Encik Rusli dan Puan Hasmah saling berpandangan. Berita yang dibawa oleh anak mereka, Faiz benar-benar mengejutkan. Nama Maisara yang disebut oleh anak bongsu mereka itu sudah sekian lama tidak kedengaran. Kali ini, bila nama itu disebut mereka semacam tidak percaya. Terkejut pun ada. Mana tidaknya, Faiz pulang ke Kuala Lumpur supaya merestui hubungan antaranya dan Maisara.
Aina Mardhiah yang duduk di sebelah Faiz juga turut terdiam. Tadi, bila adiknya itu bercerita perihal Maisara banyak yang ditanyanya tetapi bila Faiz tetiba membuka mulut mahu mengahwini teman baiknya itu dia tergamam. Benarkah?
“Betul ke ni Faiz?” Soal Puan Hasmah setelah sekian lama terdiam. Faiz menganggukkan kepalanya dengan yakin. Dia rasa cuak tetiba dengan reaksi ibu dan ayahnya itu.
“Kamu kata Sara akan berkahwin. Jangan nak meruntuhkan rumah tangga yang bakal orang bina Faiz!”
Aina Mardhiah mengingatkan. Dia tidak suka Faiz bertindak melulu-lulu dan tanpa berfikir panjang. Cukuplah apa yang pernah lelaki itu buat ke atas Maisara dulu. Jangan ditambah lagi perasaan benci teman baiknya itu.
“Sara dah putus dengan lelaki tu…”
“Sebab kamu?”
“Taklah ayah. Keluarga lelaki tu tak setuju dengan perkahwinan tu. Kawan Sara yang beritahu Faiz. Jadi, Faiz balik ni nak minta restu ibu dan ayah. Kalau ibu dan ayah restu Faiz dengan Sara… Faiz akan terusskan untuk buatkan Sara terima Faiz. Faiz buat macam ni sebab Faiz tak mahu Sara terluka lagi kalau ibu dan ayah tak restu.”
Faiz menundukkan kepalanya. Kalau ibu dan ayahnya tidak bersetuju, dia akan menjauhi Maisara walaupun hatinya penuh dengan rasa cinta terhadap wanita itu. Dia tidak mahu Maisara terluka lagi. Cukuplah penderitaan yang dilihat dari wajah itu selama seminggu ini.
“Kamu nak kahwin dengan dia sebab perkara tu ke?”
Aina Mardhiah menyoal. Dia tidak suka kalau perkara itu yang menjadi sebab musabab adiknya mahu mengahwini Maisara. Dia tahu adiknya sudah lama menyesal dengan perbuatan tidak senonohnya itu tetapi untuk menutup rasa kesal dan bersalah itu dengan sebuah ikatan perkahwinan bukanlah sesuatu idea yang baik.
“Faiz cintakan Maisara. Faiz cintakan sejak dulu lagi. Sejak sebelum peristiwa tu lagi.”
Tanpa rasa segan silu, bersungguh-sungguh Faiz menyatakan perasaan hatinya. Dia benar-benar jatuh cinta dengan Maisara. Dengan kesederhanaan wanita itu. Dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibir Maisara. Dengan layanan yang mesra walaupun dia tahu layanan itu tidak lebih dari layanan seorang kakak terhadap adiknya tetapi layanan itu membuatkan hati lelakinya tertarik.
“Perkara ni bukan main-main Faiz. Ayah tak mahu kamu membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Kamu jangan sampai tak boleh bezakan perasaan kamu tu. Jangan sampai nanti Maisara sekali lagi menjadi mangsa kamu. Ayah tak mahu orang sebaik Maisara menderita kerana kamu.”
Perlahan tetapi tegas bunyi suara Encik Rusli. Faiz memanggungkan kepala memandang ayahnya. Dia tahu apa yang bermain difikiran ayahnya itu. Dia sedar walaupun perkara itu telah lama berlalu tetapi sisa kenangan itu masih utuh dan kuat. Tetapi dia kini bukan lagi Faiz yang dahulu. Bukan lagi Faiz yang leka dengan nikmat dunia semata. Dunia itu sudah dinokhtahkan sebaik sahaja dia sedar dari kealpaan. Saat dia sedar dia telah kehilangan Maisara.
“InsyaALLAH Faiz tak akan lukakan Sara lagi sekiranya Sara terima Faiz, ayah. Faiz nak ayah tahu, Faiz yang sekarang bukan Faiz yang dulu. Tolonglah percayakan Faiz, ayah. Selama tujuh tahun ni Faiz mencari Sara dan selama ini jugak Faiz dah cuba buka pintu hati Faiz untuk perempuan lain tapi Faiz tak mampu untuk mencintai mereka seperti Faiz cintakan Maisara.”
Aina Mardhiah mengeluh mendengar bicara terus-terang adiknya itu. Selama ini Faiz lebih banyak mendiamkan diri. Lebih banyak menyimpan sendiri. Bila pertama kali lelaki itu begitu senang meluahkan rasa hatinya terhadap Maisara, dia harus akui adiknya itu bukan main-main. Tetapi mampukah dia menerima teman baiknya itu sebagai adik iparnya? Bagaimanakah nanti? Haruskah Maisara yang seusia dengannya itu memanggil dirinya dengan panggilan kakak?
Keluhan Maisara itu bersatu dengan keluhan Puan Hasmah. Wanita itu bukan tidak bersetuju tetapi dia takut Faiz gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya. Dia takut badai yang pernah hampir memecah-belahkan perkahwinan antara dia dan suaminya berulang lagi. Sakitnya hanya ALLAH sahaja yang tahu bila suami yang muda tujuh tahun daripadanya itu terpikat dengan wanita yang jauh lebih muda dan lebih menarik. Kalau tidak kerana campur tangan keluarga sudah tentu perkahwinan itu akan hancur berkecai. Dia tidak mahu dimadukan suami walaupun dia tahu ganjarannya cukuplah besar. Dia mahu menjadi seperti Khadijah yang tidak diduakan kasihnya oleh Rasulullah. Dia mahu menjadi seperti Fatimah yang tetap menjadi kesayangan Saidina Ali sehingga akhir hayatnya.
Mendengar keluhan isterinya, Encik Rusli terus mengenggam jari-jemari wanita yang sudah bergelar isteri hampir tiga puluh lima tahun itu. Dia sedar akan perkara yang menggusarkan fikiran isterinya. Tentu sahaja isterinya itu takut perkara yang sama tiga puluh tahun lalu itu berulang sekali lagi. Dia akui memang salah dirinya kerana pernah berpaling daripada isterinya.
“Kamu pasti perasaan kamu tu bukan setakat rasa bersalah?”
Encik Rusli masih mahu menelah.
“Tak. Faiz yakin perasaan ini perasaan yang sama seperti ayah sayangkan ibu. Seperti Kak Long sayangkan Abang Long. Seperti Kak Ngah sayangkan Abang Man. ”
Encik Rusli merenung satu-satunya anak lelakinya itu. Patutlah selama ini bila ditanya tentang bila mahu mencari isteri anaknya itu sering kali jawab acuh tidak acuh sahaja. Paling tidak dia akan memusing cerita dan menukar topik berbualan. Zulaikha yang jelas mahukannya itu juga tidak dilayannya sungguh-sungguh. Kekadang sampai terpaksa gadis itu tebalkan muka datang ke rumah mencari anaknya itu. Zulaikha itu bukannya tidak cantik dan menarik. Pandai pula mengambil hati orang tua. Rupa-rupanya hati anak lelakinya itu sudah dimiliki.
“Kalau kamu tak berjumpa Maisara, kamu masih akan tetap cintakan dia? Kalau dia jadi kahwin dengan lelaki tu, kamu masih mahu menunggu?”
Giliran Puan Hasmah bertanya. Perasaan runsingnya tadi sedikit kendur walaupun masih bersisa. Faiz yang mendengar pertanyaan ibunya itu kembali tertunduk. Keluhan berat dilepaskan. Entah, dia sendiri tidak tahu mahu menjawab apa tapi nekadnya kalau benar Maisara akan berkahwin dengan teman lelakinya itu, dia akan terus membujang. Perasaannya tidak pernah untuk wanita lain. Dia percaya kalau tujuh tahun dia mampu menapis segala rasa terhadap wanita lain mengapa tidak untuk seumur hidupnya. Namun, dia juga harus berpijak di bumi nyata kerana jodoh itu bukan perancangannya melainkan daripada ALLAH jua.
“Susah nak cakap, ibu. Kalau hari ini Faiz kata Faiz sanggup membujang sampai ke tua dari mengahwini perempuan lain, mana tahu esok lusa ALLAH bukakan pintu hati Faiz untuk perempuan lain?! Tapi sekarang Faiz betul-betul mahukan Maisara walaupun Faiz tahu susah untuk Sara terima Faiz. Faiz akan mencuba.”
Kedua-dua suami-isteri itu saling memandang sekali lagi. Faiz nampak benar tekad. Restu mereka yang ditunggu.
“Beginilah. Ayah restu tetapi Faiz kena berjanji jangan sesekali mempermainkan kehidupan Maisara. Bawa dia jumpa ayah nanti.”
“Er… Sara masih marahkan Faiz. Bagilah ruang sedikit ya ayah? Nanti kalau dia dah mula terima Faiz, Faiz akan bawa jumpa ayah.”
“Dua minggu lagi Kak Ngah dengan Abang Man nak ke sana . Bawalah kami jumpa Maisara. Ayah dengan ibu kalau nak ikut bolehlah. Nanti suruh Abang Man booking bilik.”
“Ish Kak Ngah ni.. nanti Sara kata Faiz sengaja pulak!”
“Cakap ajelah kami nak ke Taiping, rumah Mak Long. Singgah sana jumpa kamu. Dah alang-alang tu, jumpalah Sara sekali.”
Puan Hasmah memberi cadangan. Laju sahaja anggukan Aina Mardhiah.
“Kalau Faiz telefon mesti dia tak akan jawab. Semalam sebelum Faiz balik, Faiz ada telefon dia tapi dia tak mahu jawab.”
Raut wajah Faiz benar-benar kecewa. Dua hari selepas Maisara mengamuk dengannya, dia ada menghubungi wanita itu tetapi langsung tidak dijawabnya. Mahu bertemu wanita itu di pejabat dia tidak punya cukup masa. Kerjanya memerlukan dia sentiasa berada di tapak pembinaan.
“Bagi kat Kak Ngah nombor Sara. Nanti kat sana biar akak yang telefon dia. Kamu jangan risaulah, Sara tu tak pandai nak marahkan orang lain kalau dia marahkan orang lain.”
“Malam nantilah Faiz bagi. Biar Faiz fikir dulu. Erm, ibu bagi restu tak ni? Kak Ngah?”
“Ibu tak pernah nak menentukan masa depan anak-anak ibu. Siapa pilihan anak-anak, ibu terima. Asalkan orangnya baik budinya. Cuma ibu harap anak ibu yang tak buat hal. Jangan nak ulang benda yang sama dua kali. Fikir baik-baik pilihan yang kamu buat sebab benda ni bukan main-main. Kamu kena belajar menghormati dia. Jangan nak samakan dia dengan perempuan lain yang lebih muda dan menarik daripada dia. Ingat tu.”
“InsyaALLAH ibu.”
Wajah Faiz serius sahaja mendengar kata-kata ibunya sedangkan Encik Rusli sudah tersengih sendirian. Kata-kata isterinya itu bagaikan dituju kepadanya sahaja. Menusuk jauh sehingga sudut paling dalam hatinya tetapi dia sedar kekhilafan itu datang daripadanya.
“Kak Ngah pun tak kisah cuma Kak Ngah takut Maisara yang tak mahu. Nanti dia nak panggil akak apa? Mestilah dia segan.”
Faiz tersenyum melihat senyuman di bibir kakaknya.
“Jangan risaulah. Kalau Faiz dapat memperisterikan Sara semua tu tak akan jadi masalah!
No comments:
Post a Comment