Wednesday, August 17, 2011

BERIKAN AKU SATU PELUANG : BAB 20


Ko kat mana Sara? Please SMS or call aku!

SMS yang datang daripada Aizura itu dibacanya setelah dibiarkan sekian lama. Malam tadi selepas tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu dia terus memandu pulang ke Grik. Telefon bimbitnya dimatikan. Cuma pagi tadi dia menghubungi pejabatnya dan memberitahu bahawa dia mengambil cuti kecemasan. Sewaktu itu dia dihujani dengan beberapa SMS yang memasuki kantung telefon bimbitnya.
Tidak mahu terus membiarkan temannya yang seorang itu risau SMS itu akhirnya dibalas. Sekadar menyatakan bahawa dia sekarang berada di kampung dan akan bercuti sehingga Ahad nanti. Cukuplah. Dia tahu Aizura akan memahami.
SMS seterusnya dibaca.

Sara, tlg jangan buat saya macam ni. Plz, beritahu saya apa yang berlaku.

Dia mendengus. Entah nombor siapa kali ini lelaki itu gunakan. SMS itu dipadam. Ada empat lagi SMS yang masih belum dibaca. Tiga daripadanya daripada Maxis. Bila dibaca SMS tersebut ada tiga belas panggilan tidak berjawab semasa telefon bimbitnya dimatikan. Nombor-nombor yang tertera sudah dapat diagak siapa pemiliknya.
“Emak tengok hang macam ada masalah ja? Pasai Azwan?”
Maisara menggeleng. Soal Azwan bagaikan tidak menganggunya langsung. Dia redha dan pasrah akan ketentuan jodoh dengan Azwan yang sudah bernokhtah. Entah kenapa berkenaan hal itu dia merasakan kesedihannya tidaklah sampai begini sekali. Marahnya terhadap Faiz mengatasi segala perasaan sedihnya terhadap pernikahannya.
“Habis tu?”
“Tak ada apalah, mak. Sara okey je ni.”
“Azwan ada telefon mak dua tiga hari lepas. Dia cakap dia minta maaf sebab tak dapat tunaikan janji dia.”
“Erm… mak cakap apa?”
“Emak cakaplah kat dia… nak buat macam mana dah tak ada jodoh hang dengan dia.”
Maisara diam. Waut wajah Azwan terlayar di ruang matanya. Teringat dia akan pertemuan beberapa hari lepas. Pertemuan yang datang dengan sebuah perkhabaran. Lelaki itu akan bernikah tidak lama lagi. Sekali lagi dengan pilihan ibunya.
“Mak tak sangka ada orang macam Hajjah Kalsum tu. Kesian Azwan.”
Maisara kembali menoleh emaknya. Walaupun perlahan seperti bercakap kepada dirinya sendiri tetapi butir bicaranya masih dapat ditangkap oleh Maisara.
“Tak apalah mak. Ibu dia nak yang terbaik untuk dia. Sara redha.”
“Sempurna mana lagi yang dia mahu?”
Maisara sekadar tersenyum. Tidak tahu jawapan apa yang perlu diberi. Perlukah dia memberitahu emaknya, Hajjah Kalsum menolak dirinya kerana dia tidak berpendidikan agama sehingga ke luar negeri? Kerana dia tidak bertudung labuh dan berjubah seperti arwah Saleha dan bakal isteri baru Azwan?
“Petang nanti emak nak ke rumah Cik Ana, ada bacaan Yaasin. Pergilah sekali. Alang-alang hang dah balik ni.”
“Seganlah mak. Nanti semua dok tanya Sara pasal kahwin tu.”
“Depa semua dah tahu. Kat masjid tu nama hang dah padam. Mak dengan abah dah bagitahu depa majlis hang tak jadi.”
Maisara angguk sahaja. Dadanya berdebar-debar tetiba memikirkan akan asakan pelbagai soalan daripada jiran-jirannya. Itu sudah pasti dan dia harus kuat untuk menjawab dan membalas setiap soalan daripada mereka.

***

“Tak apalah Sara, hang toksah risau. Jodoh tu ada. Lambat sikit ja. Ni kalau hang nak, Cik Sidah ada kawan yang carikan isteri untuk anak lelaki dia. Kerja doktor kat Johor.”
Maisara tersenyum bila mengingatkan betapa berianya wanita yang dipanggilnya Cik Sidah itu bercerita. Waktu itu serasanya mahu sahaja dia lari keluar daripada kelompok mak cik- mak cik yang berkumpul itu. Aduhai!
“Ni handset hang ni dari tadi dok berbunyi.”
Senyuman dan lamunannya terhenti bila ayahnya menyuakan telefon bimbit kepadanya. Disambut telefon tersebut dan terus melihat senarai pemanggil. Serta-merta dia mengeluh.
“Siapa?”
“Budak pejabat. Orang dah kata cuti nak jugak kacau. Macam tak boleh buat kerja tu tanpa Sara je!” dia beralasan.
“Jawab sajalah. Kot ada hal penting. Dari tadi dok telefon.”
“Erm..”
Baru sahaja ayahnya melangkah menuruni anak tangga ke beranda, telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi. Sekali lagi nama Faiz yang terpapar di skrin telefonnya. Dia menekan butang silent tetapi getaran dari telefon bimbitnya itu tetap membuatkan dia merasakan sakit hati.
“Awak nak apa ni Faiz!?”
Terus dia membentak. Sikap Faiz memang merimaskan. Sungguh! Seperti budak kecil yang tidak faham bahasa!
“Maaf. Saya Cuma risaukan…”
“Tak perlu risau pasal saya! Saya bukan budak kecik macam awak! Awak ni jenis tak faham bahasa ke? Saya kata jangan kacau saya lagi!”
Senyap sunyi di sebelah sana. Sedangkan Maisara sudah berombak kencang dadanya. Menahan amarah terhadap lelaki itu.
“Cik Sara… saya tak berniat untuk kacau Cik Sara. Saya minta maaf. Saya Cuma risau dan tak sedap hati selagi saya tak tahu kenapa Cik Sara marah sangat dengan saya. Saya tak tahu dan tak pasti kenapa. Kalau sebab apa yang berlaku tujuh tahun lepas dan Cik Sara masih belum dapat maafkan saya, saya tak tahu nak buat macam mana lagi. Saya tahu apa yang saya buat dulu satu perkara yang cukup besar dan mungkin susah untuk Cik Sara lupakan. Tapi saya betul-betul menyesal dengan apa yang telah saya buat. Cik Sara boleh marah saya dan benci saya tapi saya harap sangat Cik Sara jangan buat macam semalam. Saya janji saya tak akan ganggu Cik Sara lagi. Saya minta maaf. Assalamualaikum.”
Panggilan terus dimatikan. Terkesima Maisara seketika. Suara lelaki itu tadi kedengaran sedikit tegang. Lama dia berkeadaan begitu sehinggalah dia dikejutkan dengan bunyi SMS masuk.

Maaf klu saya terkasar td. Sy x akan kacau cik Sara lagi. 

SMS daripada Faiz itu pendek sahaja. SMS yang membuatkan Maisara tidak berkutik sedikit pun. Matanya lama tertancap lama memandang mesej tersebut. Akhirnya dia mengeluh. Keluhan yang dia sendiri tidak mengerti!

No comments: