Wednesday, September 16, 2009

RAHSIA RINDU 10


Seminggu berturut-turut aku berulang-alik ke hospital. Sean masih belum melepasi tahap kritikal lagi. Dia masih koma. Dua hari lepas, suasana bertukar kelam kabut bila mesin menyalurkan oksigen kepada Sean gagal berfungsi. Nasib baik ketika itu Jannah berada di samping Sean.
Aku yang ketika itu sedang dalam perjalanan untuk pulang ke rumah selepas singgah di hospital terpaksa berpatah balik. Saat itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa berdebarnya aku menerima panggilan daripada Jannah. Dengan sepenuh kekuatan yang ada aku memandu kembali ke hospital.
“You kena berehat juga, Maira! I tengok makin hari you makin tak bermaya.”
Nasihat Mukhriz ketika kami terserempak di hospital. Selain aku, Mukhriz kerap kali juga melawat Sean. Walaupun Mukhriz tidak pernah mengenali Sean secara dekat melainkan daripada ceritaku, Mukhriz nyata seorang yang amat mengambil berat. Buat pertama kalinya Mukhriz menceritakan kepadaku mengenai seseorang yang amat disayanginya pernah melalui detik seperti Sean. Patutlah dia begitu mengambil berat mengenai Sean. Malah, Mukhriz dengan murah hatinya menyediakan penginapan untuk keluarga Sean. Bukan itu sahaja, Mukhriz turut menyediakan seorang pekerja restorannya untuk membawa dan mengambil ahli keluarga Sean ke hospital. Alangkah bertuahnya gadis bernama Marissa itu!
Kesibukan aku membuatkan aku lupa akan Faris. Aku tahu Faris tentu berkecil hati denganku. Kerap kali aku tertidur ketika berbalas mesej dengannya. Akhirnya, Faris menghantar pesanan suara. Setiap pagi aku mendengarnya, lirih hatiku. Kata maaf yang aku ungkapkan diterima Faris dengan ketawa dan pujukan. Sedangkan akulah yang sepatutnya memujuknya.
“Maira, buat sementara waktu ni awak ambil alih kerja Sean.” Ringkas sahaja arahan Encik Zulkarnain kedengaran dari intercom. Pelahan sahaja aku menjawabnya. Serasa kurang sesuatu bila Sean tidak berada dihadapanku.
Shofea yang sedari dulu menyimpan perasaan terhadap Sean, sudah tidak lagi mengangguku sejak aku menengkingnya tiga hari lepas. Dalam keadaan aku yang kusut, gadis tinggi lampai lagak model catwalk itu menuduh yang bukan-bukan. Paling menyakitkan hatiku bila gadis itu menuduh aku menyimpan perasaan terhadap Sean dan akulah penyebab Sean kemalangan. Katanya, kalau Sean keluar bersamanya tempoh hari kejadian malang itu tidak akan terjadi. Mulanya aku cuba bersabar tetapi bagiku tahap kesabaran setiap orang ada hadnya. Lalu kekuatan yang entah dari mana datang tubuh kurus itu aku tolak sehingga terjatuh. Bukan setakat itu sahaja, aku simbah mukanya dengan air kopi. Nasibnya baik kerana kopi itu sudah kesejukan. Menjerit gadis itu. Kesemua rakan sekerjaku nyata terkejut tetapi hanya menjadi pemerhati. Tiada seorang pun yang menolong Shofea.
“Great, Umaira!” pelahan Tan Wee Keong berbisik sebaik sahaja Shofea berlari ke pantry. Aku sedar Hafiz dan Eric menunjukkan isyarat bagus kepadaku. Memang di akui Shofea amat tidak disukai oleh rakan-rakan sekerjaku. Gadis itu sanggup berjalan jauh semata-mata untuk bertemu Sean. Sebagai seorang wanita dan tentunya berbangsa Melayu sedkit sebanyak aku malu dengan perangai Shofea. Lagi pula, di sini hanya tiga empat orang sahaja berbangsa Melayu. Selebihnya dimonopoli oleh pekerja bebangsa Cina. Vanessa pernah memerli cara Shofea berpakaian. Katanya, lagak pelacur. Bukan sekali dua Shofea dipanggil oleh pihak pengurusan berkenaan dengan caranya berpakaian. Malu jadinya, bila pengurusan yang berbangsa Cina itu pun tahu baju mana yang patut dan tak patut di pakai.
Usai solat isya’ malam itu aku menerima panggilan daripada Faris. Katanya, hujung minggu ini dia mahu membawa aku bertemu ibunya. Sedikit terperanjat aku dengan rancangannya sedangkan aku belum bersedia sepenuhnya untuk bertemu keluarga Faris. Aku hampir sahaja memberi alasan untuk menolak tetapi memikir selama ini Faris banyak mengalah denganku, aku memaksa diri untuk bersetuju dengan perancangannya.
“Maira jangan risau. Mak Ris bukan makan orang pun. Mak teringin sangat bertemu dengan Maira. Dari dulu lagi. Baru kali ada kesempatan. Tiga tahun mak menunggu Maira Ris ni!”
“Ris…” Entah kenapa perasaan sebak menjalar di segenap tubuhku. Tiga tahun Faris tidak pernah putus asa menungguku. Kalaulah hubungan aku dan Haizal dulu berakhir di jinjang pelamin masihkah Faris menungguku?!
Hei Sayang! Kenapa ni? Jangan cakap Maira menangis lagi! Dah berapa kali Ris cakap jangan menangis kerana Ris! Maira ni degillah!”
Aku jadi tertawa mendengar kata-kata Faris. Air mataku yang masih mengalir aku seka dengan hujung lengan baju.
“Ketawa pulak dia ni?!”
Ala, orang ketawa pun tak boleh. Tadi tak bagi orang menangis.” Aku pura-pura bersuara seperti merajuk dengannya. Faris ketawa di hujung talian.
Maira Maira. Kalau dari dulu lagi Maira terima Ris, mesti sekarang kita dah ada baby kan? Boleh Ris peluk-peluk Maira.” Faris masih ketawa tetapi kali ini agak pelahan. Aku jadi tersenyum dengan kata-katanya. Ya, kalau dari dulu aku menerima Faris tentu aku tidak akan merasakan derita dikhianati Haizal. Secara tetiba aku mengeluh. Keluhan yang jelas di dengar oleh Faris.
“Maira, kenapa ni? Ris minta maaf ya? Ris gurau jer tadi.” Pelahan suara Faris seakan memujuk.
“Tak ada apalah, Ris. Cuma teringatkan apa yang terjadi jer!” akui aku tanpa berselindung. Aku mahu Faris tahu aku tidak mahu perkara antara aku dan Haizal berulang dalam perhubungan kami. Setelah aku menerima cintanya, aku ingin dia tahu aku serahkan seluruh kepercayaan aku padanya.
“Sudahlah. Ris tak nak Maira ingatkan Haizal lagi. Antara Maira dengan dia dah lama habis. Sekarang Maira dengan Ris. Dia dengan Syafikah, kawan baik Maira sendiri. Ris tahu susah Maira nak lupakan apa yang Haizal dah lakukan tapi demi kebahagiaan Syafikah dan Maira sendiri, cubalah lupakan. Lagipun Maira kan selalu bertemu dengan Haizal. Tak eloklah kalau masih menyimpan perasaan dendam dan marah. Maira fahamkan.”
Aku mengangguk walaupun tahu tentu sahaja Faris tidak dapat melihat reaksi aku dengan kata-katanya.
“Janji dengan Ris. Sebelum kita sah sebagai suami isteri bebaskan hati Maira dari dendam dan marah kepada Haizal. Ris tak nak tengok nanti Maira seperti mengingatinya lagi. Janji?!”
“Maira cuba, Ris. Insya-ALLAH. Ris jangan risau eh?!”
“Tak risau pun. Cuma takut sikit. Erm, Maira berehatlah dulu. Ris ada kerja nak kena siapkan. Tadi kat sekolah tak sempat nak buat.”
Perbualan kami terhenti selepas Faris menjawab salamku. Aku berteleku di birai katil. Telefon bimbitku masih di dalam genggaman. Aku memikir akan Faris. Tiga tahun dia menunggu aku. Tidak pernah bosankah dia?
Pertemuan kami pertama kalinya berlangsung ketika aku mengikut emak memasak di sekolah sempena program motivasi pelajar-pelajar tingkatan tiga dan lima. Faris bertindak sebagai fasilitator program. Faris menyapa aku ketika aku sibuk memasukkan makanan ke dalam tray pelajar. Dia meminta aku menambahkan lauk untuknya sambil menghulurkan traynya kepadaku. Pertemuan kami tidak terhenti di situ. Sejak hari itu, Faris sering kali menegurku. Kadang-kadang dia mencari aku di dapur kantin. Aku ingatkan selepas tamat program motivasi itu, kami tidak akan bertemu lagi. Rupa-rupanya, Faris terlebih dahulu mengatur langkah. Dia mendapatkan nombor telefonku daripada Nadia.
Aku melayannya hanya sekadar kawan. Namun, aku langsung tidak menyangka Faris akan jatuh hati denganku. Aku berterus terang dengannya bahawa aku sudah terlebih dahulu menyerahkan cintaku kepada Haizal dan aku pinta padanya supaya menumpukan perhatian terhadap pelajarannya. Sejak aku mengetahui tentang perasaannya terhadapaku aku sudah jarang melayan panggilan mahupun pesanan ringkasnya. Faris tidak pernah mengalah walaupun dia sedar aku tidak mungkin menerimanya setelah adanya Haizal dalam hidup aku.
Setelah aku kehilangan Haizal, Faris semakin tekad untuk mendapatkan aku. Tambahan pula, secara kebetulan dia di tempatkan di sekolah kampungku. Kesempatan itu digunakan Faris sebaiknya. Faris semakin rapat dengan keluargaku. Aku tidak mampu menghalang dia dari terus merapati keluargaku.
Mengingat kembali setiap apa yang dia cuba lakukan untuk aku membuatkan aku terharu. Kesungguhannya benar-benar menjadikan aku rasa amat dihargai. Sedangkan selama ini aku sering kali merasakan aku tidak punya apa-apa keistimewaan. Faris telah menjadikan aku antara wanita paling istimewa di muka bumi ini. Merasakan aku cukup dihargai! Terima kasih Faris!


No comments: