Monday, February 21, 2011

PADA DETIK ITU... : BAB 13

Idlan memasukkan bubur nasi ke dalam mangkuk. Kemudiannya di bawanya bubur nasi tersebut bersama air kosong ke bilik Natrah. Gadis itu sudah kembali berbaring. Wajah gadis itu pucat dan begitu lemah membuatkan Idlan terasa tidak sampai hati mahu mengejutkannya tetapi bila memikirkan gadis itu perlu makan dikejutkan juga. Natrah lambat-lambat membuka mata. Selepas mandi tadi dia terus berbaring dan terlena. Kepalanya terasa berat.
“Saya ada buatkan bubur. Awak makan sikit ya?”
Natrah menggelengkan kepalanya. Perutnya memang terasa amat lapar tetapi dia benar-benar rasa tidak cukup kuat untuk bangun.
“Makanlah sikit. Sekejap lagi ibu saya datang, kita ke klinik. Ni makan sikit, saya suapkan.”
“Puan…Erm…”
“Jangan risaulah. Makan sikit ya?”
Natrah geleng lagi.
“Erm.. saya penat-penat buat bubur ni tau?! Tak pernah-pernah saya masak bubur tapi hari ini sebab awak saya masak. Jadi awak kena makan juga! Kalau awak tak makan macam mana nak sihat? Kalau awak tak sihat siapa nak kemas rumah saya ni? Kalau awak banyak cuti, gaji awak bulan ni sikitlah!”
Idlan sudah mula dengan leterannya. Walaupun nada suaranya perlahan tetapi terselit jugak ugutan. Hendak tak hendak terpaksalah juga Natrah memaksa dirinya bangun dan bersandar di kepala katil. Bertambah demamnya nanti kalau mendengar leteran tanpa henti Idlan!
“Kan bagus macam tu! Ikut cakap orang.”
Idlan tersengih. Di sudu bubur dan ditiup perlahan bubur yang masih panas itu sebelum disuakan ke mulut Natrah. Teragak-agak gadis itu membuka mulut.
“Sedap?”
Natrah angguk sahaja walaupun bubur itu terasa tawar semacam sahaja. Sudahlah terlalu cair. Bubur pula tidak serupa bubur. Bagaikan nasi yang dicurahkan air sahaja.
Natrah menggeleng setelah beberapa suapan. Perutnya terasa penuh. Tekaknya terasa perit bila butir-butir nasi itu melalui tekaknya.
“Sikit sangat awak makan. Makan sikit lagi.”
Idlan mendengus perlahan bila Natrah menggeleng. Mangkuk bubur yang masih penuh itu diletakkan di atas meja tepi. Kemudian, dihulur pula air kosong kepada gadis itu.
“Awak tidur dulu. Sekejap lagi ibu datang kita ke klinik.”
“Encik…. Kenapa susahkan puan? Saya tak ada apa-apa pun.” Lambat-lambat Natrah mengatur bicara. Idlan yang sudah bangun kembali duduk. Direnung gadis itu.
“Siapa kata menyusahkan. Ibu saya tu bukan ada kerja lain pun. Lagi pun saya ni tak pandai nak layan orang sakit.”
“Saya tak perlukan layanan. Encik bagi saya menumpang kat rumah encik hari ini pun saya dah bersyukur.”
“Dahlah. Awak tu sakit. Banyakkan berehat bukan banyakkan bercakap.”
Idlan terus bangun meninggalkan Natrah keseorang di dalam biliknya. Berdua-duaan dengan gadis itu membuatkan hati lelakinya bagaikan diserang perasaan aneh. Apa yang dia pasti perasaan anehnya itu bukan bernama nafsu. Perasaan yang tidak ada ketika dia bersama Mell. Secara spontan dia memegang dadanya. Dahinya berkerut.
“Ish! Tak kan…”
Tetiba loceng rumahnya berbunyi. Segera lelaki itu membuka pintu rumah. Ibunya datang bersama Rafiq. Pelik pula Idlan dengan kehadiran adiknya itu. Tidak perlu ke galerikah?
“Yang kamu pandang Angah macam tu kenapa? Tak reti-reti nak bukakan pintu gril ni ha? Kamu nak kami masuk macam mana?”
“Alah ibu ni… sabarlah.. nak buka lah ni!”
“Natrah tengah buat apa?” soal Puan Rohaya sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam rumah Idlan.
“Tidur. Sekejap, Along kejutkan dia. Kita ke klinik.”
“Teruk ke demamnya?”
“Teruk jugalah. Along bagi makan bubur tadi pun makan sikit jer.”
Pintu bilik dikuaknya. Natrah yang baru mahu melelapkan mata terjaga. Perlahan-lahan dia cuba bangun.
“Along telefon Doktor Fakri, beritahu kita nak ke klinik dia. Panas teruk budak ni! Natrah… kamu boleh berjalan tak ni?”
Natrah tidak menggeleng mahupun mengangguk. Masih memikir-mikir akan jawapan yang patut diberikan.
“Tak apa.Along angkat Natrah. Angah ambil kunci kereta Along, tunggu kat bawah. Along parking kat tingkat tiga.”
Natrah sudah terbeliak mendengar kata-kata Idlan. Gilakah lelaki tu? Seganlah dia dengan Puan Rohaya dan Rafiq!
“Along ni biar betul?! Kuat ke nak angkat Natrah?”
“Angah ingat Along ni macam Angah ke? Angkat meja pun macam orang tak makan sepuluh hari!”
“Ya ALLAH, waktu-waktu macam ni kamu berdua boleh pulak nak bergaduh! Boleh tak kalau satu hari berjumpa tak bergaduh! Bertambah sakit budak Natrah ni sebabkan kamu berdua! Bukan setakat Natrah, ibu sekali nanti jatuh sakit!”
Kedua-dua lelaki itu saling menjeling. Ada sahaja alasan untuk mereka bergaduh. Hal-hal kecil pun boleh bertegang leher! Pening kepala Puan Rohaya dibuatnya!
“Apa lagi Angah ambil kunci kereta Along tunggu kat bawah.”
Rafiq mencebik. Kunci kereta yang disuakan oleh Idlan dicapainya kasar.
“Kamu ni Along, dengan adik pun nak cari pasal. Buatlah macam orang besar sikit. Buat malu depan orang dah besar-besar… dah layak jadi bapak orang pun nak bergaduh pasal hal kecik!”
Idlan tidak menjawab. Segan pula ditegur ibunya di hadapan Natrah.
“Dah telefon Doktor Fakri?”
On the way nanti Along telefon. Tadi telefon tak jawab. Along dah SMS dah.”
“Kad pengenalan Natrah bawa tak?”
“Dalam beg.” Jawab Natrah sambil menunjuk ke arah beg galasnya yang terletak di hadapan almari pakaian Idlan. Puan Rohaya bangun menuju ke arah beg galas yang ditunjukkan oleh Natrah. Hatinya sedikit tenang bila apa yang bermain di fikirannya selama ini jauh meleset.
“Saya boleh berjalan ni encik. Tak payah lah angkat-angkat saya. Seganlah.” Kedengaran suara Natrah bercakap dengan Idlan. Seakan berbisik tetapi masih dapat ditangkap bicaranya oleh Puan Rohaya.
“Apa yang awak nak segannya?” Suara anaknya itu tidak perlu ditapis-tapis. Jelas kedengaran. Menggeleng Puan Rohaya dengan sikap anak sulungnya itu.
“Saya boleh berjalan. Tak payah angkat-angkat.”
“Sakit-sakit pun boleh melawan cakap saya ya?!”
“Kamu ni Along. Dah Natrah kata dia boleh berjalan biarlah dia berjalan. Biar ibu yang papah Natrah. Budak ni segan dengan kamu. Kamu tu pulak mana tahu erti segan ke apa!”
“Ibu larat ke nak papah Natrah ni?”
“Eh, umur ibu baru lima puluh. Tulang kuat lagi. Kalau kamu ya lah ibu boleh pengsan, setakat Natrah ni ibu boleh lagi! Dah jangan nak banyak cakap. Kejap lagi Angah tu bising pulak tunggu kat bawah!”
Idlan tunjuk muka tidak puas hati. Masam mencuka wajah itu. Terus langkah diatur keluar dari bilik tidurnya.
“Natrah jangan risau. Perangai Idlan tu memang macam tu. Dah jom. Kita lambat-lambat nanti, sampai ke klinik dia membebel!”


1 comment:

MaY_LiN said...

along suka nat ya..
cenggil sungguh along ni