Thursday, June 23, 2011

BERILAH AKU SATU PELUANG : BAB 10

Tidur Maisara terganggu bila kedengaran bunyi bising ketukan demi ketukan di bawah. Dalam keadaan terkebil-kebil dia menekan suis lampu meja tepi katilnya. Dia memandang ke sebelah kanannya. Aina Mardhiah tiada di situ.
Belum balik lagikah temannya itu? Dia teringat selepas manghrib tadi temannya itu keluar untuk menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh syarikatnya. Sudah diberitahu kemungkinan besar akan pulang lewat sedikit. Puan Hasmah dan Encik Rusli pula bermalam di rumah salah seorang saudara mereka untuk majlis perkahwinan yang akan berlangsung esoknya.
Memikirkan Aina Mardhiah yang pulang dan kemungkinan terlupa membawa kunci rumah, Maisara melangkah turun ke bawah. Dihidupkan suis lampu ruang tamu. Sebaik sahaja pintu utama dibuka, susuk tubuh seorang lelaki yang kusut membuatkan Maisara sedikit terkejut.
“Ya ALLAH… Faiz!  Kamu dari mana ni?”
Lelaki itu ketawa-ketawa sahaja sambil melangkah memasuki rumah. Langkahnya tidak teratur. Terhuyung-hayang. Bau dari badan lelaki itu menyebabkan Maisara menutup hidungnya. Bau yang sungguh menusuk hidung.
“Kamu mabuk ya Faiz?!”
Faiz tidak menjawab. Dia melangkah cuba menuruni dua anak tangga yang terdapat di antara ruang tamu dan pintu utama. Belum pun kakinya jejak lantai lelaki itu sudah terjelepuk jatuh.
Tanpa memikirkan apa-apa Maisara terpaksa memapah Faiz naik ke biliknya. Bau minuman keras yang menusuk hidungnya terpaksa ditahan.
“Kalau mak ayah kamu tahu ni teruk tau! Dah lupa agama ke? Hidup kalau nak seronok je macam nilah!”
“Sikit je…bukan banyak pun…”
Kali ini Faiz menjawab. Dia masih ketawa-ketawa lagi. Mulutnya tidak habis-habis menyanyikan entah lagu apa.
Sampai di katil, dia merebahkan tubuh lelaki itu ke atas katil. Terjerit dia bila tangan Faiz memaut erat tubuhnya. Serentak itu dia merasakan tubuhnya sudah bertemu dengan tubuh Faiz yang terbaring di atas katil.
“Faiz! Lepaskan akak lah! Kamu mabuk ni!”
“Faiz cintakan Kak Sara…”
“Lepaslah Faiz!”
Maisara cuba bangun dan melepaskan diri daripada rangkulan Faiz tetapi nyata walaupun dalam keadaan mabuk kekuatan fizikal Faiz tidak mampu dilawannya. Dia rasa mahu menangis bila memikirkan macam-macam akan berlaku bila seseorang itu dalam keadaan mabuk.
“Kak Sara kena cakap yang akak…. Yang akak cintakan Faiz… baru… Faiz lepaskan….”
Bau arak yang keluar daripada mulut Faiz itu hampir sahaja membuatkan Maisara muntah. Dia benar-benar tidak dapat bergerak. Saat itu dia berharap benar Aina Mardhiah atau sesiapa sahaja akan pulang dan saat itu juga dia rasa menyesal kerana menolak perlawaan Puan Hasmah tadi.
“Faiz… lepaskanlah! Faiz tak sedar apa yang Faiz cakap ni! Faiz mabuk tau tak! Lepaskan akak!”
Tangan sebelah kiri Faiz sudah merayap di sekitar wajah wanita itu. Melihat ada peluang untuk dia melepaskan diri bingkas sahaja Maisara bangun. Dia benar-benar menyesal membantu Faiz tadi.
“Sara nak ke mana?”
Belum sempat dia kaki kanannya melangkah keluar daripada bilik Faiz, lelaki itu sudah menarik tangannya supaya memasuki semula bilik itu. Sudah tiada awalan kakak pada panggilannya!
“Faiz! Apa ni?! Lepaskanlah!”
Faiz menolak dia ke dinding. Betul-betul rapat ke dinding. Bibir lelaki itu galak mencumbui wajahnya walaupun Maisara puas mengelak. Serentak dengan itu air matanya mengalir.
“Sara tak sayangkan Faiz ke?”
Renungan lelaki itu langsung tidak dibalas. Dia menjadi benci kepada lelaki yang sudah dianggap bagai adiknya sendiri itu. Benci kerana lelaki itu mabuk!
“Faiz sayangkan Sara. Kita kahwin ya?!”
Maisara mengumpul kekuatannya. Tubuh lelaki yang sudah dirasuk syaitan itu ditolak kasar sehinggakan Faiz terdorong kebelakang. Peluang yang ada itu membuatkan dia terus berlari keluar, menuju ke biliknya.
Belum pun pintu bilik ditutup Faiz sudah menolak kasar. Maisara mengaduh kesakitan bila mana pintu kayu itu mengena dahinya.
“Sayang nak ke mana?”
Maisara sudah bertindak melarikan diri tetapi entah macam mana dia tersungkur –tersadung kaki sendiri. Sakitnya bukan kepalang tetapi dia cuba gagahkan diri untuk bangun.
“Sara… marilah dekat Faiz… kenapa degil sangat ni?”
Suara Faiz kedengaran cukup menakutkan di telinga Maisara. Lelaki itu benar-benar sudah dihambat nafsu syaitan! Sudah tidak dapat membezakan baik buruknya! Sudah tidak dapat membezakan siapa dirinya.
Kaki Maisara sudah ditarik oleh lelaki itu.
“Lepaslah Faiz! Apa yang Faiz nak buat ni!?”
Maisara tidak tahu bagaimana lagi mahu merayu. Dia tahu kekuatannya tidak mampu untuk menandingi Faiz yang sudah hilang pertimbangan akibat air kencing syaitan itu.
“Faiz.. nak Sara… kenapa tak pedulikan Faiz!?”
Lelaki itu terus menariknya sehingga Maisara kembali ke dalam rangkulannya. Seketika kemudian tubuh itu ditolak ke lantai. Jari-jemarinya bertaut erat dengan jari-jemari Maisara! Akal warasnya sudah menghilang. Di hadapannya hanya ada habuan nafsu serakahnya!
Maisara tetap juga mahu melawan. Dia tidak mahu mengalah kerana maruah dirinya akan menjadi taruhan. Namun baik tangan mahupun kakinya tidak mampu berbuat apa-apa. Di dalam hati dia benar-benar berharap sesiapa sahaja yang akan muncul tetapi Faiz semakin rakus menyentuh tubuhnya.
“Ya Allah! Faiz!”
Mendengar suara Aina Humaira yang menjerit kuat, tangisan Maisara menjadi-jadi. Perlakuan Faiz juga turut terhenti. Seketika kemudian Maisara merasakan tubuh berat Faiz yang menghempapnya tadi ditarik oleh seseorang. Dalam samar lampu bilik tidurnya dia melihat tubuh Faiz ditarik oleh seorang lelaki hingga ke dinding. Mungkin oleh suami Aina Humaira, Teuku Nashrin.
Tubuhnya yang sudah longlai dan keadaan dirinya yang serabut itu dipeluk erat oleh Aina Humaira dan di dalam perlukan wanita itu tangisannya dilepaskan semahu-mahunya. Bukan sekadar tangisan semata tetapi sudah raungan yang begitu kuat.
“Kau dah gila ke Faiz?! Aku ingat selama ni kau tak terikut dengan kawan-kawan tak guna kau tu! Apa kurangnya didikan ibu dan ayah kau sampai kau jadi macam ni?! Kau tahu tak siapa yang kau sentuh tu?!”
Suara Teuku Nashrin berkumandang kuat. Serentak dengan itu tumbukan tangan kirinya melayang mengena muka Faiz yang langsung tidak bersuara. Sekali. Dua kali.
“Tolong kak… Sara tak nak tengok dia kat bilik ni.. tolong… Sara benci dia…”
Tangisan itu tidak berkurang. Memikirkan selama ini dia terlalu menyayangi Faiz sepertimana dia menyayangi adik-adik kandungnya sendiri tetapi hari ini lelaki itu cuba mencemar maruah dirinya, dia menjadi semakin benci dengan lelaki  bernama Ahmad Faiz itu.
“Okey… okey… jom Sara tidur bilik akak… Sara boleh bangunkan?”
Maisara angguk. Perlahan-lahan dia bangun. Saat dia mendengar namanya disebut Faiz spontan kedua-dua tangannya menekup telinganya.  


