“Weh, pasai apa muka kau monyok semacam ni?! Sepatutnya kau patut happy, meraikan manager baru tu. Handsome pulak tu!”
Sengihan lebar yang terukir di bibir Zulaikha membuatkan Siti Maisara mencebik. Wanita yang sebayanya itu tidak padan sudah berlaki, tapi pantang nampak lelaki tampan dan bergaya sedikit. Mulalah keterujaannya melebihi budak-budak remaja!
Kehadiran pengurus baru bernama Muaz Naufal itu bukan setakat tidak mendatangkan keterujaan kepadanya malah dia merasakan hidupnya bakal terikat. Entah mana datangnya angin lelaki itu tetiba sahaja mahu bekerja di syarikat ayahnya sedangkan sebelum ini banyak sangat alasan yang diberinya. Sudahlah mahu ditempatkan di bahagiannya.
“Lunch nanti Encik Naufal belanja kita! Sukanya aku!”
Siti Maisara sudah mengeluh. Zulaikha itu disebalik keterujaan dengan ketampanan lelaki berkulit putih bersih itu, keterujaannya berganda bila lelaki itu mahu membelanja mereka semua. Jimatlah duitnya hari ini!
“Kau kenapa ni Mai? Ada masalah ke?”
Siti Maisara menggelengkan kepalanya. Aduhai, mana mungkin diceritakan kepada Zulaikha walaupun wanita itu teman rapatnya di pejabat ini. Tiada sesiapa yang tahu melainkan Tuan Bahrudin dan keluarganya. Biarlah rahsia itu tetap menjadi rahsia sampai bila-bila.
“Kau jangan tipu aku. Sejak pagi tadi aku tengok kau monyok semacam, Encik Naufal masuk pun kau tunjuk muka macam ni. Takut nanti dia dok cari salah kau je nanti!”
Siti Maisara tersengih. Dia tak kisah pun tentang hal itu. Yang dia kisah sekarang ini adalah lelaki itu ada berdekatan dengannya. Makanya, bagaikan dua puluh empat jam dia perlu hadap muka lelaki itu, lelaki kacak kegilaan ramai wanita termasuk sekarang ini teman sepejabatnya itu.
“Biarlah Zue. Kalau dia nak cari salah aku, aku report jer pada Tuan Bahrudin. Senang cerita. Kan dia sendiri dah beritahu kita tadi, kalau anak dia buat hal macam-macam jangan takut nak beritahu dia.”
“Beritahu siapa?”
Suara lelaki kedengaran. Senyuman Zulaikha yang terpamer sedari tadi mati. Dia menelan air liurnya sebaik melihat susuk tubuh Muaz Naufal yang tegak berdiri di hadapan meja Siti Maisara. Siti Maisara yang sedang mengemas mejanya ikut terhenti.
“Mengumpat saya ya?”
“Eh tak adalah Encik Naufal. Kami cakap pasal boyfriend Maisara ni!”
“Weh! Apa pulak?!”
Siti Maisara sudah menjengilkan matanya. Kalau iapun, Zulaikha mahu menipu carilah sebab lain! Gila apa cakap pasal teman lelakinya di hadapan lelaki itu?!
“I see. Boyfriend awak orang mana?”
“Saya mana ada boyfriend… pepandai je Zue ni buat cerita. Kami cerita pasal suami dia. Suami dia ni suka memancing sampai tak ingat rumah, itu yang saya suruh dia beritahu suami dia supaya pilih memancing ke dia!”
Giliran Zulaikha pula menjengilkan matanya. Siti Maisara tersengih. Rasakan kau!
“Okey. Cik Maisara saya ada hal nak jumpa awak sekejap. Papa saya kata saya boleh harapkan awak.”
“Pasal apa Encik Naufal?”
“Pasal syarikatlah. Tak kan pasal boyfriend awak kut! In my office. Now”
Muaz Naufal berlalu dengan senyuman meleret. Senyuman itu membuatkan Siti Maisara rasa mahu sahaja dibenamkan kepala itu ke dalam tong sampah!
****
“Siapa boyfriend awak?”
Dahi Siti Maisara berkerut. Raut wajah Muaz Naufal bagaikan sengaja ditunjukkan riak serius.
“Boyfriend mana pulak? Zulaikha tu buat cerita je.”
“Betul?”
“Lah, betullah. Buat apa saya nak tipu.”
“Erm, saya nak bincang dengan awak.”
“Bincang apa?”
“Tentang kita.”
“Ingatkan malam tadi dah habis bincang dah. Ke awak nak ulang semula apa yang awak cakapkan malam tadi? Satu, jangan beritahu sesiapa tentang hubungan kita. Dua, kena panggil awak Encik Naufal di hadapan semua pekerja. Ke tiga, tiada ruang ambil kesempatan ke atas hubungan kita. Ke empat, business is business and personal is personal. Ke lima … yang itu saya lupa.”
Siti Maisara tersengih sedikit. Banyak sangat syarat-syarat Muaz Naufal sehinggakan dia tidak dapat mengingatkan semuanya tapi satu yang dia faham tiada siapa yang patut tahu tentang hubungan mereka.
“Bagus! Tak perlulah saya risau.”
“Kalau awak tak cakap pun saya tahu kedudukan saya, Muaz or need I panggil awak Encik Naufal from now onwards walaupun berdua macam ni?”
“Awak perli saya?”
“Eh bukanlah. Rasanya lebih afdal kot mulai hari ini saya panggil Encik Naufal. Practice make perfect, kan ?”
“Terpulanglah. Asalkan awak faham perbincangan kita malam tadi.”
“Terlalu faham, Encik Naufal. Setahun ni saya dah cukup faham. Ada apa-apa lagi?”
“Erm tak ada kot. Nanti kalau ada-apa saya panggil awak.”
“Okey. Saya keluar dulu. Erm, sebelum saya lupa. Tolong nasihatkan girlfriend kesayangan awak tu supaya kalau tak dapat call awak, jangan nak mengada-ngada kacau saya. Saya bukan secretary tak bergaji awak!”
“Awak cemburu, Sara?”
Muaz Naufal tayang senyuman mengusik. Siti Maisara sambutnya dengan cebikan. Tak kuasa dia mahu cemburu! Apa dia dapat dengan rasa cemburu itu?!
***
Siti Maisara menoleh beberapa kali ke arah jam dinding rumahnya. Jarum jam sudah menginjak ke angka sebelas dua puluh minit malam. Matanya sudah terasa berat tetapi kerana janji kepada si suami ditahan juga rasa mengantuk itu walaupun matanya sudah berair.
Petang tadi, ketika dia masih di pejabat lelaki itu menghubunginya. Meminta dia menyediakan makan malam. Katanya sudah lama tidak makan masak lemak nangka. Dalam hendak tak hendak, terpaksalah Siti Maisara tunaikan permintaan itu. Nasib baiklah kedai runcit yang ada berdekatan rumah mereka itu punya nangka muda. Tapi sekarang, dari pukul tujuh setengah tadi sampai sekarang lelaki itu tidak muncul-muncul.
Kerana kepenatan menunggu, akhirnya terpaksa juga Siti Maisara menghantar teks pesanan ringkas kepada lelaki itu. Dia sudah tidak sanggup menunggu. Kalau lelaki itu mahu makan, nanti balik hidanglah sendiri. Namun, belum sempat dia menekan butang hantar telefonnya berbunyi. Tertera ‘MN’ di skrin telefonnya.
“Sayang…”
“Erk… apa kes tetiba panggil saya sayang ni? Mengigau ke apa?”
“Hehehe.. maaf. Awak, dah tidur ke?”
“Hampir-hampir. Encik Naufal kat mana? Seronok sangat dengar! Kalau nak berseronok dekat luar tu buat apa suruh saya masak. Siap suruh tunggu lagi! Buat penat je tau!?”
“Janganlah marah. Saya lupa Nisya buat party. Sekejap lagi saya balik tapi awak nak tidur, tidurlah dulu.”
“Encik tak suruh saya tidur pun saya nak tidur jugak. Buang masa je tunggu!”
“Awak cemburu, Sara!” lelaki itu kedengaran ketawa di hujung talian.
“Minta maaf ya?! Siapa nak cemburu dengan awak! Dahlah, saya nak tidur. Jangan nak kejutkan saya pulak nanti!”
“Okey. Jangan risau. Bye.”
Talian diputuskan. Siti Maisara mendengus. Hilang kantuknya. Sakit hati memikirkan Muaz Naufal yang tidak menepati janjinya, lebih-lebih lagi kalau hal itu berkaitan dengan Nisya. Radang sungguh hatinya.
Perasaannya sekarang memang sakit. Bukan cemburu seperti kata lelaki itu. Mana mungkin dia cemburu. Apa perlu dia cemburu? Perkahwinan ini bukan mahunya malah bukan mahu Muaz Naufal juga.
Muaz Naufal memang kacak orangnya. Semua orang boleh terpaut. Termasuk dirinya dulu tetapi tidaklah dia sampai jatuh hati dengan cucu kepada majikan emaknya itu. Tengok cara kehidupan lelaki itu, dia sudah tidak berkenan. Tambahan pula, lelaki itu umurnya lebih muda daripadanya. Setakat suka tengok wajah lelaki itu sahaja.
Tetiba, tak ada angin tak ada ribut, Tan Sri Bakri buat idea gila. Semuanya dengan alasan mahu menyelamatkan cucu kesayangannya itu tersasar lebih jauh dan mangsanya adalah dia! Dia seorang gadis kampung yang usianya dua tahun lebih tua daripada lelaki itu mahu dijadikan cucu menantu! Gadis yang langsung tidak sesuai dan bukan angan-angan lelaki itu. Muaz Naufal pula kerana kasih kepada datuknya dan kerana syarat pemilikan harta serta kerana desakan Tuan Bahrudin juga terpaksa bersetuju juga. Itupun lelaki itu terlebih dahulu meletakkan syarat! Ada syarat tersembunyi antara Siti Maisara dan Muaz Naufal.
“Kalau atuk tanya pasal anak, awak jawab je tak ada rezeki!”
Ia, jawapan itu yang diberikan kepada seluruh keluarga lelaki itu malah keluarganya juga. Sudah lelah rasanya mahu menjawab. Nasib baiklah usia perkahwinan mereka baru sahaja memasuki angka satu tahun. Satu tahun dalam rahsia! Yang tahu cuma mereka sekeluarga termasuk kawan-kawan rapat lelaki itu dan Nisya, teman wanita kesayangannya.
Siti Maisara benar-benar berharap saat ini, dia dilepaskan dari ikatan perkahwinan ini secepat mungkin supaya dia bebas. Lama rasanya untuk menunggu satu tahun lagi. Satu tahun lagi, selepas Tan Seri Bakri melunaskan segala janji, dia bagaikan merpati terbang bebas!
‘Anggaplah ini satu cara engkau membalas budi keluarga Tan Sri, Mai. Ingat, dah banyak Tan Seri dan anak dia tolong kau! Sekarang giliran kau membalas jasa mereka walaupun kebahagiaan kau dipertaruhkan.’
***
Hampir hujung bulan. Kerja Siti Maisara di hujung bulan seperti biasa terlalu sibuk sampaikan waktu makan pun kekadang dia tidak sempat untuk keluar makan bersama Zulaikha dan rakan sekerja lain.
“Mai, ini nasi ayam yang you pesan.” Zaki menghulur bungkusan nasi ayam kepada Siti Maisara tetapi wanita itu leka menatap skrin komputernya. Dahinya berkerut-kerut.
“Sudahlah hadap komputer tu. You kena makan dulu, nanti sakit semua kerja tak siap!”
“Tak apa. Sikit lagi ni. You letak situ. Sekejap lagi I makan.”
Matanya masih memandang skrin komputer. Tekun benar.
“You nak I suapkan ke, sayang ooooiii? Ke nak I off komputer you tu?”
Siti Maisara memalingkan tubuhnya menghadap Zaki tetapi bukan susuk tubuh itu terlebih dahulu menangkap pandangan matanya. Wajah masam mencuka Muaz Naufal di belakang Zaki. Entah datang dari mana dengan wajah mencuka macam tu!
“Maisara, masuk bilik saya sekarang!”
Mendengar suara Muaz Naufal, Zaki terus menoleh. Dia tersenyum ke arah pengurus barunya itu tetapi senyumannya tidak berbalas. Sebaliknya Muaz Naufal terus melangkah masuk ke biliknya.
“Kenapa tu?” Soal Zaki.
“Bergaduh dengan girlfriend kot! Manalah I tahu! I masuk dululah, nanti meletup pulak!”
Zaki tidak berkata apa-apa, sekadar mengangguk. Pelik dengan angin Muaz Naufal yang buat pertama kalinya dilihat begitu.
“Apa yang si Zaki tu buat kat tempat awak time tak ada orang macam ni?” Soal Muaz Naufal sebaik sahaja Siti Maisara menutup pintu biliknya.
“Saya pesan makanan sebab saya tak keluar makan. Dia tolong hantarkan.”
“Kenapa tak keluar makan?”
“Banyak kerja. Saya kena siapkan sebelum petang nanti. Itu kan yang Encik Naufal cakap semalam?!”
“Kita keluar makan sekarang. Lain kali tak payah nak pesan-pesan. Waktu makan, keluar makan!”
“Tak apalah. Zaki dah belikan nasi ayam.”
Siti Maisara tayang muka tak puas hati.
“Bagi balik pada dia. Mulai hari ni saya tak nak awak pesan makanan daripada dia atau sesiapa!”
“Kenapa pulak? Saya banyak kerja, jadi saya pesan jelah. Mereka pun tak kisah!”
“Sebab awak isteri saya!”
“Hah! Encik mengingau erk? Ni kat pejabat, hal bisnes… tak ada personal! Encik juga cakap hari tu kan ?”
“Saya tak peduli. Sebagai bos awak dan sebagai suami awak, awak kena ikut arahan saya!”
“Ni sejak bila pulak encik jadi suami saya ni? Setahu saya selama ni encik mengaku diri encik tu bujang, sejak bila encik jadi suami saya?”
“Awak melawan cakap saya, Sara?!” Suara Muaz Naufal ikut meninggi. Dia sudah bangun dari tempatnya dan menghampiri Siti Maisara. Siti Maisara pula berlagak berani. Dia tahu sesekali dia perlu bertegas dengan lelaki itu! Lelaki itu sendiri berjanji di awal perkahwinan mereka dahulu, bahawa dia tidak akan sesekali masuk campur di dalam hidupnya! Di hadapan keluarga mereka sahaja mereka berpura-pura ambil berat dan bagaikan pasangan kekasih!
“Okey, saya akan umumkan kepada semua orang tentang hubungan kita dan saya akan pastikan tak ada lelaki cuba dekat dengan awak!”
“Hah? Encik lupa janji encik dulu? Encik tak akan masuk campur dalam hal peribadi saya! Saya nak keluar dengan lelaki mana ke, encik tak akan ambil peduli!”
“Saya peduli apa dengan semua tu. Saya suami awak!”
“Encik ni saya rasa encik cemburukan Zaki….”
Siti Maisara tersengih melihat mata Muaz Naufal yang terbeliak.
“Encik cemburukan lelaki yang cuba rapat dengan saya sebab saya ni isteri encik. Tak ada sebab lain! Jadi saya nasihatkan encik, supaya jangan lupakan janji encik tu! Saya hanya akan menjadi isteri encik seperti mana syarat perjanjian kita. Lepas tu saya mahu encik bebaskan saya dan encik juga bebas, dapat apa yang encik nak! Jadi buat masa sekarang, tolong tunaikan janji!”
Siti Maisara berkata tegas. Dia tidak mahu lama-lama di dalam bilik lelaki itu. Takut nanti rakan-rakan sekerjanya kembali daripada keluar makan tengah hari dan mendengar semuanya. Dan dia juga tidak mahu jadi keliru, keliru akan nada cemburu yang tetiba wujud di dalam diri Muaz Naufal. Dia tahu cemburu itu tidak memberi makna apa-apa.
“Awak nak pergi mana? Saya belum habis lagi!” Bentak Muaz Naufal tetapi langsung tidak diendahkan Siti Maisara.
Sebaik sahaja pintu bilik lelaki itu ditarik, dia terperanjat bila susuk tubuh Tuan Bahruddin tegak berdiri di hadapannya. Berderau darahnya! Raut wajah itu usah cakaplah!
“Muaz! Naik bilik papa sekarang! Sara juga!”
Siti Maisara menoleh ke belakang, ke arah Muaz Naufal. Lelaki itu juga kelihatan terkejut dengan kehadiran ayahnya yang tiba-tiba.
“Apa yang kamu berdua tercegat lagi tu?”
Tersentak Siti Maisara mendengar suara ayah mertuanya itu. Segera dia melangkah mengikut langkah Tuan Bahrudin. Dia sedar akan beberapa pasang mata yang memandangnya. Adakah rahsia sudah terbongkar?
***
“Apa yang kamu berdua gaduhkan sampai boleh dengar kat luar? Masa papa sampai tadi, budak-budak tu dok curi dengar kat pintu bilik kamu tu Muaz!”
Siti Maisara sudah mengeluh. Dia dapat rasakan tentu sahaja mereka sudah mengetahui status perkahwinan dan hubungannya dengan Muaz Naufal. Selama ini dia merahsiakan statusnya supaya dia tidak disoal dengan bermacam-macam soalan yang merimaskan.
“Muaz?”
“Tak adalah pa, Sara ni… tadi masa Muaz naik ofis, dia berdua-duaan dengan si Zaki tu. Siap bersayang-sayang lagi!”
“Sara?”
“Tuan…”
“Papa.” Tuan Bahrudin memperbetulkan panggilan menantunya.
“Erm… Papa, Zaki tu cuma tolong Sara je. Sara pesan makanan sebab dua tiga hari ni Sara sibuk. Tak ada masa nak keluar makan. Muaz ni pakai tuduh je!”
“Macam tak ada orang lain nak minta tolong!” sampuk Muaz Naufal.
“Sebab masa semua nak turun makan, dia yang ajak saya keluar makan ramai-ramai tapi saya tak nak! Jadi, saya pesanlah dengan dia!”
“Alasan!”
“Cukup! Depan papa pun kamu berdua nak bertekak!? Kamu Muaz, hal kecik macam ni pun nak diperbesarkan. Kawal sikit cemburu kamu tu!”
“Masa bila pulak Muaz cemburu?! Tolonglah!”
“Kamu berdua ingat papa tak dengar apa yang kamu berdua bertekak? Satu-satu perkataan papa dengar tau?! Dan kamu ingat papa ni bodoh sangat, sampai tak tahu sama ada selama ini kamu berdua suami isteri tapi tidur bilik lain-lain? Depan kami semua bukan main mesra tapi dekat belakang, nak pegang tangan pun tak nak! Ingat kami ni tak tahu bila kamu berdua berpakat tak mahu hebohkan perkahwinan kamu?”
Giliran Tuan Bahrudin mengeluh. Anak dan menantunya ingat selama ini dia buta hati sampai tidak nampak permainan mereka! Dia sengaja mengikut rentak mereka seperti rancangannya dengan Tan Seri Bakri, ayahnya.
“Papa…”
“Kamu ingat papa tak tahu tentang Nisya? Papa ada orang-orang papa yang selalu bagi maklumat apa yang anak papa yang pandai ni buat!? Perempuan macam Nisya tu yang kamu berkenan?”
“Pa… kita bukan bercakap pasal Nisya, pa…”
“Memang! Tapi bersangkut-paut. Kalau kamu boleh keluar dengan Nisya, berseronok-seronok dengan dia… kenapa Sara tak boleh?”
“Dia lain…”
Siti Maisara yang duduk di sebelahnya menggelengkan kepala. Mukanya menunjukkan rasa tidak berpuas hati dengan jawapan lelaki itu.
“Lain apa pulak? Pernah kamu anggap dia sebagai isteri kamu sebelum ni? Baru tadi rasanya papa dengar. Itupun sebab kamu cemburu pada hal kecik! Sekejap lagi, papa akan suruh secretary papa beritahu semua orang ada meeting tergempar. Sama ada kamu berdua setuju atau tidak, papa akan beritahu hubungan sebenar kamu berdua! Ini arahan datuk kamu. Kamu berdua kena ada sekali. Ini arahan!”
***
“Sukalah awak kan !? Semua orang pandang saya ni macam apa lagi!”
Siti Maisara menggerutu marah sebaik sahaja dia memasuki kereta Muaz Naufal. Hatinya sakit bercampur sebak. Serasa mahu menangis melihat reaksi-reaksi yang bagaikan tidak percaya bercampur dengan riak seperti menghinanya.
“Kenapa pulak? Salahkan papalah, bukan saya nak buat sesi memperkenalkan awak sebagai isteri saya!” Balas Muaz Naufal sambil memandu keretanya keluar dari kawasan parkir. Arahan dari ayahnya supaya dia dan Siti Maisara pulang berdua. Manakala kereta wanita itu akan dihantar oleh pemandu ke rumah mereka.
“Kalau tak sebab perangai awak yang tak semengah tu, tak adalah papa nak buat semua tu!”
“Siapa suruh awak mengada-ngada nak order makanan dengan si Zaki tu!?”
“Awak berhentikan kereta sekarang jugak! Saya nak kita bercakap sekarang!”
“Apa masalahnya bercakap sambil saya drive?”
“Berhentilah. Susah sangat ke?” Bentak Siti Maisara.
Melihat Siti Maisara yang sudah menjerit, akhirnya Muaz Naufal terpaksa juga akur memberhentikan keretanya di bahu jalan. Takut nanti lain pula jadinya!
“Dah tu cakaplah apa yang awak nak cakap!”
“Ceraikan saya! Dan kahwin dengan Nisya.”
“Hah!? Gila? Awak lupa perjanjian kita?!”
“Saya ingat! Tapi sekarang papa pun dah tahu selama ni kita berlakon je. Pasal harta atuk tu awak tak perlu risau. Atuk pernah terberitahu saya, nama awak ada dalam wasiat dia. Dari awak terus buat perangai bebudak tak cukup umur ni, baik lepaskan saya. Awak senang, saya pun senang. Saya akan berhenti kerja.”
“Apa maksud awak perangai budak tak cukup umur? Apa saya buat?”
“Pasal Zaki belikan saya makanan je pun, awak buat hal! Itu namanya perangai budak-budak.”
“Siapa yang tak marah nampak isterinya berdua-duaan dengan lelaki lain?”
“Awak ni tak faham ataupun sengaja nak buat saya keliru, Muaz? Lelaki yang marah tengok isteri dia berdua-duaan dengan lelaki lain tu bukan macam awak! Mereka marah sebab mereka sayangkan isteri mereka tu! Dan perasaan awak pada saya tak sama dengan perasaan mereka tu! Kita ada perjanjian! Saya tak pernah bising pasal awak keluar berkepit dengan Nisya. Selalu je saya ternampak awak kat mana-mana berdua dengan dia. Pernah saya bising, suruh awak berhenti dari jumpa Nisya? Tak pernah kan ? Jangan bagi alasan yang awak lain, saya lain! Jadi sekarang, tolong lepaskan saya! Ceraikan saya!”
“No way! Awak ingat senang?!”
“Ia akan jadi senang bila kita berdua bersetuju!”
“Saya tak bersetuju!”
Siti Maisara sudah memusingkan tubuhnya menghadap suaminya itu. Dia benar-benar tidak faham dengan lelaki disebelahnya ini. Tak kan mahu ikut juga perjanjian mereka dulu sedangkan semuanya sudah terbongkar?!
“Saya tak akan ceraikan awak!”
“Awak nak seksa saya? Apa salah saya pada awak, Muaz? Awak nak simpan saya lepas tu kahwin dengan Nisya? Buat saya ni macam perempuan tak berguna?”
“No. Saya tak akan berkahwin dengan Nisya! Kami dah putus.”
“Bila?”
“Semalam. Saya dah putuskan hubungan saya dengan Nisya semalam.”
“Sebab?” Suara Siti Maisara mula mengendur.
“Sebab saya tak boleh ada dua orang dalam hati saya ni! Saya tak mampu…”
Hati Siti Maisara berdebar mendengar pengakuan itu. Debaran di dadanya lain macam rentaknya. Tubuhnya kembali menghadap ke hadapan. Mulutnya bagaikan terkunci dan dia tidak tahu mahu berkata apa. Giliran Muaz Naufal pula memusingkan tubuhnya menghadap Siti Maisara.
“Saya tak mahu kita bercerai sebab saya dah pilih awak bukan Nisya. Semalam baru saya sedar saya lebih memerlukan awak daripada dia. Saya di party tu tapi hati saya, jiwa saya tak ada di situ. Malam tadi saya balik lambat disebabkan saya mahu selesaikan semuanya dengan Nisya. Saya telefon awak untuk pastikan keputusan yang saya buat tu betul. Sama ada awak sedar atau tidak, saya dapat rasakan selama ini awak cemburu bila saya dengan Nisya tapi sebab perjanjian tu awak tipu diri awak. Dan selama sebulan ni jugak, awak tahu tak saya rasa hidup saya kosong sejak awak mula panggil saya Encik Naufal? Saya dapat rasakan awak semakin jauh dari saya. Bila saya tengok Zaki belikan awak makanan tadi, saya jadi takut walaupun saya tahu Zaki tu dah beristeri.”
“Awak jangan jadi keliru, Muaz! Baik menyesal sekarang dari kemudian hari. Saya ni bukan makin muda, makin tua.”
“Saya tahu, sebab perkahwinan ni awak putuskan hubungan dengan Zakuan. Saya tahu semuanya. Saya ada jumpa dia beberapa hari sebelum kita bernikah. Dia minta saya jaga awak. Mulai hari ni, saya akan jaga awak sepertimana yang sepatutnya. Jangan risau, saya bukan keliru atau apa sahaja yang sama maksudnya. Saya sayangkan awak. I’m in love with you!”
“Tipu!”
Muaz Naufal ketawa kecil. Lengan wanita itu dicapainya dan jari-jemari itu digenggam. Rasanya ini buat pertama kalinya, dia menyentuh wanita itu dengan perasaan cinta yang berbunga-bunga. Siti Maisara kelihatan tidak bereaksi sedangkan jantungnya berdegup kencang dan pantas. Lain yang diharap, lain yang terjadi!
“Saya tak tipulah. Awak tahu, ini first time saya cakap I love you!”
“Nampak sangatlah menipu. Awak sebut ‘I’m in love with you’ bukan I love you. Satu lagi takkanlah dengan Nisya tak pernah sebut kot?!”
Muaz Naufal ketawa lagi. Hubungannya dengan Nisya terjadi begitu sahaja. Seingatnya, memang dia tidak pernah meluahkan perasaan terhadap Nisya. Mereka faham-faham sendiri.
“Awak punya loyar buruk tu nak tutup rasa terkejut tu ke? Samalah sayang. Dengan Nisya mana pernah I sebut benda tu. Sumpah!”
“Habis tu macam dia boleh jadi girlfriend awak?!”
“Macam tulah. Sendiri-sendiri faham. Sara, jangan tinggalkan saya. Saya janji saya tak akan buat perangai macam tadi lagi. Sebenarnya saya lega papa nak buat pengunguman tu. Mulai hari ni, kita akan jadi suami isteri dalam erti kata sebenar. Saya akan telefon papa beritahu mulai esok sampai hujung bulan ni kita bercuti. Honeymoon!”
Jari-jemari Siti Maisara di bawa ke bibirnya. Dikucupnya lembut. Perbuatannya itu membuatkan isterinya itu terkejut dan segera menarik tangannya.
“Apa ni? Tak malu ke orang lalu lalang tu tengok?!”
“Awak isteri saya, tak salah pun setakat cium tangan kan ?”
“Awak ingat orang tahu ke yang kita ni suami isteri? Saya tak kira, saya tetap nak awak lepaskan saya. Saya tak suka bebudak dekat ofis tu pandang saya macam saya ni tak layak dengan awak. Yalah, saya ni orang kampung. Cantik pun tak. Menarik jauh sekali.”
Siti Maisara meluahkan rasa hati. Nadanya berbaur rasa sebak.
“Jangan nak mengarut. Mereka semua tu cemburukan awak! Bukan saya tak tahu yang mereka tu tergila-gilakan saya.”
“Perasan sungguh!”
Muaz Naufal ketawa. Jari-jemari Siti Maisara diraih kembali.
“Bukan nak perasan tapi tu kan hakikat. Tadi lepas perjumpaan tu, awak tahu berapa ramai yang ucapkan tahniah?! Siap cakap saya bertuah beristerikan awak. Entah dari mana tahu, mereka kata awak pandai buat memasak. Siap ada yang beritahu awak paling pandai buat masak lemak nangka lagi. Saya ingat masakan tu special untuk saya je!”
“Tak ada maknanya! Tak ada yang special pun untuk awak!”
“Sayang, lepas ni masak lemak nangka tu cuma untuk saya je! Saya tak mahu orang lain puji awak lebih-lebih macam tadi. Patutnya mereka kena cakap awak yang bertuah dapat saya. Handsome, kegilaan ramai…”
Siti Maisara mencebik mendengar ketawa Muaz Naufal yang kembali kedengaran.
“Pasal orang yang tak suka awak dengan saya tu, biar lantaklah. Apa yang saya tahu, awak dah cukup terbaik untuk saya. Saya yang banyak kurangnya. Boleh tak awak bagi saya peluang sekali lagi?”
Diam. Lama.
“Sayang…”
Diam lagi. Siti Maisara kaku. Tentang perasaannya terhadap lelaki itu, dia tidak pasti. Perlukah diberikan ruang dan peluang? Benarkah dia tidak ada rasa untuk suaminya itu? Betulkah dia mengharapkan hubungan mereka berakhir dengan penceraian?
“Awak, jangan fikir yang jauh-jauh sangat boleh? Saya tahu awak pun ada hati dengan saya kan ? Rasa cemburu awak tu tanda awak sayangkan saya. Malam tadi, bila saya balik dan tengok awak tertidur kat sofa tunggu saya… saya tahu awak ada rasa tu untuk saya.”
“Ye ke?”
“Boleh pulak dia tanya macam tu?! Yalah! Awak bagi peluang untuk saya dan peluang untuk awak juga ya? Awak jugak kata awak bukan makin muda. Saya janji saya tak akan sia-siakan awak dan jangan fikir semuanya sebab harta atuk. Saya berjanji sebab saya sayangkan awak. Saya nak jadi ayah kepada anak-anak kita. Boleh tak, sayang?”
“Erm…”
“Baik awak buat keputusan sekarang. Sebelum tetiba nanti ada polis saman kita. Dah lama sangat berhenti ni!.”
Diam. Mata itu berkaca dan tetiba ada air mata yang mengalir. Kelam-kabut jadinya Muaz Naufal melihat Siti Maisara yang mula menangis.
“Sayang… kenapa ni? Janganlah menangis… saya ni dahlah tak reti pujuk orang menangis.”
“Awak janji tak akan menyesal?”
“InsyaALLAH sayang… dahlah janganlah menangis.”
“Betul awak sayangkan saya?”
Siti Maisara sudah teresak-esak membuatkan Muaz Naufal menggaru keningnya. Dia memang tak pandai memujuk, tambahan pula kalau memujuk orang yang sedang menangis.
“Ya, saya sayangkan awak. Saya cintakan awak. Dah berhenti menangis. Kita balik sekarang, saya lapar ni. Awak masakkan saya masak lemak nangka ya?!”
“Awak ni tak bosan ke makan benda alah tu?” Soal Siti Maisara yang sudah mula berhenti menangis tetapi intonasi suaranya masih kedengaran sedih.
“Tak. Sebab awak yang masakkan!”
Keretanya mula dipandu kembali menyusur jalan raya.
“Lauk semalam ada lagi. Panaskan lauk tu je,” ujar Siti Maisara sambil mengesat air mata yang masih bersisa.
“Yalah. Dah berhenti menangis dah?! Bagus, tak payah saya susah-susah nak pujuk!”
“Entah apa-apa!”
****
cerita biasa yang nak jugak di'up'... :)
No comments:
Post a Comment