Tuesday, January 3, 2012

El Amor Es Mio : Akhir

Hujung bulan. Hari Ahad. Berbaju kurung Pahang, biru polos. Benci betul aku dengan budak-budak pejabat! Yalah, nak berboria sangat. Lalu diusulkan sesiapa yang mahu pergi ke majlis persandingan Taufik Fikri perlu memakai baju berwarna biru, tema yang sama dengan pengantin. Waduh, ingat kita ni pengantin punya kaum kerabat ka? Jemputan je kot?! Tapi dah si Neol Yong Chee Wen itu pun turut bersetuju siap keluarkan memo, jadi aku terpaksalah ikut.
Dewan Merak Kayangan Kuala Lumpur. Kami sampai beberapa minit sebelum ketibaan orang yang diraikan – Taufik Fikri dan Wan Nazeera Husna. Sepanduk yang tergantung di pintu masuk membolehkan aku melihat wajah empunya nama Wan Nazeera Husna itu. Namanya secantik orangnya. Sama padan dengan Taufik Fikri. Yang tak padannya, bila si isterinya itu senyum manis sekali sedangkan si suaminya senyum setakat jungkit bibir je. Cuba senyum biar lebar sikit!
Melihat pasangan sehati sejiwa itu sedang tersenyum bahagia di atas pelamin, cemburu juga aku. Yalah, meriah sungguh majlis perkahwinan mereka. Semuanya nampak mahal. Tengah aku layan perasaan sambil menjamah makanan yang sedap-sedap belaka ini, bahuku disentuh.
“Mas?”
Kerut dahi. Makanan di dalam mulut aku kunyah perlahan-lahan sambil cuba mengingat siapakah jejaka berbaju Melayu ungu muda yang menegurku.
“I lah Lukman.”
Lukman? Lukman mana? Seingat aku Lukman yang aku kenal Cuma si pon… Eh tak kanlah dia!
“Lupa ke? Budak UM.”
Aku bangun dari kerusi. Kalau dah dia cakap dia Lukman, budak UM pastinyalah Lukman yang aku maksudkan mula-mula tadi tapi sekarang dia nampak jauh berbeza. Bukan macam dulu lagi! Sekarang ni nampak lelaki habis.
“Lukman yang…”
Berjeda aku di situ. Sungguh tak sanggup mahu meneruskan. Takut nanti terasa hati pula lelaki ini.
“Yalah. Tapi itu dulu. You datang sebagai jemputan dari pengantin lelaki ke perempuan?”
“Lelaki. Satu company. You?”
“Lelaki. Taufik tu kembar I.”
Dahiku berkerut lagi. Bertambah cepat tualah aku begini, asyik kerut dahi sahaja! Mana taknya, jauh berbeza raut wajah mereka. Bukankah kembar itu punya raut wajah seiras? Atau aku ini sudah lupa sebab terlalu lama tinggalkan sekolah?
“Hehehe… same father different mother. Eh, jom makan dengan I dekat meja sana. Boleh berborak lama.”
“Tak apalah. Seganlah I.”
“Lah, I sorang je kat meja tu. Yang lain dah sibuk dengan pengantin. Tak apa. Jom.”
“Okey. Sekejap. Bagi I habiskan makanan dalam pinggan I dulu. Nanti I pergi kat you.”
“Okey.”
Lukman berlalu ke mejanya. Lama aku perhatikan langkahnya yang semakin menjauh. Memang, dia bukan Lukman yang dulu. Dia bukan lagi Lukman jalan terkepit-kepit. Bukan lagi Lukman yang bila bercakap tangannya terawang-awang di udara. Bukan lagi si lembut yang digelar pondan dulu- walaupun dia tidak berpakaian seperti wanita tetapi cara dia bercakap dan tingkah lakunya yang lembut itu menyebabkan dia diberikan jolokan begitu.
“Eh siapa tu? Handsome!
Belum sempat aku duduk, Merlisa sudah bersuara. Yang lagi empat orang senyum penuh makna, memasing mahu tahu juga.
“Pantang betullah korang. Dia tu dulu sama U dengan aku dulu.”
Ingatkan satu soalan itu sahaja yang ditanya, rupa-rupanya meleret-leret. Teruja benar mereka ini dengan si Lukman itu. Agaknya, nak mengubat kecewa Taufik Fikri naik pelamin kot! Hahaha….

***
Sudah aku kata gosip terhangat terawang-awang di atmosfera SNY Ads. Apa lagi kalau bukan sebab aku makan bersama Lukman sewaktu majlis persandingan Taufik Fikri tempoh hari. Aku tak layan sangat pun segala mak nenek gossip itu sebab aku dengan Lukman sekadar teman satu universiti yang baru bertemu kembali tapi yang menyakitkan hati ada gadis-gadis mulut puaka selancangnya menyatakan aku ini mana layaknya untuk si teruna penuh karisma seperti Lukman. Rasanya, kalau mereka ini tahu siapa Lukman sebelum ini lagi banyaklah dosa mengutuk mereka itu!
Free this Sunday?” Soal Lukman ketika dia menghubungi aku tengah hari itu.
Free kot. Kenapa?”
Dia mengeluh. Semacam ada sesuatu beban yang ditanggungnya.
My mum… huh… my dad… ajak you datang makan tengah hari dekat rumah.”
Aku terdiam. Kaku. Tidak tahu nak menjawab apa. Lukman semacam terganggu.
So?”Soalnya.
Er… er… you nak I datang ke tak?” Lambat-lambat aku bertanya.
“Boleh ke you datang?” Teragak-agak dia melontarkan suara. Aku garu kepala.
You nak I datang ke?” Soalan berbalas soalan.
Dia ketawa. Apasal?
“Mas, tolong jangan bagi I gelak. Jangan nak jawab dengan soalan, boleh?”
“Dah tu you nak I jawab apa? I pun blur tau!?”
“Okey, I ambil you ya this Sunday? Dalam pukul sebelas. Nanti you SMS alamat rumah you.”
“Ada majlis apa kat rumah you tu?”
“Makan-makan. Okey, jumpa Ahad nanti. Ada customer masuk pulak! Assalamualaikum.”
Semacam tak percaya je aku dengan alasan ada pelanggan itu. Telefon di sebelah sana sudah dimatikan panggilannya. Aku je yang masih terkaku pandang telefon hitam yang sudah kabur nombornya. Wah ni kena tukar handphone ni! Tetiba pulak kan?

***
Hari Ahad. Aku muncung mulut sepanjang perjalanan. Si Lukman pulak boleh gelak memerli memanjang. Semuanya gara-gara aku dengan lagak perempuan Melayu terakhir, memakai baju kurung. Sampai ke pintu depan rumah teres dua tingkat yang aku jangka rumah keluarganya dia masih duduk gelak-gelakkan aku.
Diperkenalkan kepada emak dan ayahnya pun dia masih tersenyum-senyum sampaikan mak dan ayahnya perasan. Menjeling panjang aku bila dia bercerita kepada mereka dan jelingan aku itu singgah kepada pasangan yang melangkah turun. Seronok benar mereka berdua. Al-maklumlah pasangan pengantin baru! Nah, sekarang aku jadi cemburu teramat pula! Taufik Fikri…Taufik Fikri! Apa kau buat kat sini? Tak pergi berbulan madu ke apa?
“Hai Mas…”
Dia menyapa. Aku dengan tiada jiwanya menyambut sapaan itu dengan senyuman sehabis ikhlas mungkin termasuk menyambut tangan yang di hulur oleh Wan Nazeera.
Sepanjang makan tengah hari tu aku rasa dah macam sesi soal siasat pula. Aku pula dengan senang hati menjawab tak syak wasangka. Doktor Mahira dan Doktor Salleh memang suka bertanya dari makan hidangan lazat di atas meja makan. Aku sambil makan sambil bercakap. Memang dasar tidak boleh dibuat menantu! Ah, peduli apa aku! Bukan mereka ni bakal mertua aku pun. Hehehe
Sesekali mata aku ni memang tak boleh untuk tidak memandang kemesraan pasangan pengantin baru. Berbulu je aku rasa tengok mereka berdua tu! Kalau baling sambal belacan hasil air tangan Mak Cik Seri ni ada hilang terus sesi mesra-mesra depa ni karang! Hahaha… jahat sungguh imaginasi aku!
“I tanya you sikit boleh?” Soal Lukman, sebaik sahaja kami memasuki keretanya. Sengkak perut aku dek kekenyangan yang teramat. Doktor Mahira itu ibarat selagi makanan di atas meja dan dapurnya tidak habis selagi itu tidak berhenti dia menyuakan aku makanan. Mula-mula buah-buahan, katanya sunnag Nabi mendahulukan makan buah-buahan baru makanan berat. Sudah itu, makanan berat bukan sejenis. Lepas nasi ada pulak laksa. Macam tahu-tahu jer akan makanan kegemaranku itu!
Lepas habis makanan berat, duduk borak-borak di ruang tamu Mak Cik Seri datang dengan kek lobak dan kejunya. Adoi!
“Weh, yang you tetiba termenung sampai ke England ni kenapa?”
“Apa pulak? Apa yang you nak sangat tanya I tadi?”
You ada hati dengan Taufik kan?”
Dia tergelak dengan soalannya sendiri. Sedangkan aku menelan air liur mendengar soalan itu. Bertanya sendiri, kenapa dia menyoal aku soalan itu?
“Kenapa you tanya?”
You sukakan dia kan? I perasan cara you pandang dia. Cara you jeling waktu Nazeera bermesra dengan dia. Hahaha.”
“Mana ada! Sesuka hati je you!”
“Tak nak mengaku pulak! Orang kalau dah suka boleh tengok dari cara dia pandang. I tengok tadi cemburu betul you dengan Nazeera.”
Aku diam. Tayang muka selamba badak. Malas mahu menjawab. Lagi aku menjawab, lagi banyak Lukman Iqram ni mengenakan aku. Biarlah dia dengan telahan yang agak mengenanya itu dan terpaksalah aku redha dan pasrah dengan ketawa dan kata-katanya yang menikam kalbu itu sepanjang perjalanan dia menghantar aku balik.

***
Azan subuh yang berkumandang dari masjid berdekatan rumah menyedarkan aku dari tidur. Sebaik mataku terbuka, aku jadi terkejut tetiba. Aku menggosok mataku. Sekujur tubuh yang enak tidur di sebelahku ini benar-benar membuatkan jantungku berdegup kencang. Badanku panas membahang. Aku memeriksa diri dan tidak sampai beberapa saat aku tersenyum sendiri.
Aduhai, sungguh mamai aku ini rupanya! Sekujur tubuh yang enak tidur itu bukankah suamiku?! Sudah dua bulan berlalu, aku bagaikan masih belum betah dengan situasi ini. Kelakar sungguh!
Lukman Iqram Bin Salleh. Ya, dialah suamiku. Suami segera. Hahaha. Gila sungguh rasanya bila memikirkan segala yang berlaku. Tidak sampai dua bulan kami bertemu semula setelah sekian lama, rombongan keluarganya datang ke kampungku. Membawa hajat yang langsung tidak aku ketahui. Malah Lukman sekalipun. Hasil daripada rombongan itu, kami hanya diberi masa seminggu untuk memikirkannya. Memang waktu itu aku rasa mahu sahaja menjerit dan memekik sahaja kepada Doktor Mahira dan Doktor Salleh! Gila kurang ajarkan?! Tapi itulah yang aku rasa. Rupanya pertemuan kami yang pertama sewaktu makan tengah hari di rumah mereka itu sebenar sesi menelek diri aku.
I  minta maaf, Mas. I memang tak tahu tentang rancangan family I.”
Pertemuan kami waktu itu tidak seperti sebelumnya. Lukman lebih banyak diam. Aku juga. Memasing memikir. Jujurnya, aku langsung tak memikirkan soal pinangan keluarganya itu. Aku lebih banyak berangan waktu itu.
“I ikut keputusan you. I malas nak fikir.”
Senang sungguh jawapan Lukman pada akhir pertemuan itu. Nak aku hempuk dengan beg tanganku tak sampai hati pulak tengok muka cuka masamnya itu.
Esoknya, di pejabat si Taufik Fikri datang menemui aku. Siap belanja aku makan tengah hari lagi. Bukan setakat kedai mamak tersohor ataupun Restoran Tom Yam Mai terlaris berdekatan dengan bangunan pejabat kami tapi dia bawak aku makan di Hotel Armada.
Setengah jam makan, Taufik Fikri masih tidak mahu bercerita apa sebab dia mahu bertemu aku. Ralit dia menjamah makanannya. Katanya, makan selagi boleh. Memanglah, buffet kan?! Hahaha… aku biarkan rasa hati yang ingin tahu hanyut dengan sajian yang begitu menyelerakan. Aku tak fikir dah Taufik Fikri yang berada di hadapanku.
“Dah kenyang?” Soalnya dalam senyuman meleret. Perli akulah tu! Ada aku kisah?
“Dah tapi boleh masuk lagi ni.”
Kali ini dia ketawa lepas. Sungguh tidak sopan! Suasana sunyi sepi terisi dengan ketawanya. Aku lirikkan jelingan tajam. Malu la weh orang dok tengok!
You memang selamba macam ni eh? Patutlah Umi boleh sukakan you walaupun pertama kali jumpa.”
Kemudian, mulalah Taufik Fikri bercerita perihal sebenar pertemuan kami. Dari senyuman meleret dan ketawa besar raut wajah lelaki itu bertukar secara drastik. Air mukanya tetiba muram dan ceritanya membuatkan perut aku yang sendat bagaikan bergelora. Ada rasa marah dan rasa simpati. Marah.
“Jadi you nak I kahwin dengan Lukman sebab ni? Sebab you nak I jauhkan perasaan Lukman terhadap Nazeera?!”
“Mas, bukan macam tu. I dah banyak sangat bersalah dengan Lukman. Dari kecik lagi sampai sekarang. I tahu you boleh buatkan dia gembira.”
Waktu itu aku rasa macam mahu tampar sahaja lelaki itu. Mana dia tahu aku boleh gembirakan Lukman. Aku bukan Nazeera. Jauh panggang dari api.
Takbiratul Ihram yang kedengaran daripada imam dari masjid membuatkan aku kembali memandang Lukman yang masih lena. Perlahan sahaja aku jari-jemariku menyentuh wajahnya. Aku tahu cinta Lukman untuk Nazeera tak mudah untuk aku ‘patahkan’. Nazeera telah banyak mengubah Lukman. Dan aku?! Hah..
Aku mengeluh entah untuk ke berapa kali. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk bangun menuju ke bilik air. Biarlah Lukman tidur sekejap. Nanti selepas aku mandi, baru aku kejutkan dia.
“Dah penat belek muka abang?”
Soalan itu mengejutkan aku yang baru sahaja mahu turun dari katil. Tangan aku juga dicapainya.
“Abang ingat Mas nak belek muka abang sampai habis Subuh.”
Ada ketawa di hujung bicaranya. Sedangkan aku sudah dup dap dup dap. Ish, kenapalah dia sedar? Tadi lagak macam tidur mati, tak bergerak langsung rupanya tidak!
“Mana ada! Awak tu mengigau agaknya!” cepat sahaja aku menafikan. Mulut aku ni masih belum cukup betah untuk membahasakan Lukman dengan panggilan ‘abang’ itu. Terasa janggal!
“Mana ada abang mengigau. Abang dah sedar sebelum azan tadi lagi.”
“Tipulah!”
Kuat Lukman ketawa. Rasanya kalau orang sebelah sudah bangun, mesti ketawa itu dapat didengar.
“Apa yang Mas asyik mengeluh tadi? Sekejap-sekejap mengeluh.”
Tangan aku masih digenggamnya dan aku masih lagi membelakangkannya.
“Tak ada apalah. Mas nak mandi dulu, nanti lambat pulak solat. Awak pun sama.”
“Hehehe… Yalah. Abang mandi kat bilik sebelah.  Kalau Mas siap mandi dulu tunggu abang. Kita solat sama.”
Tangan aku dilepaskan. Dia bangun dan menuju ke arah pintu.
Apasal tak bangun masuk bilik air lagi? Awak tu kalau dah dapat air mengalahkan dapat laki!”
Ceh! Sempat lagi pepagi buta ni dia nak kenakan aku! Nasib baiklah kau tu laki aku, kalau tak dah lama kena baling dengan bantal ni!

***
Sesudah solat Subuh.
“Awak nak makan apa untuk sarapan hari ni?”
“Roti cukuplah.”
“Betul ni? Nanti jangan nak mengadu kat ibu yang saya tak buat sarapan.”
Hehehe… Taklah. Tapi sebelum awak turun sediakan breakfast, duduk sini kejap.”
“Ada apa?”
“Duduklah dulu.”
Dalam hendak tak hendak tu aku terpaksalah mengikut juga. Aku melangkah menghampirinya.
“Beritahu abang, apa yang Mas pendamkan selama ni.”
Aku kerutkan dahi. Pendamkan apa? Mana ada pendam apa-apa!
“Pendam apa?”
“Mas, abang kenal Mas bukan sehari dua. Walaupun dulu kita ni tak rapat, abang tahu Mas ni macam mana. Sejak kena paksa kahwin dengan abang ni, abang tengok Mas lain macam je. Dulu sekali abang buat lawak, sepuluh kali Mas melawak. Ini abang tengok diam je. Bercakap pun macam nak tak nak je.”
Ish dia ni menelek aku ke apa? Tapi betul ke apa yang dia cakap? Tak kanlah, aku rasa aku macam biasa je. Tapi yalah kan, bila dah jadi isteri orang ni sama ada kena paksa atau terpaksa atau apa-apa sahajalah, kenalah ubah perangai tak semenggah waktu anak dara dulu.
“Tak ada apalah. Mas mana ada pendam apa-apa.”
“Degilkan?! Tak nak jugak mengaku. Tadi pun, Mas ingat abang ni pekak? Asyik mengeluh. Entah apa yang dia fikirkan.”
Aduh, malu seh! Kalau aku tahu dia dah terjaga, tak kuasa aku nak belek-belek muka dia!
“Abang nak dengar Mas cerita dengan abang sekarang. Jangan nak berdalih macam-macam.”
Aku mengeluh. Tersedar yang sebenarnya selama usia perkahwinan kami ini, aku dibelenggu oleh rasa cinta Lukman untuk Nazeera. Tak mungkin aku akan ceritakan perihal Nazeera kepadanya. Aku sendiri akan rasa sakit nanti. Sakit bila mengetahui hakikat cinta Lukman untuk Nazeera begitu hebat dan tak mampu aku sentuh walaupun sedikit. Aku dan Lukman terikat bukan atas dasar yang sama terikatnya Taufik Fikri dan Nazeera!
“Kan abang dah kata! Baik cerita sekarang dengan abang.”
Lukman sudah menarik aku dekat denganku. Serta-merta air mataku lagu sahaja mengalir. Entah kenapa aku langsung tidak merasa Lukman ikhlas denganku. Sedikitpun tidak. Membandingkan diriku dengan Nazeera….
“Kenapa menangis pulak ni? Cerita dengan abang sekarang! Abang tak akan lepaskan Mas selagi Mas tak cerita!”
“Tak ada apalah!”
“Mas nak abang telefon ibu dan ayah kita suruh mereka datang sini sekarang? Suruh mereka paksa Mas cerita, nak macam tu?! Mas nak tengok ibu dan ayah risau?”
Lebih pulak dia ni?! Hal kecik pun nak libatkan mak bapak ke? Melampau betul!
“Ceritalah, Mas. Abang tak suka Mas macam ni! Abang dah selidik segenap perosok dah ni! Nak kata Mas dah ada pak we sebelum kahwin dengan abang, tak jugak! Nak kata emak dan ayah paksa Mas terima pinangan keluarga abang sampai ugut-ugut tak ada jugak. Mas sendiri yang setuju tanpa kena paksa.”
Suara itu perlahan. Seakan merayu. Dan aku? Berada di tengah-tengah gelora perasaan sendiri. Sama ada mahu bercerita atau tidak tentang kebenaran yang aku tahu. Walaupun pernikahan kami bukan atas landasan cinta tetapi sedikit sebanyak sebagai seorang isteri hatiku tentu sahaja terkesan. Apatah lagi, hari demi hari aku bagaikan melihat cintanya untuk Nazeera sentiasa wujud!
“Mas… abang tak suka Mas macam ni. Sekarang ni abang jer yang perasan. Nanti lama-lama semua orang sedar.”
“Saya tahu yang awak cintakan Nazeera.”
Dengan sekali nafas aku mengungkapkan kata-kata itu dengan mata yang terpejam rapat. Tak tahu kenapa!
“Mana Mas tahu?”
Waaaaaaaaa…. Aku rasa mahu meraung dan menjerit saat ini! Bukan dia mahu menafikan. Sebaliknya bagaikan mengiyakan. Walaupun hakikatnya benar tak boleh ke dia pura-pura? Pura-pura untuk menafikannya!!
“Tak perlu tahu daripada mana Mas tahu. Lagipun Mas tengok dengan mata kepala Mas ni sendiri. Cara awak tengok Nazeera tu Mas dah tahu!”
Aku cuba merenggangkan pegangan Lukman tetapi semakin kuat pulak dia memeluk. Sakit tahu tak?!
“Sebab tu Mas macam ni? Cemburu?”
“Tolong sikit!”
Hahaha…  Mas langsung tak ada perasaan dengan abang ke?”
“Tukar topik nampak?! Tak ada kena mengena dengan perasaan Maslah!”
“Perasaan abang kat Nazeera dah lama tak ada…”
“Tipu!”
“Ish, dengar dulu! Sesuka hati je nak potong orang cakap! Nazeera tu milik Taufik. Perasaan Abang untuk dia makin lama makin hilang bila dia terima Taufik terlebih dahulu. Sejak dia kata dia telah menerima Taufik, abang dah mula cuba lupakan dia. Memanglah susah mula-mula tu tapi lama-lama abang boleh terima.”
“Yalah tu…”
“Menyampuk! Alah, ada orang tu pun abang tengok bukan main lagi masam semacam bila tengok Nazeera mesra-mesra dengan Taufik. Abang tak ada pulak buat muka macam orang tu!”
“Apa ni?! Tetiba kenakan orang pulak?!”
Terus tubuh Lukman ku tolak kasar. Nak selamatkan dirilah tu sampai aku pulak yang kena! Tak ada maknanya aku nak suka si Taufik Fikri tu! Aku ni tau diri.
Aik terasa? Dah lah tu, Abang tak suka Mas fikir yang bukan-bukan. Bila Mas fikir yang bukan-bukan, benda yang tak ada jadi ada. Lepas tu Mas jadi macam ni… sekarang ni Mas isteri abang. Abang tak nak Mas terus fikir yang bukan-bukan lagi. Walaupun kita kahwin bukan atas dasar cinta macam orang lain tapi abang kalau boleh tak nak perkahwinan ni sia-sia. Abang percaya kita boleh tapi Mas kena percayakan abang dan yakin dengan diri sendiri. Abang tak suka Mas bandingkan diri dengan Nazeera. Dia memang banyak mengubah abang tapi sekarang ni abang milik Mas. Abang tak pernah nak bandingkan Mas dengan Nazeera atau mana-mana perempuan sekalipun. Jangan terlalu merendah diri macam ni. Kalau Mas terus macam ni, sampai bila Mas tak akan gembira.”
Aku kaku berdiri bila mendengar kata-kata panjang lebar daripada Lukman. Separuh dari diriku membenarkan kata-katanya, separuh lagi tidak. Mana mungkin dia boleh begitu cepat melupakan cinta orang yang telah banyak mengubahnya!
“Bagi peluang pada Mas dan pada abang.”
Aku tunduk. Langsung tidak membalas dengan apa-apapun reaksi. Kosong.
“Cuba jangan dok diam… Mas…”
“Habis tu nak cakap apa?”
“Aduhai dia ni…. Cakaplah Mas sayangkan abang ke… Mas tak nak abang tinggalkan Mas ke…”
Dia sudah ketawa kecil. Cet, sekejap je seriusnya!
“Huh!”
“Apa pulak ni? Tak baik tau buat macam tu!”
Tanganku ditarik supaya menghampirinya dan aku dengan rela hati mengikutnya. Hahaha…. Tengah sedih-sedih ni boleh pulak aku ketawa. Alah dalam hati je pun!
“Sayang abang tak?”
“Erm…”
“Buatlah! Isteri abang ni cantik sebenarnya tapi tak yakin dengan diri sebab tu jadi macam ni. Setiap orang ada kecantikan dan kelebihan tersendiri. Kekadang kekurangan tu yang paling berharga tau tak?! Pandang abang…”
Tanpa banyak soal aku panggung kepala. Mata kami bertentang. Rasanya untuk kali pertama aku merasakan sesuatu melalui pandangannya. Cintakah?
“Lupakan Nazeera dan tolong lupakan Taufik Fikri.”
“Apa pulak?”
“Jangan tak mengaku! Perempuan ni kalau suka kat lelaki tu senang je nak tengok…”
“Pandailah.”
“Memanglah. Janji? Lupakan Taufik Fikri?”
“Yalah janji!”
“Bagus! Dah sekarang boleh buat breakfast. Tukarlah… abang nak makan nasi goreng ayam yang Mas buat minggu lepas tu.”
“Apalah dia ni! Tadi nak roti je.. ni nak nasi goreng pulak! Lambatlah sarapan macam tu.”
“Tak apa. Bukan pergi mana-mana pun hari ni. Abang malas nak ke galeri. Sayang kena temankan abang hari ni.”
“Pergi mana?”
“Duduk rumah. Selesaikan apa yang tak selesai.”
“Apa lagi yang tak selesai?”
“Maslah. Abang nak buat kelas hari ni. Kelas melembutkan lidah Mas tu bahasakan abang… Jangan asyik ‘awak-awak’ je. Lepas tu, kelas untuk menyakinkan diri Mas dalam diri abang ni dah tak ada Nazeera. Banyak lagi lah yang nak abang ajar.”
“Ni kes nak jadi cikgu tak lepas ke ni? Malaslah Mas!”
“Ini arahan! Nak tak nak, Mas kena jugak! Sekarang, arahannya… prepare breakfast!”
”Yalah!”
“Kejap!”
“Apa lagi?!”
“Cakap Mas cintakan abang dulu.”
“Tak nak.”
Please!”
“Okey, itu termasuk dalam kelas nanti.”
Dan satu kucupan hinggap di pipi dan dahiku.  Terkesima aku jadinya.
“Abang cintakan Mas dan cinta abang milik Mas!”
Satu lagi kucupan hinggap di kedua-dua mataku. Aku terasa melayang-layang. Ini pertama kali aku mempunyai perasaan sebegini setelah dua bulan kami bergelar suami isteri. Sungguh!
El amor es Mio!
“Terima kasih….”


 ****


No comments: