Monday, May 9, 2011

NOVELLA : Lafaz Qabul...

Masam mencuka muka Raif apabila menerima panggilan daripada Soraya. Perempuan kelab malam itu meminta tolongnya supaya datang ke rumah dan menghantar Annisa ke klinik. Menurut Soraya, Annisa demam teruk dan dia pula terpaksa bekerja dan tidak mendapat kelulusan daripada Mr. Robert untuk keluar menghantar Annisa. Bila ditanya kenapa tidak sahaja meminta pertolongan orang lain dan mengapa perlu menyusahkannya gadis itu memberikan alasan bahawa Raif adalah orang yang terakhir dihubunginya. Yang lain semuanya tidak menjawab telefon.
Dalam rasa sebal kerana perlu memandu ke Kampung Baru yang jaraknya hampir memakan masa setengah jam dari rumahnya, Raif menghubungi Steven dan Johan. Malangnya telefon bimbitnya teman-temannya itu tidak dapat dihubungi. Dengan rasa malas kunci kereta dicapai dan terus memandu keretanya ke rumah yang dimaksudkan Soraya.
Di dalam fikiran Raif, bukan dia tidak mahu menolong Annisa. Bukan dia tidak punya perikemanusian untuk membiarkan orang yang sedang sakit itu! Tetapi dengan Annisa, dia memang benci benar. Gadis yang berkerja sebagai pelayan kelab malam bersama Soraya itu menaruh hati kepadanya. Sampaikan Steven dan Johan tidak habis menyakatnya. Walaupun gadis itu tidak pernah terang-terangan menunjukkan rasa kasihnya tetapi dari bahasa badan sudah dapat diagak. Sampai dia jadi rimas diperhatikan gadis itu.
“Aku kalau ada orang yang boleh bawakkan si Anis tu pergi klinik, aku tak kacau kau. Aku tahu kau benci sangat dengan Anis tu. Anis pun tahu tapi aku kesiankan dia. Tadi dia telefon beritahu dia jatuh bilik air… kau tolonglah ya?!”
Dalam rasa benci, permintaan Soraya itu serasa kejam untuk ditolak. Masakan benci sampai mahu membiarkan Annisa menanggung sakit sendirian.
Dalam berbolak balik antara perasaan sebal dan simpati itu, keretanya sudah berada di Kampung Baru. Sampai sahaja di Jalan Raja Musa keretanya diperlahankan dan diberhentikan di hadapan sebuah rumah.
Rumah yang ditujunya itu suram sahaja cahaya lampunya. Dia pernah menghantar Suraya dan Annisa balik beberapa kali, itupun disebabkan Johan yang beria-ria mahu menghantar mereka. Kalau ikutkan hatinya, jangan haraplah! Naik teksi sahaja!
“Assalamualaikum…” ucapnya bila betul-betul berada di hadapan pintu rumah. Diketuknya perlahan. Dia sedar pintu tidak berkunci kerana apabila dia mengetuknya pintu itu bergerak-gerak. Ditolak daun pintu kayu yang sedikit usang itu dan sekali lagi memberi salam.
“Masuklah… saya tak boleh jalan ni….”
“Awak kat mana?”
“Dapur…”
Raif mendengus. Teruk sangat ke sakitnya sampaikan nak bergerak sikit pun tak boleh?! Ke saja mengada-ngada perempuan ni?
Kasut ditanggalkan dan terus dia melangkah ke arah dapur tanpa rasa was-was tetapi dia terkejut besar bila melihat Annisa yang elok sahaja keadaannya. Matanya melurut ke arah kaki gadis itu, tiada nampak langsung kecederaannya. Malah elok sahaja gadis itu berjalan.
“Apa semua ni? Apa yang cuba kau buat hah?!”
Raif sudah mula dapat menangkap sesuatu. Dia rasa benar-benar tidak sedap hati. Dia dapat merasakan baik Soraya mahupun Annisa sedang cuba memerangkapnya.
“Saya minta maaf…tapi…”
Annisa sudah menghampirinya. Sudah memaut lengannya kemas. Sudah merangkul tubuhnya.
“Kau ni gila ke apa? Lepaskan aku! Kau ni memang dasar perempuan murahan!”
Tubuh Annisa sudah ditolaknya kasar tetapi gadis itu tetap tersenyum. Hatinya langsung tidak terasa dengan penolakan lelaki itu.
“Awak tahu kan saya sayangkan awak?”
“Gila! Apa kena mengena kau sayangkan aku dengan aku? Ikut suka hati kaulah! Tapi yang pasti aku benci kau!”
Annisa senyum lagi. Cuba merangkul kembali tubuh Raif. Namun cepat sahaja Raif menolak dan cepat juga Annisa bertindak. Ketika itu belum sempat Raif menolak tubuh gadis itu, kedengaran salam di beri di hadapan. Terhenti pergerakannya. Rasa cuak mula bermukim. Sedangkan Annisa sudah tersenyum gembira.
“Betul pak imam… saya nampak lelaki masuk rumah perempuan ni!”
Raif menelan air liur mendengar suara seorang lelaki yang sedang bercakap itu. Dia benar-benar kalut.
Salam diberikan sekali lagi apabila penghuni di dalam rumah tidak menyambutnya. Annisa dan Raif tidak berkutik sedikit pun.
“Kita masuk je Pak Aji… ini mesti dorang nak sembunyikan diri ni!”
Suara lelaki lain pula kedengaran. Sudah pasti Raif kecut perut. Belum sempat pun Pak Imam bersuara, Raif sudah ke depan. Dia mahu menjelaskan bahawa dia diperangkap oleh Annisa.
Kan saya dah kata ada lelaki! Pak Imam tak mahu percaya!”
“Encik, kami dapat laporan berlaku perkara kurang elok di sini….”
“Saya rasa ini salah faham sahaja. Saya datang ke sini kerana mendapat panggilan kecemasan dan saya tak tahu pulak perempuan ni nak perangkap saya!”
Berterus terang sahaja Raif. Dia peduli apa dengan air muka gadis itu yang entah masih gadis atau sudah dirobek! Jijik dan benci dia melihat sesusuk tubuh Annisa yang turut berada di situ. Annisa membatu sahaja. Mukanya konon-konon sedang beriak terkejut dan sedih. Mahu sahaja diganyang gadis itu cukup-cukup!
“Alasan kau jer tu! Saya selalu nampak lelaki ni datang sini Pak Imam!”
Mencerlung mata Raif memandang lelaki bertubuh kurus kering di hadapannya. Hatinya sudah panas. Dia pasti lelaki ini juga adalah orang-orang Annisa.
“Kau cakap baik-baik sikit! Bila masa aku datang rumah sini hah?!”
Kolar baju lelaki itu sudah direntap kasar. Mukanya sudah memerah kerana marah. Kalau dia tahu hal ini sekadar satu perangkap mati hidup semula pun dia tidak akan datang. Kalau dia tahu perempuan itu berniat tidak baik terhadapnya sakit nak mati sekalipun dia tidak akan jejakkan kakinya ke rumah ini!
“Macam inilah encik… encik ikutlah kami ke masjid… saya ni bertindak atas aduan. Lagipun keadaan encik berdua ni memang menimbulkan keraguan….”
Lain-lainnya Raif sudah tidak mendengar lagi kerana dia pasti tempat yang akan ditujunya tetap sama juga. Dia pasti akan dibawa ke pejabat agama dan didakwa berdua-duaan dengan perempuan jalang itu! 
Ah, dia tidak akan mengaku salah! Dia memang tidak bersalah!

4 comments:

MaY_LiN said...

alahai..
raif raif..
memang tempah bala la

Faz Nandra said...

eeeeiiii geramnya dengan perempuan gedik tu!!! sakit hatilah... ishh.. sangat memalukan kaum hawa... uweeekk.!! meluat ngan gaya mengada-ngada!

p/s :) kak nera sayang...sorry tau.. huhu.. cerita kak ni best! nak seterusnya.. ^-^

hana_aniz said...

wah. first time jumpa perempuan jahat. slalu watak laki yg jahat. menarik nih. annisa akan terusan2 jahat ke even da kawen?? huhu

sambung cepat2 tau missnera!

blinkalltheday said...

mesti ade something yg mmbuatkan annisa wat camtue,kan?ntah2 nisa ni baik,cume trpksa keje c2..xe2,into je ni dulu..byk agi yg kite xtaw kan??