Friday, April 19, 2013

Cerpen : Kerana Dia...


“Kau biar betul Nelly? Kau dah fikir masak-masak? Betul kau nak berhenti kerja? Habis tu Rizal tu macam mana?”


Nelly tersengih dengan soalan demi soalan daripada Suhana. Heboh satu jabatan bila mengetahui bahawa dia menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Encik Jefri awal-awal pagi tadi.


Rasanya perihal perletakan jawatannya sudah sampai ke jabatan lain. Masing-masing macam tidak percaya. Nelly yang tergila-gilakan Rizal mahu berhenti kerja? Itulah yang mereka fikirkan. Tidak mungkin Nelly yang mereka kenal selama ini begitu ‘setia’ dengan Rizal tetiba mahu berhenti kerja. Sudah berputus asakah Nelly?


“Betullah kak. Nelly rasa nak cari kerja lain.”


“Habis tu dah dapat ke?”


Nelly gelengkan kepala.


“Dah tu kenapa kau nak berhenti kerja?”


“Alah… in sya ALLAH dapatlah kerja kak. Nelly bagi notis sebulan. Sempat kot dapat kerja baru. Kalau takpun bolehlah rehat sebulan dua.”


“Kau ni kan… ingat senang nak dapat kerja sekarang ni? Ker sebab Rizal? Rizal ada cakap apa-apa ke kat kau?”


“Ish tak adalah kak… dia tak ada cakap apa-apapun.”


“Dah tu?”


“Tukar anginlah kak… Lagipun Nelly malas nak fikir pasal Rizal lagi. Lantaklah dia.”


“Kau give up?”


Nelly sengih. Berputus asa? Ya memang! Memang dia berputus asa. Lebih daripada itu dia merasakan dia seperti perigi mencari timba. Selama ini dia tidak peduli. Apa orang nak kata, katalah. Apa Rizal nak fikir mengenai dia, fikirlah. Asalkan lelaki itu tahu perasaannya. Dia tidak peduli bila ada mulut-mulut yang mengatanya di belakang. Dia perempuan gedik yang tak sedar diri! Penolakan Rizal yang terang-terang tanpa perlu bersuluh itu langsung tidak meninggalkan kesan. Dia tahu Rizal ada hati dengan Suhana. Dengan Suhana, murah sahaja senyuman Rizal. Boleh bergurau senda. Tetapi dengannya berbeza sekali. Jadi, selepas bertahun dia buat muka tebal mahukan lelaki itu, akhirnya dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Mahu jauh dari lelaki itu. Mahu menghalang dari dirinya iri hati dengan Suhana. Suhana baik dengannya. Suhana memahami perasaannya. Walaupun pangkat gadis bertudung litup itu lebih tinggi daripadanya, Suhana tidak pernah mencipta jurang antara mereka.


“Okeylah, kau dah buat keputusan. Nanti apa-apa hal jumpa akak.”


“Okey kak.”


Berkerut dahi Rizal menerima kedatangan Suhana yang macam mencuka wajahnya. Jarang sekali wajah manis itu begitu.


“You tahu Nelly nak resign?”


“Tahu.”


“Hah? Itu jer respond you? You tahu sebab apa dia nak resign.”


“Sue, dia nak berhenti ke apa ke… bukan masalah I. Dan yang you peduli sangat pasal budak tu kenapa?”


“Sebab dia kawan I!” jawab Suhana.


“Habis tu I denganyou ni apa? Patutnya you lebihkan I! I yang lebih lama berkawan dengan you, bukan dia!”


“Ini bukan soal lama atau baru, Zal. Youterlalu berkeras dengan Nelly. Apa salahnya you bagi dia peluang? Dia tak adalah teruk mana pun sampai you tolak dia mentah-mentah.”


Rizal mendengus. Soal hati bukan soal sama ada teruk atau tidak. Rasanya tidak salah dia meletakkan syarat-syarat tertentu untuk mencari gadis pilihannya. Dan jelas, Nelly langsung tidak menepati ciri-ciri tersebut. Salahkah dia?


“Please, Sue! Dulu, you pun sama kan? I tak rasa I ni teruk sangat sampaikan you tolak I macam tu je! Samalah kita, kan?” Rizal seakan memerli.


Suhana tayang muka tidak puas hati. Dia tidak suka bila Rizal mengungkit soal itu. soal hati dan perasaan Rizal terhadapnya sudah lama luput diingatannya. Antara dia dan Rizal tidak mampu lebih daripada seorang kawan.


“Jangan nak tukar topic, Zal. I dah beritahu you kan sebab I tak boleh terima you. You pulak, tak ada sebab untuk menolak Nelly. Jangan cakap soal taste kalau you tak pernah cuba nak faham dia.”


“You tak boleh nak assume semua benda nak kena ada sebab. After all, she’s not my type. Titik. Noktah. I tak nak dengar pasal Nelly lagi. Kalau dia buat keputusan untuk berhenti, itu hal dia. I tak paksa atau ugut dia. Please, Sue! I tak nak kerana soal ni kita bergaduh.”


Sebaik habis sahaja Rizal bercakap muncul Nana, pembantunya di hadapan pintu bilik.


“Okeylah, I nak kena jumpa Luke.”


Rizal bangun dan melangkah meninggalkan Suhana yang masih tidak berkutik. Dia tidak tahu kenapa Suhana begitu beria mahukan dia memilih Nelly. Pada dia, Nelly itu tiada apa-apa yang menarik. Malah gadis itu membuatkan dia makin rimas!










Tengah hari itu, kembali daripada makan tengah hari Nelly terserempak dengan Rizal yang baru keluar daripada lif. Tidak seperti biasa, Nelly hanya menganggukkan sedikit kepalanya sebagai tanda sapaan


“Nelly, aku ada hal nak cakap dengan kau. Jom.”


Tanpa sebarang isyarat, tangan Nelly sudah berada di dalam genggaman Rizal. Membuatkan Nelly agak terkejut. Dia memandang Suhana, Zanariah dan Fauziah silih berganti. Nyata kawan-kawannya itu juga terkejut dengan tindakan Rizal. Berkerut dahi masing-masing.


Nelly ditariknya ke satu sudut yang agak jauh daripada lif. Muka Nelly sudah masam mencuka. Dia tidak suka diperlakukan sebegitu oleh Rizal.


“ Aku dengar kau resign?”


“Aah.”


“Kenapa?”


“Dapat offer lain yang lebih bagus. Pergilah.” Tipu Nelly.


“Bukan sebab aku?”


Sengihan di hujung bibir Rizal membuatkan Nelly menjeling tajam.


“Tak ada maknanya!”


“Yalah tu. Okeylah, hari tu kau ada ajak aku temankan kau beli baju untuk annual dinner, hujung minggu ni aku free.”


Wajah teruja Nelly sesaat cuma. Dia tidak berniat untuk menghadiri majlis makan malam yang akan berlangsung tidak sampai dua minggu lagi itu.


“Tak apalah, Encik Rizal. Terima kasih. Saya tak rasa nak pergi pun.”


“Macam tu pulak? Kenapa?”


“Malaslah nak keluar hujung minggu ni. Okeylah… Saya ada department meeting kejap lagi. Saya naik dululah.”


Nelly senyum sedikit tetapi Rizal masih berkerut dahinya. Masih tidak percaya Nelly akan menolak begitu.


“Bye!” Nelly angkat tangan dan terus meninggalkan Rizal.










Cuti hujung minggu, Nelly terpaksa menerima rancangan rakan-rakan sekerjanya untuk keluar makan bersama. Ikutkan hati dia memang malas untuk keluar tetapi mengenangkan mungkin ini adalah peluang terakhir mereka untuk keluar bersama-sama, Nelly bersetuju.


“Susahkan Encik Lukman je datang ambil. Nanti mesti nak kena hantar pulak.” Nelly bersuara sebaik sahaja dia memasuki kereta Nissan milik Lukman, sepupu kepada Rizal merangkap bakal tuan punya syarikat yang dia bekerja sekarang. Lukman memang nampak lebih mesra daripada Rizal. Mudah ukir senyuman. Mudah bertegur sapa dengan pekerja lain. Terutama dengan pekerja di bahagiannya kerana Lukman dan Suhana bersahabat baik. Jadi selalulah Lukman datang ke bahagiannya bertemu dengan Suhana. Rizal pula seorang yang serius dan jarang bercakap tetapi tidaklah sampai membuatkan orang lain tidak sukakan lelaki itu. Cuma skil sosialnya agak kurang berbanding Rizal!


“Tak ada apalah. No big deal lagipun hari ini kita keluar khas untuk you. Jadi sebagai bos dan bakal bekas bos, I kenalah layan you baik-baik.”


“Wah… seronoknya! satu office ke join ni?”


“Your department only termasuk I lah sebab I tukang belanja. Pokai lah I kalau ajak satu office tu.”


Nelly gelak besar. Dia berharap Lukman akan menyebut nama Rizal. Berharap lelaki itu akan keluar bersama mereka. Aduhai, masihkah dia punya harapan terhadap Rizal? Ketawanya mati bila memikirkan hal itu.










Mereka bertemu rakan yang lain di hadapan pintu masuk restoran. Mereka bertujuh termasuk dengan Encik Jefri dan isterinya.


Sebaik memasuki ruang makan restoran dua tingkat itu mata Nelly tertancap ke arah seseorang yang sedang menikmati makan tengah hari. Berubah seratus peratus raut wajah Nelly bila melihat senyuman lebar lelaki itu. Senyuman yang tidak pernah dia lihat bila bertemu muka dengannya.


Mungkin menyedari suara-suara yang sedikit riuh, lelaki yang dimaksudkan Nelly menoleh. Riak wajahnya juga berubah.


“Hey Rizal! Patutlah aku telefon tak berjawab.”


Lukman terlebih dahulu menegur. Langkahnya laju ke arah Rizal yang masih terkejut dengan kehadiran mereka. Nelly jadi kaku. Perasaannya bercampur aduk melihat Rizal bersama dengan seorang wanita yang cukup menarik itu. Patutlah dia tidak pernah dilayan rupanya lelaki itu sudah berpunya!


“Luke, what are you doing here?”


“Soalan pandai! Hai Jane, lama tak jumpa you!” tanpa memperdulikan Rizal, Lukman menyapa wanita berambut panjang separas pinggang itu.


“Hello, Luke.Ramai awek bawak hari ini?” seloroh wanita yang dipanggil Jane itu.


“Hahaha... okeylah, I tak nak kacau orang dating. See you again, Jane.”


Lukman memusingkan tubuhnya dan mula melangkah menghampiri mereka yang sedari tadi masih tercegat di situ.


“Eh jomlah masuk. I dah reserved tingkat atas untuk kita.”


Lukman sentuh hujung siku Nelly. Sempat dia angkat kening bila matanya bertemu dengan mata Suhana. Suhana geleng kepala. Patutlah beria benar Lukman mahu mereka makan tengah hari di situ. Rupanya ada agenda tersembunyi! Tapi apa perlunya Lukman buat begini? Bukankah ini akan membuatkan Nelly cemburu? Atau memang Lukman punya perasaan terhadap Nelly dan mahu Nelly mengetahui bahawa Rizal sudah punya wanita lain? Perasaannya pula yang tidak keruan sekarang ini!


“Erm… I rasa I tak dapat joinlah. Maaf ya! I balik dulu…”


“Eh… mana boleh macam tu. Kita dah sampai ni. Lagipun Encik Lukman yang plan semua ni. Kesian tau kalau kau tetiba nak cancel macam ni!” Ujar Fauziah sebelum sempat Suhana bersuara.


“Er.. tak apalah. Korang makanlah. Maaf, Encik Lukman..”


Terus Nelly melangkah keluar daripada restoran tersebut.


“Nelly…”


Bunyi kerusi ditolak kedengaran jelas. Sepantas itu tubuh Rizal melepasi tempat mereka berdiri. Dan Nelly yang baru melepasi pintu utama restoran yang binaannya ala Minangkabau itu mengaduh bila merasakan lengannya ditarik kasar. Sakit!


“Tak dengar ke aku panggil kau?!” suara Rizal sedikit kuat. Beberapa orang pelanggan yang baru tiba dan keluar memandang mereka dengan pandangan pelik. Rizal tidak peduli dengan pandangan itu. Malah sempat dia menjeling tajam mata-mata yang memandang drama sebabaknya itu.


“Mana ada awak panggil! Lepaslah! Sakit tau?!” Mata Nelly sudah memerah, sudah bergenang air matanya.


Rizal tidak pedulikan kata-kata Nelly. Begitu juga bila melihat mata merah gadis itu. Lengan gadis itu ditarik supaya Nelly mengikutnya masuk kembali ke dalam restoran. Makin banyaklah mata yang memandang.


“Jane, sorry… I ada hal sikit. Nanti I callyou.”


Tanpa menunggu Jane bersuara Rizal kembali menarik Nelly supaya mengikutnya. Rakan-rakan sekerja Nelly sudah buat muka cuak. Saling berpandangan sesama mereka. Sedangkan Lukman senyum sahaja.










“Awak nak bawa saya ke mana ni? Lepaslah, Rizal! Sakitlah!”


“Semalam aku tanya, kau kata malas nak keluar. Ini… rajin pulak?”


Baru kali ini Nelly merasakan bahasa panggilan Rizal kedengaran kasar. Lengannya ditarik daripada genggaman Rizal. Sakit usah cakaplah! Tentu sahaja berbekas cengkaman tangan lelaki itu.


“Sekarang kau ikut aku. Kau kata nak cari dress kan?”


Sekejap cuma lengan Nelly terlepas daripada cengkamannya.


“Tak naklah. Pergilah balik dekat girlfriend awak tu! Nanti dia fikir apa pulak! Saya bukan nak pergipun annual dinner tu nanti! Jadi buat apa nak beli dress bagai!”


Rizal mendengus. Lengan Nelly dilepaskan kasar.


“Jane bukan girlfriend I. She’s just a friend.”Kali ini suara Rizal sedikit perlahan.


“Peduli apa saya! Dahlah, saya nak balik! Awak tak perlu paksa diri buat apa-apapun untuk saya! Saya tak perlukan tu semua!”


Serasa ingin menangis dengan kata-kata sendiri. Serasa dirinya seperti perempuan yang tidak sedar diri pula. 


“Cuba jangan degil, Nelly. Kita cari dressyang awak nak… okey? Dan awak kena datang juga nanti.”


Kau sudah bertukar awak. Suara Rizal juga perlahan.


“Tak apa. Kalau saya nak pergi, saya pakai jeapa yang ada.”


Nelly sudah pusing tubuh, mula melangkah ke arah jalan keluar pintu gerbang restoran.


“Saya hantar.”


“Tak payah.”


“Nelly!”


Sekali lagi lengannya ditarik. Sakit!


“Jangan jadi degil! Saya hantar! Jom.”


Lengan Nelly ditarik supaya mengikutnya ke arah kereta yang diparkir di kawasan letak tempat kereta restoran besar itu. Pintu kereta di sebelah pemandu dibuka. Ditolak sedikit tubuh Nelly sambil memberi arahan supaya gadis itu masuk ke dalam kereta. Terpaksalah Nelly mengikut dengan hati yang sebal. Hilang terus rasa sedihnya. Datang pula rasa marah! Rizal memang hati batu! Kasar!


Di dalam kereta, sepanjang pemanduannya Rizal langsung tidak bersuara. Nelly ikut diam. Malas mahu bertegang mulut dengan lelaki itu.


“Kita singgah makan. Awak belum makan kan?” ujar Rizal sambil memberi signal ke kiri, memasuki kawasan deretan kedai.


“Tak nak. Hantar balik terus!”


“Jangan mengada. Saya pergi tapau makanan, nanti awak makan kat taman depan tu. Ada hal saya nak cakap.”


“Hal apa?”


“Hal apa-apalah.”


Keretanya diparkirkan di hadapan sebuah restoran dan terus Rizal keluar daripada keretanya sambil memberi isyarat supaya Nelly duduk sahaja di dalam kereta. Tidak sampai lima minit lelaki itu kembali dengan sebungkus makanan dan seplastik teh ais.


“Makanlah cepat.”


Bungkusan polisterin dibuka dan disua kepada Nelly yang duduk berhadapan dengannya. Kemudian bungkusan air yang diikat penuh dan kemas itu dilonggarkan dan dimasukkan straw.


“Awak tengok je ke?” Soal Nelly dengan dahi berkerut.


“Dah kenyang. Makanlah cepat.”


Nelly mencebik. Tanpa mempedulikan Rizal, Nelly terus menyuap makanan ke dalam mulut. Sememangnya dia lapar!


“Cakaplah apa yang awak nak cakap sangat!” soal Nelly sambil mengunyah makanan. Rizal geleng kepala.


“Tak elok sungguh mulut tengah penuh bercakap! Habiskan makanan tu dulu!”


“Awak cakaplah apa yang awak nak cakap. Saya dengar sambil makan. Cepat sikit. Boleh saya balik, tidur!”


Rizal diam. Dihulur plastik berisi air teh ais kepada Nelly.


“Awak suka saya suka yang macam mana?” Soal Rizal.


Soalan Rizal itu membuatkan Nelly angkat kepala. Air yang dihirupnya lambat-lambat ditelan. Matanya membulat. Soalan apakah itu?


“Awak nak saya tanya soalan dalam bahasa apa? Arab?”


Nelly sengih. Plastik minuman disua kembali kepada Rizal. Disuap pula sayur bayam goreng ke dalam mulut. Berselera benar dia!


“Tak payahlah awak tahu saya suka awak yang macam mana. Tak ada makna apapun kan?!”


Rela dan pasrah sahaja bunyi bicara Nelly.


“Jawap ajalah!”


“Tak payah nak buat tak fahamlah, Encik Rizal. Mungkin saya ni satu-satunya kot perempuan tak tahu malu kat dunia ni yang sukakan lelaki sampai semua orang tahu.”


Nelly senyum sedikit. Dia capai plastik minuman di tangan Rizal tanpa meminta kepada lelaki itu. Dihirupnya laju.


“Dan sekarang awak mengaku kalah?”


“Soalan apa macam tu? Mestilah saya mengaku kalah, saya ni perempuan. Orang kata lama-lama terhegeh-hegeh pun tak elok. Nanti awak kahwin, saya juga makan hati. Baik saya mengaku kalah dan cari lelaki lain.”


Nelly berterus-terang. Buat apa dia mahu menyembunyikan perasaannya sedangkan lelaki itu amat tahu akan hal itu. Bertahun dia buat muka tebal berinci-inci semata-mata kerana cinta lelaki itu. Entah dia sendiri tidak tahu kenapa. Bak kata Azimah, Rizal bukanlah satu-satunya lelaki di dunia. Lelaki itupun bukanlah terbaik!


“Saya minta maaf.” Sebaris ayat itu sahaja yang keluar daripada mulut Rizal.


Nelly ketawa kecil. “Tak perlu minta maaf sebab tu. Macam awak kata, saya bukan jenis perempuan yang awak suka. Dan saya pulak tak mahu jadi hipokrik untuk jadi perempuan yang awak suka.”


Rizal diam. Dia bermain-main dengan telefon bimbitnya. Melihat Rizal yang diam, Nelly terus menyambung makannya. Seleranya tidak pula hilang.


“Kita cuba.”


Perlahan.


“Hah?”


“Saya cakap kita cuba. Cuba bercinta. Tak salah kan? Kalau okey, kita teruskan sampai kahwin.”


Meletus ketawa Nelly sehinggakan dia terpaksa menutup mulutnya dengan jari-jemarinya. Dia ingat ni cuba-cuba baju apa? Yang sakit nanti aku jugak!


“Jangan nak buat gila! Saya tak nak ambil risiko untuk cuba-cuba. Kalau awak tak boleh nak terima saya, biarkanlah. Tak perlu rasa bersalah.”


“Ini bukan sebab rasa bersalah. I’d like to know you better.”


“So no need to bercinta. Tapi saya percayalah, awak tak akan ada perasaan tu dekat saya sebab dah lama kot awak tahu saya sukakan awak!”


“Sejak bila awak tak yakin dengan diri awak, Nelly?”


“Tadi.”


Nelly ketawa. Rizal mendengus. Boleh pula Nelly berseloroh di saat dia sedang serius dengan apa yang sedang mereka cakapkan.


“Saya dah kenyang. Makanan pun dah habis. Jom balik.”


“Kita belum habis.”


“Dah habis. Nokhtah. Jangan serabutkan otak awak, Encik Rizal! Jangan risau, saya ada dekat syarikat pun tak sampai sebulan lagi. Lepas tu, awak tak akan bertemu saya lagi.”


Nelly sudah bangun. Melihat Rizal yang seperti tidak mahu berganjak, Nelly terlebih dahulu melangkah ke arah kereta lelaki itu. Tidak sanggup dia menapak jauh untuk masuk ke kawasan tempat tinggalnya.


“Nelly… please… bagi saya peluang. Saya tak tahu nak cakap macam mana tapi saya dapat rasa saya dan awak boleh bersama. Cuma bagi saya peluang.”


Langkah Nelly terhenti. Dia kembali berpaling ke arah Rizal. Dia garu kepala yang tidak gatal. Rasa segan bila suara lelaki itu kedengaran sedikit kuat sehinggakan menarik perhatian beberapa orang budak remaja yang duduk di bangku berhampiran mereka.


“Kalau saya tak ada perasaan terhadap awak, saya biarkan awak pergi je tadi. Saya tak akan susah-susah nak kejar awak, kan? Tadi saya betul-betul takut awak fikir saya dan Jane ada hubungan. Sebab tu saya kejar awak.”


“Saya tak percaya.”


“Nelly… tolong… tolong bagi saya peluang. Tak salah kan awak dengan saya mencuba. Kita tak akan rugi apa-apa.”


“Erm… ia akan rugi kalau saya terus bagi awak peluang sampai tiga empat tahun kan tapi awak tetap tak ada perasaan terhadap saya?!”


“Okey… setahun?”


Nelly sengih. Muka serius Rizal dipandangnya lama.


“Saya akan berhenti kerja bulan depan.”


“Dah tu kenapa? Awak pergi kerja kat oversea ke?”


“Taklah. Tapi…”


“Please, Nelly.”


Rizal melangkah menghampiri Nelly.


“Awak sayangkan saya tak?” soal Rizal.


Nelly diam.


“Nelly…”


“Okey… okey… sayang…. Dahlah jangan nak buat drama telenovela kat sini. Buat malu je. Saya nak balik. Badan dah berpeluh ni.”


Akhirnya Nelly membuat keputusan. Tidak salah dia mencuba. Kalau tidak cuba, mana dia nak tahu. Kalaupun nanti Rizal tetap tidak boleh menjadikan dia sebagai seorang wanita yang dicintainya, sekurang-kurangnya dia telah mencuba.


“Awak tak payah baliklah. Kita pergi tengok movie.Anggap ini our first date. Boleh?”


“Awak belanja?”


“Mestilah. Jom.”


Mereka sama-sama ketawa. Nelly melangkah dahulu, Rizal di belakangnya.


“Nelly…”


“Lah apa lagi…”


“Boleh tak jangan rapat sangat dengan Luke? Buat saya sakit hati je!”


“Erk? Ok… dan awak juga jangan rapat sangat dengan Jane. Tergugat saya!”


Rizal senyum.


“Jangan risau. Dia tu bakal pengantin. Si Luke tu je single mingle lagi.”


“Cemburu?”


“Tak. Saya kan dah kata sakit hati.”


“Sama dengan cemburulah tu!”


“Okey, apa-apalah. Asalkan awak jangan rapat dengan dia lagi.”


“Okey, bos!”