***
Tercungap-cungap Maisara terjaga dari tidurnya. Beberapa kali dia beristighfar. Mengurut dadanya perlahan-lahan. Entah kenapa dia bermimpikan hal tujuh tahun lepas. Hal yang sudah hampir dia lupakan. Tidak satu pun yang terlepas dari mimpinya. Adakah itu tandanya rasa marahnya terhadap Faiz tidak pernah berkurang?
Seketika kemudian dia bangun keluar dari biliknya. Mengambil wuduk dan cuba untuk tidur kembali tetapi ruang fikirannya diisi dengan ingatan terhadap Faiz. Faiz yang sudah berusia dua puluh tujuh tahun. Faiz yang sudah nampak jauh berbeza dengan Faiz yang dikenalinya dua belas tahun lalu.  Benarkah Faiz sudah berubah? Bukan lagi Faiz yang hampir membuatkan maruahnya dicarik-carik!? Bukan lagi Faiz si pemabuk yang hilang pertimbangan diri?



------

Minta maaf kalau n3 ini tidak menjadi sangat. MN tak ada feel nak buat babak tu... huhuhu


*Terima kasih kepada kalian yang sentiasa menyokong hasil tulisan MN baik dengan komen2 kalian mahupun sekadar menjadi silent reader semata. ^_^




JEMPUT SINGGAH KE BLOG PENULISAN YANG INI PULAK... KLIK SINI.... TERIMA KASIH 

No comments: