Saturday, May 28, 2011

PADA DETIK ITU... : BAB 28 [ AKHIR]

“Bis..millah…hirroh.. manirrohim…”
Natrah tersenyum melihat anak kecil berusia empat tahun ini mengaji dengan kusyuk sehingga tertunduk-tunduk menghadap muqaddam. Seronok dia melihat anak yang diberi nama Ahmad Yusuf Rayyan itu mengaji. Sudah boleh menghafaz Surah Al-Fatihah dan An- Nas serta Al-Falaq. Walaupun kekadang Surah An-Nas dan Al-Falaq itu bercampur-campur kedua-duanya. Selalu juga dia mahupun Idlan memperbetulkan bacaan anak itu.
Pandangannya jatuh pula kepada Idlan yang turut kusyuk mengajar Yusuf. Idlan sudah banyak berubah. Sudah tidak baran seperti dahulu. Dia teringatkan kata-kata Imran yang punya kebenaran. Selepas berkahwin, Idlan sudah mampu mengawal amarahnya. Lelaki itu berubah menjadi lebih penyayang dan memahami.
Di awal perkahwinan, mereka sama-sama belajar untuk menjadi suami dan isteri yang diredhai. Idlan berterus terang bahawa dia tidaklah pandai dalam bab-bab agama dan kerana itu sejak berkahwin lelaki itu kerap kali menghadirkan diri mendengar ceramah di masjid berdekatan tempat tinggal mereka. Kekadang apabila cuti hujung minggu lelaki itu pergi belajar agama dan balik sahaja Idlan akan bercerita kepadanya pula. Natrah jarang dapat bersama Idlan baik ke kelas agama mahupun ke masjid kerana kerjanya sebagai jururawat itu menghalangnya. Cuma sejak dia berhenti bekerja setelah menamatkan tempoh lima tahun bekerja di hospital tersebut, dia punya banyak masa terluang.
“Mami….Mami!!”
Yusuf sudah menggoncang-goncang tubuh Natrah.
“Ya sayang… kejapnya anak mami ni mengaji. Baca apa je?”
“Tengok tu sayang… mami kalau mengelamun apa pun tak dengar!”
Natrah memandang suaminya yang sudah bangun menghampirinya dan Yusuf. Dia mencebik sahaja mendengar kata-kata Idlan sambil tubuh anak sulungnya itu dibawa ke dalam perlukannya.
“Mami… jom makan pizza!”
Tetiba anak itu bersuara. Idlan yang mendengarnya sudah tergelak.
“Mana boleh makan pizza malam-malam ni! Kedai pun dah tutup.”
Ala… hari tu nenek bawak makan pizza malam-malam… ada je!”
Yusuf anak yang cepat fasih bila bercakap. Sudah tidak kedengaran perkataan-perkataan pelat keluar dari mulutnya.
“Tadikan Eyan dah makan nasi.. mana boleh makan banyak-banyak.”
Idlan mengambil tempat di sebelah Natrah. Tubuh isterinya dirangkul dan pipi wanita itu dikucupnya. Kasih dan sayangnya memang tumpah untuk wanita bernama Natrah ini. Tiada duanya. Hanya Natrah satu-satunya isteri yang diimpikan selama ini.
Ala… kalau ajak nenek mesti nenek nak. Ajak Tok Wan pun mesti boleh!”
Muncung-muncung anak itu bercakap. Mukanya sudah masam mencuka. Tok Wan yang dimaksudkan adalah emak Natrah. Nenek pula dipanggil untuk emaknya Idlan. Kedua-dua orang nenek Yusuf itu memang selalu memanjakannya. Apa yang di minta semua dapat. Sampaikan Idlan mahupun Natrah tak boleh berkata apa. Yusuf pula kalau dengar sahaja mahu balik ke rumah Tok Wan di Pahang, gembira bukan kepalang. Seminggu sebelum tu sudah bertanya itu ini. Bercerita sakan dengan neneknya tentang perkara itu.
“Okey… kita pergi esok ya? Malam ni tak boleh… nanti Eyan gemuk. Nanti kalau Eyan gemuk macam mana nak jadi macam Beckham!”
Pujuk Idlan. Senang sahaja memujuk Yusuf. Dengar sahaja nama David Beckham, hilang segala rajuknya.
“Janji?!”
Yusuf bangun daripada ribaan Natrah dan berdiri di hadapan Idlan. Hilang muncungnya bila melihat Idlan mengangguk.
“Kalau macam tu Eyan nak tidur lah! Esok papa jangan tipu! Kalau papa tipu Eyan beritahu nenek!”
“Hehehe.. ye… papa janji. Jom tidur dengan papa.. dengan mami…”
“Tak mau lah! Eyan dah besar.. nenek kata tak boleh tidur dengan papa… dengan mami… Eyan nak jadi Beckham!”
Kedua-dua suami isteri itu tergelak besar mendengar bicara anak mereka. Mana tidaknya, siap angkat tangan lagak ahli badan lagi.
“Yalah anak mami ni… pandai sungguh! Jom masuk bilik…”

***

“Bang, apa yang termenung kat depan ni? Tak sejuk ke?”
Idlan menoleh memandang isterinya yang sudah berpeluk tubuh.
“Eyan dah tidur?”
Natrah angguk. Huluran tangan Idlan disambutnya. Mereka sama-sama berdiri di balkoni menghadap halaman rumah yang luas.
“Emak dah bersetuju ke nak duduk dengan kita?”
Natrah mengeluh. Bukan sekali dua dia dan Idlan mengajak emaknya itu tinggal dengan mereka tetapi sudah berpuluh-puluh kali tetapi jawapan emaknya tetap sama. Sayang mahu meninggalkan kampong kerana di situlah kawan-kawannya ada. Mereka bukannya apa Cuma risaukan kesihatan emaknya itu. Sekarang ini hanya harapkan jiran-jiran sahaja. Adik-adik Natrah memasing sudah berhijrah ke tempat lain untuk bekerja. Mereka semua hanya akan balik tidak sebulan sekali.
“Susahlah bang.. emak tu degil. Dia kata dia tak biasa duduk saje, tak ada buat kerja. Duduk kampong ada jugalah kerjanya!”
“Erm.. tak apalah sayang… kalau dah macam tu, kita boleh balik jenguk emak dua minggu sekali ke… Abang pun risau tengok emak tu tapi kalau dia dah tak nak, kita tak boleh nak buat apa jugak.”
“Terima kasih ya bang.”
“Kenapa pulak ni? Abang tak buat apa-apa pun…”
“Yalah abang dengan eluarga abang dah banyak tolong Nat sekeluarga. Abang layan Nat dengan baik.. Abang betul buat Nat rasa dihargai sangat.”
Idlan ketawa kecil mendengar kata-kata Natrah yang sudah acap kali didengarnya sepanjang tempoh empat setengah tahun perkahwinan mereka. Tubuh Natrah diraihnya dan dibawa wanita itu ke hadapannya.
Kan abang dah janji abang akan jaga sayang.. termasuk keluarga sayang sekali. Itu tanggungjawab abang dan abang nak sayang tahu yang abang tak pernah main-main bila abang kata abang cintakan sayang.”
Satu kucupan hinggap di belakang bahu Natrah. Tangan kanannya sudah melingkari bahu wanita itu.
“Sebenarnya abang yang patut ucapkan terima kasih pada sayang…”
“Kenapa pulak?”
Natrah memusingkan badannya menghadap Idlan. Dahinya sedikit berkerut.
“Sebab… sayang bagi abang peluang untuk menjadi suami sayang. Bersabar dengan perangai abang… Sentiasa ada untuk abang… melahirkan zuriat untuk abang… menjaga keluarga ni… menjadi anak yang cukup baik untuk ibu dengan daddy… menjadi anak yang bertanggungjawab terhadap emak dan adik-adik… menyayangi abang dengan semua kekurangan yang abang ada.. tak pernah merungut dan meminta yang bukan-bukan walaupun sayang tahu abang mampu berikan... Apa yang sayang buat lebih bererti daripada apa yang abang buat untuk sayang. Abang sebagai pemimpin keluarga tetapi banyak kekurangan dan sayang tetap ada untuk membantu.”
Suara Idlan perlahan, bercampur dengan rasa terharu dan sebak tetapi lelaki itu masih tersenyum.  Kucupan hinggap di dahi dan sepasang mata Natrah. Mata itu yang sering membuatkan dia berasa tenang dan gembira. Benar kata orang dari kerana mata turun ke hati. Idlan percaya perasaannya terhadap Natrah wujud pada detik dia bertentang mata dengan gadis itu buat pertama kalinya.
“Abang sudah cukup sempurna menjadi suami sayang. Cukup sempurna! Dan abang telah sempurnakan hidup sayang. Terima kasih kerana menjadi ayah kepada Yusuf Rayyan dan baby yang bakal lahir ni dengan penuh kasih sayang. Sayang betul-betul sayang dan cintakan abang…”
“Mari abang peluk sayang puas-puas. Nanti bila perut sayang dah besar, abang dah tak boleh peluk kuat-kuat lagi.”
Tubuh Natrah dipeluknya erat sambil ungkapan sayang tidak lekang dari mulutnya. Dia benar-benar bersyukur diketemukan bersama Natrah.
“Abang!”
Cepat sahaja Idlan melepaskan tubuh Natrah sebaik sahaja kedengaran suara Natrah yang cemas.
“Kenapa sayang? Sakit nak bersalin ke?”
Natrah ketawa lepas. Kuat. Akhirnya dia menekup mulutnya dengan telapak tangan. Rasa lucu dengan reaksi Idlan. Lelaki itu terpinga-pinga melihat Natrah yang ketawa.
“Apalah abang ni… nak bersalin apanya… baru empat bulan lah! Nat dahagalah…”
Beritahu Natrah dalam sisa tawa.
“Ish sayang ni kan! Buat abang takut aje! Panggil abang macam cemas sangat!”
“Hahaha.. alah bukan selalu sayang kenakan abang….”
“Jangan buat lagi tau! Nanti abang boleh sakit jantung!”
Idlan sudah tersenyum. Tubuh wanita itu diraih kembali. Satu kucupan dihadiahkan di dahi wanita kesayangannya itu.
“Sayang nak minum air apa?”
“Jus lobak campur timun. Boleh?”
“Boleh. Untuk isteri abang apa pun boleh asalkan halal! Sayang tunggu sekejap, abang turun buatkan jus. Jangan tidur sudah!”
“Baik bos!”
Tubuh Natrah dilepaskan dan sempat pipi wanita itu dikucupnya. Natrah sekadar memerhati langkah Idlan yang menghilang di sebalik pintu. Dia tersenyum sendiri.
Bahagia ini milikku. Terima kasih bang…


---
akhirnya habis juga siri PDI. Harap kalian terhibur. Masih kabur mahu meneruskan cerita apa selepas ini. hehehe... idea ngak ada![ teringin membuat cerita yang luar dari ruang lingkup kisah cinta tapi tak punya idea pulak!]

No comments: