Kenyataan yang keluar dari mulut Faris benar-benar membuat aku terkejut besar. Aku menangis semahunya. Duniaku terasa kelam. Tubuhku terasa cukup lemah.
“Alina isteri Ris.”
Sebaris ayat itu mengejutkan aku. Bagaikan halilintar. Jari-jemariku yang sedari tadi dalam genggaman Faris, aku tarik spontan. Aku tersandar di kerusi. Apa yang aku takutkan menjadi kenyataan. Faris dan Alina sememangnya punya hubungan. Mereka suami isteri! Ya ALLAH, dugaan apakah ini?
“Kami bernikah setahun lepas. Beberapa bulan sebelum Maira terima Ris. Demi ALLAH, perkahwinan ni bukan atas kehendak Ris.”
“Habis tu sebab apa?” aku sudah mula meninggi suara. Air mata tidak henti mengalir.
“Janji dengan Ris, Maira akan simpan rahsia ni seumur hidup Maira. Perkara ini mengaibkan Alina. Ris kahwini Alina demi maruah dirinya. Alina anak yatim piatu. Dia tak ada sesiapa. Alina kandungkan anak luar nikah. Dia diperkosa oleh orang yang paling dia percaya selama ini.”
“Habis tu, Ris jadi pak sanggup? Kenapa?”
“Sayang, Alina dah terlalu banyak menderita. Tak ada mak ayah. Dia di hantar ke rumah anak yatim sejak umur dia sehari lagi. Ris nekad menikahinya untuk menyelamatkan maruah dan pegangan Alina. Dia hampir bunuh diri Maira!”
“Kenapa Ris tipu Maira? Kenapa Ris tetap mahukan Maira? Kenapa...” persoalanku terhenti di situ. Tangisanku makin menggila.
“Sebab Ris cintakan Maira. Dari dulu. Dari Maira masih bersama Haizal. Ris tak mahu kehilangan Maira! Masa tu Ris fikir, lepas Alina lahirkan anak dia Ris nekad mahu lepaskan Alina sebab Ris tak pernah cintakan dia. Cinta Ahmad Faris ini hanya untuk Nurul Umaira. Ris tahu dalam hal ini Ris terlalu mementingkan diri tapi Ris manusia biasa. Ris tahu Ris ada peluang untuk memiliki hati dan cinta Maira.”
“Kenapa Ris tak beritahu Maira dari awal?”
“Ris takut. Ris pasti Maira tak akan terima Ris kalau Maira tahu hal sebenar. Selama kita bersama Ris terlalu gembira dan bahagia. Setiap kali Ris mahu berterus terang Ris jadi takut kehilangan Maira. Ris juga tak sanggup melihat Alina tergapai-gapai seorang diri. Alina tertekan bila anak yang dikandungkannya meninggal ketika di lahirkan. Keadaannya membuatkan Ris serba salah mahu menceraikannya.”
“Tak apalah. Kita kahwin. Maira tak kisah. Maira tak kisah berkongsi kasih dengan Alina. Ris tak perlu ceraikan dia.”
Aku nekad dengan keputusan ini. Aku mahu mengahwini Faris. Menjadi isterinya walaupun aku akan bergelar isteri ke duanya. Faris tidak perlu menceraikan Alina kerana tentu sahaja wanita itu amat memerlukan seorang lelaki dalam hidupnya.
Faris menggeleng. Diusap mukanya dengan tangan kanannya. Matanya terpejam rapat. Seketika kemudian, kepalanya disandarkan ke kepala katil.
“Jangan sayang, jangan berkorban sampai begini. Maira berhak untuk dapatkan kebahagiaan yang lebih baik.”
“Tak.. tak.. Maira tak kisah.”
“Hari ini mungkin Maira kata tak kisah. Esok-esok? Ris tak sanggup menduakan Maira. Maira terlalu istimewa buat Ris. Kalau boleh Ris mahukan Maira menjadi isteri Ris. Menjadi ibu kepada anak-anak Ris tapi Ris sudah ada tanggungjawab yang lebih berat. Alina perlukan Ris lebih dari yang sepatutnya. Ris tak nak nanti akan ada sengketa yang akan merosakkan hubungan kita. Maira, Maira lebih berhak untuk dapat bahagia yang lebih baik tanpa perlu berkongsi kasih dengan sesiapa.”
“Senang Ris cakapkan? Yang menanggungnya Maira!”
“Ris akan cintai Maira seumur hidup Ris. Cinta itu tidak akan hilang walau sekejap. Biar Maira derita sekarang, Ris tak mampu melihat Maira menderita esok.”
“Habis tu macam mana dengan keluarga Maira? Ris tahukan mak dan abah terlalu mengharap dengan Ris! Nadia... jannah!” air mataku yang tadinya sudah berhenti kembali mengalir. Aku terbayangkan raut wajah emak dan abah. Kegembiraaan terpancar di wajah mereka saat mengetahui Faris adalah bakal menantu mereka.
“Ris sendiri akan beritahu mereka. Tak apalah kalau abah dan emak Maira bencikan Ris. Ris terima sebagai hukuman kerana memberi harapan palsu kepada Maira tetapi demi ALLAH emak dan abah Maira sudah Ris anggap seperti emak dan abah Ris sendiri. Ris...”
Suara Faris tersekat di situ. Air matanya yang mengalir dikesat dengan hujung jari-jemarinya.
“Kalau itu keputusan Ris, Maira terpaksa terima walau cinta Maira pada Ris masih ada. Maira mohon maaf kalau selama ni Maira banyak buat salah dengan Ris.”
“Tak... Maira tak pernah salah. Ris yang salah. Saat bersama Maira paling menggembirakan Ris. Ris akan ingat sampai bila-bila.”
“Jaga Alina. Cuba buka ruang hati Ris untuk dia. Maaf, lepas ni Maira tak akan datang melawat Ris lagi. Maira perlukan masa untuk bertenang dari segala macam dugaan ini.”
Aku terus bangun dari duduk, mencapai beg tangan. Aku perlu pergi dari sini. Aku perlu!
“Maira...”
Hanya itu yang mampu Faris ungkapkan. Aku tahu dia tidak betah mahu menghalang setelah kenyataan demi kenyataan yang aku terima sebentar tadi.
Sebaik keluar dari pintu wad Faris, Air mataku laju mengalir. Aku tidak peduli akan mata yang memandang. Tika ini, air mata adalah teman. Nasib baik waktu ini tiada seorang pun yang mengenali aku di sini. Keluargaku baru sahaja bertolak balik petang tadi. Keluarga Faris pula mungkin dalam perjalanan ke hospital setelah sepagian mereka di sini.
Di ruang fikiran, aku mencongak sesuatu. Aku terfikir sesuatu yang tidak pernah aku fikirkan selama ini dan aku nekad untuk melakukannya.
Maafkan Ira!
8 comments:
dier nk wt pe?suspen tul....nk p luar negara ker?....will wait for n3..
agaknye dia nak teruskan pkhwnn dia tu kot..suspennye..ntah btl ntah tdak..memandai je aku ni..hehehe
pe la yg Maira nak buat agaknya..
saspen nye..
mukhris mane...?
mane hero nih..
da agak da!!
ok..
mukhris... action!!
haha..
utk anda semua.. :D
mukhris itu pengecut ya!! hehe... dan dia amatlah 'lembab' orangnya!
tunggu saja lah bila mukhris nak menjadi gagah berani!! hehehe
terima ksih ats komen anda!! komen2 la lagi...
salam,
ala missnera...jgnlah kata kat mukhriz i tu..hehe.
dia bukan pengecut cuma menanti saat aje utk bertindak, kan?
apa2pun, sofi suka mukhriz ngan maira.
cheerio.
huhuuuu...maira nak bwat pa 2???
jgn maira nak bunuh dri sda!!!
Post a Comment