Sudah tiga hari semenjak Faiz menjadi salah seorang warga kerja RWE Construction Sendirian Berhad. Lelaki itu sudah ditugaskan memantau beberapa projek yang terdapat di kawasan Seberang Prai dan bahagian pulau.
“Zura, aku lupalah nak bagitau kau. Si Faiz yang kau nak mengorat tu dah kahwin lah!”
Maisara angkat muka memandang Mazlin. Kemudian pandangannya beralih kepada Aizura yang bagaikan tidak mendengar kata-kata Mazlin. Kusyuk sangat menghirup mi kuah yang dipesannya.
“Weh kau dengar tak?”
Mazlin sudah menyigung tangan Aizura sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Kalau sudah hadap makanan, gempa bumi pun tak sedar!
“Awatnya?”
Aizura merengus lalu meletakkan sudu yang dipegangnya dan memandang Mazlin.
“Tu pak we yang hang nak mengorat tu dah kahwin!”
“Faiz?!”
“Yalah!”
“Alah.. asyik melepas aku ni!”
Maisara dan Mazlin sudah ketawa melihat riak yang terpamir di wajah Aizura. Mereka tahu Aizura sebenarnya bukan bermaksud apa-apa. Dia sekadar main-main sahaja. Tidak pernah benar-benar dia jatuh cinta kecuali dengan Syed Ammar!
“Isteri dia ada sini ke?”
Soal Maisara, sekadar ingin tahu.
“Katanya kat KL. Nanti baru ikut datang sini.”
Maisara angguk. Baguslah kalau Faiz sudah berkahwin. Harap-harap sudah tak ada lah perangai tak eloknya itu!
Kalau dia benar-benar sudah berubah, kau kena maafkan dia, Sara! Orang yang pernah buat salah tu tak semestinya akan terus dalam melakukan kesalahan. Cukuplah kau berdendam!
Bagaikan ada satu suara berbisik halus di telinganya.
“Nampak gayanya aku kena cari yang lainlah!”
“Tu si Amirul tu nak kat kau.. Apa kata kau beri dia peluang! Duit ada.. kereta besar… muka pun kacak bergaya!”
“Kau kena tambah satu lagi! Tanganya pun cepat melata. Baru sekali keluar dengan dia dah pandai sentuh aku sana sini. Patutlah tak kahwin-kahwin gatai merenyam!”
Mazlin dan Maisara ketawa lagi. Amirul lelaki pertengahan tiga puluhan yang menjawat jawatan Eksekutif Akaun itu memang amat dikenali sebagai lelaki miang. Semua perempuan mahu dicubanya. Maisara tidak terkecuali tetapi sejak Maisara membawa Azwan ketika pertandingan bowling tahun lepas terus lelaki itu senyap sahaja.
“Dengan kau je kot! Dengan orang lain tak ada.”
Mazlin sengaja menggiat Aizura. Aizura sudah mencebik.
“Yalah sangat. Hari tu dengan budak Zana tu bukan main berpeluk sakan. Dah macam laki bini dah! Siap cium-cium pipi lagi!”
Terbeliak mata Mazlin mendengarnya. Dia amat mengenali Zana atau nama penuhnya Rozana itu. Gadis itu anak saudara kepada suaminya dan dialah yang menawarkan kerja sebagai pembantu tadbir di bahagian Pembangunan Perniagaan atau business development.
“Kau nampak kat mana Zura? Ish ni tak boleh jadi ni! Si Zana ni pun satu, aku suruh dia kerja kat sini bukan suruh dia menggatal!”
“Kat Komtar sekali. Lepas tu kat Queensbay.”
Patutlah Zana jarang lekat di rumah. Bila di tanya mahu ke mana gadis itu menjawab mahu keluar dengan kawan-kawan.
“Eh itu bukan Faiz ke?”
Ketiga-tiga mereka memandang ke arah yang ditunjukkan Aizura. Jantung Maisara sudah berdegup kencang. Benar-benar berharap Faiz tidak nampak mereka makan di situ. Kalau nampak pun lelaki itu akan memilih kedai makan yang di sebelah tetapi awal-awal lagi Mazlin sudah memanggil lelaki itu.
“Dari mana?”
Soal Mazlin sebaik sahaja Faiz menghampiri mereka. Maisara saat itu merasakan tubuhnya seram sejuk. Lelaki itu berdiri betul-betul di sebelahnya.
“Dari site. Singgah nak tapau makanan kejap.”
“Lah…jemputlah makan sekali. Kami pun baru je makan.”
“Aah… duduklah.”
“Betul ke ni?”
“Apa tak betul pulak! Ambil kerusi tu.. duduk sini.”
