Monday, February 14, 2011

PADA DETIK ITU...: BAB 11

Senyap sunyi keadaan dalam kereta Idlan. Radio tidak dipasang. Natrah sudah tunjuk muka tidak puas hati sejak keluar dari rumah Saridah tadi. Idlan pula tunjuk muka tidak peduli. Sebaik sahaja Natrah memasuki kereta terus dipecut keretanya itu meninggalkan kawasan Desa Temuan.
“Awak tak mahu turun ke, Nat? Ke nak saya tolong bukakan pintu?” tanya Idlan yang sudah keluar daripada keretanya.
Natrah tersengih. Entah apa yang dia lamunkan sampai kereta Idlan memasuki kawasan parkir pusat membeli-belah itu pun dia tidak sedar. Cepat-cepat dia keluar daripada kereta lelaki itu.
“Kalau awak tak mahu keluar sekali pun dengan saya, tak payah tunjuk muka terpaksa tu!”
“Habis tu encik nak saya tunjuk muka macam mana? Macam ni?” Natrah tetiba jadi berani menjawab. Senyuman lebar yang dipaksa-paksa dipamerkan untuk lelaki itu. Terbeliak mata Idlan. Pertama kali Natrah berani menjawab dengannya.
“Amboi pandai awak ye?! Okey, tak apa. Gaji awak bulan ni saya tolak ten percent.
“Apa ni encik?! Saya dah ikut cakap encik ni! Dah ada awek tapi ajak saya jugak! Pergilah ajak awek dia tu!” ayat terakhir Natrah itu bagaikan berbicara dengan dirinya sendiri. Idlan sudah tersenyum. Tangan Natrah ditariknya sehingga gadis itu terdorong ke hadapan dan mengikut langkah lelaki itu.
“Apa ni encik?! Apa pegang tangan saya ni!”
“Tak boleh ke?” tanya Idlan, jari-jemari Natrah sudah berada di dalam genggamannya kini.
“Memang lah tak boleh! Saya dengan encik bukan muhrim!”
“Tadi tu awak pegang saya boleh?”
“Bila pulak saya pegang encik?”
“Tadi. Kat rumah!”
“Lah itu tak di kira. Darurat. Bukan sengaja!”
Idlan mengeluh. Tangan gadis itu dilepaskan.
“Okey dah? Boleh kita berjalan sekarang?”
Natrah angguk. Mimik mukanya menunjukkan rasa geram dengan lelaki itu. Dia jadi rimas! Selama empat bulan bekerja dengan Idlan, perangai Idlan yang kuat meleter dan serius itu masih boleh diterimanya tetapi tidak yang ini. Suka memaksa dan perangainya pelik sekali!
“Yang awak berjalan kat belakang saya ni kenapa? Nak saya pegang tangan awak lagi ke?” Cepat sahaja Natrah menggeleng dan cepat juga langkahnya menyaingi Idlan.
Mereka singgah di sebuah kedai menjual barang-barang aksesori termasuk hadiah.
“Yang mana lebih comel?” soal Idlan kepada Natrah. Di hadapan mereka tersusun teddy bear dari kecil sehinggalah sebesar-besarnya.
“Encik nak pilih untuk girl friend ke?”
Idlan tidak menjawab sebaliknya dia mencapai ­teddy bear berwarna putih besar di hadapannya. Di bawanya terus ke kaunter.
“Biar betul orang tua ni… tak malu ke bawak benda alah tu nanti!” ujar Natrah kepada dirinya sendiri. Dia mendapatkan Idlan yang sudah menjelaskan harga teddy bear tersebut.
“Saya nak hantar teddy bear ni kat kereta kejap. Awak tunggu saya kat sini. Jangan lari pulak!”
Natrah tidak menjawab, dia sekadar mengangguk. Lelaki itu menghilang dan kembali tidak sampai sepuluh minit kemudian.
“Jom.” Selamba sahaja dia menarik tangan Natrah. Serentak dengan itu juga Natrah cuba melepaskan pegangan lelaki itu.
“Maaf… maaf… saya tak sengaja.” Natrah sudah menjeling tajam. Minta maaf pun boleh senyum lagi! Entah memang sengaja nak pegang tangan aku!
“Erm tadi ibu telefon…ibu tanya kat mana…” beritahu Idlan.
“Habis tu encik cakap apa?”
“Saya cakaplah saya kat sini dengan awak!”
“Kenapa beritahu saya dengan encik?! Mesti Puan Rohaya fikir yang bukan-bukan nanti!”
“Ibu nak fikir apa? Awak tu yang takut sangat! Saya beritahu ibu yang saya bawak awak beli barang dapur!”
Natrah sudah memegang kepalanya. Lupakah lelaki itu baru semalam sahaja dia dan Puan Rohaya bersama Rafiq keluar membeli barang-barang dapur?! Barang dapur apa lagi yang mahu dibelinya?!
“Semalam baru je beli barang dapur. Emak encik yang tolong belikan semuanya. Ada emak encik tanya nak beli barang apa?”
Perlahan sahaja Idlan menggeleng. Baru sedar dia tersilap memberi alasan kepada ibunya. Patutlah ibunya itu berkali-kali meminta kepastian daripadanya. Nampaknya terpaksalah dia memikirkan alasan-alasan yang lain untuk menutup kesilapannya tadi.
“Lupakanlah… jom. Kita tengok wayang nak?”
“Tak naklah.”
Aduh, apasal lah pelik sangat perangai orang tua ni! Dia lupa ke aku ni orang gaji dia? Ke dia ni kena sampuk?! Ke sebab bergaduh dengan awek sendiri, aku jadi mangsa dia?
“Habis tu apa yang awak nak?”
“Balik.”
“Tak boleh! Awak kena temankan saya sampai petang. Awak masih dalam waktu berkerja dengan saya. Tak nak tengok wayang, kita main bowling!”
Angin betullah aku dengan orang tua ni lah! Mentang-mentanglah dia bos, bayar gaji aku sesuka hati je nak paksa-paksa orang!
“Saya tak pandai main.”
“Saya ajar. Bukan susah sangat pun. Dah jom!”
Natrah mendengus geram. Mukanya masam mencuka, sudah terang-terang dia menunjukkan rasa hati. Dia tidak peduli jikalau majikannya itu marah atau apa sekalipun. Menjadi peneman lelaki itu bukanlah termasuk dalam tugasnya. Tugasnya sekadar tertakluk di kondo lelaki itu sahaja.
“Bi!”
Natrah sudah menelan air liur bila seorang gadis berada di hadapannya dan Idlan. Pasti gadis itu adalah teman wanita Idlan.
“Siapa perempuan ni?”
“Mell, apa yang you buat kat sini? Bukan ke you ada kerja hari ni?”
Selamba sahaja Idlan bertanya tanpa menjawab pertanyaan Mell. Langsung tidak tergambar raut wajah terkejut akan kehadiran gadis itu.
“Memanglah. I baru habis photoshoot. You tak jawab lagi soalan I, Bi! Perempuan ni siapa? Perempuan simpanan you ke?”
Jelingan tajam berserta mimik muka tidak puas hati Mell tunjukkan kepada Natrah yang diam membisu walaupun di dalam hati menyumpah seranah kerana dituduh menjadi perempuan simpanan Idlan.
“Jaga sikit mulut you, Mell. Selama ni I bersabar dengan you dan sekarang I rasa kesabaran I dah tak ada maknanya lagi. You ingat I tak tahu you curang kat belakang I? Dah lama tau I dengar orang bercerita pasal you berkepit dengan jantan lain dan you ingat I ni buta!?” suara Idlan sudah mula meninggi. Orang yang lalu lalang dibiarkan memerhati. Apa dia peduli!
“Habis tu you tu apa pulak? Entah berapa lama you simpan perempuan ni!? Lepas tu nak salahkan I. You jangan berlagak baik lah!” Mell ikut sekali meninggikan suara, cuba menutup kesalahannya sendiri dengan menyalahkan orang lain.
“Hei… I memang tak baik tapi I tak pernah berlaku curang! Memang, sekarang ini Natrah kekasih I, pilihan ibu I yang seratus kali lebih baik dari you. Jadi, mulai sekarang antara I dengan you, putus! You pergilah cari jantan yang you berkepit macam you sorang je ada kekasih tu! Jom, sayang!”
Sekali lagi tangan Natrah di tarik Idlan meninggalkan Mell yang muka mengalahkan singa yang kelaparan. Sebaik sahaja memasuki pusat bowling tersebut barulah Idlan melepaskan tangan Natrah.
“Maaf terpaksa pegang tangan awak… dah jom saya belanja awak main bowling. Awak jangan risau perempuan tu tak boleh usik awak sikit pun. Kalau dia usik jugak, tahulah saya!”
Natrah tidak berkata apa-apa. Dia tidak tahu mahu berkata apa. Mahu dimarah lelaki itu kerana senang sahaja meminta maaf walaupun dah masuk kali ke tiga memegang tangannya pun rasanya ibarat menuang air ke atas daun keladi. Penghabisannya minta maaf juga yang diucapkan.

4 comments:

budakechik said...

alahai, x sabar nak tunggu next entry ;)

hana_aniz said...

idlan suka natrah ek? hikhik

MaY_LiN said...

aduhai..
lan ni memang nak kena tamparan wanita ni..
asik mintak maap je..
hikhikhik

dandelion kiss said...

isk isk isk!
en.idlan ni ada penyakit tangan suka merayap ni. bahaya! ngee!

apapun, best bila nat mengutuk idlan dalam hati. itulah, nakal sangat!