Maisara sedang menyusun-nyusun fail dan segala kertas-kertas yang terdapat di atas meja kerjanya bila kedengaran ketukan di muka pintu. Kepalanya dipanggung dan susuk tubuh berbaju kurung berbunga halus dipandangnya sekilas sebelum kembali menyambung kerjanya.
“Mak cik…. Cepatlah… hang ni lambatlah!”
“Kau kenapa Zura? Nak cepat pergi mana?”
“Lupalah tu. Bukan ke hari ni kita ada lunch sambut engineer baru tu?!”
Maisara menggaru-garu dahinya. Lupa pula dia akan majlis makan tengah hari yang telah diatur untuk memperkenalkan Jurutera Projek baru syarikat. Syarikat pembinaan yang sudah lebih lima tahun menjadi tempat dia bekerja ini memang selalu mengadakan majlis makan tengah hari atau makan malam bagi memperkenalkan pekerja terbaru kepada semua pekerja yang sedia ada.
Berita kemasukan jurutera baru itu sudah lama Maisara sedia maklum. Namun, dia terlupa pula akan hal itu. Kerjanya menimbun dan pengambilan jurutera baru itu diuruskan oleh Encik Sauqi dan Encik Ridzuan tanpa kehadirannya. Sewaktu temuduga itu berjalan dia berada dia Sabah menguruskan hal cawangan syarikat yang baru dibuka di sana . Fail berkenaan dengan jurutera baru itu pun tidak sempat dilihatnya.
“Jomlah. Dorang buat kat mana?”
“Mana lagi. Si Mary dah tempah restoran mamak depan tu. Macam tak ada tempat yang lebih best sikit!”
Maisara gelak kecil mendengar rungutan Aizura. Tidak dinafikan restoran mamak yang terletak berhadapan dengan bangunan pejabat mereka itulah yang selalu dijadikan tempat meraikan pekerja baru. Restoran mamak itu punya dua pilihan sama ada berhawa dingin atau pun terbuka. Oleh kerana restoran mamak itu yang paling senang dan dekat serta memudahkan terpaksalah mereka menghadap makanan di situ.
“Alah kau ni Zura, patutnya kau kena berterima kasih tau sebab dapat makan free. Kau order apa pun, syarikat yang bayar.”
Aizura mencebik. Dapat makan percuma memanglah menyeronokkan tetapi kalau asyik makan makanan berlemak sahaja badannya yang dijaga dengan bersusah payah supaya kekal langsing itu akan mengepamlah. Itu sebabnya kalau Maisara mahupun Mazlin tidak mahu memandu mencari kedai-kedai makan lain selain mamak dia sanggup sekadar menjamah roti.
“Boleh gemuk tau tak aku macam ni!”
“Hahaha.. sudahlah tu! Jomlah. Aku pun dah lapar ni. Lin mana?”
“Minah tu awal-awal lagi dah turun dengan budak baru tu. Handsome kau tahu tak!”
Terus hilang muka muncung sedepanya tadi. Bersinar-sinar matanya. Maisara mencebik. Bukan dia tidak tahu dengan perangai temannya itu. Pantang nampak lelaki yang boleh tahan sikit terus datang gatai meghela dia. Tak kiralah siapa pun, boleh dikatakan semuanya dia kata kacak dan bergaya. Sedangkan pada penglihatan Maisara mahupun Mazlin biasa-biasa sahaja.
“Siapa nama budak tu?”
“Tak kan kau tak tahu?”
Maisara geleng. Fail di atas mejanya dipandang sahaja. Tidak teringin pula dia mahu membelek. Sebaliknya dia mencapai telefon bimbitnya dan kunci lalu menghampiri Aizura yang tercegat di hadapan biliknya. Kalau sudah makan percuma tak perlulah dia bersusah payah membawa beg tangan.
“Nama dia Faiz.”
Maisara angguk sahaja. Malas mahu bertanya lebih lanjut. Bukannya apa, kalau dah Aizura kata lelaki itu kacak nanti ceritanya nampak macam lelaki itu lelaki lindungan kaabah pula.
***
Suasana di dalam restoran mamak di bahagian berhawa dingin itu sudah mula penuh dengan pekerja RWE Construction Sendirian Berhad. Maisara sekadar mengangkat tangan menyapa Mazlin dari jauh. Dia dan Aizura mengambil tempat di meja yang lain bersama dengan beberapa pekerja di bahagian Pembelian.
Seketika kemudian, keadaan senyap sunyi bila kedengaran suara Encik Sauqi bersuara. Semua pandangan memusat ke arah lelaki yang baru memasuki fasa umur empat puluhan itu.
“Let me introduce to you our new project engineer. Come Faiz…”
Lelaki yang dipanggil Faiz itu berdiri dan berjalan ke arah Encik Sauqi dan sebaik sahaja dia berdiri menghadap mereka semua, jantung Maisara berdegup kencang. Wajah itu mengingatkan dia kepada seseorang. Seseorang dari kisah yang mahu dilupakan tujuh tahun lalu. Wajah dan nama itu menyakinkan Maisara orang itu adalah orang yang sama. Tersandar dia di kerusi. Dirinya terasa ringan sahaja. Apa yang diucapkan di hadapan sana sudah tidak di dengarnya.
Tenang Sara! Bertenang! Ya ALLAH, apakah semua ini? Kenapa aku dipertemukan semula dengan dia!
Maisara serasa mahu menangis. Namun cepat sahaja dia menenangkan diri. Peristiwa tujuh tahun lepas berlegar di ruang fikirannya. Tangannya sudah mengenggam erat kerusi. Peristiwa itu yang membuatkan dia menjauhkan diri daripada semua orang! Termasuk sahabat baiknya sendiri dan kehadiran lelaki ini membuatkan peristiwa itu kembali menganggu dirinya.
“Weh Sara… kau ni kenapa? Pucat semacam je.”
Aizura sudah mengerutkan dahi memandang Maisara yang pucat dan mukanya memercik peluh.
“Aku okey. Eh aku ke toilet kejap.”
Terus Maisara bangun dan melangkah keluar. Dia perlu mencari kekuatan untuk menghadapi kenyataan bahawa Ahmad Faiz Bin Rusli itu akan menjadi rakan sekerjanya. Peristiwa itu tak mungkin dilupakan tetapi dia harus kuat. Dia hanya ada empat bulan sahaja lagi sebelum berhenti.
***
Maisara kembali ke tempatnya seketika kemudian. Sebenarnya dia bukan ke tandas sebaliknya dia sekadar keluar daripada restoran itu. Dia menghubungi Khairul Azwan, mahu menenangkan hati yang gelora. Mendengar suara lelaki itu hilang sedikit rasa yang berbaur dengan pelbagai rasa itu.
“Hah, mana awak pergi Sara?! Faiz, ini Maisara. Pengurus Personel kita.”
Maisara menelan air liur bila namanya diperkenalkan kepada lelaki itu. Mata mereka bertaut seketika dan sempat Maisara layangkan senyuman yang tidak pasti menjadi tidak sebelum pandangannya terarah kepada Encik Sauqi.
“Saya ke toilet tadi. Air con ni sejuk sangat.” Dia beralasan
“Hahaha… awak ni Sara… tak sampai setengah jam pun. Okeylah Faiz, kalau ada hal berkaitan dengan gaji ke… tak dapat penyata gaji…tak berpuas hati dengan gaji awak ke, awak boleh terus jumpa Cik Maisara.”
Maisara senyum lagi. Dia tahu Faiz sedang memandangnya. Berdiri berhadapan dengan lelaki itu entah kenapa dia merasa perasaan itu datang lagi. Benci dan takut! Sungguh itu yang dirasakan sekarang. Ikutkan hati mahu dia menolak lelaki itu jauh daripadanya tetapi niat itu sekadar di dalam hati sahaja.
“Okey, jom kita makan.. Sat lagi orang lain dah habis makan kita dok berborak lagi!”
Akhirnya! Itu yang Maisara mahu. Terus dia bergerak ke mejanya. Tanpa memandang Encik Sauqi dan Faiz!
“Amboi mak cik! Aku tahulah kau lapar tapi cuba buat semenggah sikit. Ambillah sikit-sikit.”
Tegur Aizura bila melihat Maisara mencedok kari daging ke dalam pinggan sehinggakan dua senduk.
“Ya ALLAH aku tak perasan. Maaf ya.”
Senduk yang masih berisi daging diletakkan kembali ke dalam mangkuk besar. Tersengih-sengih dia memandang rakan-rakan sekerja yang berada di mejanya. Kalau tidak Aizura menegur sudah tentu tiga senduk kari daging dicedoknya.
“Kau okey tak ni? Aku rasa kau ni semacam jer bila tengok si Faiz tu. Dia tengok kau pun tadi semacam. Kau kenal dia ke?”
“Hah tak adalah. Tadi aku tetiba teringatkan pasal yang Wan kata nak bawak aku jumpa mak bapak dia sekali lagi hujung minggu ni.”
“Dah... dah… baik kau makan daripada fikir benda macam tu!”
Maisara tersengih. Senang sahaja mahu mengelakkan Aizura daripada bertanya lebih-lebih. Ketawa yang berkumandang dari meja hadapan sekali membuatkan Maisara memanggungkan kepala. Saat itu matanya beradu dengan Faiz. Cepat-cepat dia kembali menunduk. Dia sedar akan pandangan mesra lelaki itu. Dia jadi benci tiba-tiba!
Sampai bila-bila pun aku tak akan maafkan kau!
Ini sesi pengenalan. ^_^
No comments:
Post a Comment