"Awal abang balik hari ni?"
Sapa
Nadirah selepas salamnya dijawab oleh Fizlan. Untuk pertanyaan itu, tiada
jawapan daripada lelaki itu. Sebaliknya Fizlan melangkah masuk ke bilik tidur
dan keluar semula dengan sebuah buku berkulit berwarna hitam yang Nadirah
tahu miliknya.
"Apa
semua ni!?" Soal Fizlan sebelum sempat Nadirah membuka mulut. Wajah Fizlan
saat itu kelihatan begitu tegang. Nadirah pasti
isi di dalam buku yang menjadi diarinya itu telah dibaca oleh Fizlan. Dia
benar-benar tidak tahu untuk menjawab apa. Selama ini diari itu sentiasa
berada di dalam beg tangannya. Mungkin semalam dia
terlupa memasukkan semula ke dalam beg tangannya selepas menulis di dalam diari
itu.
"Selama
ni awak tak pernah ada perasaan pada saya? Awak bersama dengan saya
semata-mata
sebab awak rasa awak tiada pilihan lain?"
Fizlan
sudah bersaya-awak. Hati lelakinya remuk setelah membaca diari isterinya itu.
Dia tidak menyangka penerimaan Nadirah terhadap dirinya bukan kerana perasaan
sayang dan cinta wanita itu untuknya. Paling dia sakit hati bila
mengetahui Nadirah terfikir untuk memutuskan
pertunangan mereka tidak sampai seminggu majlis
pernikahan mereka akan berlangsung.
"Kenapa
awak buat macam ni? Kenapa awak hina saya sampai macam ni?"
Senyap.
Nadirah tidak tahu mahu memberi jawapan apa. Dia tidak pernah terfikir yang
Fizlan akan membaca diarinya. Dia langsung tidak
bersedia untuk ini.
"Patutlah
selama ni awak macam tak gembira bila keluar dengan saya. Bila bercakap soal
kahwin pun awak tak pernah serius. Ini sebabnya! Awak terima saya sebab awak
dah tak ada pilihan lain. Jadi, saya ni
macam tukang tangkap muat je?"
Nadirah
panggung kepala. Dia tidak pernah menganggap Fizlan sekadar tangkap muat
cuma dia tidak punya perasaan terhadap lelaki
itu. Namun, perasaan itu cuba diwujudkan sebaik sahaja dia sah
menjadi isteri lelaki itu. Dia mahu perkahwinan antara dia dan Fizlan
berpanjangan. Dia mahu gembira dengan perkahwinan ini.
"Dira
mintak maaf, bang.”
Akhirnya
itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Nadirah. Wajah kecewa Fizlan benar-benar
membuatkan dia rasa cukup bersalah.
“Saya
tak tahu nak fikir apa lagi!”
Fizlan
mengeluh. Dia masuk semula ke bilik dan keluar dengan kunci kereta di
tangannya. Mulut Nadirah terkunci untuk bertanya. Sebaik Fizlan menghilang,
Nadirah terduduk di atas lantai. Air matanya mengalir laju. Akhirnya dia
menangis semahu-mahunya.
Fizlan
tidak balik ke rumah malam tadi. Lelaki itu tiada juga di restoran mamak tempat
dia dan kawan-kawannya sarapan pagi seperti selalu. Hanya ada Amir dan Abang
Shahrul sahaja.
“Kenapa
mata kau bengkak semacam je ni Dira?” Soal Maryam.
“Tak
ada apalah kak. Balik kerja semalam saya rasa sakit kepala, makan ubat tahan
sakit tu. Lupa pulak saya tak boleh makan ubat tu. Ini jadinya.”
Pandai
dia beralasan. Mendengar alasan itu Maryam hanya menganggukkan kepala. Maryam
tahu Nadirah memang ada alahan dengan ubat tahan sakit. Pernah wanita itu
datang kerja dengan muka bengkak macam belon mahu pecah.
“Kenapa
kau tak ambik MC je? Kalau aku awal-awal lagi ambik MC, paling tidak dapat dua
hari MC.”
Sampuk
Norsham dari meja sebelah. Nadirah senyum sahaja. Kalaulah mereka tahu cerita
sebenar, tentu teruk dia kena marah.
“Kalau
saya ambik MC, Mr. Anand marah tak?”
Pertanyaan
Nadirah itu membuatkan Maryam dan Norsham ketawa besar. Nadirah bertanya
seolah-olah baru sebulan dua dia berkerja di syarikat itu.
“Gila
kau dia nak marah?! Dah, kau balik je. Jangan lupa pergi klinik. Nanti akak
cakap dengan Mr. Anand tu.”
Tanpa
banyak cakap, terus sahaja Nadirah mencapai beg tangannya dan meninggalkan ke
dua-dua rakan sekerjanya itu. Di dalam kereta, dia cuba menghubungi Fizlan.
Nombor lelaki itu dapat dihubungi tetapi panggilannya tidak berjawab. Nadirah
berkira-kira untuk menghubungi pejabat lelaki itu. Akhirnya dibatalkan niatnya
itu sebelum keretanya dipandu melalui hadapan restoran mamak di hujung deretan
bangunan. Fizlan tiada di situ. Motornya juga tiada.
“Fizlan
dia pergi hantar bos ke airport. Mungkin dia tengah drivetadi
kot.” Beritahu gadis yang memperkenalkan diri sebagai Ida ketika Nadirah
menghubungi pejbat lelaki itu.
“Oh…
tak apalah macam tu. Akak call dia balik nanti. Terima kasih,
Ida, Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,
kak.”
Panggilan
dimatikan. Nadirah memandu keretanya pulang ke rumah. Debaran hatinya tidak
surut sejak semalam. Rasa gelisah dan bersalah. Diari yang selama ini menjadi
tempat dia meluahkan rasa sudah dibuangnya. Dia tahu semuanya sudah terlambat.
Fizlan terlebih dahulu membacanya. Kenapalah dia cuai sangat?
Nadirah
mengeluh lagi. Semuanya salah dia. Perasaannya untuk Fizlan tidak semekar
perasaan seorang kekasih. Tidak sewangi perasaan seorang isteri terhadap
suaminya. Tetapi dia memilih lelaki itu di saat hatinya masih berbelah bahagi.
Fizlan,
lelaki yang selalu ‘menganggunya’ setiap kali dia melewati restoran mamak
tempat lelaki itu menghabiskan masanya. Gangguan yang tidak pernah disambutnya
selama tiga tahun. Dia tidak pernah perduli dengan gangguan lelaki itu kerana
dia menganggap ia sekadar main-main sahaja. Bukan setakat dia seorang sahaja
menjadi mangsa ‘gangguan’ lelaki itu dan kawan-kawannya.
Tetapi
mahu dijadikan cerita, ketika dia sedang menikmati makan tengah hari seorang
diri pada hari Sabtu hampir setahun yang lepas lelaki itu datang menyapa. Tanpa
dipelawa lelaki itu mengambil tempat di hadapannya dan kawan-kawannya dengan
senyuman lebar meninggalkan Fizlan berseorangan.
“Sabtu
pun kerja?”
Nadirah
angguk sahaja. Mahu dihalau lelaki itu dia tidak sampai hati pula. Lagi pula,
selama ini gangguan lelaki itu bukanlah dalam bentuk gangguan yang
melampau-lampau ataupun tidak senonoh.
“Selama
ni tak pernah nampak pun kerja hari Sabtu.”
“Ada training.”Ringkas
sahaja jawapan Nadirah.
Walaupun
Nadirah tunjukkan reaksi kurang selesa dengannya, Fizlan tetap juga cuba untuk
berbual. Nasib baiklah ketika itu Nadirah melihat Encik Sufian sedang menunggu
di hadapan pejabat.
“Bagilah
nombor telefon. Boleh mesej-mesej.” Pinta Fizlan sebaik sahaja Nadirah
memberitahunya yang dia perlu beredar.
“Tak
payahlah kot. Tak ada apa pun nak mesej.”
“Alah
bagilah. Saya janji tak bagi orang lain.”
Melihat
Fizlan yang beria-ria dan sedar pekerja kopitiam itu memerhati, Nadirah
akhirnya terpaksa mengalah. Senyum lebar Fizlan sebaik sahaja mendapat nombor
telefon gadis itu.
Sejak
hari itu Fizlan sentiasa menghantar SMS kepadanya. Jarang-jarang Nadirah
membalasnya.
“Kau
ni kan Dira, budak tu dah berkenan kat kau. Terima ajelah. Mana tahu dia memang
jodoh kau. Ke kau tak nak dia sebab dia tu driver jer?”
Norsham
memang mulutnya lepas tetapi Nadirah tidak pernah pula terasa hati. Dan kerana
kata-kata wanita itulah Nadirah mula memberi peluang kepada Fizlan. Mula
membalas setiap SMS dan menjawab setiap panggilan lelaki itu. Menerima ajakan
lelaki itu untuk keluar. Malah, bila Fizlan meluahkan rasa hati tanpa berfikir
panjang dia menerima rasa cinta lelaki itu sedangkan hatinya tidak ada untuk
Fizlan. Paling teruk, di dalam keadaan dia yang masih tidak punya perasaan
terhadap Fizlan lamaran lelaki itu diterimanya.
Panggilan
telefon yang diterima ketika baru sahaja memasuki rumah membuatkan jantung
Nadirah berdegup kencang. Panggilan daripada birasnya, Suhaila. Fizlan memang
rapat dengan Suhaila dan kerana itu Nadirah takut cerita rumah tangganya itu
sampai ke pengetahuan wanita itu.
“Dira
kat pejabat ke?” soal pemanggil di sebelah sana sebaik sahaja salam berbalas.
“Erm…
tak kak. Ada kat rumah. Dira MC hari ni.”
“Oh…
akak datang rumah boleh? Ada hal sikit akak nak cakap dengan Dira.”
Nadirah
menelan air liur. Dia bagaikan dapat mengagak hal apa yang mahu dicakapkan oleh
Suhaila. Dia pasti Fizlan menceritakan hal semalam kepada kakak iparnya itu.
“Erm…
boleh kak. Dira tunggu akak.”
Kata-kata
Suhaila sebelum memutuskan panggilan selepas itu bagaikan antara dengar dan
tidak sahaja pada Nadirah. Rasa gementarnya melebihi segalanya.
Tidak
sampai sejam, pintu rumahnya diketuk. Nadirah cuba menenagkan dirinya. Dia tahu
dia perlu hadapi segala kemungkinan.
“Masuklah
kak.”
“Dira
okey tak ni? Teruk sangat bengkak mata tu.”
Nadirah
senyum sahaja. Sepanjang malam dia menangis sehinggakan tertidur. Menangis atas
salah sendiri. Menangis kerana kebodohan sendiri!
“Erm…
malam tadi Lan datang rumah. Dia beritahu dekat akak dan abang Man pasal Dira
dengan dia. Kenapa Dira buat macam ni? Dira berlaku kejam terhadap Lan…
terhadap diri Dira sendiri. Akak tahu akak tak patut masuk campur dalam urusan
rumah tangga kamu berdua tetapi sebagai kakak, akak tak mahu hubungan Dira
dengan Lan berakhir macam ni.”
Nadira
panggung kepala. Fizlan mahu bercerai? Ya ALLAH….
“Akak
tak pernah tengok Lan macam semalam. Dia marahkan diri dia. Sampaikan Kak Long
dengan Akif menangis tengok Pak Su mereka macam tu.”
“Dira
minta maaf, kak. Dira tahu semuanya salah Dira. Dira pentingkan diri…”
Nadirah
sudah tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia menangis semahunya.
“Berterus-terang
dengan akak, Dira. Selama tiga bulan Dira dan Lan jadi suami isteri ni, apa
perasaan Dira terhadap Lan? Masih tak apa-apa? Masih kosong?”
Nadirah
geleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak tahu! Dia tidak tahu perasaannya terhadap
Fizlan!
Suhaila
mengeluh. Dia sendiri tidak tahu mahu berbuat apa. Sebahagian daripada dirinya
memarahi Nadirah. Bagaimana Nadirah boleh begitu kejam?! Fizlan yang begitu
payah menunjukkan emosi senang sahaja mengalirkan air mata semalam. Sampaikan
dia sendiri tidak dapat menahan sebak melihat tangisan adik iparnya itu. Teruk
sangat ke Lan ni kak? Persoalan Fizlan yang dia tiada jawapan.
Tubuh
Nadirah dirangkulnya. Ditepuknya berkali-kali bahu wanita itu.
“Beginilah...
Nanti Lan balik, Dira bincanglah elok-elok dengan dia. Hati dia masih sakit
tapi akak tahu Lan sayangkan Dira. Akak tahu, bertepuk sebelah tangan takkan
berbunyi. Jadi, Dira kenalah jugak buat sesuatu. Ada sebab ALLAH aturkan jodoh
Dira dengan Lan. Dira kena beri ruang kepada diri Dira untuk Lan. Cuba
sayangkan dia sebagai seorang lelaki yang selayaknya Dira sayang. Terima dia
seadanya. Cinta akan datang bila Dira ikhlaskan diri Dira, bila Dira terima
siapa diri Lan.”
“Tapi
Dira tak tahu macam mana kak?!”
“Mula-mula
ikhlaskan diri Dira terima Lan sebagai suami. Kemudian, insyaALLAH semuanya
akan berjalan lancar. Minta dari ALLAH. Solat isthikharah banyak-banyak.”
***
Pukul
sepuluh setengah malam. Fizlan masih belum balik. Hidangan di atas meja sejak
petang tadi tidak terusik. Tadi Nadirah ada menghubungi Suhaila bertanyakan
kalau Fizlan ke sana.
Abang
kat mana?
SMS
dihantar kepada lelaki itu. Tiada balasan. Akhirnya Nadirah beranikan diri
menghubungi Amir.
“Ada
ni. Kejap.”
Degupan
jantung Nadira kembali tidak sekata. Nadira menarik nafasnya dalam-dalam
sebelum dilepaskan. Mendengar suara suaminya yang bertanyakan kepada Amir
membuatkan Nadira semakin gementar.
“Hello.”
“Er…
Hello abang… Dira ni…”
Senyap.
Tubir mata Nadirah sudah berair.
“Abang…
Dira minta maaf. Janganlah marahkan Dira sampai macam ni. Abang… baliklah…”
Senyap.
Suara riuh rendah dari sebelah sana sudah tidak kedengaran. Mungkin
Fizlan bangun menjauhi restoran mamak tersebut.
“Dira
tahu semuanya salah Dira. Abang baliklah… kita berbincang…”
Senyap
lagi dan belumpun sempat Nadirah menyambung bicaranya, panggilan dimatikan.
Tersentak Nadirah dengan apa yang berlaku.
Jgn
telefon kawan2 saya
SMS
itu yang diterima daripada nombor telefon milik Fizlan membuatkan Nadirah
sedikit terasa hati. Nombor telefon lelaki itu dihubunginya tetapi tetap
dijawab oleh lelaki itu.
Dira
tahu semua salah Dira. Dira pentingkan diri. Dira tak fikirkan perasaan abg
langsung. Tolong bagi Dira peluang…
SMS
dihantar kepada Fizlan.
Beri
peluang wlupun awak langsung tak ada perasaan terhadap saya? Kalau awak kena
paksa kahwin dengan saya, itu cerita lain.
Lama
kemudian barulah SMSnya dibalas oleh Fizlan.
Dira
tak tahu cara macam mana nak yakinkan abang. Tp dira akan cuba untuk pastikan
hubungan kita ni tak berakhir mcm ni. Tolong maafkan Dira dan bagi Dira
peluang. Dira rayu pada abg.
SMSnya
tidak berbalas. Malah, bila Nadirah menghubungi Fizlan telefon bimbit lelaki
itu tidak dapat dihubungi.
***
Pagi
itu Nadirah tersedar apabila tubuhnya diselimuti oleh selimut. Cepat sahaja dia
bangun apabila melihat Fizlan yang melangkah masuk ke bilik tidur mereka.
“Abang…”
Langkah
Fizlan terhenti tetapi dia tidak terus memusingkan badan.
“Pergilah
tidur. Baru pukul tiga pagi.”
“Erm…
Dira tak ngantuk. Kita bincang hal kita ya?”
“Saya
penat. Saya nak tidur.”
“Okey.”
Nadirah
membiarkan Fizlan masuk ke bilik. Dia kembali duduk di atas sofa. Sekejap
sahaja, matanya sudah kembali berair. Betapa dia merasakan Fizlan dingin
dengannya. Langsung lelaki itu tidak memalingkan muka memandangnya. Marah benar
Fizlan! Akhirnya, Nadirah menyalahkan diri sendiri. Kalau Fizlan yang begitu
payah menunjukkan emosi boleh jadi begitu sekali, tentu sahaja apa yang telah
dia lakukan terlalu teruk dan sukar untuk diterima. Dia merasakan dia merupakan
orang paling teruk sekali! Hipokrit dan mementingkan diri!
Setelah
beberapa ketika, dia melihat lelaki itu keluar daripada bilik tidur menuju ke arah
dapur. Laju sahaja Nadirah bangun mengikut lelaki itu.
“Abang
nak makan ke?” Soal Nadirah. Suaranya sudah kedengaran serak-serak.
Fizlan
geleng. Dia membuka peti sejuk dan mencapai botol minuman sejuk. Kemudiannya,
dia menuang minuman tersebut ke dalam mug.
“Pergilah
tidur. Saya nak minum je.” Perlahan sahaja suara Fizlan.
“Dira
tak suka abang bersaya-awak dengan Dira. Kenapa tak boleh abang bahasakan diri
abang dengan Dira macam sebelum ni?”
“Sekarang
dah tak sama…”
Mug
yang sudah kosong dibawanya ke sinki. Dimasukkan kembali botol minuman ke dalam
peti ais.
“Abang…”
Nadirah
capai lengan Fizlan.
“Dira
mintak abang beri peluang pada Dira. Tolonglah bang… Dira tahu kesalahan Dira
cukup besar tapi tolong jangan hukum Dira sampai macam ni.”
“Kita
cakap pasal hal ini esok. Saya mengantuk sangat dah ni.”
Kata-kata
Fizlan itu bagaikan tidak terjentik sedikitpun perasaannya mendengar tangisan
Nadirah. Pegangan Nadirah dilepaskan dan terus sahaja dia masuk ke bilik.
Sekali lagi Nadirah terduduk di lantai. Dia merasakan seperti Fizlan sudah
tidak punya harapan terhadap perkahwinan mereka. Perkahwinan yang baru mereka
bina tidak sampai setengah tahun ini!
****
Saya
keluar hantar dokumen. Pkl 11 saya balik
SMS
daripada Fizlan itu dibacanya berkali-kali. Pagi tadi, bila dia terjaga dari
tidur dan masuk ke bilik Fizlan sudah selesai menunaikan solat. Bila dia keluar
daripada bilik air, lelaki itu sudah tiada. Selepas menunaikan solat Subuh, dia
terus menghubungi lelaki itu. Tiada jawapan. Akhirnya SMS yang diterimanya
daripada Fizlan.
Nadirah
tahu dengan apa yang berlaku mana mungkin perasaan marah Fizlan akan surut
begitu cepat. Tetapi dia benar-benar berharap lelaki itu tidak akan mengambil
keputusan untuk menghukumnya dengan penceraian. Dia tidak mahu hubungan mereka
berakhir begitu sahaja.
Dari
dulu lagi dia selalu merasakan perasaan cinta dan sayang itu tidak pernah ada
untuk lelaki yang menjadi kekasihnya. Dia menerima cinta mereka tanpa rasa
cinta. Mungkin pertama kali dia menerima cinta seorang lelaki dengan rasa cinta
sembilan tahun lepas. Cinta yang akhirnya menghilang sebaik sahaja mereka
menamatkan pengajian. Selepas itu dia bagaikan tidak punya rasa itu lagi.
Dia
mengeluh lagi. Kenapalah dia meluahkan semuanya di dalam diari itu? Kenapa dia
terlalu cuai? Kenapa dia tidak berterus-terang dengan Fizlan sebelum mereka
bertunang dan seterusnya mengikat diri dengan status perkahwinan?
