yang kata malu kalau mummy dengan mak kau tengok!”
Muka masam mencuka Badrul dibalas juga dengan muka masam mencuka Marissa. Baru tadi hatinya sedikit terpujuk tetapi sekarang kembali membahang dek Badrul yang bagaikan tak punya hati dan perasaan itu.
Masuk sahaja bilik Marissa, Badrul terkejut melihat bilik itu yang berselerak. Paling buat dia terkejut melihat gambar-gambarnya yang bertaburan dilantai. Gambar-gambar ketika mereka bersekolah dahulu.
“Kau tak payah pandang pelik macam tulah! Cepatlah aku lapar ni! Dari semalam aku tak makan!”
“Ada aku suruh kau tak makan? Kau marahkan aku sekalipun janganlah sampai buat semua orang risau. Ni gambar aku comel-comel kau pergi conteng! Memang macam budak-budaklah kau ni!”
“Biarlah. Hati aku puas tau!? Lagipun kau tu mana comelpun. Comel lagi kucing aku tu!”
“Banyaklah kau punya puas?! Dahlah, cepatlah duduk. Aku ni keluar sekejap je, kejap lagi kena masuk kerja balik.”
“Baik kau tak payah datang macam tu!”
Raut wajah Marissa kembali masam mencuka membuatkan Badrul garu kepala. Semakin tidak faham dengan perangai Marissa.
“Ya ALLAH…. Yalah, aku duduk sini temankan kau… esok, lusa…tulat… tungging… Teruk aku macam ni kalau dapat bini macam kau! Susah betul nak pujuk! Sekejap okey, sekejap tak.”
Niat hati Badrul sekadar mahu mengusik Marissa tetapi tak sangka pula gadis itu sudah berair matanya. Menanti masa sahaja air matanya mengalir.
“Rissa… aduh… kau nak menangis ni kenapa? Kau tahukan, aku mana reti nak pujuk-pujuk kau!? Okey… okey… aku tak balik kedai. Aku temankan kau makan lepas tu aku temankan kau nak kemana je ya?! Janganlah menangis… aku… aku bab-bab menangis ni yang aku lemah ni! Maaf ye Rissa… aku janji aku tak cakap yang bukan-bukan lagi dengan kau!”
“Janji?!” Marissa bersuara berbaur rasa sebak. Serentak dengan itu air matanya mengalir laju menuruni pipinya.
“Ya. Aku janji! Dahlah janganlah menangis! Aku tak suka tengok kau menangis tahu tak!”
“Lain kali kalau kau cakap macam tadi lagi, jangan harap aku maafkan kau!”
“Aku bergurau jelah tadi. Dulu kau ni tahan bergurau, sekarang bergurau sikit pun tak boleh.”
“Kaulah!”
“Yalah… dahlah, duduklah cepat. Nanti nasi ni sejuk, ada pulak kau suruh aku pergi panaskan pulak nanti!” Badrul sudah ketawa dengan kata-katanya sendiri.
“Kau memang sengajakan nak bagi aku sakit hati?!”
Badrul ketawa lepas. Nasi lemak kukus kesukaan Marissa diletakkan di atas meja kecil dan bungkusan itu dibukanya. Bau sahaja haruman daun pandan dan santan daripada nasi lemak itu terus membuatkan Marissa tersenyum lebar. Segera dia mengambil tempat berhadapan dengan Badrul.
“Aku nak kau suap guna tangan kau bukan sudu!”
“Hah? Aku tak reti nak suap-suap orang ni. Guna sudu jerlah ye?”
“Tak nak!” bentak Marissa.
“Kau ni… kejap, aku basuh tangan dulu. Tumpang bilik air kau.”
Marissa tidak bersuara. Dibiarkan Badrul menghilang ke dalam biliknya semula. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Dadanya berdebar secara tiba-tiba. Dia tahu ini adalah masanya untuk dia meluahkan segala rasa hati terhadap Badrul. Tiga belas tahun dia memendam rasa, dia tidak mahu lagi terus membohongi diri. Dia mahu Badrul tahu, dia ke Amerika membawa rajuk yang panjang. Rajuk yang tiada siapa tahu. Hari ini dia mahu Badrul tahu, dia pulang untuk meluahkan rasa hati. Sama ada Badrul menerima atau tidak, dia tidak peduli. Sekurang-kurangnya dia melepaskan bebanan yang ditanggung selama ini.
“Weh, jauh kau termenung! Kau duk ingat siapa?”
“Erm… Bad… aku… ada benda nak cakap dengan kau…”
“Apa dia?” Soal Badrul sampai menyuakan makanan ke mulut Marissa. Lambat-lambat sahaja Marissa membuka mulut.
“Kau ni suap betul-betullah! Aku bukan nak makan tangan kaupun!”
“Kan aku dah cakap, aku tak reti bab-bab nak suap orang guna tangan macam ni! Hah, apa benda yang kau nak cakap dengan aku tadi?”
“Erm… kau pernah couple dengan Shuhada erk?”
Dahi Badrul berkerut. Otaknya cuba mengingat siapa Shuhada yang dimaksudkan oleh Marissa.
“Shuhada mana pulak ni?”
“Shuhada budak debat masa kita sekolah dululah! Kau jangan buat-buat lupa pulak?”
“Shuhada Borhan tu?”
“Entah. Aku tak ingat nama bapak dia. Aku ingat nama dia je. Jawablah soalan aku tu!”
“Masa bila pulak aku bercinta dengan dia?”
“Tak bercinta namanya kalau dah ke hulu ke hilir berdua. Rehat berdua, dalam kelas berdua, balik sekolah berdua. Macam belangkas!”
“Lah, aku dengan dia kan grup debat tapi seingat akulah kan tak adalah pulak aku dengan dia selalu bersama. Kekadang je!”
“Yalah. Kekadanglah sangat sampaikan aku ni kau langsung tak pedulikan. Aku merajukpun kau tak ambil peduli.” Luah Marissa sambil mengunyah nasi lemak yang disuapkan oleh Badrul.
“Kau ada merajuk ke? Masa bila kau merajuk?”
“Nampaklah sangat kau memang tak pedulikan aku! Aku merajuk, aku mengamuk, aku maki kau dulu tu sebab itulah. Aku terima tawaran ke U.S lepas tu kerja kat sana. Itupun semua sebab tu!”
Badrul terkesima. Tangannya yang baru sahaja diangkat untuk menyuap nasi ke mulut Marissa ditarik semula.
“Kau merajuk dengan aku sampai macam tu sekali?” akhirnya selepas beberapa ketika dia bersuara.
“Yalah. Sebab Shuhada tu kau langsung tak pedulikan aku. Aku merajukpun langsung kau tak peduli. Aku cemburu tau tengok kau baik sangat dengan dia! Sampai sekarang ni aku ingat lagi betapa rapatnya kau dengan dia sampaikan aku lalu kat sebelahpun kau tak peduli.”
“Kau cemburu?” Soal Badrul seakan tidak percaya.
“Habis tu?”
“Sampai ke U.S?”
Marissa angguk. Badrul turut mengangguk tetapi dahinya berkerut. Dia sedang mentafsir maksud cemburu Marissa. Cemburu yang bagaimana?
“Kau ni tak faham atau buat-buat tak faham?”
“Aku blur.” Badrul tersengih.
“Kat mana yang kau blur sangat?”
“Yang kau cemburu tu? Cemburu macam mana?”
Badrul memberanikan diri bertanya. Dadanya berdebar-debar semacam. Adakah cemburu Marissa itu sama dengan cemburu seorang kekasih? Ahhhh…
“Suapkan aku sampai habis baru aku bagi tahu!” Marissa ketawa.
“Rissa, kau jangan macam ni boleh tak? Cakap bagi habis, suka sekerat-sekerat!”
Marissa ketawa lagi. Debarannya semakin menghilang. Dia merasakan Badrul juga bagai punya hati terhadapnya.
“Perasaan aku…. Perasaan aku terhadap kau sama macam perasaan mummy aku terhadap papa.”
“Perasaan macam mana tu? Cuba cakap bagi jelas?” soal Badrul dalam senyuman yang tersungging dihujung bibir.
“Ah, lelaki ni memang macam ni kan?”
“Yalah. Nanti aku fikir lain, lain pulak jadinya. Baik kau cakap jelas-jelas. Tak adalah aku salah faham. Bila aku tak salah faham, taklah jadi lain macam.”
Ayam goreng berempah yang sudah tinggal separuh dicubit sedikit dan disuakan kepada Marissa. Cepat sahaja gadis itu membuka mulutnya.
“Apa kau fikir perasaan mummy aku terhadap papa aku?”
Marissa masih berdolak-dalik.
“Entah.”
“Kau fikir sebab apa mereka kahwin?”
Badrul angkat bahu. Bibirnya masih menguntum senyuman.
“Susahlah cakap dengan kau ni! Buat-buat tak faham pulak!”
“Bukan. Aku Cuma nak kau cakap dengan jelas. Perempuan memang suka cakap benda-benda tersirat erk? Cakap je terus, tak payah nak terbelit-belit.”
“Erm… Aku suka… kan.. kau.”
“Okey.”
“Bad!!!”
“Jadi kau nak aku buat apa?!”
“Cakaplah benda lain selain ‘okey’!” suara Marissa meninggi. Muncungnya panjang sedepa. Badrul sudah ketawa lepas.
“Apa yang kau nak dengar?” soalnya Badrul, masih mahu menyakat Marissa. Sedangkan di dalam hati dia sudah melonjak gembira. Gembira kerana dia tahu sebab Marissa mengamuk dulu. Gembira kerana dia tahu perasaan Marissa terhadapnya sama seperti perasaannya terhadap gadis itu.
“Cakaplah kau suka aku ke tak? Takpun, kalau kau tak sukapun cakaplah.”
“Kalau aku cakap tak suka, kau nak balik Amerika balik?”
“Huh! Tengoklah!” rasa mahu menangis mendengar soalan Badrul itu.
“Kau tahu tak Rissa…”
Badrul berjeda. Marissa masih lagi tunjuk muka tidak puas hati. Masih lagi berpeluk tubuh.
“Akupun sukakan kau.”
Perlahan sahaja Badrul meluahkan rasa hati.
“Tipu!”
Mata Badrul membulat. Sudah diluahkan rasa hati, dituduh pula menipu?
“Lah… kau ni…”
“Kau cakap macam tu sebab kau tak nak aku balik U.S kan?”
Badrul tepuk dahi.
“Cik Marissa, macam mana nak buat kau percaya? Kalau kau tak percaya, pergi tanya mak aku!”
“Kau suka aku?”
Badrul angguk.
“Suka yang macam mana? Kawan? Atau…”
“Macam arwah ayah aku suka kat emak akulah!”
Like or love?”
Badrul ketawa lagi.
“Kau ni comellah!”
Serentak dengan itu Badrul bangun dan menundukkan sedikit tubuhnya. Pipi Marissa menjadi sasarannya.
“Weh, sakitlah! Tangan kau tu dahlah kasar, suka hati nak cubit pipi aku! Sakit tau?!”
“Siapa suruh kau tanya soalan tu? Tadi kau juga yang cakap belit-belit. Kaupun tak cakap betul-betul.”
“Okey.. last. Kau cintakan aku tak?”
Badrul tersengih. Wajah Marissa direnungnya. Boleh tahan selamba jugak gadis di hadapannya ini!
“Ya, aku cintakan kau. Dah, sekarang kau kena habiskan nasi lemak ni. Jari aku ni dah kering dah tunggu pengakuan cinta kau tu!”
Marissa mencebik tetapi kemudiannya dia tersenyum sambil membuka mulutnya. Menunggu Badrul menyuapnya.
Tanpa mereka sedari, sejak dari awal lagi Datin Seri Sarina dan Puan Rahimah menjadi pendengar di sebalik langsir pintu di antara balkoni dan bilik Marissa.
“Patutlah selama ni masing-masing ada perasaan tetapi tak nak mengaku. Kalau saya tahu dari awal, awal-awal lagi saya dah kahwinkan mereka tu!”
Puan Rahimah langsung tidak bersuara. Dia sekadar tersenyum sahaja kerana dari awal lagi dia tahu perasaan anaknya terhadap Marissa. Kini, mendengar sendiri pengakuan Marissa dan Badrul hatinya terasa senang. Ditambah pula dengan reaksi Datin Seri Sarina yang bagaikan bersetuju dengan hubungan anak mereka.

7 comments:

♥ afiqah ♥ said...

Ada sambungan ke ni?
ke dah tamat?
hoho..macam nak lagi je. ;)

Anonymous said...

welcome back! :D

epy elina said...

dah abs ke kak....
alah...
kcian dorng...
cnta tp jual mhl dua2..
sape mrk...
best la crt ni...
hrp akak smbg ekk....

blinkalltheday said...

lawak lah kapel ni..

Anonymous said...

best. buatla sambungan cerpen ni pl
^_^

nabila said...

aduhai mrajuk smpai 13 taun...

Nera Fatimah said...

Terima kasih kepada yang sudi baca dan komen. harap maaf cerita ini tiada sambungan. :)