Arah Mazlin. Faiz menarik sebuah kerusi dari meja belakangnya dan duduk di antara Mazlin dan Maisara. Tetapi Maisara merasakan lelaki itu lebih dekat dengan dirinya. Mahu menjarakkan kerusinya supaya lebih dekat dengan Aizura pula tidak boleh.
“Kenapa Cik Maisara diam je? Tak suka saya ada sekali ke?”
Maisara panggungkan kepala dan menoleh ke arah Faiz. Dia tahu lelaki itu sengaja menegurnya. Sengaja mahu menduga reaksinya mungkin.
“Sara ni memang macam ni. Dengan orang tak biasa, dia diam je.”
“Oh ye ke…”
Sepanjang waktu makan itu hanya kedengaran suara Mazlin, Aizura dan Faiz sahaja. Maisara sunyi sepi tanpa sebarang kata-kata. Sehinggalah mereka habis makan. Hatinya tidak tenteram. Rasa yang semakin hilang kembali menyeksakan!
***
“Saya nak bercakap dengan awak sekejap.”
Terkejut Maisara apabila terdengar suara Faiz dari belakangnya. Spontan dia menoleh dan spontan juga dia bergerak menjauhi lelaki itu.
Melihat reaksi Maisara itu Faiz mengeluh lemah. Sudah tujuh tahun perkara itu berlalu tetapi Maisara bagaikan masih fobia dan trauma yang terlampau dengannya. Tidakkah Maisara dapat memaafkannya?
“One minute.”
“Kita kahwin.”
“Hah? Awak ni betul ke tidak Faiz?”
Maisara pura-pura bertenang. Sedangkan jantungnya rasa mahu pecah mendengar kata-kata lelaki itu. Lelaki itu bagaikan hilang akal sahaja. Sesuka hati mengajaknya berkahwin. Tidak sedar dirinya sudah beristeri.
“Saya serius. Kita kahwin.”
“Saya tak akan berkahwin dengan awak!”
“Sebab?”
Maisara mendengus. Tidakkah Faiz faham akan sebabnya? Tidakkah Faiz sedar akan keadaan antara mereka? Atau lelaki di hadapannya kini mengalami masalah mental?
“Pertama, sebab apa yang pernah awak buat terhadap saya tujuh tahun lepas. Awak ingat senang-senang untuk saya lupakan semua tu? Ke dua, saya akan berkahwin dalam tempoh masa empat bulan lagi. Saya sudah ada lelaki yang begitu menghormati saya sebagai wanita dan lelaki yang saya percaya dan yakin dapat membimbing saya.”
Kedengaran Faiz mengeluh. Keluhan yang amat berat dilepaskan.
“Sara, saya minta maaf. Saya tak berniat untuk melakukan perkara seteruk tu ke atas awak. Saya benar-benar menyesal. Boleh tak awak maafkan saya?”
“Okey. Saya maafkan awak dan awak boleh pergi dari bilik saya sekarang. Saya tak mahu ada mulut-mulut bercakap pasal hal ni. Baru tiga hari awak di sini sudah dua kali awak datang jumpa saya!”
“Awak tak maksudkan apa yang awak cakap, Sara! Awak tak maafkan saya!”
“Itu hak saya. Sekarang saya minta awak keluar dari bilik ni dan jangan ungkit lagi berkenaan hal ni. Satu lagi, saya tak suka awak memanggil saya dengan nama saya. Saya lebih tua daripada awak dan saya sebaya dengan Aina, kakak awak! Jadi, seperi orang lain yang lebih muda daripada saya… awak kena panggil saya Kak Sara atau Cik Sara.”
“Saya minta maaf tapi saya nak awak tahu.. saya cintakan awak. Saya jatuh cinta dengan awak sejak saya berada di sekolah menengah lagi….”
“Hentikan semua ni Faiz! Saya tak mahu dengar apa-apa daripada awak! Kalau awak terus-menerus macam ni, sama ada saya yang akan pergi dari sini atau saya terpaksa buat awak dibuang kerja! Pilih yang mana awak nak!”
Maisara sudah hilang sabar. Kalau tidak kerana ada kakitangan syarikat di luar sudah pasti dia menolak lelaki itu supaya keluar daripada biliknya dan sudah tentu dia akan menjerit-jerit supaya lelaki itu faham akan apa yang disampaikan!
“Maaf.
Sebaik sahaja Faiz keluar daripada biliknya dan menutup rapat pintu, Maisara melepaskan geram dengan membaling fail yang berada di atas mejanya ke lantai. Dia benar-benar marah dengan pengakuan lelaki itu.
Apa yang lelaki itu tahu tentang cinta? Bagaimana lelaki itu boleh katakan bahawa dia jatuh cinta sejak berusia lima belas tahun lagi?! Gila ke apa?
No comments:
Post a Comment