Tidur yang tidak lena malam tadi membuatkan Faiz sudah berada di pejabat seawal pukul lapan pagi. Hatinya tidak sedap sepanjang malam. Tepat pukul Sembilan dia sudah berada di tingkat empat. Dia mahu menemui Maisara. Sebaik melihat kelibat Maisara terus sahaja dia mengekori wanita itu masuk ke biliknya.
“Apa ni Faiz?! Apa hal pepagi lagi awak jumpa saya ni?”
Faiz pandang Maisara yang sudah duduk di kerusinya. Matanya merenung tepat ke arah mata wanita itu yang kelihatan sembab dan bengkak. Rasa simpatinya menggunung. Perasaan ingin tahunya melonjak-lonjak mahu tahu akan sebab keadaan Maisara sehingga begitu sekali keadaannya.
“Malam tadi saya tak boleh tidur sebab teringatkan Sa…”
“Cik Sara! Cik Sara, Faiz!”
Maisara sudah menaikkan jari telunjuknya. Dia benar-benar marah dengan Faiz yang masih tidak faham bahasa. Fail yang berada di atas mejanya diambil dan dihempaskan kembali.
“Okey… Okey…. Cik Sara…. Saya minta maaf. Kenapa mata Cik Sara bengkak?”
“Itu bukan masalah awak, Faiz. Boleh tak awak keluar sekarang? Dan jangan ganggu saya sekiranya awak tak ada apa-apa yang bersangkut dengan hal kerja. Saya tak mahu ada hal peribadi dibincangkan di sini!”
“Saya minta maaf tapi saya risaukan Cik Sara.”
“Cukup Faiz! Saya tak mahu ada hubungan lebih dari rakan sekerja dengan awak. Awak buat saya rasa makin benci dengan awak tau tak!?”
“Saya minta maaf.”
Faiz terus keluar daripada bilik Maisara. Sebaik sahaja pintu bilik itu tertutup rapat, Aizura yang entah dari mana datangnya terus menarik tangan Faiz supaya mengikutnya. Terkocoh-kocoh Faiz mengikut langkah Aizura.
“Saya nak tahu apa hubungan sebenar awak dengan Sara.”
Terus Aizura bertanya sebaik sahaja mereka mengambil tempat duduk di restoran nasi kandar berhadapan dengan bangunan pejabat. Ada beberapa orang rakan sekerja lain yang masih bersenang-senang menjamah sarapan pagi tanpa mempedulikan jam yang sudah melepasi angka Sembilan.
“Cik Sara adalah kawan baik kakak saya. Mereka terputus hubungan sebab satu hal yang saya sendiri tidak tahu.”
Faiz memberitahu Aizura sepertimana yang diminta oleh Maisara. Hatinya benar-benar tidak tenang melihat keadaan Maisara tadi. Perlukah dia bertanyakan kepada Aizura hal itu? Tidaklah nampak seperti dia terlalu mencuba untuk mendekati Maisara?
“Then¸ apa perasaan awak terhadap Sara? Saya tengok awak suka kat dia jer?”
Faiz menelan air liur. Begitu ketara sangatkah yang dia menyimpan perasaan terhadap Maisara. Harus diakui atau menafikan sahajakan? Kalau diakui bukankah sudah terlambat? Maisara sudah berpunya.
“Faiz…”
Faiz senyum akhirnya. Tidak tahu mahu menjawab apa. Hakikat sebenar dia terlalu cintakan Maisara tapi dia juga harus terima hakikat titik hitam yang pernah cuba dicatatnya dalam lipatan kehidupan Maisara menjadi penyebab dia tak mungkin mampu memiliki Maisara. Lagi pula Maisara sudah punya teman lelaki. Sudah mahu bersatu!
“Awak sukakan dia kan ? Cintakan dia? Betul tak?”
Faiz angkat muka. Aizura benar-benar mahu tahu lagaknya. Selagi dia tidak berpuas hati selagi itulah dia akan mendesak.
“Awak nak tahu kenapa Sara macam tu hari ini?”
Laju sahaja Faiz mengangguk, mengundang sengihan di hujung bibir Aizura. Dia tahu telahannya mengena. Faiz punya perasaan terhadap Maisara. Bukan sukar untuk menelek perilaku lelaki itu. Renungan matanya sudah mampu ditafsir. Aizura tersenyum lagi. Lagaknya dia seperti tukang telek pula!
“Hubungan dia dengan Azwan sudah berakhir. Ibu Azwan tak dapat terima Sara sebagai menantu sebab Sara tak menepati ciri menantu yang dicari.”
Laju sahaja Aizura membuka cerita. Dia tahu tidak sepatutnya perihal ini sampai kepengetahuan orang lain. Walaupun Maisara tidak memintanya supaya berjanji untuk merahsiakan perihal itu tetapi dia memang tidak patut bercerita kepada orang lain. Tetapi sebagai kawan, dia juga mengharap Maisara tidak terus diselubungi rasa kecewa dan sedih. Di hadapannya kini ada seorang lelaki yang dia percaya mampu membahagiakan Maisara. Kalau ditanya apa sebab dan dalil mengapa dia begitu yakin tentang Faiz memang dia tidak punya jawapan tetapi hati wanitanya benar-benar percaya akan hal itu.
“Bukan ke mereka dah merancang berkahwin lagi empat bulan?”
Faiz cuba menahan gelojak di hati. Dia tidak pasti sama ada dia gembira atau sama-sama rasa terluka dengan perkhabaran yang dibawa oleh Aizura. Kedua-dua rasa itu bersatu. Gembira kerana dia punya peluang untuk mendekati Maisara dan memiliki wanita itu. Terluka kerana wanita itu telah dilukai hatinya sehinggakan tadi dia merasakan wanita itu begitu lemah sekali.
“Perancangan di sebelah pihak. Yang sebelah lagi langsung tiada apa-apa. Saya bercerita dengan awak sebab saya percayakan awak. Jangan pulak awak hebohkan kepada orang lain. Tiada siapa tahu perkara ini temasuk perancangan perkahwinan Sara. Sara juga tak boleh tahu apa yang awak tahu.”
Muka serius Aizura ditatap Faiz. Dia akhirnya mengangguk-anggukkan kepalanya. Cuma sekarang dia tidak tahu sama ada patut atau tidak dia mendekati Maisara dan mengambil peluang atas rasa sedih wanita itu.
“Tapi buat masa ni awak janganlah kacau dia. Bagi dia bertenang dulu. Nanti heboh satu kompeni pulak! Awak bukan tak tahu mulut-mulut orang. Nanti bukan awak yang kena tapi Sara. Kami berdua ni dah serik kena sindir. Mentang-mentang kami berdua sahaja perempuan yang dah masuk tiga puluh belum berkahwin, rapat sikit dengan lelaki mulalah empat tingkat bangunan tu heboh.”
Faiz senyum sedikit. Dia mengerti kata-kata Aizura yang seperti sebuah luahan hati berbanding peringatan terhadapnya. Orang Malaysia , mungkin juga di Negara lain wanita yang sudah melangkaui umur tiga puluh tahun kalau tidak berkahwin akan ada sahaja kata-kata yang tidak sedap didengar dilemparkan. Digelar dengan macam-macam gelaran yang menjatuhkan harga diri mereka sebagai wanita. Yang bermulut celupar itu bukannya orang lain, kaum wanita sendiri.
“InsyaALLAH. Terima kasih kerana percayakan saya.”
“Awak tak jawab soalan saya lagi tadi. Awak cintakan Maisara kan ?”
Diulang sekali lagi soalan yang terbiar tanpa jawapan sebentar tadi dan seperti tadi juga Faiz hanya tersenyum.
“Ya.. saya cintakan dia tapi entahlah saya rasa saya sukar untuk mendekati dia. Mungkin saya tidak cukup baik untuk berdamping dengan dirinya.”
Akhirnya setelah beberapa ketika mendiamkan diri dan membiatkan Aizura tertunggu-tunggu Faiz bersuara. Melebar senyuman di bibir Aizura mendengar pengakuan itu. Dia gembira kerana telahannya benar belaka.
“Alah… mula-mula ni susahlah. Sebelum ni sebab dia ada Azwan. Sekarang ni dia dah tak ada sesiapa. Awak bolehlah mula cuba menarik perhatian dia tapi bukan sekarang lah. Tunggu dua tiga bulan lagi. Awak jangan risau, saya akan tolong awak.”
“Penantian tu satu penyeksaan, Cik Aizura.”
Mata Aizura terbeliak mendengar kata-kata Faiz tetapi akhirnya dia ketawa lepas. Faiz hanya tersengih bila menyedari bahawa dia terlalu tergesa-gesa mahu mendekati Maisara sedangkan dia seharusnya sedar tidak senang untuk dia mendapatkan cinta wanita itu. Palitan memori lama itu bagaikan sukar menghilang. Keyakinan dirinya semakin menipis bila mendengar kata-kata Maisara tadi. Mungkin wanita itu boleh memaafkan dirinya tetapi kemungkinan untuk wanita itu untuk menerima dirinya sebagai seorang suami adalah terlalu nipis. Senipis kulit bawang!
“Penantian itu juga insyaALLAH membuahkan kemanisan, Faiz! Minta dari ALLAH moga ada satu ruang untuk awak di dalam diri Maisara. Minta supaya ALLAH ciptakan Maisara sebagai Hawa untuk awak. Cuma saya pesan janganlah melukakan hati Maisara. Sebelum awak pasti untuk melembutkan hati Maisara dan membuka pintu hatinya untuk awak, minta restu dari emak dan ayah awak terlebih dahulu. Saya tidak mahu perkara yang sama berulang.”
Faiz angguk. Dia seperti melihat Aizura yang berlawanan dengan apa yang didengar. Aizura yang dilabel mulut celupar ini tidaklah seteruk mana. Mungkin cuma kekadang sahaja wanita itu begitu.
“Terima kasih Cik Aizura. Saya amat menghargai segala nasihat daripada Cik Aizura. InsyaALLAH keluarga saya tidak akan ada halangan tetapi saya akan dapatkan restu mereka terlebih dahulu.”
Hati Faiz kini berbunga riang. Dia pasti emak dan ayahnya tidak akan menghalang. Isu usia mereka tidak akan menjadi perdebatan kerana emak dan ayahnya sendiri merasainya. Cuma dia perlu yakinkan mereka perasaannya terhadap Maisara bukan sekadar sebuah tanggungjawab kerana hampir menodai wanita itu satu masa dahulu. Bukan itu! Dia benar cintakan Maisara. Cinta yang tidak pernah padam sejak dua belas tahun lalu.
No comments:
Post a Comment