Tuesday, October 2, 2012

Benci itu...


Bila tuan putera bernama idea datang 'menziarahi' otak. ta berkisar pada benda yang sama. Mohon maaf.

Zamir diam membisu. Lambat-lambat sahaja dia menjamah makanan yang disediakan oleh Mardhiana. Sesekali kedengaran lelaki itu mengeluh. Membuatkan Mardhiana jadi terganggu. Lama dia memandang lelaki itu tetapi lelaki itu langsung tidak sedar dirinya diperhatikan.
“Awak ni kenapa? Mengeluh waktu makan. Ada masalah?” akhirnya Mardhiana bersuara. Tiada reaksi. Zamir masih memandang hidangan ayam masak merah yang berada di hadapannya dengan pandangan kosong.
Mardhiana garu kepala. Zamir tidak pernah tunjuk sikap begini. Selalunya ceria-ceria sahaja.
“Mir…”
Bahu lelaki itu ditepuk. Menggeleng dia bila lelaki itu terkejut dengan tepukannya itu.
“Awak kenapa?”
“Erm… tak ada apalah.”
Jawapan daripada Zamir memang tidak memuaskan hati Mardhiana. Dia kenal Zamir bukan setahun dua. Sudah hampir tiga puluh tahunpun. Walaupun hubungan mereka tidak pernah baik dahulu, sejak di sekolah menengah Zamir dikenalinya bukan mudah untuk tayang muka seperti sekarang. Muka bermasalah!
“Tipulah.. dari balik tadi awak macam ni. Selalunya banyak je benda yang awak nak cakapkan.”
Zamir tersengih. Tiada guna Mardhiana tahu apa yang dia fikirkan. Bukan sesuatu yang menjadi kepentingan untuk wanita itu tahu apa yang bermain difikirannya. Biarlah.
“Ada masalah kat bengkel tadi. Itu je.”
Alasan itu yang menjadi jawapannya. Dia berharap benar Mardhiana tidak terus mendesaknya. Dia jadi rimas. Lebih daripada itu dia rasa tidak selesa. Dia memikirkan sesuatu yang lebih daripada yang sepatutnya setiap kali Mardhiana memberikan perhatian kepadanya.
“Kenapa? Customercomplained lagi?”
Zamir senyum. Alasan yang mungkin selalu Mardhiana dengar daripadanya. Zamir angguk dalam senyuman yang masih di bibirnya.
“Erm… tak payah fikirkan sangat. Kalau dah nama kereta besar, tuan punya kereta tu pun bukan main besarlah kepala dorang.
Zamir senyum lagi. Kekadang Mardhiana lebih beremosi daripadanya. Itulah yang selalu membuatkan perasaannya kacau bilau. Sampaikan selalu sangat dia ingatkan dirinya sendiri. Dia tidak boleh mengharap apa-apa daripada Mardhiana. Tidak!

***
Jari-jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan meja. Kerjanya satupun tidak jadi. Awal pagi tadi dia sudah merencanakan aktivitinya pada hari ini tetapi belumpun temujanji pertama dia sudah membatalkannya. Hatinya tidak senang. Ada sesuatu yang menganggu fikirannya. Zamir!
Zamir semalam bukan seperti Zamir yang punya masalah dengan pelanggan di bengkel keretanya. Sehingga pagi tadi dia melihat Zamir masih kusut. Langsung tidak bersuara. Nasi goreng yang disediakannya pun tidak habis dimakan.
Dia tahu ada sesuatu yang menganggu fikiran suaminya itu. Sesuatu yang langsung tidak berkaitan dengan bengkel tempat kerjanya. Tetapi dia langsung tidak boleh meneka apakah masalah lelaki itu.
Gegaran daripada beg tangannya mematikan segala teka-tekinya. Segera dicapai telefon bimbit yang memang sengaja disetkan ‘senyap’ itu. Melihat nama Zamir yang tertera di skrin laju sahaja dia menjawab.
“Hello Assalamualaikum.” Suara yang memberi salam dihujung talian bukanlah suara Zamir membuatkan Mardhiana mengeluh lemah.
“Waalaikumsalam.”
“Akak ni Johan. Abang Zam ada kat PPUM ni…”
Berderau darahnya mendengar berita yang disampaikan oleh lelaki bernama Johan itu.
“Erm… kenapa dia kat sana?”
“Tangan abang luka. Teruk juga sampai kena jahit. Tadi kat bengkel, abang panjat tangga nak ambil barang entah macam mana boleh terjatuh lepas tu tangan dia terkena cermin tingkap.”
“Erm… Johan tunggu sana, akak datang sekarang.”
Panggilan telefon dimatikan tanpa sempat berbalas salam. Kelam kabut Mardhiana mengemas barangannya dan melangkah menuruni anak tangga.
“Dee, laju semacam je! Jumpa client ke?” tegur Adham yang melihat wanita itu laju sahaja menuju ke arah keretanya.
“Tak. Nak ke PPUM, suami I accident kat bengkel dia tadi.”
“Erm.. nak I ikut ke? Tengok you risau semacam, nanti tak pasal-pasal you pulak yang accident.”
Mardhiana diam seketika sebelum mengangguk. Bukan mahu menyusahkan Adham tetapi memikirkan dulu beberapa kali dia pernah hampir kemalangan malah pernah kemalanganpun kerana kerisauannya.

***
Sampai sahaja ke PPUM Mardhiana terus menghubungi telefon bimbit Zamir. Kali ini Zamir yang menjawab panggilan tersebut.
“Awak dekat mana? Saya kat depan wad kecemasan ni.”
“Erm… saya tengah tunggu ambil ubat.”
Panggilan diputuskan oleh Mardhiana sebaik tubuh Zamir nampak di matanya. Laju sahaja langkahnya menuju ke arah lelaki itu meninggalkan Adham.
“Macam mana boleh kena sampai macam ni?” soal Mardhiana sebaik sahaja dia mengambil tempat di sebelah Zamir. Zamir menoleh. Wajah risau Mardhiana dipandangnya seketika sebelum matanya memandang ke arah lelaki yang berdiri di sebelah Mardhiana. Lelaki itu senyum sambil menganggukkan kepalanya. Zamir membalas senyuman itu.
“Entah. Tangga tu licin kot.” Jawabnya terus memandang ke hadapan. Dia jadi cemburu tiba-tiba. Cemburu seperti semalam. Sakit seperti semalam. Tetapi dia tahu cemburunya itu tiada guna. Hati Mardhiana tidak pernah ada untuknya. Tidak pernah!
“Dee, I balik dulu. You boleh drive kan?” Adham tiba-tiba bersuara.
“Eh… you nak balik naik apa?”
“Teksilah. Tak apa. Bukan jauh sangat.”
“I hantar you. Tunggu kejap eh? Tunggu ambil ubat je ni.”
Zamir memejamkan mata. Cuba menahan rasa cemburu yang bagaikan mencari ruang di dalam dirinya.
“Saya tak apa-apa. Johan hantar saya balik nanti. Awak hantarlah kawan awak tu.” Suaranya cuba setenang mungkin.
“Ada pulak macam tu?! Lepas awak ambil ubat, saya hantar Adham dulu lepas tu kita balik rumah.” Mardhiana bersuara tegas. Zamir tidak memberi reaksi sebaliknya dia bangun apabila nombornya dipanggil.
Selepas selesai mengambil ubat Zamir terus mendekati Johan yang baru sahaja muncul setelah ke tandas tadi. Senyum sahaja Johan melihat Mardhiana yang ikut menghampirinya. Umur mereka sebaya tetapi panggilan kakak itu tidak mampu menghilang.
“Kalau macam tu saya balik dululah. Ini barang abang Zam,” ujar Johan setelah Zamir memberitahu yang dia akan balik bersama Mardhiana.
“Terima kasih Johan.” Ucap Mardhiana.
Sebaik sahaja Johan berlalu Zamir ikut serta melangkah meninggalkan Mardhiana yang berkerut dahinya dengan gelagat suaminya itu. Adham tersengih sahaja.
“Dia cemburu!” usiknya dalam ketawa kecil.
“Apasal pulak?”
Adham tidak menjawab. Gerak geri Zamir mudah sahaja ditelah. Yalah, mereka sama-sama lelaki.
Bagi Mardhiana pulak, mana mungkin Zamir akan cemburu. Tidak pernah terlintas difikrinnya Zamir akan cemburu. Kalaulah Adham tahu antara dia dan Zamir itu hanya berstatus suami isteri pada akad sahaj, tentu lelaki itu tidak akan menyatakan demikian.
Sepanjang di dalam kereta sehinggalah mereka menghantar Adham kembali ke pejabat suasana di dalam kereta sunyi sepi. Langsung tiada sesiapa yang bersuara.
“Awak nak makan apa? Saya nak bungkus makanan kat kedai tepi tu.”
Akhirnya Mardhiana bersuara setelah Adham keluar daripada keretanya.
“Tak apalah. Awak bungkus untuk awak je lah. Saya dah makan nasi lemak pukul sebelas lebih tadi.”
Mardhiana tidak memberi reaksi. Dia terus melangkah keluar setelah keretanya diparkirkan di hadapan restoran yang selalu dikunjunginya itu. Dia tetap membungkus makanan untuk Zamir. Bukannya apa, takut lelaki itu nanti kelaparan pulak.

***
“Awak okey tak ni? Saya tahu ada benda yang awak fikirkan. Dan benda tu tak ada kena mengena dengan kerja awak kan?”
Mardhiana tekad. Dia perlu dapatkan jawapan daripada Zamir hari ini juga. Sejak balik dari hospital tadi lelaki itu senyap sahaja. Termenung dan termenung.
“Tak ada apa lah.”
Mardhiana mendengus. Bukan itu jawapan yang dia mahukan. Bukan!
“Tipulah. Cuba berterus-terang dengan saya.”
Dia lihat ada senyuman dihujung bibir Zamir. Entah apa yang lelaki itu senyumkan Mardhiana tak tahu.
“Mir! Awak kena bagitahu saya hari ini jugak! Saya dah tanya Johan masa dia telefon saya tadi. Dia kata tak ada masalah apapun kat bengkel.” Tipunya.
Zamir bangun dari duduknya. Dia tidak mahu berada di dalam keadaan itu. Apa yang bermain di fikirannya bukanlah sesuatu yang perlu Mardhiana tahu. Seperti dulu, biarlah dia memendam sendiri.
“Mir! Okey, awak tak nak beritahu kan? Okey.. tak apa… saya telefon mak awak sekarang. Beritahu yang awak cedera teruk, dan saya akan tanya sebab apa awak macam ni! Mesti mak awak risau kan?!” ugutnya. Itu sahaja cara terakhir yang difikirkan oleh Mardhiana.
“Ana, boleh tak jangan macam budak-budak…”
“Saya ke awak yang macam budak-budak?”
Mardhiana ikut berdiri. Sudah lama rasanya dia tidak bertegang leher dengan Zamir. Dulu pantang nampak sikit ada sahaja yang mereka gaduhkan sampaikan kena marah dengan mak masing-masing. Dulu, Mardhiana benci sungguh dengan Zamir. Ada sahaja benda yang lelaki itu buat tidak berkenan di matanya. Tapi lepas mereka dikahwinkan selepas peristiwa itu dia cuba membuang rasa benci itu. Demi ibunya!
“Saya tak laratlah Ana. Saya nak tidur.”
“Alasan. Bukan mulut awak yang luka. Rasanya tadi kalau tak Johan yang telefon saya, sampai saya balik rumah petang nanti awak tak ada nak telefon saya beritahu yang awak cedera macam ni kan? Itupun tadi boleh pulak awak suruh saya balik pejabat semula.”
“Saya tak nak menyusahkan awak.”
“Pelik betul awak ni! Awak akan lebih menyusahkan saya kalau tak beritahu saya.”
“Saya minta maaf.”
Mardhiana mengeluh. Zamir yang bersamanya sekarang bukan Zamir yang dulu! Ah, hakikat yang kekadang menyakitkan hati Mardhiana. Kadang-kadang dia mahu melihat Zamir yang dulu walaupun Zamir yang dulunya amat menjengkelkannya.
“Awak kenapa? Ini bukan awak yang saya kenal. Dulu, kalau saya makin saya tinggi suara dengan awak makin suka awak nak kacau saya.”
Zamir tersengih. Kepalanya tertunduk. Dulu, dia memang suka mengacau Mardhiana. Pantang nampak muka wanita itu ada sahaja bahan yang menjadi gurauannya. Bukan sekali dua Mardhiana membaling barang ke arahnya. Malah kerap kali juga barang-barang yang dibaling Mardhiana mengena tubuhnya. Tetapi sekarang, hakikat yang harus dia terima perkahwinan ini bukan mahu Mardhiana. Kalau tidak kerana Taufik membuat onar, tentu sekarang Mardhiana sudah menjadi isteri kepada lelaki anak Tan Sri Ismail itu. Kerana onar Taufik, perjanjian keluarga mereka menjadi kenyataan. Dia langsung tidak tahu tentang perjanjian antara arwah ayahnya dan ayah Mardhiana. Walaupun perasaannya wujud untuk Mardhiana dia tidak pernah berharap apa-apa. Berharap berkahwin secara paksapun dia tidak terfikir.
Dia juga tahu persetujuan Mardhiana untuk mengahwininya bukan datang dari hati. Melihat diri, dia tahu dia banyak kurangnya. Malah Mardhiana tidak pernah menyukainya. Tidak pernah baik dengannya. Tetapi kerana perjanjian itu, mereka disatukan pada tarikh yang sepatutnya pengantin lelakinya adalah Taufik!
“Kalau awak dah ada seseorang yang awak cinta, beritahu saya.”
“Hah?! Maksud awak apa ni?”
Lengan Zamir sudah berada di dalam genggaman Mardhiana. Debaran hatinya usahlah cakap sebaik mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Zamir.
“Perkahwinan kita ni tak ada makna apa-apa melainkan perjanjian keluarga. Awak tak mungkin terima saya sebagai suami awakkan? Jadi kalau awak dah ada seseorang yang awak cinta, beritahu saya dan saya akan uruskan semuanya.”
Pandangan mereka bersatu. Kosong.
Panggilan telefon mematikan pandangan mereka berdua. Segera Zamir mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas almari televisyen. Panggilan telefon daripada emaknya.
“Orang tak kerja hari ni. Ada kat rumah.” Jawab Zamir bila emaknya bertanya. Mardhiana masih kaku berdiri tanpa sebarang reaksi. Masih berada di dalam keadaan keliru dengan apa yang baru keluar daripada mulut Zamir.
“Ana ada ni. Emak nak cakap dengan dia ke?”
Telefon bimbitnya diserahkan kepada Mardhiana yang teragak-agak mengambilnya. Selepas it uterus sahaja Zamir menghilang ke biliknya.

***
Mardhiana mengeluh untuk kesekian kalinya. Memikir-mikir kata-kata Zamir. Fikirannya kusut. Walaupun dia tidak pernah menyukai Zamir malah terlalu membenci lelaki itu tetapi dia tidak pernah sampai terfikir hubungan suami isteri antara mereka akan berakhir. Tidak pernah walau sekalipun!
“Mungkin dah dia jodoh kau. Dulu kau benci sangat dia, sekarang dia dah jadi suami kaupun. Dia tu memang teruk dulu tapi aku tengok sekarang ni dia okey je. Kau bagi peluang pada dia, Ana. Memanglah aku bercakap senang je tapi ALLAH dah pilih dia untuk jadi suami kau. Sama ada ALLAH tu nak uji kau atau memang dah jodoh kau dengan Zamir, itu aku tak bolehlah nak kata apa. Mungkin ALLAH satukan Zamir tu dengan kau untuk kau ubah Zamir tu jadi lebih baik. Mana kita tahu kan? Aku sebagai kawan kau nak kau gembira dan aku rasa kau akan gembira kalau kau buang perasaan benci kau dekat Zamir tu. Memang perasaan ni tak boleh paksa-paksa tapi bila kita redha insyaALLAH semuanya dipermudahkan. Ingat Ana, selagi Zamir tu tak buat benda-benda yang tak elok kau wajib taat kepada dia.”
Kata Narimah terngiang-ngiang di telinganya. Kata-kata yang membuatkan Mardhiana redha akan perkahwinannya dengan Zamir. Apa yang telah terjadi antara dia dan Taufik, menyebabkan keluarga Zamir datang melamarnya. Mulanya dia marah! Tetapi setelah mendengar cerita dari emaknya dan demi keluarganya dia memaksa diri menerima ikatan itu. Dan, sejak persetujuan itu dia dan Zamir langsung tidak bertemu muka. Semuanya diuruskan keluarga mereka. Pertama kali dia melihat Zamir semula adalah sewaktu majlis akad nikah.
“Aku minta maaf. Aku tahu kau tak suka dengan semua ni. Aku bukan nak ambil kesempatan dengan apa yang berlaku tapi aku dah banyak sangat menyakitkan hati dan menyusahkan keluarga aku dan aku dah janji dengan arwah ayah aku dulu, aku tak akan buat benda yang menyakitkan hati keluarga aku lagi.”
Selepas selesai majlis akad nikah, Zamir meminta ruang untuk bercakap dengan Mardhiana sendirian. Rasanya buat pertama kalinya Zamir bersuara perlahan dengannya dengan pandangan yang penuh harapan.
Mardhiana langsung tidak membalas kata-kata Zamir. Dia sekadar mengganggukkan kepalanya sahaja dan majlis kenduri mereka berlangsung seperti pasangan lain. Masing-masing cuba memaksa diri pamer gembira.
Mardhiana tersenyum bila mengingati semula buat pertama kalinya mereka berbahasa saya dan awak. Mengantikan perkataan kau dan aku. Janggal! Sungguh janggal! Saat pertama kalinya dia memasak untuk Zamir juga membuatkan dia gugup. Rasanya merah mukanya saat dia menghantar SMS kepada Zamir memberitahu lelaki itu dia akan menyediakan makan malam dan lelaki itu tidak perlu makan di luar atau membungkus makanan. Saat pertama kalinya, dia melihat Zamir makan masakannya jantungnya berdegup kencang. Dia  langsung tidak menjamah makanan di dalam pinggannya sehinggalah ditegur oleh Zamir. Melihat Zamir senyum kepadanya dan mendengar perkataan terima kasih yang lelaki itu ucapkan selepas membuatkan hatinya melonjak gembira. Ahhhh!
Mardhiana garu kepala. Tadi semasa emak Zamir berbual di telefon dengannya dia segan mahu bercerita. Malah langsung dia tidak bercerita tentang kecederaan tangan Zamir.
Akhirnya Mardhiana keluar daripada biliknya. Memanaskan lauk dan nasi yang dibelinya tadi. Selepas menghidangkan makanan di atas meja dia melangkah ke bilik Zamir. Pintu diketuk sambil memanggil nama lelaki itu. Tiada jawapan. Senyap sunyi. Tombol pintu dipulas. Perlahan-lahan pintu bilik Zamir ditolak.
“Mir, jom kita makan.” Panggilnya gugup dekat dengan Zamir yang sedang berbaring di atas katil. Matanya terpejam. Tidurkah?
“Mir…” panggil Mardhiana lagi. Tangannya menyentuh bahu Zamir. Lelaki itu terkejut.
“Jom makan. Saya dah panaskan lauk yang beli tadi.”
“Erm… Saya tak lapar. Saya nak tidur.”
Mardhiana tertawa mendengar kata-kata Zamir. Lucu baginya.
“Mir, tolonglah jangan macam ni. Jangan mengelak dari saya macam ni. Biar saya bagi tahu awak… Adham dengan saya tak lebih daripada kawan. Dengan lelaki-lelaki lainpun. Kumpulan saya banyak lelaki daripada perempuan. Saya memang baik dengan Adham dari dulu tapi kalau awak tak suka saya akan hadkan hubungan saya dengan dia.”
Mardhiana duduk di sebelah Zamir, menyebabkan secara spontan lelaki itu bangun dari perbaringannya. Menjauh sedikit daripada Mardhiana.
“Saya tak ada hakpun nak suruh awak buat semua tu,” ujar Zamir.
“Awak cemburu eh?” Mardhiana ketawa di hujung pertanyaannya. Tiada jawapan daripada Zamir. Sebaliknya lelaki itu turun daripada katilnya.
“Mir, saya tak pernah fikirpun nak minta cerai daripada awak. Sikitpun tak pernah!”
“Walaupun awak tak pernah dan tak akan suka saya?”
Pandangan tajam Zamir dibalas dengan gelengan daripada Mardhiana. Mereka tidak pernah mencuba menjadi pasangan suami isteri lain. Mereka hanya dapat berborak pada waktu makan sahaja. Itupun kalau berkesempatan. Selebihnya masing-masing dengan hal masing-masing.
“Awak tak pernah nak cuba buat saya sukakan awak, Mir. Awak selalu fikir awak tak ada hak dan tak layak. Saya mengaku yang sebelum kita kahwin memang saya marah dengan ayah sebab terima pinangan keluarga awak. Saya mengaku saya tak pernah sukakan awak sebelum ni. Tapi bila awak dan saya sah menjadi suami isteri, saya buang semua perasaan tak suka tu. Saya redha yang awak suami saya. Saya cuba untuk lupakan apa yang berlaku antara kita sebelum ni. Jadi awakpun kena buat benda yang sama. Saya tak pernah terfikir perkahwinan kita ni untuk sebulan dua je!”
Mardhiana menghampiri Zamir. Mencapai tangan kanan dan kiri lelaki itu. Dia melihat cincin yang tersarung dijarinya. Cincin tanda dia adalah seorang isteri. Walaupun lelaki yang berada di hadapannya kini bukanlah lelaki yang dia cintai tetapi dia mahu perkahwinan ini berkekalan. Perasaan boleh dipupuk. Antara mahu dan tidak! Antara yakin dan tidak yakin sahaja!
“Tangan awak mesti sakit kan? Ni semua sebab banyak sangat fikir benda bukan-bukan.”
Zamir tidak bersuara membuatkan Mardhiana angkat muka.
“Awak tahu tak saya risau tadi?”
Renungan Zamir dibalas Mardhiana. Dia tahu Zamir cuba mentafsir dirinya. Sama ada dia ikhlas ataupun tidak.
“Awak sayang saya tak?” soal Mardhiana lagi. Suaranya bergetar. Kali ini debaran dadanya yang menghilang tadi muncul semula. Seperti tadi, Zamir tetap membisu.
“Dah bisu ke?”
Provokasinya tidak menjadi. Zamir masih tetap seperti tadi.
“Zamir, awak janganlah macam ni! Macam saya pulak yang terhegeh-hegeh pujuk awak!”
“Jangan paksa diri awak!”
“Mana ada. Saya tak terpaksa dan dipaksa pun. Awak yang rasa macam tu. Sebelum kita kahwin memang saya bencikan awak, memang mak dan ayah saya nak saya terima awak tapi mereka tak paksa saya. Mereka Cuma cerita kepada saya tentang perjanjian tu. Tolonglah Mir, jangan fikirkan benda yang negatif. Apa kata, awak dan saya sama-sama beri peluang kepada diri kita untuk menjadi macam suami isteri yang lain?”
“Saya tak yakin yang awak…”
“Itu masalahnya sekarang! Awak yang tak yakin! Awak sayang saya tak?”
Mardhiana sudah pamer wajah serius. Zamir tunduk. Perasaannya pada wanita itu telah lama wujud. Perasaan yang dipendam kerana banyak sebab. Kerana sebab-sebab itulah dia sentiasa pasrah sekiranya Mardhiana menjadi milik lelaki lain.
“Saya tanya awak, Mir. Dulu sebelum kita kahwin mungkin awakpun benci saya kan? Tapi…” Suara Mardhiana bergetar. Matanya sudah berair. Terhenti kata-katanya bila Zamir panggung kepala.
“Saya tak pernah benci awak.” Perlahan.
“Habis tu?” air mata Mardhiana sudah tumpah. Dia sudah mulai menangis. Perasaan sebak itu datang tiba-tiba.
“Habis tu kenapa awak nak kita bercerai?” sambungnya.
“Saya sayangkan awak dan saya nak awak bahagia.” Suara lelaki itu turut bergetar.
“Biarkan saya kahwin dengan lelaki lain?”
Angguk.
“Awak ni… kalau saya kata bodoh, marah! Tapi awak ni memang bodohlah. Suka buat penilaian sendiri. Awak tak pernah cubapun nak pikat saya lepas tu senang-senang nak bagi saya kat lelaki lain! Saya tak sangka pulak Zamir yang saya kenal selama ni macam ni!” Hilang segala tangisannya tadi.
“Ana…”
“Saya tak nak dengar apa-apa lagi dari awak. Kita tak akan bercerai. Mulai hari ini awak dan saya kena cari jalan untuk pastikan hubungan kita ni macam hubungan suami isteri lain. Jadi, doktor bagi awak MC dua minggu kan? Saya pun akan batalkan semua appointment saya untuk dua minggu ni. Kita selesaikan semuanya. Okey?”
Lambat-lambat sahaja Zamir mengangguk. Mardhiana tersengih. Jari-jemari Zamir sudah ditautnya. Rasanya kali terakhir jari-jemari mereka bertaut adalah semasa majlis persandingan mereka empat bulan lepas.
“Sekarang kita makan. Saya dah lapar dan saya tahu awakpun lapar!
Mardhiana menarik Zamir supaya mengikut langkahnya.
“Saya belikan awak sambal ikan cencaru dengan masak lemak telur ni. Kalau saya benci awak, saya tak akan tahu kegemaran awak kan?” lebar senyuman Mardhiana mengusik Zamir.
“Terima kasih, Ana.”




4 comments:

Anonymous said...

ala sikitnya...sambuang utk "SE" ye...

einaz lynna said...

best ye..

NJ said...

best!!!! :)

norihan mohd yusof said...

santai tapi manarik dek.........