Tuesday, September 29, 2009

RAHSIA RINDU 11


Faris mengambil aku di rumah tengah hari itu. Sebelum bertolak ke Tanjung Karang, kami sempat singgah melawat Sean. Lelaki itu masih dalam keadaan koma dan belum stabil lagi. Aku tidak pernah lupa berdoa supaya Sean diberi peluang untuk hidup. Namun, andai Sean masih dalam kondisi begini untuk jangka waktu yang lama dan doktor sendiri sudah tidak mampu berbuat apa-apa, aku rasa biarlah Sean dibiarkan pergi walaupun amat perit untuk diterima.
Dalam perjalanan ke Tanjung Karang, aku banyak berdiam diri. Berdebar dan takut semuanya bercampur menjadi satu. Aku tidak tahu bagaimana penerimaan keluarga Faris terhadapku.
“Sayang, jangan risau ya?!”
Aku cuba tersenyum walaupun aku tahu senyumanku janggal sekali. Perjalanan ke Tanjung Karang terasa dekat benar. Memasuki kawasan Tanjung Karang sebaik sahaja aku melihat papan tanda yang tertera nama kawasan yang di tuju, degupan jantungku serasa pantas berdegup. Aku tidak pernah rasa begini.
“Maira, jangan risau sangat.” Pinta Haris pelahan.
“Saya okey.”
“Okey sangat la tu kan?! Muka pucat macam apa lagi!”
Aku jadi tertawa kecil dengan usikan Faris. Terasa tenang sekejap. Memasuki kawasan kampung, degupan jantung bertambah laju. Beberapa kali aku menarik nafas dan melepaskannya sehingga Faris menyedari perlakuanku.
“Ris cintakan Maira.” Ungkapan itu kedengaran cukup dekat denganku. Bila aku berpaling ke arah Faris, lelaki itu hanya tersenyum. Jari-jemari Faris kini mengenggam jari-jemariku. Kejap dan hangat. Entah mengapa ungkapan Faris tadi menjadikan aku tenang setenangnya. Kereta Faris berhenti di hadapan sebuah rumah separa batu. Aku jadi terpesona seketika dengan keindahan alam. Disebelah kiri dan belakang rumah terbentang sawah padi yang menghijau.
“Dah jom turun. Erm, ni rumah Ris. Mungkin tak seselesa rumah Maira tapi harap Maira tak kisah.”
Aku tersenyum. Perlukah aku ambil kisah keadaan rumahnya bila mana satu hari nanti aku akan menjadi salah seorang penghuninya?
Baru sahaja aku melangkah turun dari kereta kelibat seorang gadis belasan tahun muncul dari belakang rumah. Dia tersenyum memandang Faris dan aku, segera dia mendekati Faris. Menyalami lelaki itu kemudiannya beralih ke arahku.
“Jemputlah naik kak. Beg tu biar Ana yang bawak.” Gadis itu bersuara membahasakan dirinya sebagai Ana. Tentu sahaja dia adik kepada Faris.
“Eh dah sampai pun orang jauh. Marilah naik Maira.” Aku jadi sedikit terkejut bila wanita yang pada kiraku sebaya mak menyebut namaku. Aku hanya mempu mengangguk dalam senyuman memandang wanita yang berdiri di pintu rumah itu. Aku pandang Faris, lelaki itu tersenyum memandangku.
“Duduklah dulu, Maira. Mak cik tengah goreng buah sukun tadi.” Ujar wanita itu ramah selepas aku menyalaminya. Aku hanya menurut. Duduk di kusyen kayu. Ana mengambil tempat disebelahku. Aku tahu akan ada bermacam pertanyaan daripada gadis manis ini.
“Dah lama Ana asyik dengar cerita pasal akak. Hari ni baru dapat jumpa.” Ana memulakan perbualan.
“Ye ke? Banyak sangat ke yang abang Ana cerita kat Ana pasal akak?” aku sekadar cuba meneka.
“Banyak. Selalu sangat. Kira angau sangat dah kat akak!”
“Amboi-amboi, kalau bab kenakan abang memang Ana nombor satu!” Entah dari mana Faris muncul, tiba-tiba sahaja bersuara. Ana mengaduh kesakitan bila Faris meluku kepalanya.
“Betullah. Abang tu bila mak tanya bila nak kahwin, abang selalu sangat bagi alasan tunggu kak Maira!”
Aku jadi terharu. Terdiam tanpa reaksi dengan kata-kata Ana. Faris telah menjadi pencinta yang setia yang sanggup menunggu aku. Begitu pasti aku akan menjadi miliknya satu hari nanti.
Faris sedang merenungku ketika pandanganku beralih kepadanya. Renungan tajam. Seketika kemudian, Faris bangun mendekatiku.
“Saya amat-amat memerlukan awak.” Ungkapnya pelahan, dekat dengan telingaku. Membuatkan aku malu pada Ana yang mencebik memandang kami berdua.
“Ya, Ana tahu abang perlukan Kak Maira sangat-sangat tapi janganlah nak tunjukkan keromantisan abang tu depan Ana. Geli la!” getus Ana sekali dengan mimik muka yang tidak puas hati. Aku jadi tertawa dengannya. Begitu juga dengan Faris.
“Bukan selalu pun abang boleh bermanja-manja dengan kak Maira ni. Seminggu sekali pun susah tau!”ujar Faris yang sudah mengambil tempat disebelahku, jari-jemariku masih dalam genggamannya. Puas aku cuba meleraikan genggamannya, semakin kucuba semakin kejap genggaman Faris. Bila aku pandangnya, dia hanya tersengih.
“Akak duduklah. Ana nak pergi dapur.”
Ana menjelirkan lidahnya tatkala Faris menunjukkan isyarat supaya dia cepat-cepat pergi. Aku menepuk agak kuat peha Faris. Kurang suka dengan gayanya itu. Faris mengaduh kesakitan menyebabkan Ana yang sudah melangkah menuruni tangga dapur berpaling.
“Abang menggatal la tu. Padan muka!”
“Mana ada la.”
Ana mencebik dan segera berpaling semula menuruni anak tangga. Aku ketawa kecil. Sempat aku menaikkan ibu jari tangan, menyampaikan isyarat yang sama seperti Ana.
“Ris cium baru tau!” ugut Faris. Aku masih ketawa. Tidak ambil pusing dengan ugutan Faris. Macam berani je Faris nak cium aku kat rumah dia!
Cabar Ris ya? Ris buat betul-betul baru tau!”
“Buatlah, saya menjerit. Biar mak awak dengar.”
Faris sudah mendekatkan wajahnya dengan wajahku tatkala Ana datang dengan sepinggan sukun goreng. Cepat-cepat Faris kembali ke kedudukan asalnya. Ana menggeleng.
“Abang ni kalau tak menggatal tak boleh ke? Kesian kat Kak Maira tu.”
Faris ketawa lepas. Jari-jemariku yang masih di dalam genggamannya di bawa ke mulut. Diciumnya pelahan, menjadikan aku semakin malu dengan Ana. Pantas aku menarik tanganku.
“Ni bahananya orang angau terlampau. Kalau Kak Maira ni kahwin dengan orang lain, mahu gila agaknya abang ni!” Ana meluah rasa.
Baru sahaja Faris mahu membalas kata-kata adiknya, mak Faris muncul dari dapur. Terhenti sekejap bicara antara dua beradik.
“Jemputlah makan Maira. Jangan segan-segan. Lepas makan bolehlah rehat-rehat. Mak cik dah kemaskan bilik untuk Maira.”
Aku sekadar tersenyum sambil mengangguk. Sambil makan sukun goreng yang masih panas anak beranak itu bercerita bermacam-macam hal. Aku sekadar menjadi pendengar. Cuma kadang-kadang bersuara bila Ana dan emak Faris bertanya.
Sedang rancak berborak, tiba-tiba masuk seorang lelaki. Suasana diam. Tanpa sebarang kata, lelaki itu menghilang disebalik sebuah bilik. Abang Fariskah?
“Itu Along. Along memang macam tu. Suka sangat menyendiri. Tak tahu kenapa.” Beritahu Ana seperti berbisik. Tentu sahaja kata-kata itu untukku. Aku mengangguk sambil memandang Faris yang sudah beralih tempat duduk. Kali ini dia kembali duduk berhadapan denganku. Memberi ruang kepada maknya duduk disebelahku.
Salam Maira syg, Maira jangan segan2 kat rmh Ris tau! Psl along tu, Maira buat cam dia xwujud dah la k.
Malam itu, selepas solat isyak aku terus meminta diri untuk masuk ke bilik. Rasa kantuk yang amat sangat sampai Faris perasan akan hal itu. Dipaksanya aku masuk tidur. Pesanan ringkasnya yang aku terima ketika mataku hampir terlelap membuatkan aku semacam segar kembali.
Salam Ris. Maira ok je. Jgn risau. Along Ris tu naper?
Aku balas pesanan ringkasnya. Agak lama kemudian baru aku terima balasannya. Namun, balasannya tidak menjawab persoalan aku tentang sikap lelaki yang dipanggil Along itu.
Maira g tdo ya?! Esok byk masa lagi nak crite.
Aku mengeluh. Wajah Along nampak tegang bila melihat aku. Seperti kedatanganku tidak diundangnya. Rambut panjangnya dibiarkan lepas. Nampak berserabut dengan janggut dan misai yang tak terurus. Dalam memikirkan tentang lelaki berpangkat abang kepada Faris itu aku tertidur.

1 comment:

Hana_aniz said...

along?? watak baru yg menarik!! ni mesti ada kaitan dgn maira kn?? hmm.. misteri..