Sunday, June 5, 2011

BERILAH AKU SATU PELUANG : BAB 2

Bicara orang sekeliling di meja makan itu bagaikan dengar dan tidak sahaja pada Faiz. Dia senyum sahaja. Kononnya mendengar setiap bicara itu sedangkan fikirannya memusat ke arah wanita bernama Nur Maisara itu. Dia bagaikan tidak percaya bila melihat sesusuk tubuh yang bangun dan melangkah keluar daripada bilik berhawa dingin itu tadi. Dia mahu mengejarnya tetapi dia menyabarkan diri kerana dia pasti wanita itu akan kembali. Dan bila diperkenalkan kepada wanita itu tadi, dia benar-benar gembira. Pencariannya selama ini telah berakhir.
Sesekali dia memandang ke arah wanita itu. Dia tersenyum lagi. Wanita itu tidak banyak berubah. Masih Nur Maisara yang dia kenal dahulu. Bila mata mereka bertaut, jelas pada pandangannya Maisara masih menyimpan rasa benci dan marah terhadap dirinya. Dia tahu bukan semudah itu untuk Maisara melupakan dan memaafkannya. Mungkin juga seumur hidup wanita itu akan tetap membencinya!
Dia mengeluh. Keluhan yang dapat di dengar oleh Mazlin yang duduk disebelahnya.
“Awak okey tak Faiz? Mengeluh je akak tengok!”
“Er..er.. maaf. Saya okey.”
“Dia teringat isteri yang jauh ditinggalkan.”
Faiz tergelak mendengar usikan Azizol. Cincin yang setia di jarinya dipusing-pusingkan. Sudah enam tahun jari manisnya tersarung cincin itu dan dia gembira memegang status seorang suami tanpa siapa tahu hakikat sebenar.
“Faiz sudah kahwin?”
Soal Mazlin yang bagaikan tidak percaya. Melepas lagilah Aizura nampak gayanya. Temannya itu walaupun tahu Faiz jauh lebih muda daripadanya, semacam mahu mengorat pulak lagaknya.
Melihat anggukan Faiz, seperti mahu sekarang juga dia berlari untuk memberitahu Aizura tentang perkara itu. Tetapi memikirkan akibatnya nanti, dia kaku di kerusinya. Tak pasal-pasal ni gempar pulak emak orang berbadan dua yang hanya menunggu sebulan lagi sebelum bersalin berlari!
"Isteri tak ikut sekali ke?”
“Tak. Sayang nak tinggalkan kerja di KL tu. Nanti dah okey sikit barulah dia ikut ke sini.”
Pandai sahaja Faiz berbohong. Dia kembali memandang Maisara yang sedang enak menjamu selera. Sudah bersuamikah wanita itu? Jarinya pula kosong tanpa sebentuk cincin pun. Adakah kerana perbuatannya Maisara tidak mahu berkahwin? Faiz tertanya-tanya sendiri.
“Betul jugak tu, sekarang ni kalau isteri tak bekerja dengan gaji kerja macam kita ni mana nak cukup.”
Sampuk Masran, pengurus projek di situ. Masing-masing mengangguk mengiyakan kata-kata lelaki itu. Zaman sekarang kalau setakat gaji tiga empat ribu dan duduk di Bandar serta sudah bekeluarga jumlah itu hanya setakat cukup makan sahaja.  Tambahan pula kalau sudah ada anak.
Perbualan ke tiga-tiga orang rakan sekerja Faiz itu mula berkisar perihal ekonomi. Seperti tadi juga Faiz sekadar bertindak sebagai pendengar dengan senyuman dan anggukan semata tetapi fikirannya sudah menerawang jauh.
***
Pintu bilik Maisara yang tertutup itu diketuknya beberapa kali. Perlahan tetapi masih dapat didengar oleh yang berada di dalam. Selepas mendengar suara Maisara memintanya masuk tombol pintu di pulas dan langkahnya di atur menghampiri Maisara yang terpempan akan kehadirannya.
“Boleh kita bercakap sekejap?”
Terus sahaja Faiz kepada niat asalnya untuk bertemu Maisara. Tadi selepas majlis makan tengah hari itu, dia mahu sahaja terus bertemu Maisara tetapi melihat wanita itu asyik bersembang dengan Mazlin dan seorang wanita yang tidak dapat diingat namanya itu di ruang menunggu hasratnya itu disimpan seketika.
“Pasal apa?”
Soal Maisara acuh tidak acuh. Kertas di atas mejanya dibelek-belek tanpa arah tujuan.
“Saya nak minta maaf atas apa yang berlaku tujuh tahun lepas. Saya tahu semuanya salah saya.”
“Kalau tak salah awak, tak kan saya pulak?! Sudah tentulah salah awak!”
Faiz mengeluh. Dia tahu Maisara sedang memprovokasi dirinya dan wanita  itu masih sarat dengan segala rasa benci terhadap dirinya.
“Saya masih terlalu muda waktu tu…”
“Cukup Faiz! Saya tak mahu dengar apa-apa penjelasan awak… baik awak keluar dari bilik saya sekarang!”
Suara Maisara sudah mulai sedikit meninggi.
“Tetapi kita akan berkerja bersama. Saya tahu salah saya terlalu besar tetapi saya benar-benar harap awak dapat maafkan saya. Selama tujuh tahun ni saya rasa bersalah dan berdosa sangat!”
Awak?! Panggilan itu terasa jangal dipendengaran Maisara. Bukan dia mahu Faiz membahasakan dirinya dengan bahasa yang lebih formal. Bukan itu. Dengan pekerja bawahan malah dengan kebanyakan staf dia lebih senang dipanggil kakak mahupun nama sahaja.
“Okey. Saya dah maafkan awak dan sekarang tolong keluar dari bilik saya!”
“Awak tak benar-benar maksudkannya kan?”
“Sama ada saya maksudkannya atau tidak, itu hak saya. Sebelum saya halau awak dari bilik ni dan awak dapat malu baik awak keluar sekarang.”
“Sara…”
Kata-kata Faiz terhenti di situ bila kedengaran pintu bilik Maisara di ketuk beberapa kali dari luar. Muncul Encik Rama dari bahagian Pembelian.
So Faiz sudah tak ada apa-apa kan awak nak tanya?! Kalau tak ada saya ada perbincangan dengan Encik Rama.”
Lambat-lambat sahaja Faiz menggeleng dan melangkah keluar. Sempat dia berbalas senyuman dan menyalami lelaki India berusia lewat tiga puluhan itu.
Petang itu dia menemani Masran melawat tapak pembinaan di kawasan Seberang Jaya. Hatinya masih tidak tenang. Dari cara Maisara rasanya amat payah untuk wanita itu memaafkan dirinya.
Dia menyumpah seranah dirinya sendiri kerana terlalu terpengaruh dengan budaya negatif dari barat itu sehingga dia membuat perkara di luar batas dan kehilangan Maisara yang pernah dipanggil Kak Sara itu.
Jujur perasaannya untuk Maisara bukan setakat perasaan seorang adik untuk kakak. Perasaan yang mula tumbuh sedari dia berusia lima belas tahun lagi! Dia bukan main-main. Hatinya sudah dimiliki wanita itu dan kerana itu dia tidak mampu mencintai Zulaikha walaupun gadis itu punya segala-gala yang didambakan oleh lelaki. Kata Jonathan, dia rugi kalau meninggalkan Zulaikha. Zulaikha cantik. Zulaika seksi. Zulaikha amat disenangi oleh semua orang. Tetapi Faiz tidak pernah merasakan ia satu kerugian. Hatinya hanya untuk Maisara dan dia sendiri tidak pasti adakah dia akan terus memperuntukkan cintanya untuk wanita itu walaupun Maisara berkahwin nanti.

No comments: