Tuesday, August 23, 2011

Amanah Kasih


Sudah dua minggu selepas Melissa menumpangkannya. Sejak itu Melissa kerap kali berkunjung ke rumahnya. Kekadang apabila balik kerja dia melihat kereta Melissa yang diparkirkan di hadapan rumah. Dari luar sudah kedengaran suara Melissa dan emak saudaranya itu. Melissa pula apabila datang ke pejabat menemui abangnya sempat juga dia berkirim salam kepada Puan Rozilah dan Encik Hasyim. Rakan-rakan  sekerjanya sudah mula mengusik dan bertanya itu ini.
Pagi itu, selepas mesyuarat bulanan Encik Zamri memanggilnya. Dadanya berdebar kencang bila memikirkan majikannya itu mengetahui akan bisik-bisik rakan-rakan sekerjanya. Hazim tidak mahu Encik Zamri menganggapnya cuba memikat adiknya nanti. Dia tahu akan siapa dirinya dan Melissa. Ibarat langit dan bumi. Ibarat enggang dan pipit.
“Saya dengar awak rapat dengan Melissa.”
Benar apa yang dijangka. Perihal itu sudah sampai ke pendengaran Encik Zamri. Raut wajah lelaki itu tidak mampu ditelah oleh Hazim. Marah atau sebaliknya.
“Tak adalah, encik. Saya tak rapat pun dengan adik encik.”
Hazim sudah mengaduh di dalam hati. Tidak senang hati dengan situasi ini. Semuanya gara-gara Melissa terlalu baik hati menumpangkannya kerana motorsikalnya rosak minggu lepas. Gadis itu bertegas untuk menghantarnya sehingga ke depan rumah. Hendak dijadikan cerita ketika kereta gadis itu berhenti di hadapan rumah Mak Longnya berada di laman. Apa lagi, dengan baik hatinya Mak Longnya itu mengajak gadis itu untuk makan malam bersama.
“Habis tu kenapa saya dengar awak dengan adik saya tu ada hubungan istimewa.”
Hazim menelan air liur. Siapa pula yang sesuka hati membuat cerita?! Gila apa mahu bercinta dengan adik kepada majikan sendiri?! Kalau dia menjawat jawatan tinggi tidak apalah juga, ini setakat pembantu tadbir sahaja!
“Alah encik, mereka tu memang suka buat cerita. Saya dengan Cik Lisa memang tak ada apa-apa hubungan.”
“Habis tu yang saya nampak awak dengan dia kat Jusco Wangsa Maju tu apa?”
Terus Hazim merasakan seluruh tubuhnya panas. Dia teringat beberapa hari lepas emak saudaranya bersama Melissa pergi membeli-belah di Jaya Jusco Wangsa Maju dan dia diheret sekali walaupun berkali-kali dia menolak.
“Jadi apa penjelasan awak untuk itu?!”
Suara itu tidak kedengaran tegang sama sekali. Mendatar sahaja. Tidak terkesan riak marah sedikitpun. Nampak gayanya terpaksalah Hazim menceritakan dari mula. Dia tidak mahu Encik Zamri salah sangka. Dia tidak mahu kerana hal ini, pekerjaannya hilang. Dia benar-benar memerlukan kerja ini.
“Jadi awak memang tak ada hubungan istimewa dengan Lisa?” tanya Encik Zamri sebaik sahaja Hazim menghabiskan ceritanya.
“Tak ada, encik. Dia cuma baik dengan mak saudara saya je.”
“Umur awak berapa?”
“Er… 33.”
“Dah ada calon isteri?”
Hazim menggelengkan kepalanya dalam kehairanan.
“Awak berminat dengan business?
Hazim mengerutkan dahi. Dia tidak dapat menangkap mahupun mengaitkan pertanyaan Encik Zamri yang itu dengan apa yang dibualkan sebelumnya.
“Saya bagi awak uruskan restoran tapi dengan syarat awak kahwin dengan Melissa.”
“Hah?!”
Kuat juga suara Hazim yang meluahkan rasa terkejutnya. Encik Zamri tersengih sedikit. Reaksi itu sudah dijangka.
“Saya tak mampu memimpin adik saya untuk berubah ke arah kebaikan tapi saya melihat itu daripada awak. Saya percaya bila dia berkahwin dengan awak, kehidupannya akan jauh lebih baik dan terurus.”
“Tapi encik… Cik Lisa tu muda lagi. Cantik pula tu. Dia dah terbiasa hidup mewah macam tu. Setahu saya Cik Lisa sudah ada kekasih.”
“Si Naufal tu? Namanya macam orang baik tapi perangai macam setan. Saya bagi awak dua pilihan. Satu, kahwin dengan adik saya dan uruskan perniagaan restoran yang akan saya buka atau awak cari kerja lain.”
Pilihan yang langsung tidak memihak kepadanya. Satu sahaja sebenarnya pilihan yang ada. Berkahwin dengan Melissa! Kalau dia memilih untuk mencari kerja lain takut nanti gaji yang ditawarkan adalah lebih murah daripada apa yang dia ada sekarang. Dengan tanggungannya sekarang dan dalam keadaan ekonomi sekarang dia perlu memikirkan beratus kali sebelum mencari kerja lain. Inikan pula kalau dia diberhentikan kerja. Kalau diberi masa tidak apalah juga, kalau Encik Zamri mahu memberhentikannya hanya dengan notis dua puluh empat jam tidak ke susah dia nanti mahu mencari kerja?!
“Saya bagi masa seminggu untuk awak fikirkan.”

***

“Macam mana ni Cik Lisa?”
“Macam mana apa lagi? Ikut ajelah. Abang dah ugut. Kalau tak kahwin dengan you, dia nak tarik balik kereta dengan kad kredit I. Serta-merta tau tak! Sudahlah I belum mula kerja lagi!”
Memikirkan itu semua Melissa jadi takut. Kalau abangnya menarik balik kad kredit dan keretanya dia sudah tidak punya apa-apa. Bukan setakat itu sahaja, abangnya turut mengugut akan menghalaunya dari rumah dan mencari sendiri rumah untuk didudukinya. Gila apa?!
“Cik Lisa tahukan keadaan saya macam mana? Kita ni tak sesuailah. Lagipun saya tahu Cik Lisa dah ada kekasih.”
Melissa mengeluh. Naufal itupun satu hal. Dengar sahaja kereta dan kad kreditnya bakal ditarik terus diam membisu. Telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi. Bila dicari di rumah lelaki itu, menurut pembantu rumahnya Naufal bercuti ke Bali.
“Okey macam ni, kita setuju je. You tak mahu hilang kerja dan I pula tak mahu semua keselesaan I sekarang kena tarik balik. Kita kahwin then kita pandai-pandailah cari jalan.”
“Ish tak sangguplah saya mempermainkan perkahwinan macam ni… perkahwinan tu suci bukan sesuatu yang kita boleh buat main-main.”
“Alah I baca novel banyak je  macam tu.”
“Itu novel, Cik Lisa. Dalam novel tu penulis boleh buat cerita macam-macam.”
“Habis tu? You have  any suggestion?”

***

“Rumah ni sebagai hadiah perkahwinan kamu berdua. Abang memang dah lama beli ni Cuma tak duduk jer. Memang niat nak bagi hadiah perkahwinan untuk Lisa.”
Melissa dan Hazim anggukkan kepala mereka berkali-kali sambil mata memerhati segenap inci rumah teres dua tingkat itu. Akhirnya mereka berkahwin juga dan perkahwinan mereka itu bersyarat. Syarat yang hanya mereka berdua sahaja yang tahu.
“Lisa duduk bilik ni. Saya duduk bilik depan.”
Sebaik sahaja Encik Zamri dan isterinya Puan Hanum berlalu, beg besar yang mengandungi pakaian Hazim ditarik keluar daripada bilik utama. Dia memilih untuk tidur di bilik tengah dan memberi bilik utama kepada Melissa.
“Okey. I nak mandilah. Penat sangat ni.”
Tubuh Melissa menghilang ke dalam bilik. Begitu juga dengan Hazim. Sebaik sahaja memasuki biliknya Hazim terus berbaring. Tubuhnya terasa begitu penat dan kerana itu senang sahaja dia terlena. Dia terjaga semula bila kedengaran laungan azan maghrib dari masjid berdekatan. Sebaik sahaja azan berhenti dia terus masuk ke dalam bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk.
Selesai solat dia berbaring semula di atas tilam. Perutnya yang lapar tidak dipedulikan. Kantuknya lebih penting. Tidurnya lena benar sehinggakan azan Isya pun tidak didengarnya. Bukan itu sahaja ketukan di muka pintu juga tidak bersambut.

***

Melissa mengeluh. Lama dia menunggu di hadapan pintu bilik lelaki itu tetapi tiada tanda-tanda pintu itu akan dibuka. Akhirnya dia masuk kembali ke dalam bilik dan cepat-cepat keluar membawa bantal dan selimut turun ke ruang tamu.
Lampu meja tepi dihidupkan. Bantal diletakkan di atas sofa dan dia terus berbaring sambil menyelimuti tubuhnya. Tidak sampai seminit dia sudah terlelap. Lena benar dia tidur.
Hazim yang tersedar dari tidur dan terasa dahaga turun ke dapur. Berkerut dahinya melihat sekujur tubuh milik  isterinya sedang berbaring di atas sofa. Dia menghampiri gadis itu. Dia berfikir-fikir sama ada mahu mengejutkan gadis itu atau sebaliknya. Lama dia berdiri di sebelah Melissa.
“Lisa….Lisa….”
Akhirnya dia bersuara sambil hujung jarinya menyentuh sedikit bahu gadis itu dengan harapan Melissa akan tersedar daripada tidurnya. Gadis itu tetap tidak bergerak sedikitpun menyebabkan Hazim terpaksa menguatkan sedikit suaranya.
“Lisa…. Kenapa awak tidur kat bawah ni?” Soal Hazim sebaik sahaja dia melihat Melissa mula membuka mata. Gadis itu menenyeh-nenyeh matanya yang kepedihan. Dia benar-benar rasa mengantuk.
“Kenapa tidur kat sini?”
“Erm… I ketuk pintu bilik you tadi. You tak buka pun.” Beritahu Melissa, dia sudah bangun dan duduk.
“Kenapa?”
Melissa tersengih sedikit. Matanya masih terasa pedih dan berat untuk dibuka.
“I takut nak tidur dalam bilik besar macam tu sorang-sorang.
Hazim yang dari tadi berdiri di hadapan Melissa, mengambil tempat di sofa sebelah gadis itu. Dahinya berkerut sedikit.
“Bilik yang sebelah saya tu kan ada? Bilik tu tak besar sangat. Sama besar rasanya dengan bilik saya.”
“Erm… sebenarnya I takut nak tidur dalam bilik yang baru macam ni. I tak biasa. Dulu masa kat Australia pun I tidur dengan kawan-kawan I.”
Hazim tersenyum sedikit mendengar cerita Melissa. Rupanya itu alasan sebenar gadis itu. Nampak sahaja gadis itu berani tetapi tetap ada sesuatu yang menakutkan dirinya.
“Habis tu tidur kat bawah ni awak tak takut ke? Tetiba perompak masuk ke apa ke… tak ke itu lebih teruk?”
“Ish dia nikan! Mulut macam apa lagi!”
Kali ini Hazim sudah ketawa. Tidaklah terlalu kuat tetapi cukup membuatkan muncung sedepa Melissa terpamer. ‘Cantik jugak dia ni kalau muncung macam tu!’
“Dahlah jom masuk tidur. Awak tayang muncung awak tu boleh jadi sampai esok pun tak dapat tidur dengan lena.”
“Huh!”
Dengan wajah yang masih masam mencuka, Melissa menarik selimut dan mencapai bantalnya. Lalu tanpa mempedulikan Hazim dia terus ke tingkat atas, ke bilik Hazim.
“Kenapa you nak tidur kat lantai pulak?” Soal Melissa sebaik melihat Hazim yang sudah menghamparkan selimut nipis di atas lantai.
“Tak kan nak tidur kat atas katil dengan awak pulak?”
“Apa masalahnya? You jangan risaulah… I tak buat apa-apa.”
Nah, kuat ketawa Hazim kedengaran. Terasa benar-benar lucu dengan kata-kata Melissa. Masakan tidak, seharusnya Melissa yang risau bukan dirinya.
“Apa yang lucu sangat ni? Betullah apa yang I cakap!”
“Yalah. Okey-okey. Maaf. Dahlah awak tidurlah. Orang tahu awak tak akan buat apa-apa!”
“You jangan nak tidur tempat lain. Kalau I terjaga you tak ada, I akan menjerit kuat-kuat!”
Hazim angkat tangan seakan berjanji dalam senyuman meleret. Dia membaringkan tubuhnya ke atas katil bila melihat Melissa berbaring. Menggeleng-geleng dia mengingatkan gelagat Melissa. Tidak menyangka gadis itu penakut!


***

“Siapa tu?” Tanya Melissa kepada Naim. Sebaik tiba ke restoran tengah hari itu dia terpandangkan Hazim yang mesra semacam dengan seorang gadis bertudung biru tua.
“Entah. Tapi nampak macam dah lama kenal.”
Melissa sekadar mengangguk-anggukkan kepalanya. Sekejap sahaja dia memandang suaminya yang asyik berbual itu. Tidak berkutik sedikit pun hatinya melihat kemesraan mereka.
“Cantikkan orangnya Cik Lisa?”
Melissa yang baru mahu mula menyemak rekod pembelian barangan mengangkat kepala memandang Naim yang berdiri di hadapannya sebelum pandangannya beralih kepada gadis yang dimaksudkan Naim.
“Yalah cantik. Dah tu kenapa? Awak berangan nak mengorat dia? Dari awak berdiri kat depan ni macam Pak Pacak baik  awak pergi belakang tu buat kerja awak.”
Naim tersengih. Sebenarnya dia Cuma mahu melihat reaksi Melissa. Namun, nyata gadis yang bergelar isteri kepada majikannya itu langsung tidak menunjukkan reaksi cemburu. Sedikit pun tidak! Tidak punya perasaankah gadis ini? Getusnya sendirian.
Sebaik Naim berlalu, pandangan Melissa kembali kepada Hazim. Leka benar mereka berbual sehinggakan lelaki itu langsung tidak menyedari kehadirannya. Gadis yang duduk di hadapan suaminya itu dipandang agak lama. Dia tersenyum akhirnya.
Memang sesuai!

***

“Amboi, sejak dua tiga hari ni I tengok you senyum memanjang. Nak tidur pun boleh senyum lagi.”
“Ye ke? Mana ada lah!”
“I belum rabun lagi. Bukan I tak tahu you sekarang dah ada girlfriend!
Senyuman yang meniti di bibir Hazim menghilang. Dahi berkerut memandang Melissa yang mencebik.
“Tak payah nak buat muka macam tu. I tak kisah you nak ada girlfriend... tapi jangan obvious sangat.  Sampai budak-budak kat restoran pun perasan you asyik senyum-senyum.”
“Saya minta maaf tapi saya mana ada girlfriend.
Ada hati nak simpan rahsia. You jangan risaulah I tak akan beritahu abang I. You bebas nak ada kekasih ataupun tak tapi dengan syarat jangan sampai abang I tahu sudah. Nanti semua rancangan kita tak jadi.”
“Lissa…saya betul-betul…”
“I ngantuklah. Esok you jangan lupa kita ada dinner dengan kawan-kawan I. Satu lagi, mulai esok you dah boleh tidur bilik you.”
“Lissa…”
“Lalalala… I mengantuk.. nak tidur…. Nite.”
Hazim mengeluh. Entah kenapa dia merasa cukup bersalah terhadap Melissa. Bersalah kerana membiarkan Melissa membuat tanggapan begitu sedangkan antara dia dengan Murni tiada apa-apa yang istimewa. Cuma, dia begitu senang berkawan dengan gadis itu.

***

“Huh, suka hati je nak perli-perli I. Dasar kawan tak guna!”
Masuk ke dalam kereta terus Melissa menghamburkan segala marahnya yang terbuku ketika makan tadi. Memikirkan mereka makan di restoran bertaraf lima bintang dia diam sahaja bila kawan-kawannya galak memerlinya.
“Mereka bergurau je tu.”
“Bergurau you kata?! They should have respect for me! Selama I berkawan dengan mereka, I tak pernah sekalipun cuba untuk memerli pasal apa yang mereka buat dan pilihan yang mereka buat.”
Sorry Lissa. Awak terpaksa hadapi semua tu sebab berkahwin dengan saya. Kalau awak berkahwin dengan Naufal, rasanya awak tak akan hadapi semua tu.”
Tenang sahaja bicara Hazim. Sememangnya dia sedar akan kedudukannya pada pandangan Melissa dan kawan-kawannya. Sebenarnya sepanjang makan malam itu, dia benar-benar rasa canggung dengan kawan-kawan Melissa. Cara mereka bercakap, cara mereka makan dan segala-galanya begitu nampak daripada golongan atasan. Sedangkan dia?
“Ni bukan sebab you! Ni sebab orang-orang tak guna tu! I tak ada kawan macam mereka tu pun tak apa!”
“Janganlah macam tu. Mungkin mereka tak berniat pun.”
Nop! I dah fed-up.
Hazim hanya mampu menggelengkan kepalanya mendengar kata-kata Melissa. Namun, jauh di sudut hatinya terbit sedikit rasa gembira. Gembira kerana Melissa seperti mempertahankannya. Dalam keadaan yang tidak selesa tadi, dia meminta diri untuk ke tandas dan ketika kembali ke tempatnya dia terdengar kawan-kawan isterinya itu menghinanya. Dia ingatkan Melissa akan ikut serta tetapi gadis itu menyebelahinya.  

***

Mereka keluar ke pusat membeli-belah petang Ahad itu untuk membeli hadiah sempena hari lahir anak saudara Melissa iaitu anak sulung Encik Zamri. Sedang mereka leka mencari hadiah, mereka didatangi oleh seorang lelaki.
Hye darling…”
Naufal?!”
Melissa cuba menjarakkan dirinya daripada Naufal apabila lelaki itu dengan selambanya cuba menciumnya. Naufal ketawa kecil bila melihat reaksi Melissa begitu sedangkan sebelum-sebelum ini teman gadisnya itu tidak kisah bila disentuh. Lebih daripada itupun Melissa tidak kisah.
Hey… sejak bila I tak boleh kiss you ni? You tahu tak I rindu sangat dengan you!”
Tanpa memperdulikan Hazim yang berdiri di sebelah Melissa, Naufal cuba merangkul tubuh Melissa. Namun, laju sahaja Melissa menepis tangan lelaki seusianya itu.
“Encik Naufal, rasanya tak elok awak buat macam ni! Ini tempat public. Lagipun ini isteri saya dan awak tak berhak nak sentuh isteri saya!”
Kali ini ketawa Naufal sudah pecah. Rasa kelakar mendengar kata-kata Hazim. Baginya, Melissa bukanlah gadis baik. Tak ada bezanya sentuhan sebelum dan selepas menjadi isteri orang. Melissa tetap Melissa yang tidak kisah disentuh!
“Hallo encik, wife kau ni bukan perempuan baik lah! Perempuan ni perempuan kotor! Kalau kau nak tahu, aku dah sentuh dia dulu sebelum kau dan aku rasa bukan setakat aku je yang dah sentuh dia ni…. Dia kahwin dengan kau pun sebab terpaksalah!”
Serentak dengan itu satu tumbukan mengena muka Naufal. Sedikit terdorong lelaki itu ke belakang. Melissa yang sudah memerah matanya terkejut dengan tindakan Hazim. Tindakan yang langsung tidak dapat diduganya.
“Jaga sikit mulut kau! Dah Lissa, kita balik.”
Tangan isterinya dicapai. Puas hatinya dapat menumbuk muka Naufal. Tentu sakitnya bukan kepalang. Pada Hazim, walaupun siapa Melissa isterinya itu tidak patut dimalukan di khalayak ramai. Bukan sedikit yang menjadi pemerhati dan mendengar setiap butir bicara yang keluar daripada mulut Naufal. Sebagai suami, dia harus mempertahankan isterinya walaupun tindakannya tadi agak terlambat. Simpati bermukim dihatinya saat melihat wajah merah Melissa menahan marah dan tangis.
Belum sempat mereka melangkah meninggalkan kawasan itu, Naufal cuba membalas balik tumbukan Hazim tetapi tindakannya itu disedari oleh Hazim. Kali ini perut lelaki itu ditumbuk.
“Sudahlah, Hazim! Kita balik.. please!”
Melissa sudah menangis. Dia malu diperhatikan. Tangan Hazim sudah ditariknya supaya berlalu.
“Ini amaran terakhir aku! Kalau kau kacau isteri aku lagi nahas kau!”

***

“Lissa… kita dah sampai.”
Seraya itu tangan Melissa disentuh perlahan oleh Hazim. Simpatinya menimbun melihat isterinya yang hanyut dalam kesedihan. Sentuhannya itu membuatkan Melissa terkejut. Spontan dia menarik tangannya daripada sentuhan Hazim.
Tanpa sepatah kata, dia keluar daripada kereta dan Hazim pula cepat-cepat sahaja mengikut langkah isterinya dan membukakan pintu rumah.
“Lissa rehatlah. Nanti kalau ada apa-apa panggil je saya.”
Tiada anggukan mahupun apa-apa reaksi. Langkah lemah diatur ke biliknya dan seketika kemudian Hazim mendengar bunyi pintu bilik di tutup. Dia mengeluh.
Benarkah sejauh itu Melissa tersesat dengan budaya barat? Ya ALLAH, apa harus aku lakukan? Bagaimana harus aku hadapi semua ini selepas mengetahui sejauh itu Melissa terpesong! Sehinggakan maruah dirinya terjual! Ya ALLAH! Ya ALLAH!
Hazim terduduk di atas sofa. Selama ini dia tidak pernah terfikir sejauh itu kebebasan Melissa. Kata-kata Naufal tadi membuatkan hati lelakinya merintih. Merintih kerana dia sebagai suami tidak pernah menyentuh gadis itu sepertimana sewajibnya sedangkan lelaki lain yang tidak punya sebarang ikatan sah begitu senang menyentuh isterinya itu.
Ya ALLAH… Ya ALLAH… apakah semua ini? Bagaimana ya ALLAH untuk aku hadapi semua ini? Ya ALLAH…

***

Malam itu, ketika baru sahaja Hazim selesai menunaikan solat Maghrib pintu biliknya diketuk. Bergegas Hazim membuka pintu. Dia cukup terkejut bila melihat Melissa yang berselubung. Malah gadis itu memakai sarung tangan. Wajahnya kusam. Mata dan hidungnya memerah.
“Ya ALLAH kenapa ni Lissa? Awak demam ke?”
Geleng.
“Dah tu kenapa macam ni?”
“Orang nak cakap dengan awak kejap.”
Dahi Hazim berkerut mendengar bahasa Melissa yang sudah berlainan dari hari biasa.
“Erm.. kita cakap kat bawah ya?”
“Tak nak. Sini. Kita bercerai.”
“Lissa.. kenapa ni tetiba awak cakap hal ni?”
Saat Hazim cuba mencapai tangan Melissa, gadis itu menjarakkan dirinya.
“Jangan sentuh. Saya kotor.”
Suara itu berbaur esak tangis. Semakin hairan Hazim mendengarnya.
“Apa ni? Lissa… apa yang awak cakapkan ni? Saya tak faham.”
“Ceraikan I. I tak layak untuk you. I kotor. I bukan perempuan baik! You jangan risau, I akan jelaskan kepada abang I. You  tetap boleh uruskan restoran tu dan restoran tu akan tetap milik you. Termasuk rumah ni. You boleh berkahwin dengan perempuan tu. Dia perempuan baik, bukan macam I. kotor!”
“Astaghfirullah al-‘azim… Lissa…”
“Jangan sentuh I! I kotor! Dah berapa kali I cakap!?”
Gadis itu membentak bersama tangisan. Air matanya deras mengalir membuatkan Hazim tidak tahu untuk membuat apa-apa.
“Lissa, awak tertekan ni sampai awak berfikir yang bukan-bukan. Kita cakap hal ini esok ya? Sekarang awak masuk tidur dulu. Esok kita cakap hal ni.”
Melissa diam. Hanya kedengaran tangisannya sahaja. Hazim benar-benar buntu. Harus bagaimana dia bercakap dengan gadis itu.
“Erm..saya temankan awak ya?”
“Jangan…”
“Okey… okey… saya tak sentuh.”

***

Pagi itu, selepas mandi dan bersolat Subuh Hazim ke bilik Melissa. Pintu bilik itu tidak berkunci. Ketika memasuki bilik gadis itu, kedengaran bunyi air daripada bilik air. Mendengarkan itu Hazim turun ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Fikirannya masih sarat dengan apa yang berlaku malam tadi.
Setengah jam telah berlalu tetapi kelibat Melissa tidak kelihatan menyebabkan Hazim naik kembali ke bilik gadis itu.
“Lissa… jom breakfast.”
Tiada jawapan. Gadis itu tidak berkutik, duduk di atas katilnya. Lututnya rapat ke dada. Seperti malam tadi Melissa memakai sarung tangan dan berbaju tebal. Entah berapa lapis pakaian yang dipakainya kerana Hazim melihat tubuh gadis itu yang besar semacam.
“Lissa… jangan fikirkan sangat….”
“You tak faham. Dia kata I kotor! I jijik! I tak layak untuk you! I bukan Murni!”
“Ya ALLAH… astagfirullah… Lissa apa yang Lissa cakapkan ni!?”
“I benarkan you kahwin dengan Murni. Ceraikan I!”
“Lissa… dengar sini, saya tak akan berkahwin dengan Murni. Tak akan! Awak faham?!”
“You tipu! You sayangkan dia… you cintakan dia! Dia perempuan baik! Dia perempuan ada agama! I ni perempuan kotor! Kalau tak sebab abang I paksa you kahwin dengan I, you tak ingin pun kan?! Sebab I kotor you tak pernah nak sentuh I! You tak pernah nak layan I macam suami lain layan isteri dia!”
Tangisan Melissa menggila menyebabkan Hazim menarik gadis itu dekat dengannya walaupun Melissa cuba menepis dan menolak tubuhnya.
“Jangan sentuh I! I kotor! I kotor!”
“Lissa dengar sini! Dengar sini! Berhenti menangis! Saya kata berhenti menangis! Dengar sini baik-baik! Saya tak akan ceraikan awak! Saya tak akan ceraikan awak, faham!? Walau siapapun awak sebelum ini sekarang awak adalah isteri saya. Saya tak akan ceraikan awak dan saya tak akan berkahwin dengan Murni atau mana-mana perempuan sekalipun!”
“Tolonglah jangan buat I macam ni… I tahu I tak layak untuk you…”
“Saya tak nak dengar lagi perkataan kotor dan tak layak tu lagi! Saya tak suka awak buat diri awak macam ni!”
“You tak faham! You tak faham apa yang I rasa! I tahu you cakap ni semua sebab you rasa terhutang budi dengan abang I! Tinggalkan I! I nak bersendirian! Please!
“Saya tak akan tinggalkan awak dalam keadaan macam ni! Awak tertekan dan awak mula berfikir yang bukan-bukan?! Saya nak awak bangun… tanggalkan sarung tangan dengan baju-baju berlapis awak ni! Kita kat Malaysia bukan dekat Antartika!”
“Tak nak!”
“Tolong jangan degil, Lissa! Sekejap lagi Mak Long sampai. Nanti dia tengok awak dalam keadaan macam ni apa pulak dia fikir!”
“Tak nak! Biarlah Mak Long tahu! Biar Mak Long tahu I ni perempuan kotor! I ni tak layak untuk you! Lepaskan I! Lepaslah!”
Hazim mendengus. Tangan dan badannya terasa begitu sakit dipukul oleh Melissa. Dia langsung tidak menyangka kata-kata Naufal semalam benar-benar meninggalkan kesan yang begitu mendalam terhadap isterinya sehinggakan begini sekali reaksi yang ditunjukkan.
“Berhenti menangis, Lissa! Kenapa awak biarkan kata-kata Naufal tu menguasai awak?!”
“Sebab I  memang kotor… I kotor… I minum arak tu macam minum air biasa.. I  merokok… pergi kelab… I benarkan lelaki-lelaki lain sentuh tanpa perasaan bersalah sedikitpun… I biarkan mereka peluk I… cium I…”
Hati Hazim melonjak ingin tahu tentang sesuatu. Tentang status keperawanan gadis itu tetapi dia merasa serba salah melihat keadaan Melissa yang begitu. Namun, jauh di sudut hatinya dia benar-benar mahu tahu walaupun dia begitu pasti jawapan yang akan diberikan Melissa menyakitkan hati lelakinya.
“Tapi I tak pernah buat benda tu… Naufal tipu!”
Dahi Hazim berkerut. Dia tertanya-tanya sendiri dengan kata-kata yang baru terluah oleh Melissa. Otaknya mula mentafsir sedikit demi sedikit. Mentafsir akan apa maksud Melissa akan ‘benda tu’!
“I tak pernah tidur dengan dia! Dengan mana-mana lelaki pun!”
Jerit Melissa seakan melepaskan segala perasaannya. Jeritan bersama dengan air mata deras yang mengalir dari kolam matanya.
Mendengar kenyataan itu secara spontan, Hazim mengucap syukur di dalam hati. Sungguh, dia benar-benar bersyukur.
“Habis tu kenapa pulak awak kata diri awak kotor Lissa? Sampai macam ni sekali?”
“Sebab you fikir I kotor. Sebab you tak pernah…”
Melissa tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia tenggelam dalam tanggisan yang menggila. Kata-kata Naufal bagaikan menyedarkan dia dari suatu hakikat. Dia perempuan kotor dan mungkin selama ini Hazim memikirkan begitu. Memikirkan bahawa dia sudah tidak punya kehormatan. Mungkin kerana itu Hazim tidak pernah menyentuhnya sepertimana layaknya seorang isteri. Mereka berkongsi katil tetapi Hazim tetap tidak pernah menyentuhnya. Tidurnya jauh hujung katil. Memberikan ruang cukup luas ditengah-tengah. Bukan dia berkeinginan mahu dilayan tetapi kata-kata Naufal terus membuatkan fikirannya berfikir sehingga ke situ.
“Lissa, saya tak pernah sedikit pun fikir soal tu…”
Suara Hazim perlahan. Dia bergerak sedikit supaya dekat dengan Melissa. Jujur, dia tidak pernah berfikir Melissa tersasar begitu jauh sehinggalah kata-kata yang dihamburkan Naufal tadi.
“Saya tak tahu nak terangkan macam mana dengan awak tapi saya tidak meminta hak saya yang satu itu kerana saya menghormati awak. Saya tak mahu kerana hak itu awak terpaksa. Dahlah, jangan menangis. Saya tak reti nak pujuk awak. Saya tak akan ceraikan awak dan saya berjanji kalaulah Naufal itu yang menjadi kekasih awak selama ini, sama sekali saya tak akan lepaskan awak. Tanggalkan baju yang berlapis-lapis ni… turun makan… dari semalam awak tak makan kan? Kejap lagi Mak Long datang... Tengok awak macam ni apa pulak dia kata. Saya tak mahu awak cerita apa-apa dengan Mak Long.”
Tubuh gadis itu ditarik dengan dengannya. Dahi gadis itu dikucup dan air mata yang masih mengalir dikesat dengan hujung jari-jemarinya. Gadis bernama Melissa itu adalah tanggungjawabnya kini. Tanggungjawab yang dia terlupa selama tiga bulan ini.


***

Tersenyum Hazim melihat Melissa yang leka benar melayan karenah anak saudaranya bermain air di gigi pantai. Dia sekadar memerhati wanita yang sarat mengandung tujuh bulan itu. Rasa kasih dan sayangnya tumpah untuk wanita itu. Wanita yang banyak mengajarnya untuk menjadi pemimpin.
Sejak peristiwa setahun lalu itu, secara perlahan-lahan Melissa mula berubah. Dia sudah mula bertudung dan memakai pakaian yang menutup auratnya. Hazim ingat lagi betapa dia terkejut apabila pulang dari restoran petang itu, terdapat tiga plastik hitam besar dilonggokkan di hadapan rumah mereka. Bila ditanya kepada Melissa, wanita itu menjawab bahawa kesemua longgokan itu adalah pakaiannya. Dia mahu membuangnya kerana pakaian itu tidak lagi sesuai untuknya.
Pertama kali dia melihat Melissa bertudung litup, hati lelakinya tidak dapat menyembunyikan betapa terpegunnya dia. Tidak putus-putus pujian ke hadrat ALLAH melucur dari mulutnya. Tubuh itu dipeluk erat dan dibisikkan ucapan terima kasih berkali-kali.
Pertama kali dia mendengar suara isterinya membaca surah al-Quran tanpa segan air matanya mengalir. Walaupun tergagap-gagap tetapi dia lega dan rasa cukup bersyukur. Melihat isterinya yang lengkap bertelekung untuk pertama kali mereka bersolat jemaah berdua, air matanya mengalir lagi dan ucapan syukur terhadap Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak lekang di bibirnya.
Saat pertama kali panggilan ‘abang’ meniti di bibir isterinya, dadanya bergetar hebat. Wajah kemerahan Melissa saat panggilan ‘abang’ itu disebut membuatkan dia tersenyum bahagia.
Hazim sedar dia bukanlah lelaki sempurna tetapi dia percaya akan ketetapan yang ALLAH anugerahkan untuknya. Dianugerahkan Melissa kepadanya untuk dibimbing dan dibantu. Dianugerahkan Melissa kepadanya untuk melengkapkan dirinya dan akan dianugerahkan zuriat penyambung kasih sayang mereka tidak lama lagi.






No comments: