Monday, January 17, 2011

PADA DETIK ITU... : BAB 3

Seawal jam lapan pagi lagi Natrah sudah terpacak di hadapan butik tempat Imran bekerja. Pakaiannya ringkas sahaja. Setakat nak bertemu dengan bakal majikan yang menawarkan kerja pembantu rumah tiada keperluan untuk dia bergaya formal. Sekadar mengenakan seluar denim dan t-shirt lengan panjang yang dipadankan dengan tudung polos berwarna biru cair.
Jam tangan yang pernah menjadi hadiah daripada bekas guru Sainsnya diperhati beberapa kali. Minuman yang dibelinya dari kedai mamak selang dua buah daripada butik pakaian itu hanya terusik sedikit. Perutnya terasa tidak selesa. Sedangkan tadi sebelum keluar dia hanya menjamah sedikit sahaja nasi goreng yang disediakan oleh Emak Saridah.
Mukanya yang berkerut dan penuh kekalutan itu bertukar senyuman bila melihat lenggok Imran yang semakin menghampiri.
“Awal betul kau ya? Aku belum buka butik lagi dah melangut kat sini. Makan dah?”
Cepat sahaja Natrah mengangguk. Mangkuk tingkat serta beg galas Imran yang disuakan kepadanya disambut supaya memudahkan Imran membuka pintu.
“Bos kau telefon aku awal-awal pagi tadi tanya pasal kau. Aku kata kau dah setuju. Dia punya seronok mengalahkan dapat bini!”
Natrah tergelak mendengar cerita Imran. Terasa lucu pula bila mendengarnya. Tambahan pula kalau yang bercerita itu adalah Imran. Siap tangannya ikut bercerita. Mimik muka usahlah cakap.
“Aku ada bawa nasi lemak. Kalau kau nak makan, makanlah. Aku bawa banyak tu.”
“Abang Im masak ke?”
“Habis tu? Kau ingat siapa?”
“Rajin abang masak. Siapa dapat abang nanti mesti bertuah sangat.”
“Banyaklah kau punya bertuah.”
“Betullah. Nat puji ikhlas ni. Abang rajin, baik… pandai memasak jugak.”
Imran mencebik. Dia tahu Natrah ikhlas memujinya seperti Haslinda juga. Imran mengeluh. Sejak kehadiran Natrah selalu sangat dia teringatkan Haslinda yang sudah bertahun pergi. Mungkin kerana mereka hampir sahaja sebaya dan perangai yang hampir serupa.
“Abang Im mengeluh kenapa? Ada yang tak kena ke?”
“Tak adalah. Tu bakal bos kau dah sampai.”
Cepat sahaja pandangan Natrah beralih ke arah pintu masuk. Seorang lelaki memakai t-shirt belang putih hijau dan berseluar pendek berwarna khaki. Senyuman lelaki itu sekadar disambut dengan senyuman janggal daripada Natrah.
“Kau dari mana?” Soal Imran sekadar berbahasa, memulakan perbualan.
“Dari rumah akulah. Kau ingat?”
“Taklah. Kot-kotlah tersesat kat rumah si Mell tu.”
“Tak kuasa aku. Erm… Ini lah Natrah tu ya?”
Natrah angguk. Imran tersengih. Manakan tidak serasa lembut benar suara Idlan bertanya kepada Natrah. Bersuara dengan Mell tidak pernah selembut itu. Tak tahulah pula kalau dibelakangnya.
“Awak biasa ke buat kerja-kerja rumah ni?”
Natrah angguk lagi dengan soalan Idlan yang kedengaran bodoh baginya itu.
“Weh pak cik, apa kes ba wau dal wau ha sangat soalan kau tu?”
Dahi Idlan dan Natrah sudah berkerut. Cuba mentafsir kata-kata Imran.
“Apa kau cakap? Aku tak faham? Apa yang ba wau dal…”
“Itulah masa ustazah kat kelas mengajar kau mengorat kat belakang. Aku sebut ba wau dal wau ha, bodoh.”
Rasa terpukul Idlan dengan kata-kata Imran. Bertambah malu bila Natrah menekup mulutnya menahan ketawa dari meletus.
“Kenapa pulak bodoh? Betul lah aku tanya.”
“Yalah. Soalan bodoh lah. Natrah ni bab kemas-kemas rumah tip top. Orang kampung bukan macam orang bandar. Kemas rumah nak kena ada orang gaji.”
Selamba sahaja Imran memerli Idlan. Mulut lelaki itu memang capoi bak kata orang Utara.  Merah padam bagaikan udang kena bakar sahaja wajah Idlan. Ikutkan hati mahu sahaja dia ganyang mulut lelaki itu dengan bunga-bunga ros merah plastik yang berada di hadapannya itu. Seronok benar lelaki itu mengenakannya di hadapan Natrah.
“Relax la bro. Aku bergurau jer. Kau nak interview budak ni dipersilakanlah. Aku ada kerja nak buat ni. Interview dia pasal kerja jer, jangan lebih-lebih.”
Jari telunjuk Imran sudah diangkat memberi amaran kepada Idlan yang sudah tunjuk muka tidak puas hati dengan kata-kata Imran. Imran sengih sahaja. Dia faham benar dengan riak wajah yang ditunjukkan oleh Idlan tapi apa dia peduli. Terus dibawa mangkuk tingkat berisi nasi lemak ke belakang.
“Umur berapa ni?” terus Idlan bertanya kepada Natrah sebaik sahaja susuk tubuh Imran menghilang.
“Erm dua puluh.”
“Tak sambung belajar?”
Natrah geleng kepala.
“Kenapa?”
“Tak ada peluang."
"SPM lulus?”
Natrah angguk lagi. Tak kan kerja tukang cuci pun nak kena lulus SPM!? Agak-agaklah orang ni. Bersih rumah jer pun bukan syarikat korporat.
“Kerja dengan saya tak susah asalkan apa yang saya harapkan awak jalankan dengan baik. Dua bulan ni saya jarang balik rumah. Jadi kerja awak tak banyak, Cuma sapu sampah dengan lap-lap jer tapi saya tetaplah bayar awak gaji yang saya janjikan. Lepas dua bulan saya akan selalu ada kat rumah. Bila saya suruh awak memasak, awak kena memasak. Awak pandai memasak tak?”
“Sikit-sikit boleh lah.”
“Awak tahu masak apa? Kalau setakat goreng telur dengan buat air saya cari orang lain. Awak kerja kemas rumah je.”
“Erm… setakat makanan Melayu tu saya bolehlah masak. Kalau lain daripada tu tak tahu.”
Idlan senyum. Dia maksudkan makanan Melayulah bukan makanan lain. Perutnya perut orang Melayu walaupun terdedah kepada segala jenis makanan, makanan Melayu tetap kegemarannya.
“Awak jangan risau. Saya Cuma makan makanan Melayu di rumah. Kalau teringin nak makan makanan lain, saya makan di luar sahaja. So, bila awak nak mula kerja?”
Pandangan mereka bertaut dan cepat-cepat sahaja Natrah mengalihkan pandangan. Rasa segan menyelinap ke seluruh pelusuk diri. Idlan pula hanya tersenyum melihat Natrah yang malu-malu.
“Kalau awak nak mula kerja esok, boleh je. Ini kunci rumah saya. Sekejap lagi saya bawa awak tengok rumah saya. Tunggu Imran lunch. Boleh keluar sama.”
Natrah angguk lagi. Tidak tahu mahu memberi reaksi apa. Entah kenapa dia merasakan pandangan Idlan itu lain macam sahaja tetapi tidak pula merasakan pandangan itu berniat jahat.
“Okeylah, saya ada hal. Dalam pukul dua belas saya datang. Dengan saya jangan malu-malu okey?!”
Idlan sudah tergelak kecil di hujung bicaranya. Entah datang dari mana ideanya untuk mengenakan gadis itu dia tidak tahu. Natrah pula sudah panas mukanya menahan malu. Tidak sangka pula lelaki itu menyedari gelagatnya.
“Okey? Erm.. nanti kirim salam kat mamat lembik kat belakang tu. Cakap kat dia, saya tak mengorat awak pun.”
Idlan gelak lagi dan Natrah pula bertambah malu. Saat itu mahu sahaja dia berlari ke belakang mendapatkan Imran dan memarahi lelaki itu tetapi kakinya bagaikan terpaku di situ. Tidak bergerak-gerak. Dia hanya mampu memerhati langkah Idlan yang sudah melepasi pintu butik.


-Fakta-
* Sejarah nama Semelai berasal dari perkataan Malay iaitu Melayu. Di mana pada zaman penjajahan British dahulu pihak penjajah menemui kaum ini dan menyatakan Suku Semalai ini sama dengan Kaum Melayu. Same Malay yang akhirnya disebut Semelai.

1 comment:

MaY_LiN said...

wawawa..
idlan..
pandai nye melawak..