Tuesday, November 20, 2012

Cerpen : Menghitung Rasa



"Awal abang balik hari ni?"
Sapa Nadirah selepas salamnya dijawab oleh Fizlan. Untuk pertanyaan itu, tiada jawapan daripada lelaki itu. Sebaliknya Fizlan melangkah masuk ke bilik tidur dan keluar semula dengan  sebuah buku berkulit berwarna hitam yang Nadirah tahu miliknya.
"Apa semua ni!?" Soal Fizlan sebelum sempat Nadirah membuka mulut. Wajah Fizlan      saat itu kelihatan begitu tegang. Nadirah pasti isi di dalam buku yang menjadi diarinya itu telah dibaca oleh Fizlan. Dia benar-benar tidak tahu untuk menjawab apa. Selama ini diari itu sentiasa     berada di dalam beg tangannya. Mungkin semalam dia terlupa memasukkan semula ke dalam beg tangannya selepas menulis di dalam diari itu.
"Selama ni awak tak pernah ada perasaan pada saya? Awak bersama dengan saya              semata-mata sebab awak rasa awak tiada pilihan lain?"
Fizlan sudah bersaya-awak. Hati lelakinya remuk setelah membaca diari isterinya itu. Dia tidak menyangka penerimaan Nadirah terhadap dirinya bukan kerana perasaan sayang dan cinta  wanita itu untuknya. Paling dia sakit hati bila mengetahui Nadirah terfikir untuk memutuskan      pertunangan mereka tidak sampai seminggu majlis pernikahan mereka akan berlangsung.
"Kenapa awak buat macam ni? Kenapa awak hina saya sampai macam ni?"
Senyap. Nadirah tidak tahu mahu memberi jawapan apa. Dia tidak pernah terfikir yang     Fizlan akan membaca diarinya. Dia langsung tidak bersedia untuk ini.
"Patutlah selama ni awak macam tak gembira bila keluar dengan saya. Bila bercakap soal kahwin pun awak tak pernah serius. Ini sebabnya! Awak terima saya sebab awak dah tak ada       pilihan lain. Jadi, saya ni macam tukang tangkap muat je?"
Nadirah panggung kepala. Dia tidak pernah menganggap Fizlan sekadar tangkap muat      cuma dia tidak punya perasaan terhadap lelaki itu. Namun, perasaan itu cuba diwujudkan sebaik   sahaja dia sah menjadi isteri lelaki itu. Dia mahu perkahwinan antara dia dan Fizlan berpanjangan. Dia mahu gembira dengan perkahwinan ini.
"Dira mintak maaf, bang.”
Akhirnya itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Nadirah. Wajah kecewa Fizlan benar-benar membuatkan dia rasa cukup bersalah.
“Saya tak tahu nak fikir apa lagi!”
Fizlan mengeluh. Dia masuk semula ke bilik dan keluar dengan kunci kereta di tangannya. Mulut Nadirah terkunci untuk bertanya. Sebaik Fizlan menghilang, Nadirah terduduk di atas lantai. Air matanya mengalir laju. Akhirnya dia menangis semahu-mahunya.


Fizlan tidak balik ke rumah malam tadi. Lelaki itu tiada juga di restoran mamak tempat dia dan kawan-kawannya sarapan pagi seperti selalu. Hanya ada Amir dan Abang Shahrul sahaja.
“Kenapa mata kau bengkak semacam je ni Dira?” Soal Maryam.
“Tak ada apalah kak. Balik kerja semalam saya rasa sakit kepala, makan ubat tahan sakit tu. Lupa pulak saya tak boleh makan ubat tu. Ini jadinya.”
Pandai dia beralasan. Mendengar alasan itu Maryam hanya menganggukkan kepala. Maryam tahu Nadirah memang ada alahan dengan ubat tahan sakit. Pernah wanita itu datang kerja dengan muka bengkak macam belon mahu pecah.
“Kenapa kau tak ambik MC je? Kalau aku awal-awal lagi ambik MC, paling tidak dapat dua hari MC.”
Sampuk Norsham dari meja sebelah. Nadirah senyum sahaja. Kalaulah mereka tahu cerita sebenar, tentu teruk dia kena marah.
“Kalau saya ambik MC, Mr. Anand marah tak?”
Pertanyaan Nadirah itu membuatkan Maryam dan Norsham ketawa besar. Nadirah bertanya seolah-olah baru sebulan dua dia berkerja di syarikat itu.
“Gila kau dia nak marah?! Dah, kau balik je. Jangan lupa pergi klinik. Nanti akak cakap dengan Mr. Anand tu.”
Tanpa banyak cakap, terus sahaja Nadirah mencapai beg tangannya dan meninggalkan ke dua-dua rakan sekerjanya itu. Di dalam kereta, dia cuba menghubungi Fizlan. Nombor lelaki itu dapat dihubungi tetapi panggilannya tidak berjawab. Nadirah berkira-kira untuk menghubungi pejabat lelaki itu. Akhirnya dibatalkan niatnya itu sebelum keretanya dipandu melalui hadapan restoran mamak di hujung deretan bangunan. Fizlan tiada di situ. Motornya juga tiada.
“Fizlan dia pergi hantar bos ke airport. Mungkin dia tengah drivetadi kot.” Beritahu gadis yang memperkenalkan diri sebagai Ida ketika Nadirah menghubungi pejbat lelaki itu.
“Oh… tak apalah macam tu. Akak call dia balik nanti. Terima kasih, Ida, Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam, kak.”
Panggilan dimatikan. Nadirah memandu keretanya pulang ke rumah. Debaran hatinya tidak surut sejak semalam. Rasa gelisah dan bersalah. Diari yang selama ini menjadi tempat dia meluahkan rasa sudah dibuangnya. Dia tahu semuanya sudah terlambat. Fizlan terlebih dahulu membacanya. Kenapalah dia cuai sangat?
Nadirah mengeluh lagi. Semuanya salah dia. Perasaannya untuk Fizlan tidak semekar perasaan seorang kekasih. Tidak sewangi perasaan seorang isteri terhadap suaminya. Tetapi dia memilih lelaki itu di saat hatinya masih berbelah bahagi.
Fizlan, lelaki yang selalu ‘menganggunya’ setiap kali dia melewati restoran mamak tempat lelaki itu menghabiskan masanya. Gangguan yang tidak pernah disambutnya selama tiga tahun. Dia tidak pernah perduli dengan gangguan lelaki itu kerana dia menganggap ia sekadar main-main sahaja. Bukan setakat dia seorang sahaja menjadi mangsa ‘gangguan’ lelaki itu dan kawan-kawannya.
Tetapi mahu dijadikan cerita, ketika dia sedang menikmati makan tengah hari seorang diri pada hari Sabtu hampir setahun yang lepas lelaki itu datang menyapa. Tanpa dipelawa lelaki itu mengambil tempat di hadapannya dan kawan-kawannya dengan senyuman lebar meninggalkan Fizlan berseorangan.
“Sabtu pun kerja?”
Nadirah angguk sahaja. Mahu dihalau lelaki itu dia tidak sampai hati pula. Lagi pula, selama ini gangguan lelaki itu bukanlah dalam bentuk gangguan yang melampau-lampau ataupun tidak senonoh.
“Selama ni tak pernah nampak pun kerja hari Sabtu.”
“Ada training.”Ringkas sahaja jawapan Nadirah.
Walaupun Nadirah tunjukkan reaksi kurang selesa dengannya, Fizlan tetap juga cuba untuk berbual. Nasib baiklah ketika itu Nadirah melihat Encik Sufian sedang menunggu di hadapan pejabat. 
“Bagilah nombor telefon. Boleh mesej-mesej.” Pinta Fizlan sebaik sahaja Nadirah memberitahunya yang dia perlu beredar.
“Tak payahlah kot. Tak ada apa pun nak mesej.”
“Alah bagilah. Saya janji tak bagi orang lain.”
Melihat Fizlan yang beria-ria dan sedar pekerja kopitiam itu memerhati, Nadirah akhirnya terpaksa mengalah. Senyum lebar Fizlan sebaik sahaja mendapat nombor telefon gadis itu.
Sejak hari itu Fizlan sentiasa menghantar SMS kepadanya. Jarang-jarang Nadirah membalasnya.
“Kau ni kan Dira, budak tu dah berkenan kat kau. Terima ajelah. Mana tahu dia memang jodoh kau. Ke kau tak nak dia sebab dia tu driver jer?”
Norsham memang mulutnya lepas tetapi Nadirah tidak pernah pula terasa hati. Dan kerana kata-kata wanita itulah Nadirah mula memberi peluang kepada Fizlan. Mula membalas setiap SMS dan menjawab setiap panggilan lelaki itu. Menerima ajakan lelaki itu untuk keluar. Malah, bila Fizlan meluahkan rasa hati tanpa berfikir panjang dia menerima rasa cinta lelaki itu sedangkan hatinya tidak ada untuk Fizlan. Paling teruk, di dalam keadaan dia yang masih tidak punya perasaan terhadap Fizlan lamaran lelaki itu diterimanya.
Panggilan telefon yang diterima ketika baru sahaja memasuki rumah membuatkan jantung Nadirah berdegup kencang. Panggilan daripada birasnya, Suhaila. Fizlan memang rapat dengan Suhaila dan kerana itu Nadirah takut cerita rumah tangganya itu sampai ke pengetahuan wanita itu.
“Dira kat pejabat ke?” soal pemanggil di sebelah sana sebaik sahaja salam berbalas.
“Erm… tak kak. Ada kat rumah. Dira MC hari ni.”
“Oh… akak datang rumah boleh? Ada hal sikit akak nak cakap dengan Dira.”
Nadirah menelan air liur. Dia bagaikan dapat mengagak hal apa yang mahu dicakapkan oleh Suhaila. Dia pasti Fizlan menceritakan hal semalam kepada kakak iparnya itu.
“Erm… boleh kak. Dira tunggu akak.”
Kata-kata Suhaila sebelum memutuskan panggilan selepas itu bagaikan antara dengar dan tidak sahaja pada Nadirah. Rasa gementarnya melebihi segalanya.
Tidak sampai sejam, pintu rumahnya diketuk. Nadirah cuba menenagkan dirinya. Dia tahu dia perlu hadapi segala kemungkinan.
“Masuklah kak.”
“Dira okey tak ni? Teruk sangat bengkak mata tu.”
Nadirah senyum sahaja. Sepanjang malam dia menangis sehinggakan tertidur. Menangis atas salah sendiri. Menangis kerana kebodohan sendiri!
“Erm… malam tadi Lan datang rumah. Dia beritahu dekat akak dan abang Man pasal Dira dengan dia. Kenapa Dira buat macam ni? Dira berlaku kejam terhadap Lan… terhadap diri Dira sendiri. Akak tahu akak tak patut masuk campur dalam urusan rumah tangga kamu berdua tetapi sebagai kakak, akak tak mahu hubungan Dira dengan Lan berakhir macam ni.”
Nadira panggung kepala. Fizlan mahu bercerai? Ya ALLAH….
“Akak tak pernah tengok Lan macam semalam. Dia marahkan diri dia. Sampaikan Kak Long dengan Akif menangis tengok Pak Su mereka macam tu.”
“Dira minta maaf, kak. Dira tahu semuanya salah Dira. Dira pentingkan diri…”
Nadirah sudah tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia menangis semahunya.
“Berterus-terang dengan akak, Dira. Selama tiga bulan Dira dan Lan jadi suami isteri ni, apa perasaan Dira terhadap Lan? Masih tak apa-apa? Masih kosong?”
Nadirah geleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak tahu! Dia tidak tahu perasaannya terhadap Fizlan!
Suhaila mengeluh. Dia sendiri tidak tahu mahu berbuat apa. Sebahagian daripada dirinya memarahi Nadirah. Bagaimana Nadirah boleh begitu kejam?! Fizlan yang begitu payah menunjukkan emosi senang sahaja mengalirkan air mata semalam. Sampaikan dia sendiri tidak dapat menahan sebak melihat tangisan adik iparnya itu. Teruk sangat ke Lan ni kak? Persoalan Fizlan yang dia tiada jawapan.
Tubuh Nadirah dirangkulnya. Ditepuknya berkali-kali bahu wanita itu.
“Beginilah... Nanti Lan balik, Dira bincanglah elok-elok dengan dia. Hati dia masih sakit tapi akak tahu Lan sayangkan Dira. Akak tahu, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Jadi, Dira kenalah jugak buat sesuatu. Ada sebab ALLAH aturkan jodoh Dira dengan Lan. Dira kena beri ruang kepada diri Dira untuk Lan. Cuba sayangkan dia sebagai seorang lelaki yang selayaknya Dira sayang. Terima dia seadanya. Cinta akan datang bila Dira ikhlaskan diri Dira, bila Dira terima siapa diri Lan.”
“Tapi Dira tak tahu macam mana kak?!”
“Mula-mula ikhlaskan diri Dira terima Lan sebagai suami. Kemudian, insyaALLAH semuanya akan berjalan lancar. Minta dari ALLAH. Solat isthikharah banyak-banyak.”

***
Pukul sepuluh setengah malam. Fizlan masih belum balik. Hidangan di atas meja sejak petang tadi tidak terusik. Tadi Nadirah ada menghubungi Suhaila bertanyakan kalau Fizlan ke sana.
Abang kat mana?
SMS dihantar kepada lelaki itu. Tiada balasan. Akhirnya Nadirah beranikan diri menghubungi Amir.
“Ada ni. Kejap.”
Degupan jantung Nadira kembali tidak sekata. Nadira menarik nafasnya dalam-dalam sebelum dilepaskan. Mendengar suara suaminya yang bertanyakan kepada Amir membuatkan Nadira semakin gementar.
“Hello.”
“Er…  Hello abang… Dira ni…”
Senyap. Tubir mata Nadirah sudah berair.
“Abang… Dira minta maaf. Janganlah marahkan Dira sampai macam ni. Abang… baliklah…”
Senyap. Suara riuh rendah dari sebelah sana sudah tidak kedengaran.  Mungkin Fizlan bangun menjauhi restoran mamak tersebut.
“Dira tahu semuanya salah Dira. Abang baliklah… kita berbincang…”
Senyap lagi dan belumpun sempat Nadirah menyambung bicaranya, panggilan dimatikan. Tersentak Nadirah dengan apa yang berlaku.
Jgn telefon kawan2 saya
SMS itu yang diterima daripada nombor telefon milik Fizlan membuatkan Nadirah sedikit terasa hati. Nombor telefon lelaki itu dihubunginya tetapi tetap dijawab oleh lelaki itu.
Dira tahu semua salah Dira. Dira pentingkan diri. Dira tak fikirkan perasaan abg langsung. Tolong bagi Dira peluang…
SMS dihantar kepada Fizlan.
Beri peluang wlupun awak langsung tak ada perasaan terhadap saya? Kalau awak kena paksa kahwin dengan saya, itu cerita lain.
Lama kemudian barulah SMSnya dibalas oleh Fizlan.
Dira tak tahu cara macam mana nak yakinkan abang. Tp dira akan cuba untuk pastikan hubungan kita ni tak berakhir mcm ni. Tolong maafkan Dira dan bagi Dira peluang. Dira rayu pada abg.
SMSnya tidak berbalas. Malah, bila Nadirah menghubungi Fizlan telefon bimbit lelaki itu tidak dapat dihubungi.

***
Pagi itu Nadirah tersedar apabila tubuhnya diselimuti oleh selimut. Cepat sahaja dia bangun apabila melihat Fizlan yang melangkah masuk ke bilik tidur mereka.
“Abang…”
Langkah Fizlan terhenti tetapi dia tidak terus memusingkan badan.
“Pergilah tidur. Baru pukul tiga pagi.”
“Erm… Dira tak ngantuk. Kita bincang hal kita ya?”
“Saya penat. Saya nak tidur.”
“Okey.”
Nadirah membiarkan Fizlan masuk ke bilik. Dia kembali duduk di atas sofa. Sekejap sahaja, matanya sudah kembali berair. Betapa dia merasakan Fizlan dingin dengannya. Langsung lelaki itu tidak memalingkan muka memandangnya. Marah benar Fizlan! Akhirnya, Nadirah menyalahkan diri sendiri. Kalau Fizlan yang begitu payah menunjukkan emosi boleh jadi begitu sekali, tentu sahaja apa yang telah dia lakukan terlalu teruk dan sukar untuk diterima. Dia merasakan dia merupakan orang paling teruk sekali! Hipokrit dan mementingkan diri!
Setelah beberapa ketika, dia melihat lelaki itu keluar daripada bilik tidur menuju ke arah dapur. Laju sahaja Nadirah bangun mengikut lelaki itu.
“Abang nak makan ke?” Soal Nadirah. Suaranya sudah kedengaran serak-serak.
Fizlan geleng. Dia membuka peti sejuk dan mencapai botol minuman sejuk. Kemudiannya, dia menuang minuman tersebut ke dalam mug.
“Pergilah tidur. Saya nak minum je.” Perlahan sahaja suara Fizlan.
“Dira tak suka abang bersaya-awak dengan Dira. Kenapa tak boleh abang bahasakan diri abang dengan Dira macam sebelum ni?”
“Sekarang dah tak sama…”
Mug yang sudah kosong dibawanya ke sinki. Dimasukkan kembali botol minuman ke dalam peti ais.
“Abang…”
Nadirah capai lengan Fizlan.
“Dira mintak abang beri peluang pada Dira. Tolonglah bang… Dira tahu kesalahan Dira cukup besar tapi tolong jangan hukum Dira sampai macam ni.”
“Kita cakap pasal hal ini esok. Saya mengantuk sangat dah ni.”
Kata-kata Fizlan itu bagaikan tidak terjentik sedikitpun perasaannya mendengar tangisan Nadirah. Pegangan Nadirah dilepaskan dan terus sahaja dia masuk ke bilik. Sekali lagi Nadirah terduduk di lantai. Dia merasakan seperti Fizlan sudah tidak punya harapan terhadap perkahwinan mereka. Perkahwinan yang baru mereka bina tidak sampai setengah tahun ini!

****
            Saya keluar hantar dokumen. Pkl 11 saya balik
SMS daripada Fizlan itu dibacanya berkali-kali. Pagi tadi, bila dia terjaga dari tidur dan masuk ke bilik Fizlan sudah selesai menunaikan solat. Bila dia keluar daripada bilik air, lelaki itu sudah tiada. Selepas menunaikan solat Subuh, dia terus menghubungi lelaki itu. Tiada jawapan. Akhirnya SMS yang diterimanya daripada Fizlan.
Nadirah tahu dengan apa yang berlaku mana mungkin perasaan marah Fizlan akan surut begitu cepat. Tetapi dia benar-benar berharap lelaki itu tidak akan mengambil keputusan untuk menghukumnya dengan penceraian. Dia tidak mahu hubungan mereka berakhir begitu sahaja.
Dari dulu lagi dia selalu merasakan perasaan cinta dan sayang itu tidak pernah ada untuk lelaki yang menjadi kekasihnya. Dia menerima cinta mereka tanpa rasa cinta. Mungkin pertama kali dia menerima cinta seorang lelaki dengan rasa cinta sembilan tahun lepas. Cinta yang akhirnya menghilang sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian. Selepas itu dia bagaikan tidak punya rasa itu lagi.
Dia mengeluh lagi. Kenapalah dia meluahkan semuanya di dalam diari itu? Kenapa dia terlalu cuai? Kenapa dia tidak berterus-terang dengan Fizlan sebelum mereka bertunang dan seterusnya mengikat diri dengan status perkahwinan?
Sekarang Fizlan mengetahui hakikat itu! Hakikat yang cintanya tidak pernah ada. Hakikat bahawa selama ini hubungan mereka tidak pernah dianggap serius olehnya!
Ya ALLAH, tolonglah hamba-MU ini! Aku pinta peliharalah hubungan aku dan suamiku. Aku pinta cambahkan rasa sayang dan cinta selayaknya dihatiku untuk suamiku, Ya ALLAH!
***
“Berterus terang dengan saya sekarang… sama ada awak masih mahu bersama saya atau tidak?” Lambat-lambat Fizlan bertanya. Suaranya perlahan. Langsung dia tidak memandang Nadirah.
 “Naklah!”
“Walaupun awak tak ada perasaan untuk saya?” Suara Fizlan bergetar. Hakikat yang terlalu perit untuknya.
“Dira tak nak tipu abang. Dira tak tahu… Dira… Dira cuma nak abang bagi Dira peluang. Bagi Dira peluang dan ruang untuk sayangkan abang.”
“Kalau tak boleh jugak?” kali ini baru Fizlan berani memandang Nadirah yang sudah merah matanya.
“InsyaALLAH boleh. Cuma abang jangan terlalu hukum Dira macam sekarang ni. Abang buat Dira rasa Dira semakin jauh dengan abang.” Air mata Nadirah sudah deras mengalir. Dia sudah teresak-esak.
“Awak yang buatkan…”
“Dira tahu semuanya salah Dira. Dira yang buatkan abang jadi macam ni… tapi tolonglah jangan macam ni. Jangan bersikap dingin dengan Dira! Jangan tinggalkan Dira!”
Tubuh Fizlan sudah dipeluknya. Erat dan kemas.
“Saya yang salah. Saya tak cuba faham apa yang Dira cuba sampaikan selama ni. Saya ingat Dira ada perasaan yang sama dengan saya.”
“Abang tak salah. Dira yang salah. Dira yang tak berterus terang dengan abang. Jangan tinggalkan Dira, ye? Dira janji Dira akan berubah. Dira tahu Dira banyak sangat fikir yang bukan-bukan sampaikan Dira fikir Dira tak ada perasaan dengan abang.”
“Erm…lepas ni saya tak nak Dira sembunyikan apa-apa daripada saya. Apa yang Dira rasa semuanya kena beritahu saya.”
Nadirah melepaskan pelukannya. Air matanya dikesat dengan hujung t-shirt yang dipakainya.
“Janji! Tapi tolong jangan bahasakan diri abang dengan Dira macam tu… Dira tak suka. Jangan bersikap dingin dengan Dira macam semalam.”
“Okey… tapi janji jangan menangis sampai macam ni lagi.”
Nadirah senyum sedikit. Dia kembali merangkul tubuh Fizlan. Kepalanya di dada lelaki itu. Seketika, dia merasakan kepalanya dikucup lembut. Nadirah tersenyum. Buat pertama kalinya dia merasakan kucupan itu membahagiakannya.
“Abang sayangkan Dira, cintakan Dira.”
Nadirah mencapai tangan kanan suaminya. Dikucupnya berkali-kali. Dia berjanji, cinta dan sayang Fizlan tidak akan disia-siakan. Dia pasti perasaanya juga akan mekar untuk lelaki itu!


4 comments:

norihan mohd yusof said...

best nye crite neh..percaya lh dira bercinta bagai nk rak pun kekadang bahgia nyer entah kemana!tp berkawin dulu pastu bercinta,dh tentu nyata pahala nyer...yg penting hubby tu ade agama nyer...pd akak fizlan terlalu baik untk di kianati...

blinkalltheday said...

best!

Zi said...

good :)
tapi lagi sweet kalo buat part 2 sambungan citer ni bagi dira ada feeling kt fizlan plak... hehe

(^__^) miza muhd said...

(^__^) akhirnya... ada juga tuan putera idea datang...

entry awak x pernah mengecewakan saya ct.. banyak pengajaran. :)

thanks..