Monday, January 4, 2010

RAHSIA RINDU 32


Dua minggu telah berlalu. Hari sepatutnya aku dan Faris disandingkan dibatalkan. Emak dan abah telah memberitahu orang kampong akan keadaan yang terjadi. Segala bahan-bahan memasak telah abah serahkan kepada Pak Cik Hamid, siak masjid. Abah mahu menyedekahkan kepada surau dan meminta Ustaz Salam dengan bantuan orang kampong membuat solat hajat untuk Faris. Moga dengan berkat doa setiap daripada mereka, Faris akan kembali sedar. Faris sudah sedar dari koma seminggu lepas. Saat itu, aku berada di sisinya. Tika dia menyebut namaku, aku sungguh rasa gembira tetapi Faris masih lemah. Kata-kata yang terungkap dari mulutnya tidak berapa jelas dan tersekat-sekat dek menahan sakit. Niat untuk bertanya perihal Alina tidak mampu aku suarakan walaupun aku semakin ingin tahu. Tambahan pula, wanita itu asyik meracau sahaja menyebut nama Faris. Perasaan kurang enak mula menghantui aku.
“Nanti kita tanya Faris. Buat masa ni Maira sabarlah ya? Biar keadaan dia dah okey baru kita tanya. Along tahu perasaan Maira. Along pun juga macam tu.”
Along semakin baik denganku. Sudah tidak nampak lagi kedinginan sikapnya. Aku sungguh bersyukur di sebalik musibah ini, ada hikmah terselit. Aku tidak akan berputus asa dengan  ujian dan dugaan ini. Pastinya semua ini terjadi bersebab. Kalau tidak pun tentu ia adalah ujian Yang Maha Esa untuk melihat sejauh mana kesabaran dan ketabahan hamba-NYA.
Kehadiran teman-teman dan keluarga memberi aku kekuatan. Orang yang paling kerap datang berkunjung adalah Mukhris.  Lelaki itu terlalu prihatin akan orang lain.  Sikapnya menyenangkan semua yang ada. Malah emak Faris dan Along asyik sahaja memuji lelaki itu.
“Bertuah siapa dapat Mukhris tu. Orangnya baik, berbudi bahasa... kaya pula tu.”
Aku sekadar tersengih bila emak Faris memuji Mukhris begitu. Ingin membantah ada benarnya. Dengan aku sahaja Mukhris bersikap begitu sedangkan dengan orang lain jauh berbeza.
Haizal turut datang menziarahi Faris. Itupun selepas tiga hari Faris terlantar di hospital. Dia mengetahui kemalangan yang menimpa Faris pun melalui Mukhris setelah terdapat beberapa panggilan daripada Mukhris memasuki peti simpanan mesejnya. Dia melarikan diri dari gangguan Syafikah dan juga mencari kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Aku sekadar tersenyum bila dia memberitahu aku semua itu.
Aku tahu Syafikah tentu sahaja sudah mengetahui akan musibah yang menimpa aku. Tentu sahaja dia bergelak sakan dan bertepuk tangan. Biarlah dia dengan segala sifat iri hati dan hasad dengkinya itu.
“Maira...”
Panggilan itu menyedarkan aku dari lamunan yang panjang. Aku menghampiri Faris. Menaikkan aras katilnya supaya dia lebih selesa.
“Ris nak makan apa-apa?”
Faris gelengkan kepala.
“Ris sayangkan Maira. Sayang sangat. Ris takut kehilangan sayang.”
Aku tersenyum. Jari-jemarinya aku genggam. Aku akui aku lebih takut kehilangannya. Aku tidak tahu mahu menghadapi bagaimana andai kemalangan itu meragut nyawa. Mendengar dia kemalangan sudah hampir membuat aku jadi separuh gila! Malah bukan sahaja aku tetapi emak juga. Kata emak, berita yang di sampaikan Along bagai memberitahu bahawa Faris tiada peluang untuk hidup lagi.
“Maira pun. Ris jangan risau. InsyaALLAH semuanya akan selamat. Bila Ris sembuh nanti kita boleh teruskan perancangan kita.”
“Maira...”
“Erm, kenapa Ris?”
“Alina macam mana?”
Pertanyaan Faris itu membuatkan degupan jantungku pantas dan bagaikan tidak teratur. Sejak Faris sedar ini kali pertama dia bertanyakan perempuan itu.
“Dia belum sedar. Keadaannya masih kritikal.”
“Erm, Maira sayangkan Ris tak?”
“Sayanglah. Ris, ada sesuatu ke Ris nak beritahu Maira ni?”
“Walau apa pun yang terjadi, percayalah Ris terlalu cintakan Maira. Perasaan ni tak pernah wujud untuk perempuan lain dan tak mungkin wujud untuk perempuan lain.” Pelahan sahaja tutur Faris tetapi cukup jelas di pendengaranku.
“Ris... kenapa ni?” aku sudah mula rasa sebak. Rasa ada sesuatu yang mahu Faris sampaikan. Sesuatu yang bakal mengubah segala-galanya.
“Cinta Ris pada Maira tak kan mati sampai bila-bila. Cinta ni takkan berkurang walau sesaat.”
“Ris...”
“Percayalah Maira tapi perkahwinan ni tak dapat diteruskan.” Bergetar suara Faris mengungkap kata-kata itu. Aku terpempan. Tanpa sedar ada air mata yang mengalir.
“Apa yang Ris cakapkan ni? Kenapa?”
“Sebab Ris tak sanggup menyeksa sayang. Selama seminggu ni Ris berfikir. Kemalangan ni ada hikmahnya. ALLAH tak mahu Ris menyakiti Maira.”
“Apa ni Ris? Jangan buat Maira macam ni? Cakaplah betul-betul.”
Air mataku luruh lagi. Dugaan apakah lagi yang harus aku tempuhi? Kebenaran apakah yang terselindung selama ini? Permainan apakah yang sedang Faris mainkan ini? Pernikahan ini mainan sematakah? Cinta yang sering diungkapkan itu sekadar di bibir?
“Ada sesuatu yang Ris rahsiakan dari sayang selama ni. Sesuatu yang cukup berat. Ris tak mahu tengok sayang menangis tetapi Ris tahu sayang patut tahu perkara ni. Ris minta maaf kerana terlalu memberi harapan pada sayang.”
Nada suara Faris sudah hilang aturannya. Ada sebak yang menjalar di segenap ruang dirinya. Genggaman tangannya kemas dan erat. Saat aku memanggung kepala memandangnya, aku sedar Faris juga menangis. Aku kesat air mataku yang membanjiri kolam mata dengan hujung jari-jemari dan kini jelas air mata lelaki itu mengalir.
“Maafkan Ris, sayang! Maafkan Ris...”
“Beritahulah sebab apa? Alina? Apa hubungan Ris dengan Alina?”
Tangisanku makin menggila saat itu. Aku tahu pasti ia berkaitan dengan Alina. Tentu sekali!
“Ris... Ris...”

7 comments:

MaY_LiN said...

atoi..
sapa lak ni..
saspennyeee..
kira diskaun la..
nak mukhris..
hikhikhik

Afifee said...

menarik! :) tapi xbpa kenal watak la sbb xdpt baca dari mula..xsempat nak baca dari mula..huhu

Hana_aniz said...

arghh.....
mesti alina bini faris kn?
huh!

akak said...

bini faris.?? hampeh tol..geram ngn si faris nih...
tp sgt suka untuk the other Ris..

MissNera said...

maylin:
diskaun pe? hehehe

afifee:
teruskan membaca. ini arahan.

hana anis:
lalala :D


haha.. akak! xbek ooo.. kesian farisku ini! uhuk...

anaklaut said...

salam...


dua kali saya membaca cete ni..

best...mcm khadijah hashim..

teruskan berkarya..

misz nana said...

ada harapan Maira ngan Mukhris..
yeayy!