Sekarang
Fizlan mengetahui hakikat itu! Hakikat yang cintanya tidak pernah ada. Hakikat
bahawa selama ini hubungan mereka tidak pernah dianggap serius olehnya!
Ya
ALLAH, tolonglah hamba-MU ini! Aku pinta peliharalah hubungan aku dan suamiku.
Aku pinta cambahkan rasa sayang dan cinta selayaknya dihatiku untuk suamiku, Ya
ALLAH!
***
“Berterus
terang dengan saya sekarang… sama ada awak masih mahu bersama saya atau tidak?”
Lambat-lambat Fizlan bertanya. Suaranya perlahan. Langsung dia tidak memandang
Nadirah.
“Naklah!”
“Walaupun
awak tak ada perasaan untuk saya?” Suara Fizlan bergetar. Hakikat yang terlalu
perit untuknya.
“Dira
tak nak tipu abang. Dira tak tahu… Dira… Dira cuma nak abang bagi Dira peluang.
Bagi Dira peluang dan ruang untuk sayangkan abang.”
“Kalau
tak boleh jugak?” kali ini baru Fizlan berani memandang Nadirah yang sudah merah
matanya.
“InsyaALLAH
boleh. Cuma abang jangan terlalu hukum Dira macam sekarang ni. Abang buat Dira
rasa Dira semakin jauh dengan abang.” Air mata Nadirah sudah deras mengalir.
Dia sudah teresak-esak.
“Awak
yang buatkan…”
“Dira
tahu semuanya salah Dira. Dira yang buatkan abang jadi macam ni… tapi tolonglah
jangan macam ni. Jangan bersikap dingin dengan Dira! Jangan tinggalkan Dira!”
Tubuh
Fizlan sudah dipeluknya. Erat dan kemas.
“Saya
yang salah. Saya tak cuba faham apa yang Dira cuba sampaikan selama ni. Saya
ingat Dira ada perasaan yang sama dengan saya.”
“Abang
tak salah. Dira yang salah. Dira yang tak berterus terang dengan abang. Jangan
tinggalkan Dira, ye? Dira janji Dira akan berubah. Dira tahu Dira banyak sangat
fikir yang bukan-bukan sampaikan Dira fikir Dira tak ada perasaan dengan abang.”
“Erm…lepas
ni saya tak nak Dira sembunyikan apa-apa daripada saya. Apa yang Dira rasa
semuanya kena beritahu saya.”
Nadirah
melepaskan pelukannya. Air matanya dikesat dengan hujung t-shirt yang
dipakainya.
“Janji!
Tapi tolong jangan bahasakan diri abang dengan Dira macam tu… Dira tak suka.
Jangan bersikap dingin dengan Dira macam semalam.”
“Okey…
tapi janji jangan menangis sampai macam ni lagi.”
Nadirah
senyum sedikit. Dia kembali merangkul tubuh Fizlan. Kepalanya di dada lelaki
itu. Seketika, dia merasakan kepalanya dikucup lembut. Nadirah tersenyum. Buat
pertama kalinya dia merasakan kucupan itu membahagiakannya.
“Abang
sayangkan Dira, cintakan Dira.”
Nadirah
mencapai tangan kanan suaminya. Dikucupnya berkali-kali. Dia berjanji, cinta
dan sayang Fizlan tidak akan disia-siakan. Dia pasti perasaanya juga akan mekar
untuk lelaki itu!
4 comments:
best nye crite neh..percaya lh dira bercinta bagai nk rak pun kekadang bahgia nyer entah kemana!tp berkawin dulu pastu bercinta,dh tentu nyata pahala nyer...yg penting hubby tu ade agama nyer...pd akak fizlan terlalu baik untk di kianati...
best!
good :)
tapi lagi sweet kalo buat part 2 sambungan citer ni bagi dira ada feeling kt fizlan plak... hehe
(^__^) akhirnya... ada juga tuan putera idea datang...
entry awak x pernah mengecewakan saya ct.. banyak pengajaran. :)
thanks..
Post a Comment